"Cashzine - Aplikasi Buat Duit Percuma Terbaik Yang PERLU anda miliki"

Cara Buat Duit Dengan Aplikasi Cashzine: Peluang Jana Side Income lebih RM100 Dalam Sehari Melalui Aplikasi Cashzine. (Scroll ke bawah untuk bukti pembayaran terkini daripada Cashzine

Cordyceps:Herba luarbiasa dan apa kehebatannya?

Pernahkah anda mendengar Cordyceps? Atau anda pernah melihat? Mungkin tak pernah dengarkan... Dan tak pernah lihat pun. Sama jugalah macam saya. Saya cuba ceritakan serba sedikit tentang Cordyceps ni. Walaupun bagaimanapun saya cuba fahamkan anda semua mengenainya samada dari tempat asal ataupun khasiat Cordyceps ini.

Cara Mudah Jadi Youtuber Terhebat

Ketahui cara bagaimana untuk menjadi Youtuber. Video yang senang difahami dan penuh dengan semua info yang perlu sebagai Youtuber. Dari asas kepada SEO, teknik Viral, Fb ads serta Mengandungi Teknik dan Rahsia Youtuber yang memiliki JUTAAN Subscriber..

Wanita kelihatan anggun dengan Hasanah Lipmatte

90% pengguna GEMBIRA dan TERUJA dengan Hasanah Lipmatte. Dah jadi trending bagi wanita abad ini. Bukan setakat mencantikkan bibir si pemakai malah dapat menaikkan keyakinan anda sepanjang hari.

9/10 Rezeki Perniagaan: Dari SOLOpreneur ke ENTREpreneur menjadi GLOBALpreneur

Cara Mulakan dan Kembangkan Perniagaan Ke Tahap Yang Lebih Tinggi Dengan Modal Minima.


 


Ahad, 23 Jun 2024

Daging korban boleh diberi kepada orang yang tidak memusuhi Islam - Mufti Perlis

 

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.

KANGAR - [DIKEMAS KINI] Majlis Fatwa Negeri Perlis memutuskan daging korban Aidiladha boleh diberikan kepada golongan bukan Islam yang tidak menzahirkan permusuhan terhadap Islam.

Mufti Perlis, Datuk Mohd Asri Zainul Abidin berkata, keputusan berkenaan adalah antara keputusan yang dicapai pada persidangan Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis Kali Ke-68/2024 baru-baru ini.

"Daging korban boleh diberikan kepada golongan bukan Islam yang tidak menzahirkan permusuhan terhadap Islam.

“Ia termasuk dalam muamalah baik yang dianjurkan terutamanya jika mereka dari dalam kalangan ahli keluarga, jiran dan golongan miskin,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook beliau pada Jumaat.

Mohd Asri berkata, keputusan berkenaan juga mengambil kira keutamaan kepada kaum muslimin.

“Ini dengan mengambil kira keutamaan kepada kaum muslimin dan keputusan ini bakal diangkat kepada Persidangan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis,” katanya.

Sebelum ini, infografik dikongsikan di laman sosial Facebook Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang memetik sumber daripada Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan mengatakan bahawa Mazhab Syafie menyatakan tidak dibolehkan berbuat demikian kerana korban adalah ketaatan untuk mendekatkan diri kepada ALLAH SWT.

Bagaimanapun seandainya dalam komuniti masyarakat di sesebuah tempat itu terdapat jiran bukan Islam dan mereka dikenali dengan sifat baik serta keramahannya terhadap masyarakat Islam maka dibolehkan untuk diberikan daging korban tadi kepada mereka seandainya terdapat lebihan.

-SH Online 

PRK Sungai Bakap: PH menang, petrol mungkin naik

 


NIBONG TEBAL: Tidak mustahil Kerajaan Madani akan menghapuskan subsidi petrol RON95 sekiranya mereka berjaya memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) N.20 Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap.

Calon PERIKATAN NASIONAL (PN), Abidin Ismail berkata, ia sama seperti tindakan kerajaan menghapuskan subsidi diesel selepas memenangi PRK DUN Kuala Kubu Baharu baru-baru ini.

“Rakyat perlu menunjukkan protes terhadap kerajaan yang ada sekarang ini yang menghapuskan subsidi diesel sehinggakan harga-harga barang di pasaran ikut meningkat.

“Kalau kita masih menyokong kerajaan sedia ada mungkin akan naik pula petrol RON95. Walaupun dulu mereka janji harga minyak akan turun, tetapi hakikatnya harga minyak mereka sudahpun naikan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Harakahdaily ketika ditemui sewaktu program turun padang bertemu pengundi pada hari pertama kempen bagi PRK ini di Pasar Malam Sungai Bakap, di sini petang semalam.

“Banyak kita tanya peniaga tadi banyak rungutan berkaitan kenaikan harga barang yang berpunca subsidi diesel dihapuskan. Harga diesel meningkat dan menyebabkan harga barang naik.

“Macam mana pun mereka kata mereka terpaksa naikkan harga jualan mereka. Kalau tidak mereka rugi,” ujarnya yang juga Naib Yang Dipertua PAS Kawasan Nibong Tebal.

Mengulas mengenai kempen, beliau yang lebih mesra dengan panggilan ‘Abang Abidin’ berkata, program turun padang itu menunjukkan tanda-tanda permulaan yang positif berdasarkan sambutan orang ramai.

“Alhamdulillah respons daripada pengunjung pasar malam ni amat baik pada PERIKATAN NASIONAL. Insya-Allah mereka akan bagi sokongan pada PERIKATAN NASIONAL pada PRK ini.

“Kita akan mengadakan walkabout ke kawasan-kawasan tumpuan orang ramai seperti pasar malam macam ni dan juga rumah ke rumah. Kita akan turun untuk merayu seramai mungkin pengundi untuk memilih PERIKATAN NASIONAL,” katanya.

Turut sama dalam program tersebut ialah Timbalan Pesuruhjaya PAS Melaka, Bakri Jamaluddin yang juga merupakan Ahli Parlimen Tangga Batu.

Abang Abidin disahkan menentang calon Pakatan Harapan (PH) Dr Joohari Ariffin dalam pertandingan satu lawan satu setelah tempoh penamaan calon tamat pagi semalam.

PRK DUN Sungai Bakap diadakan susulan kematian penyandangnya, Nor Zamri Latiff daripada PERIKATAN NASIONAL pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.

SPR menetapkan hari mengundi awal bagi PRK DUN Sungai Bakap ini pada 2 Julai manakala hari mengundi ialah pada 6 Julai, dengan kempen akan berlangsung selama 14 hari bermula hari ini hingga jam 11:59 malam 5 Julai. 

– HARAKAHDAILY 23/6/2024

Euro 2024:Portugal mudah benam Turkiye

 Pemain Portugal, Bernardo Silva (kiri) menyumbat gol pembukaan menentang Turkiye pada aksi Euro 2024 di BVB Stadion, Dortmund sebentar tadi. – Foto REUTERS

Pemain Portugal, Bernardo Silva (kiri) menyumbat gol pembukaan menentang Turkiye pada aksi Euro 2024 di BVB Stadion, Dortmund sebentar tadi. – Foto REUTERS

DORTMUND, Jerman: Portugal melayakkan diri ke pusingan 16 terakhir Euro 2024 sebentar tadi selepas mudah mengatasi Turkiye 3-0 sekali gus memastikan muncul juara Kumpulan F.

Penamat memukau Bernardo Silva pada minit ke-21, gol sendiri memalukan Samet Akaydin sejurus kemudian dan tampanan mudah Bruno Fernandes pada babak kedua memberikan Portugal kemenangan selesa di depan peminat Turkiye yang bersemangat di Dortmund.

Portugal muncul antara pasukan yang menyasar untuk memenangi Kejuaraan Eropah kedua selepas kejayaan pada 2016, barisan dipenuhi bintang mereka mudah menangani cabaran pasukan kendalian Vincenzo Montella.

Cristiano Ronaldo sekurang-kurangnya mempunyai dua peluang lagi untuk muncul penjaring gol paling tua pada Kejuaraan Eropah ketika pengurusnya Roberto Martinez menyatakan pemain berusia 39 tahun itu berada pada tahap kecergasan terbaik untuk bermain setiap empat hari.

Malah Ronaldo tidak tamak apabila mengumpan kepada Fernandes bagi menjaringkan gol mudah pada minit ke-56 selepas melepasi perangkap ofsaid Turkiye dan dia kemudian mempunyai masa untuk berswafoto dengan peminat muda yang menceroboh masuk ke padang pada pertengahan babak kedua.

Penjaga gol Turkiye, Altay Bayindir dan pemain pertahanan Zeki Celik gagal dalam usaha mereka menghalang bola hantaran ke belakang Samet Akaydin daripada melepasi garisan gol ketika menentang Portugal pada aksi Euro 2024 di BVB Stadion, Dortmund sebentar tadi. – Foto REUTERS
Penjaga gol Turkiye, Altay Bayindir dan pemain pertahanan Zeki Celik gagal dalam usaha mereka menghalang bola hantaran ke belakang Samet Akaydin daripada melepasi garisan gol ketika menentang Portugal pada aksi Euro 2024 di BVB Stadion, Dortmund sebentar tadi. – Foto REUTERS

Pasukan Martinez, dengan enam mata penuh, akan berdepan satu daripada empat pasukan tangga ketiga terbaik pada pusingan berikutnya dan menghadapi perlawanan terakhir kumpulan menentang Georgia tanpa sebarang tekanan.

Ia tidak sama dengan Turkiye yang perlu seri menentang Republik Czech awal pagi Khamis ini untuk memastikan muncul naib juara kumpulan.

Ada jurang besar antara kedua-dua pasukan itu sebaik perlawanan bermula dan Portugal berhak mendahului menerusi Silva apabila pemain tengah Manchester city itu dengan yakin merembat masuk hantaran leret Nuno Mendes yang terbias.

Tidak lama selepas itu, Akaydin memberikan Portugal kelebihan dua gol apabila hantaran ke belakangnya ternyata berubah menjadi gol sendiri dengan Zeki Celik dan penjaga gol Altay Bayindir gagal dalam usaha menghalang bola daripada melepasi garisan gol.

Dua gol itu dan dominasi pemain Portugal melenyapkan gegak-gempita penonton dan keputusan itu dimuktamadkan apabila Fernandes menampan masuk hantaran bekas rakan sepasukannya di Manchester United, Ronaldo.

Penyokong Portugal kemudian berteriak dan membingitkan suasana untuk meraikan kejayaan negara mereka layak ke pusingan 16 terakhir. – AFP

Pemain tengah Portugal, Bruno Fernandes (kiri) mudah menampan masuk gol ketiga pasukannya melepasi penjaga gol Turkiye, Altay Bayindir pada aksi Euro 2024 di BVB Stadion, Dortmund sebentar tadi. – Foto REUTERS
Pemain tengah Portugal, Bruno Fernandes (kiri) mudah menampan masuk gol ketiga pasukannya melepasi penjaga gol Turkiye, Altay Bayindir pada aksi Euro 2024 di BVB Stadion, Dortmund sebentar tadi. – Foto REUTERS

Pemain Portugal meraikan kemenangan ke atas Turkiye pada aksi Euro 2024 di BVB Stadion, Dortmund sebentar tadi sekali gus layak ke pusingan 16 terakhir. – Foto REUTERS
Pemain Portugal meraikan kemenangan ke atas Turkiye pada aksi Euro 2024 di BVB Stadion, Dortmund sebentar tadi sekali gus layak ke pusingan 16 terakhir. – Foto REUTERS

Pemain pertahanan Turkiye, Samet Akaydin terbaring di padang selepas hantaran ke belakangnya memasuki gawang sendiri ketika menentang Portugal pada aksi Euro 2024 di BVB Stadion, Dortmund sebentar tadi. – Foto AFP
Pemain pertahanan Turkiye, Samet Akaydin terbaring di padang selepas hantaran ke belakangnya memasuki gawang sendiri ketika menentang Portugal pada aksi Euro 2024 di BVB Stadion, Dortmund sebentar tadi. – Foto AFP

EURO 2024:Langgar Peraturan Baru UEFA, Rodri Jadi Pemain Pertama Terima Kad Kuning

 

9.6KSUKAN
June 21, 2024 - 5:08 PM

Tonggak tengah Sepanyol, Rodri menjadi pemain pertama yang dilayangkan kad kuning kerana melanggar peraturan baharu dikeluarkan Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA).

Hal ini kerana beliau telah diberikan kad kuning pada masa kecederaan babak pertama berikutan tindakannya membantah keputusan pengadil perlawanan.

Peraturan baharu dikeluarkan UEFA itu menyaksikan hanya ketua pasukan dibenarkan berkomunikasi dengan pengadil sekiranya terdapat sebarang masalah atau pertikaian.

Ini bermakna bagi pasukan Sepanyol, hanya Alvaro Morata akan berhadapan dengan pengadil manakala Dani Carvajal bertindak selaku pembantu ketua pasukan.

Kad kuning kedua diterima Rodri itu sekali gus menyaksikan beliau bakal terlepas perlawanan terakhir peringkat kumpulan bertemu Albania pada 25 Jun nanti.

Pada perlawanan pertama, Rodri ‘dihadiahkan’ kad kuning ekoran kekasaran dilakukannya terhadap pemain Croatia, Bruno Petkovic dalam kawasan penalti.

Menurut sumber laporan Sportbible, Roberto Rosetti yang merupakan Pengarah Urusan Pengadilan UEFA menjelaskan mengenai proses baharu itu dalam surat terbuka kepada peminat.

“Menjadi pengadil dalam permainan moden amat sukar.”

“Pegawai perlawanan di tengah padang mengambil antara 200 hingga 250 keputusan setiap perlawanan – iaitu satu setiap 22 saat – dalam situasi sukar dan kadangkala kontroversi, di bawah tekanan besar, dengan setiap daripada mereka diteliti dan ditonton semula dari pelbagai sudut berbeza oleh peminat dan pakar.”

“Menjelaskan keputusan dengan sehingga 22 pemain mengerumuni anda adalah mustahil untuk pengadil. Ia boleh menyebabkan kerosakan dalam komunikasi, dengan permainan yang indah bertukar menjadi sangat hodoh dengan cepat.”

“Yang penting, kami mahu hanya kapten daripada pasukan yang ingin membincangkan keputusan boleh mendekati pengadil,” tambah beliau lagi.

Credit:VOCKET 

Liga Super 2024:Heberty 'belanja' bola lepas ledak hatrik, Arif Aiman kaw-kaw dirantai pertahanan Tok Gajah

 

Adam mendapat pujian kerana bijak menjaga pertahanan Sri Pahang. — Facebook/JDT

JOHOR Darul Ta'zim (JDT) mudah meraih tiga mata apabila mengatasi Sri Pahang 3-0 dalam perlawanan minggu keempat Liga Super apabila di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Iskandar Puteri pada Sabtu.

Harimau Selatan bermula dengan garang apabila membolosi gawang Sri Pahang seawal minit keempat apabila JDT mengambil kesempatan kekosongan bahagian tengah Sri Pahang menerusi gol dari Heberty.

Selepas gol pertama dari import Brazil berkenaan, Harimau Selatan selagi lagi melancarkan serangan bertali arus ke arah gawang yang dijaga Zarif Irfan Hashimuddin.

Pertahanan Tok Gajah bagaimanapun beraksi dengan cemerlang dan salah satunya ialah Adam Nor Azlin yang bijak membaca gerakan Arif Aiman Hanapi sehingga menggagalkan pemain muda itu untuk membuat percubaan ke arah gawang yang dijaga Syihan Hazmi.

Babak pertama perlawanan di SSI itu juga dihiasi dengan insiden terjahan sehingga seramai tiga tonggak Tok Gajah dilayangkan tiga kad kuning dari pengadil perlawanan, Suhaizi Shukri.

Ruziev dilayangkan kad kuning selepas menjatuhkan Francisco Geraldes pada minit ke-20. Kpah Sherman merempuh Jordi Amat turut dilayangkan kad kuning. Stefano Bruno juga dilayangkan kad kuning selepas terjahan ke arah Juan Muniz pada minit ke-29.

Bersambung babak kedua, Sri Pahang melakukan pertukaran dengan memasukan Sergio Aguero bagi membantu bahagian serangan dengan dia memainkan peranan sebagai tonggak tengah menyerang Tok Gajah.

Pertukaran pemain pun masih belum dapat membantu pasukan kendalian Fandi Ahmad untuk mendapatkan gol penyamaan dan sebaliknya JDT terlebih dahulu menambah gol kedua mereka.

Gol kedua Harimau Selatan hadir selepas Heberty mencetak jaringan kedua pada minit ke-66 menerusi hantaran bantuan daripada Endrick dos Santos.

Pemain berusia 35 tahun berkenaan menjadi hero pasukan kendalian Hector Bidoglio apabila Heberty melengkapkan kemenangan berkenaan dengan gol ketiganya pada minit ke-86.

Menarik selepas Heberty meledak hatrik, pemain berkenaan dilihat menendang bola ke arah tempat duduk penonton yang seolah-olah memberi bola tersebut sebagai kenangan manis membantu JDT meraih tiga mata ke atas Sri Pahang.

Sementara itu, Arif Aiman yang bermain sehingga 90 minit permainan tidak dapat bergerak dengan bebas apabila giliran Azwan Aripin pula mengunci pemain sayap lincah itu pada babak kedua.

Kemenangan itu menyaksikan Harimau Selatan kekal menghuni tangga pertama liga dan Sri Pahang pula berada pada di tangga ketujuh dengan empat mata selepas tiga perlawanan. — Majoriti

CAIR kecam kerajaan Tajikistan haramkan hijab

Sebanyak 98 peratus daripada 10 juta populasi Tajikistan merupakan penganut agama Islam. (FOTO: CABAR.Asia)

NEW YORK: Pertubuhan hak sivil dan advokasi sivil Islam terbesar di Amerika, Council on American-Islamic Relations (CAIR),  mengecam undang-undang baharu Tajikistan yang bertujuan melarang pemakaian hijab dalam kalangan wanita di negara tersebut.

Pengarah Penyelidikan dan Advokasi CAIR, Corey Saylor, menyatakan kebimbangan terhadap implikasi undang-undang sedemikian, mengecamnya dalam satu kenyataan pada Jumaat, waktu tempatan, melabelkannya sebagai ‘pelanggaran serius kebebasan beragama’.


“Mengharamkan hijab adalah pencabulan kebebasan beragama dan larangan seperti itu terhadap pakaian keagamaan tidak sepatutnya mendapat tempat di mana-mana negara yang menghormati hak rakyatnya,” kata Saylor.

Sehubungan itu, beliau menekankan komitmen CAIR yang tidak berbelah bahagi untuk mempertahankan hak umat Islam di dalam dan di luar negara AS, lapor TRT World.

“Kami mengecam undang-undang yang zalim dan menindas ini dan menggesa kerajaan Tajikistan untuk membatalkan keputusan ini,” kata kenyataan itu.

Terdahulu, menurut laporan media, di bawah undang-undang yang baharu digubal, individu yang memakai tudung atau pakaian agama terlarang lain di Tajikistan boleh didenda sehingga 7,920 somoni (kira-kira RM3,298). 

Sementara, syarikat yang membenarkan pekerja memakai pakaian terlarang itu berdepan penalti sebanyak 39,500 somonis (RM16,492). 

Pegawai kerajaan pula tertakluk kepada denda yang lebih tinggi antara 54,000 hingga 57,600 somonis (RM22,618 hingga RM24,031) jika didapati melanggar undang-undang sekatan berkenaan.

Daripada populasi Tajikistan yang berjumlah kira-kira 10 juta orang, menurut penyelidikan oleh Pew g Group, 98 peratus  dikenal pasti sebagai Muslim. – HARAKAHDAILY 22/6/2024

(1957) Filem ‘Pontianak’ merupakan filem seram Melayu pertama dalam bentuk hitam putih yang dihasilkan dalam sejarah perfileman Melayu


 (1957) Filem ‘Pontianak’ merupakan filem seram Melayu pertama dalam bentuk hitam putih yang dihasilkan dalam sejarah perfileman Melayu dan diarahkan oleh B. N Rao pada tahun 1957. 

Selepas ditayangkan di 2 Negara; Singapura dan Malaysia, filem ini telah mendapat sambutan luar biasa peminat-peminat filem Melayu yang menonton kisah mengenai wanita yang terlanggar sumpahan dan menjelma menjadi Pontianak. 

Disebabkan mendapat sambutan luar biasa, filem tersebut mendapat tayangan  selama 3 bulan. 

Setelah itu, filem ‘Pontianak’ kemudian disambung untuk 2 lagi filem baru yang seterusnya; ‘Dendam Pontianak’ (1957) dan ‘Sumpah Pontianak’ (1958). 

2 filem sekuel Pontianak ini masih diarahkan oleh B. N Rao. Namun sayangnya, diceritakan bahawa filem-filem Pontianak tersebut dikategorikan sebagai HILANG kerana reel filemnya telah dibuang oleh seorang pemilik studio atas beberapa sebab. Atas sebab apa tu ya? 

Maria Menado merupakan pelakon wanita pertama yang melakonkan watak Pontianak bagi ketiga-tiga filem tersebut. Menerusi tiga filem tersebut, beliau perlu melakonkan 3 watak sekaligus; sebagai wanita cantik, menjadi wanita hodoh dan menjelma menjadi Pontianak. Watak ikonik tersebut juga telah mencipta kemasyhuran buat Maria Menado sebagai salah seorang seniwati handalan. 

Beberapa tahun kemudian, industri perfileman melayu kemudian terus menghasilkan beberapa buah filem seram yang menjadikan Pontianak sebagai watak/subjek utama dan dilakonkan oleh beberapa orang pelakon-pelakon wanita termasuk yang malar segar di era terkini adalah lakonan Maya Karin.

Sumber: Facts.bn

Credit 

#FoIMPAK  

#FilemMelayu 

#FilemHilang?

Sabtu, 22 Jun 2024

Tetap 'kemaruk' walau mati pucuk langgan pelacur

 PREMIS dipercayai beroperasi setiap hari dari jam 12 tengah hari hingga jam 10 malam.

PREMIS dipercayai beroperasi setiap hari dari jam 12 tengah hari hingga jam 10 malam.

Kuala Lumpur: Polis menggempur premis di lubuk pelacuran tertua di ibu negara yang masih beroperasi sehingga kini dan turut menjadi tumpuan warga emas bagi mendapatkan perkhidmatan itu.

Serbuan dekat medan selera dan bangunan di Jalan Gelang dan Jalan Kalong itu dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman hasil pendedahan eksklusif Harian Metro sebelum ini berkaitan kegiatan medan selera menawarkan khidmat seks serendah RM100.

Kawasan terbabit antara lubuk pelacuran tertua di Lembah Klang yang masih beroperasi sehingga kini malah menjadi tumpuan warga emas yang masih kemaruk layanan manja wanita warga asing dari China dan Vietnam.

Malah ada pelayan khidmat pelanggan (GRO) yang ditahan itu juga sudah berusia antara 40 hingga 50 tahun namun masih aktif menawarkan perkhidmatan terbabit.

Salah seorang pelanggan lelaki berusia 58 tahun berkata, dia berkunjung ke situ sejak muda dan hampir 20 tahun datang ke sini untuk melanggan.

"Walaupun saya sudah mati pucuk namun saya saya tetap datang ke sini bagi mendapatkan urutan badan dan memuaskan nafsu.

"Saya tidak ke medan selera itu kerana perlu mengeluarkan belanja banyak seperti makan, minum dan kalungan bunga dahulu di mana sudah tentu perlu mengeluarkan belanja sehingga 300," katanya ketika ditemui selepas ditahan polis dalam serbuan itu.

Katanya, sebaliknya dia terus menghubungi wanita warga China yang menawarkan perkhidmatan itu dan naik ke bilik di bangunan sebelah yang disediakan.

"Sejak 20 tahun lalu saya berkunjung ke sini dan sehingga kini harganya tetap sama iaitu hanya RM100.

"Premis ini bukan baharu tetapi sudah lama. Saya pun sudah tua," katanya.

'Janganlah rakam gambar saya'

"Salah salahlah. Tak ada luck (tuah), kena tangkap mengaku sahajalah,".

Itu luahan seorang pemuda dipercayai pelanggan apabila diberkas dalam serbuan di sarang pelacuran di Jalan Gelang, Pudu di sini, yang digempur pasukan polis Bahagian Pencegahan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

Ketika serbuan, lelaki warga kota itu merayu tidak dirakam jurukamera Harian Metro kerana bimbang keluarganya di rumah mengetahui kegiatan tidak bermoral dilakukannya di luar.

Pekerja kilang berusia 35 tahun berkenaan menjelaskan dia mengetahui lokasi sarang pelacuran berhampiran medan selera itu selepas diperkenalkan rakan.

"Habis waktu kerja, saya minum (di medan selera), mereka (wanita dipercayai pekerja seks) datang tawar perkhidmatan dengan bayaran RM100.

"Janganlah bang (meminta supaya jurukamera tidak merakamkannya), jangan susahkan saya. Susah nanti rosakkan keluarga saya, saya punya kerja pun nanti susah. Saya tak mahu datang lagi," katanya.

Manakala terdapat pelanggan yang berusia hampir enam dekad tidak serik walaupun dua kali sembuh daripada jangkitan seksual disebabkan bakteria chlamydia trachomatis kerana kekerapannya sebelum ini melanggani pelacur.

Malah, lelaki yang ditahan itu pesakit jantung dan turut membawa bersamanya ubat sakit jantung, tekanan darah tinggi serta kolestrol.

"Saya 'terseksa' batin lebih 14 tahun tidak bersama isteri. Jika isteri tanya (hal tangkapan), saya kata sebab awaklah (isterinya) saya seksa tak dapat keperluan batin. Malah kami sudah lama tidur berlainan bilik sebab dia menolak," katanya.

Dia yang mendakwa sebagai regular customer menjelaskan dia tidak melalui mana-mana orang tengah untuk mendapatkan 'wanita penghibur' sebaliknya menghubungi terus wanita dimahukan.

Sementara itu, seorang wanita warga China yang kudung tangan kanan sejak berusia 15 tahun antara wanita ditahan dalam serbuan.

-myMetro 

MP PKR,Hassan Karim saran speaker kosongkan kerusi 6 MP Bersatu

 

story-image



Pemimpin PKR Hassan Karim menggesa Yang di-Pertua Dewan Rakyat Johari Abdul membuat pengumuman mengosongkan kerusi parlimen enam ahli parlimen Bersatu yang telah hilang keahlian dalam partinya kerana menyokong Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Ahli Parlimen Pasir Gudang itu berkata bahawa keputusan sedemikian untuk menghormati perlembagaan parti-parti politik yang mendaftar secara sah dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).

"Saya saran speaker (Johari) kosongkan enam kerusi parlimen ahli parlimen Bersatu. Perkara itu bertepatan dengan notis pengosongan dihantar oleh ketua whip Bersatu Ronald Kiandee semalam. Ini selepas keahlian enam ahli parlimen itu telah terhenti serta-merta.

"Saya percaya yang wajarnya ialah kerusi enam ahli parlimen ini perlu dikosongkan atas alasan speaker perlu menghormati Perlembagaan Persekutuan yang telah dipinda di bawah Akta antilompat parti," katanya.

Mengulas lanjut, Hassan berkata kegagalan speaker berbuat demikian akan memberi gambaran speaker juga tak menghormati bukan sahaja pindaan perlembagaan parti Bersatu, malah juga parti DAP, Amanah dan Umno yang turut membuat pindaan untuk memastikan tiada wakil rakyat dari parti-parti itu mengalih sokongan ke parti lain.

"Johari harus membuat keputusan berlandaskan perlembagaan dan menghormati perlembagaan Bersatu," katanya.

Ronald Kiandee

Bersatu sebelum ini mengemukakan notis kepada speaker memohon supaya enam kerusi parlimen dipegang oleh wakil rakyatnya dikosongkan.

Dalam satu kenyataan media, Ronald yang juga naib presiden Bersatu berkata, keahlian parti keenam-enam mereka yang sebelum ini menyokong Anwar telah terhenti secara serta-merta.

"Justeru, sebagaimana Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan perenggan 3, Speaker Dewan Rakyat perlu memastikan berlakunya kekosongan luar jangka dalam masa 21 hari selepas notis diterima," kata Ronald.

Mengulas lanjut, Hassan berkata bahawa dia percaya kerajaan tidak akan campur tangan dalam hal ehwal mahkamah sekiranya perkara ini dibawa ke mahkamah.

"Saya minta seperti janji perdana menteri (Anwar Ibrahim) bahawa kerajaan dia tak campur tangan dalam hal ehwal mahkamah.

"Maka, saya pun percaya perdana menteri dan kerajaan tak akan campur tangan dalam hal ehwal mahkamah," katanya.

Tambahnya, kerajaan tidak akan tumbang, tanpa sokongan enam ahli parlimen ini.

"Kerajaan Perpaduan Madani tak mahu sokongan ahli parlimen yang mengkhianati parti sendiri.

"Enam orang ini bukan mengkhianati PN sahaja, mereka mengkhianati pengundi di enam kawasan parlimen," katanya.

-mKini