"Cashzine - Aplikasi Buat Duit Percuma Terbaik Yang PERLU anda miliki"

Cara Buat Duit Dengan Aplikasi Cashzine: Peluang Jana Side Income lebih RM100 Dalam Sehari Melalui Aplikasi Cashzine. (Scroll ke bawah untuk bukti pembayaran terkini daripada Cashzine

Cordyceps:Herba luarbiasa dan apa kehebatannya?

Pernahkah anda mendengar Cordyceps? Atau anda pernah melihat? Mungkin tak pernah dengarkan... Dan tak pernah lihat pun. Sama jugalah macam saya. Saya cuba ceritakan serba sedikit tentang Cordyceps ni. Walaupun bagaimanapun saya cuba fahamkan anda semua mengenainya samada dari tempat asal ataupun khasiat Cordyceps ini.

Cara Mudah Jadi Youtuber Terhebat

Ketahui cara bagaimana untuk menjadi Youtuber. Video yang senang difahami dan penuh dengan semua info yang perlu sebagai Youtuber. Dari asas kepada SEO, teknik Viral, Fb ads serta Mengandungi Teknik dan Rahsia Youtuber yang memiliki JUTAAN Subscriber..

Wanita kelihatan anggun dengan Hasanah Lipmatte

90% pengguna GEMBIRA dan TERUJA dengan Hasanah Lipmatte. Dah jadi trending bagi wanita abad ini. Bukan setakat mencantikkan bibir si pemakai malah dapat menaikkan keyakinan anda sepanjang hari.

9/10 Rezeki Perniagaan: Dari SOLOpreneur ke ENTREpreneur menjadi GLOBALpreneur

Cara Mulakan dan Kembangkan Perniagaan Ke Tahap Yang Lebih Tinggi Dengan Modal Minima.


 


Ahad, 22 Mei 2022

Tokey Ayam Bongkar Rahsia Kenapa Ayam Tiada, Ayam Mahal.

 Tokey Ayam Bongkar Rahsia Kenapa Ayam Tiada, Ayam Mahal. Ayam Disorok? Ada Pihak Tertentu Mempunyai Agend4 Tersembunyi?


Assalamualaikum, saya Yani


Pengalaman dalam industri ayam taklah banyak


Ada lah dalam 10 tahun dalam penternakan, proses, dan perniagaan ayam


Harini saya nak kongsi kisah sebenar, lengkap, kenapa sejak akhir2 ini,


ayam tiada di pasar,


KFC tiada ayam goreng,


ayam naik harga,


----------------------------------------------------


Pada suatu masa dahulu, harga ayam naik turun


Harga bergantung apa? Bergantung kos


Kos naik, harga naik,


kos turun, harga turun,


Semua pengilang dedak, penternak, peniaga ayam, hidup dengan aman damai


Kemudian, pada tahun lepas


Harga bahan mentah import meningkat mendadak


Kerana kelemahan ringgit, kenaikan kos penghantaran antarabangsa, dan faktor bekalan


Jadinya,


Harga jagung meningkat (meningkat lebih 100% 2021)


Harga kacang soya meningkat (meningkat lebih 30% 2021)


Harga gandum meningkat


Semua ini, bahan2 yang menjadi kandungan utama dedak(lebih 80%)


Dan bahan2 ini, diimport


Sebelum anda tanya, kenapa makanan ayam diimport, ini ceritanya


Ayam daging ni, dedak2nya dihasilkan dengan tepat supaya ayam cukup nutrien,


boleh membesar dengan maksima dan efisien dalam tempoh ditetapkan,


Dan yang paling penting, dedak mestilah makanan yang ayam suka makan.


Baka2 ayam ini kebanyakannya baka2 import


Seperti COBB, ROSS, Indian River


Mereka bukan makan jagung manis cameron highland


Mereka makan jagung bijirin


Yang tidak ditanam secara meluas di Malaysia


Bahan2 ni, kita bukan import sikit2


Setahun, lebih 3.9 juta metrik tan jagung bijirin lebih 1.4 juta metrik tan soya diimport


Boleh kita hasilkan sebanyak tu? Boleh.


Memang boleh.


------------------------------------------


Jadi bila bahan2 mentah ini naik harga, harga dedak meningkat


Dari RM80/50kg kepada RM120/50kg (meningkat lebih 50%)


Bila meningkat, kos ternakan meningkat,


Dan macam biasa, logiknya, harga ayam meningkat


Dan itulah yang berlaku, sehingga 4 Disember 2021.


Harga kawalan ditetapkan pada RM9.30


Tanpa kawalan harga/subsidi kepada dedak


Sebenarnya, pengilang dedak, penternak dah lama menyerap kenaikan harga, supaya harga kepada pengguna tidak terlalu membebankan


Bila harga kawalan ditetapkan, kami bukan kurang untung, kami rugi


Jadi kami penternak kurangkan kemasukan ayam di ladang supaya kerugian dapat dikurangkan


Sementara kami nampak titik keluar


Jadi sebab itulah ayam kurang


Tiada konspirasi, tiada agenda, hanya penternak nak meneruskan kelangsungan hidup


Kemudian, harga kawalan makin turun


RM9.10,


kemudian RM8.90


ada pula buat RM8...


Penternak makin tersepit, dan ada yang dah gulung tikar


Bukan anak ayam tiada atau bermasalah,


Tapi, siapa yang nak ternak ayam bila rugi?


Selepas penternak, ramai peniaga dan pekerja dalam industri ini akan juga kehilangan pekerjaan dan sumber pendapatan


Kami harap titik tengah dapat dicapai


Supaya industri ini dapat kekal, dan dalam masa yang sama pengguna dapat membeli makanan asas dalam harga mampu milik


Sekian


Sumber: Yani Hardinata Hairuddin via

Tokey Ayam Wak Akob, Keluarga My.

WIRA TAK DIDENDANG: PERGINYA DSP (B) TUAN KENNY WOODWORTH, LELAKI YANG MENEMBAK BOTAK CHIN

 PERGINYA DSP (B) TUAN KENNY WOODWORTH, LELAKI YANG MENEMBAK BOTAK CHIN

Saya sebak apabila mendapat tahu yang Tuan Kenny meninggal dunia malam tadi di PPUM.

Wira polis ini di akhir usianya dihabiskan di sebuah pusat penjagaan orang tua-tua di Jalan Gasing, Petaling Jaya.

Saya sempat menemubual mendiang tak lama dulu.

Inilah kisahnya.

----------------------

USIANYA sudah melewati 87 tahun.

Ketika kami tiba di sebuah rumah penjagaan warga tua persendirian di pinggir ibu kota beberapa hari lalu, lelaki tua ini sedang berehat setelah mengambil ubat akibat penyakit buah pinggang yang dihidapinya sejak sekian lama.

Selepas kematian isteri yang sangat dicintainya, Joan Sylvia Maureen tiga tahun lalu, lelaki ini mengambil keputusan untuk keluar daripada kediaman mereka di Cheras dan tinggal di rumah orang tua-tua itu bagi menghabiskan sisa-sisa usianya.

Ini kerana tiada lagi tempat untuk dia bergantung harap dan berkongsi kasih sayang, apatah lagi perkahwinan yang mereka dirikan pada tahun 1956 itu tidak dikurniakan cahaya mata.

“Terima kasih kerana datang menjenguk saya di sini,” kata Kenny Woodworth, bekas pegawai polis yang bersara daripada pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada tahun 1988 dengan pangkat Deputi Supritendan (DSP) ini.

Sekali imbas, tiada apa yang istimewa dengan Kenny.

Namanya tidak pernah tersenarai sebagai penerima anugerah yang membawa gelaran kehormatan. Namanya juga tidak pernah tercatat sebagai antara penerima pingat keberanian negara.

Namun di sebalik semua itu, tak ramai yang tahu Kenny adalah di antara 12 pegawai polis Cawangan Jenayah Berat, Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur yang dipilih khas untuk menganggotai sebuah kumpulan yang dinamakan ‘Magnificient 12’ – khusus untuk memburu penjenayah terkenal suatu ketika dulu, Wong Swee Chin atau lebih dikenali sebagai Botak Chin!

Botak Chin menganggotai sebuah kumpulan kongsi gelap yang dikenali sebagai Geng 360 sejak remaja dan berjaya ‘mencipta nama’ setelah terlibat dalam banyak insiden rompakan besar-besaran di Kuala Lumpur dan Selangor sekitar tahun 70-an.

Dia juga sangat ditakuti kerana sanggup bertindak kejam dan memiliki pelbagai koleksi senjata api, ribuan peluru hidup dan menyimpan bom tangan.

Pada September 1969, dia mula menubuhkan geng sendiri. Meraka melakukan lapan rompakan pada bulan itu sahaja tetapi akhirnya ditahan polis dan dipenjara tujuh tahun.

Selepas dibebaskan dari penjara, dia memulakan kehidupan baru sebagai sebagai penjual sayur namun ia langsung tidak memuaskan hatinya.

Oleh itu, Botak Chin kembali aktif dengan menubuhkan geng baru yang dianggotai Ng Cheng Wong (Ah Wong), Beh Kok Chin (Pangkor Chai) dan Teh Bok Lay (Seh Chai).

Mereka semakin aktif melakukan rompakan dan antara lokasi yang menjadi sasaran adalah seperti di pusat perjudian haram di Sentul, sebuah bank di Jalan Imbi Kuala Lumpur, kuil Cina di Jalan Kolam Ayer Kuala Lumpur, sebuah bar di Sentul, Kelab Kereta api Sentul dan juga di Kelab Lumba Kuda sekitar Kuala Lumpur.

Segala hasil rompakan digunakan untuk membeli sejumlah senjata api dan peluru di Thailand.

Kedudukannya sebagai ketua mula terancam oleh anggotanya sendiri, Ah Wong, dan Ketua Geng Lima Jari Gunung, Tua Pui Lek. Kedua dua mereka ditemui mati dipercayai ditembak oleh Botak Chin di kawasan lombong tinggal di Jinjang. Orang kanannya, Seh Chai, pula mati membunuh diri selepas dikepung polis di Jalan Alor.

Awal 1976 Botak Chin mengambil anggota baru, diikuti tiga rompakan dengan wang yang dilarikan kira-kira RM400,000. Pun begitu pada masa sama, tujuh orangnya mati ditembak selain ada yang ditangkap. Polis juga berjaya merampas senjata api, peluru dan bom.

CUBAAN BUNUH PEGAWAI POLIS

Pada 22 November 1975, sebuah kereta Datsun hijau yang dinaiki oleh Botak Chin dan ahli gengnya mengekori rapat sebuah kereta yang dinaiki oleh pegawai kanan polis, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Deputi Superintendan (DSP) S Kulasingam.

Pegawai berkenaan adalah sasaran mereka. Setiba di lampu isyarat Jalan Davis-Jalan Pekeliling, kereta Datsun berkenaan bergerak pantas menghampiri kenderaan yang mereka ekori.

Sebanyak 18 tembakan dilepaskan bagi ‘menghapuskan’ DSP S Kulasingam. Bagaimanapun, tindakan itu gagal, sebaliknya pegawai polis itu masih berupaya memandu ke Balai Polis Cheras, tidak jauh dari lokasi tersebut walaupun tubuhnya bermandikan darah.

MAGNIFICIENT 12

Menurut Kenny, disebabkan peristiwa tersebutlah ‘Magnificient 12’ ditubuhkan dan Kenny adalah antara pegawai polis yang dipilih khas untuk menganggotainya.

“Akhbar guna perkataan ‘Magnificient 12’ tetapi saya sendiri lebih gemar menggelarkan kumpulan kami sebagai ‘Dirty Dozen’…ini kerana selain kami ada 12 orang, kami kadang-kadang keluar sampai empat ke lima hari kumpul dan cari maklumat.

“Adakalanya tak tidur, tak mandi kerana nak ikut pergerakannya (Botak Chin).

“Banyak kali kita ‘missed’ (terlepas) kerana dia ‘pandai’ dengan masuk ke tempat yang ramai orang, banyak orang Cina…jadi kita (polis) tak boleh nak melepaskan tembakan.

“Bila kami selalu kotor, tak mandi…jadilah ‘Dirty Dozen’,” kata Kenny tersenyum.

Bagaimanapun sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah juga. Bak kata pepatah Melayu, pelanduk boleh lupakan jerat tetapi jerat tak mungkin melupakan pelanduk. Begitulah apa yang menimpa Botak Chin dan konco-konconya.

Setelah sekian lama menganalisis pergerakan serta merancang tindakan, akhirnya Kenny dan rakan-rakannya dalam ‘Magnificient 12’ berjaya menjejajaki tempat persembunyian penjenayah licik dan kejam itu.

SERBUAN KILANG PAPAN

Pada 16 Februari 1976 iaitu pada pukul 8.40 malam, Kenny dan tiga rakan setugasnya iaitu Inspektor Bahwandi Hiralal, ASP M. Rajalingam dan Detektif Konstabel Lee Tet Chong telah bergegas ke lokasi sasaran dengan menaiki sebuah kereta.

Sebuah lagi pasukan yang disertai DSP Gilbert Ang, ASP Lim Meng Aw, ASP Chua Leng Kee, ASP Gui Pooh Choon, Inspektor Ong Kim Hock, Detektif Sarjan Chong Kam Hwa dan Detektif Koperal Leong See Fok turut berkejar ke sana.

Di sekeliling kilang papan tersebut, telah tersedia 120 orang anggota polis dari dua trup Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) dan 60 anggota Pasukan Polis Hutan (PPH) yang tiba bagi mengawal tempat berkenaan.

‘Magnificient 12’ berpecah kepada dua kumpulan di mana Kenny pergi ke bahagian belakang kilang manakala yang lain membuat serbuan di bahagian hadapan.

Sebaik sahaja sampai di kawasan belakang, beberapa orang lelaki Cina yang berada di kilang itu ternampak kelibat Kenny lalu mereka mengejarnya.

Ketika ini salah seorang daripada mereka, yang memiliki pistol di kedua-dua tangannya, telah melepaskan tembakan liar ke arah Kenny namun ia tidak kena pada sasaran.

Serentak dengan itu, Kenny yang tidak menghiraukan keselamatan dirinya terus menghalakan senjata ‘sub machine gun’ jenis Sterling yang dibawanya ke arah lelaki-lelaki Cina tadi dan membalas tembakan.

Dalam keadaan kelam-kabut dengan peluru bersimpang-siur itu, Kenny terjatuh dan ketika ini Bahwandi serta Tet Chong melepaskan tembakan bagi memberi perlindungan padanya.

Melihat Kenny terjatuh, salah seorang daripada lelaki Cina tadi melemparkan sebutir bom tangan ke arah mereka bertiga namun mereka bernasib baik kerana bom tersebut tidak meletup.

Kenny kemudian sekali lagi mengangkat senjata Sterlingnya dan terus menghamburkan tembakan ke arah lelaki-lelaki Cina tadi hingga menyebabkan dua daripadanya mati di tempat kejadian!

Menurut Kenny, kedua-dua mayat itu kemudiannya dikenal pasti sebagai orang kanan Botak Chin iaitu Pangkor Chai dan Sakai Chai.

Namun, katanya, kedua-duanya bukan Botak Chin, sasaran utama mereka!

“Saya dapat tahu ada di antara peluru yang saya lepaskan melalui senjata saya tadi telah menembusi dinding papan dan mengenai tubuh Botak Chin.

“Tetapi Botak Chin yang berlumuran darah itu berjaya merangkak mencari tempat persembunyian hingga kita tak dapat menemuinya pada mulanya,” ujar Kenny.

Selepas itu, kata Kenny, sebuah pasukan lain masuk ke kilang tersebut untuk mencari penjenayah kejam yang licik itu.

Menurut Kenny, mereka akhirnya berjaya menemui Botak Chin yang terbaring berlumuran darah dengan kecederaan parah di bahagian kaki dan tangannya.

Ujar Kenny, Botak Chin sempat meminta air daripada salah seorang anggota polis tadi kerana mendakwa terlalu dahaga.

TANGKAL KEBAL

Tambahnya, selain pistol, jam mewah berjenama Rolex, barang kemas, dua keping gambar wanita dan wang tunai yang dirampas dari poket seluar dan baju yang dipakai Botak Chin, turut ditemui sejenis tangkal yang dia percaya ‘kebal’ dan boleh memberikan perlindungan diri kepadanya.

Ketika ditanya mengenai perkara tersebut, Kenny mengakui yang Botak Chin memang memiliki dan memakai pelbagai ‘tangkal kebal’ sepanjang dia melakukan jenayah..

“Selepas menembaknya, saya pergi jumpa dia di hospital dan dia mengaku membeli tangkal dari Indonesia dengan harga RM50,000.

“Saya kemudian mengambil tangkal itu dan ini membuatkan dia marah!

“Tetapi saya rampas juga (tangkal itu) dan jadikannya sebagai salah satu bahan ekshibit di mahkamah,” kata Kenny.

Selepas peristiwa berbalas tembak itu jugalah baru Kenny tahu yang selain Kulasingam, Botak Chin juga pernah mahu membunuhnya.

Malah katanya, Botak Chin mengakui yang penjenayah itu hampir-hampir berjaya membunuhnya selepas insiden serangan ke atas Kulasingam.

“Botak Chin cakap kat saya, pernah satu ketika dia sudah hampir melepaskan tembakan ke arah saya tetapi saya bernasib baik kerana kereta yang saya pandu berpusing hingga dia gagal mengesan kereta tersebut,” ujar Kenny.

Dalam pada itu, Kenny menegaskan yang beliau sebenarnya tidak menyimpan sebarang perasaan benci dan dendam terhadap penjenayah tersebut.

Ujarnya, apa yang berlaku dan terjadi antara beliau dan Botak Chin adalah perkara ‘profesional’, bukan bersifat peribadi kerana sebagai pegawai polis, beliau perlu mengambil tindakan terhadap mereka yang melanggar undang-undang tanpa mengira siapa si pelakunya.

Malah menurut Kenny, ketika di mahkamah, beliau sempat menasihati Botak Chin agar tidak mengaku salah begitu sahaja sebaliknya terus berjuang untuk mendapatkan pengadilan.

Ini kerana, menurut Kenny, seseorang penjenayah perlu menggunakan haknya di mahkamah untuk mencabar tindakan yang diambil terhadap mereka dan bukannya menyerah kalah begitu sahaja.

“Saya kata kat Botak Chin…kita ni dah bermusuh agak lama tetapi nasib kamu tidak baik hingga kena tembak…kenapa awak terus nak mengaku salah dan hendak membiarkan diri untuk digantung?

“Kamu lawanlah kes kamu di mahkamah…mana tahu kamu boleh terus hidup,” kata Kenny kepada Botak Chin.

‘ROBIN HOOD’

Mengenai persepsi masyarakat yang mendakwa Botak China sebagai ‘Robin Hood’, Kenny berkata, beliau kesal kerana ada yang sanggup memberi pengiktirafan tersebut kepada penjenayah licik ini.

Tegas Kenny, Botak Chin berjaya mengaburi pandangan masyarakat dengan memberi wang kepada orang miskin sedangkan itu hanya satu taktik untuk’berlindung’ di sebalik perbuatan jenayah yang dilakukannya.

“Dia hanya bagi dalam RM20 ke RM30 seorang sahaja, bukannya dia bagi beribu-ribu… tetapi saya tak pedulilah kalau ada yang terus hendak mengagungkan penjenayah itu, yang penting saya sudah menjalankan tugas saya.

“Biarpun ramai yang lebih mengenali Botak Chin, saya tak ada alasan untuk marah atau menyesal apatah lagi jika tiada yang mengenang jasa saya, ini kerana saya sendiri yang memilih untuk memasuki polis, saya terima saja apa saja keadaannya, saya suka kerjaya ini,” kata Kenny.

Selepas bersara daripada PDRM, Kenny telah dihubungi oleh jutawan Tan Sri Lim Goh Tong yang ketika itu mahukan beliau mengetuai pasukan keselamatan di taman tema Genting Highland milik taukeh kasino itu.

Kenny bagaimanapun memberitahu beliau hanya sempat berkhidmat di situ selama dua tahun kerana ia bertentangan dengan prinsipnya yang memang daripada dahulu tidak begitu menggemari hal-hal berkaitan dengan perjudian.

Perbualan kami hampir sejam kemudiannya terhenti apabila menyentuh mengenai kehidupan ‘barunya’ di rumah orang tua-tua ini.

KEMATIAN ISTERI

Dengan nada sayu, Kenny memberitahu kehidupannya ketika ini tidak lagi ‘sama’ seperti dahulu apatah lagi bila mengenangkan kematian isterinya yang tersayang.

Tambahnya, pemergian isterinya itu benar-benar meninggalkan kesan kerana mereka berdua saling sayang menyayangi walaupun tidak dikurniakan zuriat.

“Saya tak boleh lupakan dia (isteri)…saya puas hati dengan apa yang saya lakukan pada negara tetapi saya kesian (sedih) bila mengenangkan masa saya bertugas sebagai pegawai polis dulu, dia selalu tinggal berseorangan kerana tuntutan kerja saya, tetapi apa boleh buat.

“Akhir kata saya nak bagitahu, saya lahir di sini, saya nak mati di sini…keluarga saya ada banyak di luar negeri tetapi saya tak pergi pun…mereka minta saya datang ke England, Amerika Syarikat, New Zealand tetapi saya bagitahu mereka saya tak mahu…ini saya punya negeri,” katanya dalam nada perlahan.

Setelah kira-kira sejam berada di rumah orang tua-tua persendirian itu, kami mengambil keputusan untuk beredar, apatah lagi bila melihat keadaan Kenny semakin keletihan.

Sebelum beredar, Kenny mengakui, beliau terpaksa mengeluarkan wang simpanan dan menggunakan duit pencen bulanannya untuk membiayai kehidupannya di rumah orang tua-tua persendirian itu namun beliau sendiri tidak mempunyai pilihan.

Ujarnya, sekurang-kurangnya di sini makan minumnya terjaga dan pihak pengurusan rumah tersebut boleh menghantarnya ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

WIRA TAK DIDENDANG

Apabila melihat tubuhnya terpaksa dipimpin untuk masuk ke dalam biliknya, kami seolah-olah tidak percaya yang lelaki tua itu satu ketika pernah dianggap antara pegawai polis terbaik yang pernah ada dalam PDRM, pernah satu ketika cukup ditakuti oleh penjenayah tegar dan pernah satu ketika pernah berbalas tembak secara berhadapan dengan Botak Chin.

Sayang, tak ramai yang tahu kisah wira yang tak didendang ini, tak ramai yang tahu kisah sedih yang menyelubungi insan hebat ini, tak ramai yang tahu betapa beliau sanggup menperjudikan nyawanya demi memastikan kita tidur lena dan Malaysia terus aman serta sejahtera.

Sesungguhnya kita dan negara terhutang budi padanya…DSP (B) Kenny James Woodworth!

Video klik sini

https://youtu.be/2D8HQhnw-4s

Saya tiada kaitan dengan perkahwinan Najib dan bekas isteri — Fauzi Marzuki

Fauzi Marzuki memaklumkan dia tiada kena mengena dengan dakwaan perkahwinan antara bekas isterinya dan Najib Razak. — Agensi

 KOMPOSER terkenal, Fauzi Marzuki memberitahu yang dia tidak mempunyai sebarang kaitan dengan isu perkahwinan bekas isterinya, Hashimah Ramli, 53, bersama bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, lapor portal Getaran.

Malah, Fauzi berkata, dia sendiri tidak tahu berkenaan dengan dakwaan perkahwinan tersebut sehinggalah dimaklumkan oleh orang lain.

1591974

Sekeping gambar tular yang didakwa Najib bersama isteri baharunya, Hashimah. — Twitter

"No komen. Perkahwinan dia dengan Najib, tiada kena mengena dengan saya. Lagipun, selepas kami bercerai pada 2013, dia (Hashimah) bebas untuk berkahwin dengan siapa pun yang menjadi pilihan dia.

“Saya sendiri tidak tahu kenapa media cari saya tentang perkahwinan dia. Saya tiada kaitan dalam hal ini," katanya.

Untuk rekod, Fauzi dan Hashimah berkahwin pada 1993 sebelum bercerai pada 2013.

Terdahulu pada Jumaat, tular gambar mirip Najib bersama wanita misteri yang didakwa Hashimah bersama menantu dan tiga orang anak, sekali gus membangkitkan desas-desus kedua-duanya sudah mendirikan rumah tangga. — Agensi

Sabtu, 21 Mei 2022

INSINUASI EGO SYNTONIA BOLA SEPAK MALAYA


“Saya telah dilabelkan sebagai pembunuh bola sepak Malaysia dan kebanyakan pesaing saya dilabel sebagai wira.”- 19 November 2016, DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor

Sudah lama rasanya saya tidak menulis artikel bersifat non-fiksi. Penulisan yang diisi dengan pendapat, gagasan, fikiran dan kritik terhadap suatu persoalan yang menjadi spekulasi.

Kita bermula dengan lafaz bismillah, supaya terkawal segala amarah. Takut terkeluar kata-kata sumpah seranah. Sampai reputasi kelak dipandang rendah. 

Liga Malaysia ini zahirnya tenat. Tenat kerana wujud manusia-manusia yang tidak berakal apabila melontarkan persepsi beramuan laknat. Orang politik yang ada pandai memanipulasi sentimen mengikut acuan bangsat politik. Ditambah pula manusia-manusia yang menunggu masa sesuai untuk menyimbah parafin dan kerosin sebelum api dipetik.

“Ombaknya kedengaran, pasirnya tidak kelihatan”

Baru-baru ini satu kenyataan dari seorang Presiden sebuah kelab menjadi polemik. Dikatakan bahawa ada individu yang mengawal disebalik perjalanan Liga Domestik. Diamaran pula bahawa jangan sampai dia terus mendedah segala. Apa yang dikatakan itu baharu sahaja bermula? 

Maka apa tunggu lagi? Kalau ada bukti segeralah diberi? Atau adakah hanya sekadar agitasi menutup segala kelemahan pasukan yang beliau kendali? Maka tuduhan palsu ini dijadikan baju kalis api?

Orang politik tetaplah orang politik. Tarik benang dalam tepung. Hanya suka pujian melambung. Masalah dalaman dalam persatuan dan ketidaktentuan prestasi, maka otak ligat mencari alasan basi. Walaupun jauh tersasar diluar pemikiran logikal. Tetap merasakan mereka sentiasa berakal. 

Inilah sampah dalam industri. Tiada nilai dalam geometri.

“Menganga baharu meludah”

Tidak stagnasi disitu, muncul pula seorang pemerhati sukan untuk menguatkan cerita. Lantas peringatan dikeluarkan dengan serta merta. Katanya bola sepak Negara akan musnah. Jika ianya dibiarkan pasti menjadi parah.

Inilah jadinya apabila aktivis tiba-tiba muncul dari alam berbilang. Menjatuhkan hukuman kerana terikut dakyah songsang kelompok petualang.

Keliru. Buntu.

Adakah ketika ini bola sepak Negara berada dalam keadaan retrogresif?

Adakah ketika ini tiada perubahan yang dilihat progresif? Tidak sedarkah bahawa kita sudah mula menaiki tangga memecah dominasi gergasi Asia hingga dikenali dunia? Sehingga peta Malaya kembali timbul setelah lama tenggelam didasar sedalam Jurang Mariana Samudera India?

Tahukah mereka? Kerana Tunku dan JDT, Malaysia mendapat mata lantas melonjak ke kedudukan sepuluh terbaik Asia dan nombor satu di Asia Tenggara? Butakah mereka? Usaha Tunku dan JDT telah berjaya memberi peluang kelab lain mendapatkan slot automatik layak ke kempen kejohanan tertinggi di Asia mewakili negara? 

“Takkan berwap nasi yang dingin”

Masih ingat? Suatu masa dahulu, berpuluh-puluh tahun sebelum ini, liga domestik hanya dipandang sebagai sebuah liga yang tidak kompetitif, tiada berdaya saing dan tiada kualitatif. Ketika itu, liga juga ditunggangi dengan padatnya unsur-unsur birokrasi, malah penuh dengan aktiviti korupsi yang beroperasi aktif. 

Ini semua angkara orang politik. Terhasil lah luka yang amat perit. Itulah detik kemusnahan. Itulah definisi sebenar era kehancuran!

Namun segalanya telah berubah sekelip mata dan bola sepak kita akhirnya berjaya keluar dari jalan yang kabur. Apabila kebangkitan dan revolusi radikal JDT hasil dari gerak kerja sistematik DYAM Tunku Mahkota Johor. Secara tidak langsung, bola sepak tanah air menemui magikal apabila turut sama mendapat suntikan keyakinan. Sedikit demi sedikit nilai Liga Domestik Malaysia mula meningkat dan orang luar mula celik mata akan kewujudan persaingan.

“Cacat cela dilangit boleh dibilang, tetapi arang dimuka tidak sedar”

Tapi sayang, kebanyakan orang Malaysia telah dibutakan segala kebenaran. Akibat terlalu obses dan paranoid keatas nama Tunku dan Harimau Selatan.

Mungkin inilah impak besar apabila hepatik dijangkiti kontaminasi. Ternyata ini adalah contoh tepat individu-individu yang sentiasa berhalusinasi. Tidak sedar apa yang diperkatakan, tidak tahu membezakan mana satu keburukan dan mana satu kebaikan. 

Sakit. Ironinya kita memang dikelilingi orang yang sakit.

“Implikasi Halusinasi individu dalam kancah bola sepak Malaya”

Halusinasi.

Halusinasi dalam merencanakan perjalanan adalah punca utama kejatuhan sesebuah organisasi bola sepak di Malaya. Malah ini adalah ciri-ciri tegar seorang pemimpin gagal yang menjadi impak melemahkan daya.

Kegagalan itu juga sering berkait rapat dengan kesilapan mengangkat golongan yang tidak mempunyai rasa cinta dan buta bola sepak. Malah mempunyai kepentingan sendiri dan tidak mempunyai tanda aras jelas selain hanya gemar menempelak.

Bersyukur kepada tuhan, 

JDT beruntung kerana mempunyai seorang tokoh pemikir yang hebat didalam organisasi. Seorang pemimpin yang amat menakjubkan dalam memastikan Harimau Selatan terus melakar kejayaan lebih besar yang menjadi ambisi. 

Tidak hairanlah kita sentiasa dicemburui. Sampai kiamat perasaan itu tidak boleh diubati.

Ya! Tidak akan boleh dirawat, ianya telah sebati! Syabru telah beraja dalam diri, ia kekal sampai mati!

Akhir kalam, jangan hati duka nan diratah, jangan buruk muka cermin dibelah. Katakanlah apa sahaja, selamanya JDT, sampai mati JDT.

“Terdapat jurang yang besar antara anda dan JDT” – DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor.

Merah itu darahmu, biru itu nyawamu.

Dayung sudah ditangan, perahu sudah di air,

Elok kata dalam muafakat, buruk kata luar muafakat.

Artistik dari Manusia Satu Denyut


Credits : Hafiz Othman

“Ini Mak Leha Kami..”- Aksi Mak Leha ‘Smackdown’ Nurul Di Episod Akhir ‘7HM3’ Puaskan Hati Netizen


 Menerusi satu klip yang dikongsikan oleh salah seorang peminat drama bersiri yang menjadi bualan ramai iaitu ‘7 Hari Mencintaiku 3’ akhirnya melabuhkan tirai dengan episod akhir yang memuaskan hati para peminat drama. Episod yang ditunggu tunggu oleh para netizen kerana pelbagai solan yang timbul akhirnya terjawab pada episod akhir itu. Kegembiraan, kekecewaan dan segala emosi disatukan dalam satu episod akhir yang memberi pengajaran kepada semua. Tangisan kebahagiaan yang terpancar pada episod akhir itu cukup membuatkan para netizen memberi reaksi positif kepada penerbit drama bersiri tersebut.

Klip yang dikongsikan itu menceritakan bahawa kisah seorang Nurul yang bertopengkan dengan pemakaian tetapi mempunyai niat yang begitu negatif akhirnya terbongkar jua disaat beliau ingin disatukan dengan Khuzairi iaitu isteri kepada Mia Adriana. Rancangan jahat beliau dibongkarkan satu per satu dan membuatkan ramai terkejut dengan kejahatan yang beliau telah lakukan kepada keluarga Mak Leha. Sikap angkuh Nurul yang tidak mengaku akan kesalahan tersebut dan masih ingin melakukan kekhilafan membuatkan Mak Leha terus amuk di lokasi tersebut. Amukan Mak Leha dipuji ramai kerana para peminat drama menyatakan bahawa Mak Leha seperti mewakilkan bagi pihak netizen untuk bertelingkah dengan nurul. Aksi Mak Leha dipuji ramai kerana emosi yang diberikan Nurul kepada peminat drama sungguh dramatik.

Rakaman penuh boleh ditonton di :



Pelbagai komen diberikan seperti :

@Cik Ros:khuzairi Dan faten Tu doktor..buat la urine test betul ke Nurul Tu mengandung..

@manez ‹•.•›:aku ada baca satu komen nih ckp pasai DNA…DNA untuk budak yg belum lahir risiko dia tinggi dan mahal

@Lonely:Pak Samad yg meninggal, siap dah tulis surat wasiat.. Mia coma condition.. Agak2 nya lah..

@น๓iē:Rsanya tu ank burhan..sbb zura dh ckap smua nya dkt taufiq dgn fatin.hg tggu mlm nie nrul ain.xsbar ak nk tgok mlm nie

@Cte Whida:Ini yg pertama dan terakhir la aku join team 7HM,kalau ada next lg xnak la ku join! Silap2 aku yg kena serangan jantung stress

@Umi Kalsom:masa ni mesti dah tau anak tu bukan pak samad punye..tu taufiq kata bunting anak org lain org lain jd p.sanggup. buntang mata pak samad

@ Far.East.209 :Walaupun pedih, tapi aku rela tengok Mia meninggal dengan harapan untuk jadi bidadari dalam Syurga, daripada dia terseksa dengan ‘imam’ dia kat dunia.

Drama yang meberi emosi yang begitu mendalam kepada penonton itu akhirnya sampai ke penhujung dan dikatakan itu merupakan yang terkahir dari pihak produksi kepada peminat drama bersiri tersebut. Gandingan mantap dari barisan pelakon juga sangat profesional dan begitu mantap sekali sehingga mampu menggegarkan segala laman sosial sehinggakan drama tersebut diketahui sehingga di negara jiran seperti Indonesia. Sekalung tahniah kepada pihak produksi kerana mampu mengadaptasikan sebuah drama yang memberi 1001 pengajaran kepada semua masyarakat kini.

-sinetronmalaya.com

Jumaat, 20 Mei 2022

Isu ‘Tokong’ punca Syafiq pulang awal ke pangkuan JDT?

 


Dunia bola sepak negara dikejutkan hari ini selepas Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) mengumumkan melalui satu kenyataan bahawa pemain mereka yang dipinjamkan ke Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Syafiq Ahmad kembali ke pangkuan mereka semula.

Isu ‘Tokong’ punca Syafiq pulang awal ke pangkuan JDT?

Namun disebalik kembalinya Syafiq ke JDT, ada berita kurang enak didengari. Ini kerana, tempoh pinjaman Syafiq ke KDA FC adalah selama satu musim namun ianya tidak terjadi apabila JDT memanggil semula Syafiq hanya selepas setengah musim bersama KDA FC.

Melalui satu ciapan twitter dari seorang pemerhati bola sepak, Juan Budiman, berkemungkinan besar Syafiq kembali disebabkan satu kenyataan seorang individu berpengaruh di Kedah yang melabel mengesyaki ada ‘tokong’ di Liga Malaysia.

Individu tersebut memberikan contoh perlawanan yang melibatkan JDT dan Negeri Sembilan FC minggu lepas yang menyaksikan pengadil memberikan tambahan 10 minit sehingga pasukan JDT berjaya menjaringkan gol kemenangan dalam perlawanan tersebut.

Juan Budiman juga seperti mengiyakan punca utama kembalinya Syafiq Ahmad ke JDT. Beliau menyebut, “Kerana tokong, badan binasa.

aManakala seorang lagi wartawan sukan, T. Avineshwaran turut memuat naik satu ciapan twitter yang telah mempamerkan statistik Syafiq di Kedah dan memberi bayangan bahawa hanya kerana satu kenyataan, segalanya berakhir buat Syafiq di Kedah.

Pemilik JDT, Tunku Ismail Idris juga memberikan komen “Haha” dalam ruangan komen instagram Johor Southern Tigers yang mengumumkan kembalinya Syafiq Ahmad ke JDT.

-kedahkini.com

Khamis, 19 Mei 2022

Pensyarah kontroversi dah 6 bulan bersama PMO, kata sumber

 

Pensyarah kontroversi Universiti Utara Malaysia (UUM), Kamarul Zaman Yusoff sudah bekerja di Pejabat Perdana Menteri (PMO) sejak enam bulan lalu. (Gambar fail)

PETALING JAYA: Pensyarah kontroversi Universiti Utara Malaysia (UUM), Kamarul Zaman Yusoff sudah bekerja di Pejabat Perdana Menteri (PMO) sejak enam bulan lalu.

Sumber enggan dikenali memberitahu FMT, Kamarul dilantik sebagai pegawai khas kepada Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dan secara khusus menasihatinya dalam isu dasar.

Ini berlaku selepas PMO memuat naik satu poster hari ini mengenai program akan dihadiri oleh Kamarul, di mana jawatan pensyarah itu ditulis sebagai “pegawai khas kepada perdana menteri”.

FMT telah menghubungi PMO untuk mendapatkan ulasan lanjut.

Tahun lalu, Ketua Pembangkang Anwar Ibahim menggesa UUM melancarkan siasatan ke atas Kamarul kerana didakwa mencetuskan ketegangan agama dalam komen yang dibuat mengenai Ahli Parlimen DAP Steven Sim.

Ia berkaitan bantuan dihulurkan Sim kepada seorang pemuda Melayu yang susah telah “dijadikan isu” oleh ahli akademik itu.

Pensyarah itu menerima pelbagai saman fitnah, termasuk difailkan oleh Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh pada Mac berhubung catatan Facebook yang dibuatnya pada 2017.

Saman fitnah yang dibawa oleh Kamarul terhadap Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad turut ditolak oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bulan lepas.

Sementara itu, mahkamah sama membatalkan satu lagi saman fitnah Kamarul terhadap tujuh pemimpin DAP bulan lepas kerana arahan hakim bicara tidak dipatuhi.-FMT

Rabu, 18 Mei 2022

Liga Super:Penalti Bergson penyelamat maruah JDT dari dimalukan Sri Pahang

 PENYERANG JDT, Bergson Da Silva (kanan) bertikam lidah dengan penjaga gol Sri Pahang FC, Mamadou Samassa (kiri) ketika JDT mendapat tendangan penalti. FOTO NUR AISYAH MAZALAN

PENYERANG JDT, Bergson Da Silva (kanan) bertikam lidah dengan penjaga gol Sri Pahang FC, Mamadou Samassa (kiri) ketika JDT mendapat tendangan penalti. FOTO NUR AISYAH MAZALAN

Iskandar Puteri: Bergson Da Silva menjadi penyelamat maruah Johor Darul Ta'zim (JDT) selepas jaringan menerusi sepakan penalti memastikan mereka seri 2-2 dengan Sri Pahang FC pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, malam ini.

Keputusan seri itu menyaksikan JDT kekal di tangga teratas liga dengan 16 mata dan diikuti rapat Sabah FC serta Negeri Sembilan FC yang ketinggalan satu mata.

Pada aksi tunggal sebelum liga berehat selama sebulan bagi memberi laluan kepada pusingan kelayakan Piala Asia 2023 apabila Malaysia menjadi tuan rumah bagi Kumpulan E, bulan depan, barisan pemain JDT tampak menguasai permainan sebaik wisel permulaan ditiup.

Seawal minit ketiga, tuan rumah melakukan percubaan berbahaya menerusi sepakan deras Nazmi Faiz Mansor dari jarak 25 meter sebelum penjaga gol Sri Pahng, Mamadou Samassa sempat menepis bola keluar.

Pada minit ke-17, Bergson yang menerima umpanan Fernando Forestieri menyusup masuk ke dalam kotak penalti dan merembat kencang ke penjuru kiri gawang dan menewaskan Samassa.

Bagaimanapun, Sri Pahang menyamakan kedudukan 1-1 pada minit ke-37 apabila Mahmoud Saleem Za'tara mengumpan bola kepada pemain gantian, Mohd Saiful Jamaluddin yang merembat leret menewaskan penjaga gol JDT, Farizal Marlias.

Ketika aksi berbaki empat minit sebelum babak pertama berakhir, tindakan Shahrul Saad mengasari Mahmoud Saleem di dalam kotak penalti membawa padah apabila pengadil Ahmad Zuhaidi Dzulkifli tidak teragak-agak menghadiahkan sepakan penalti dan Manuel Hildalgo mudah menewaskan Farizal untuk meletak pelawat mendahului 2-1.

Bersambung babak kedua, skuad kendalian Benjamin Mora yang ketinggalan menggandakan asakan bagi memburu gol penyamaan.

Kesilapan pemain Sri Pahang FC yang menjatuhkan Bergson di dalam kotak penalti pada minit ke-86 membawa padah selepas Ahmad Zuhaidi menghadiahkan sepakan penalti dan pemain import dari Brazil itu menyempurnakan sepakan untuk menyamakan jaringan 2-2.

-myMetro

'Altantuya buat laporan polis, minta cari Razak Baginda jika apa-apa berlaku kepadanya' - Saksi

 'Altantuya buat laporan polis, minta cari Razak Baginda jika apa-apa berlaku kepadanya' - Saksi

Saksi itu berkata Inspektor Zamilah Mamat telah ditugaskan sebagai pegawai penyiasat untuk menyiasat laporan polis tersebut, namun beliau tidak sempat mengambil keterangan daripada mendiang Altantuya. - Gambar fail
SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa wanita warga Mongolia yang mati dibunuh, Altantuya Shaariibuu pernah membuat laporan polis menyatakan 'sekiranya apa-apa berlaku kepadanya, cari Razak Baginda', hari yang sama wanita itu hilang hampir 16 tahun lepas.
Supt Tonny Anak Lunggan, 42, pegawai penyiasat dalam kes bunuh wanita itu berkata pada 3 Nov 2016 beliau dihubungi melalui telefon oleh DSP Gan Tack Guan memaklumkan bahawa satu laporan polis telah dibuat oleh Altantuya di Balai Polis Tun H.S. Lee pada 1.08 tengah hari, 19 Okt 2006.
"Saya telah menyemak laporan polis itu melalui Police Reporting System (PRS) dan mencetaknya keluar. Saya dapati adalah benar bahawa laporan polis itu dibuat oleh Altantuya dan memaklumkan kepada DSP Gan dan Supt Zainol Samah mengenai laporan polis tersebut.
Saya ingat satu perkara yang amat jelas. Altantuya nyatakan dalam laporan itu sekiranya apa-apa berlaku kepadanya, cari Razak Baginda (penganalisis politik Abdul Razak Baginda)," kata saksi ke-26 itu ketika membacakan pernyataan saksinya.
Beliau berkata demikian pada prosiding kes saman RM100 juta difailkan bapa Altantuya, Dr Shaariibuu Setev Shaariibuu dan keluarganya terhadap dua bekas anggota polis, Azilah Hadri dan Sirul Azhar Umar, Abdul Razak serta kerajaan Malaysia.
Kepada soalan peguam keluarga Altantuya, Sangeet Kaur Deo, saksi itu berkata Inspektor Zamilah Mamat telah ditugaskan sebagai pegawai penyiasat untuk menyiasat laporan polis tersebut, namun beliau tidak sempat mengambil keterangan daripada mendiang Altantuya.
Tonny, yang kini bertugas di Bahagian Pendakwaan dan Undang-undang Bukit Aman berkata adalah penting untuk siasatan dibuat terhadap laporan polis itu kerana ia dibuat oleh si mati dan berkait langsung dengan kehilangannya.
"Tambahan pula, laporan itu dibuat pada hari sama dengan kehilangan beliau (19 Okt 2006).
"Walaupun saya bukan pegawai penyiasat bagi laporan itu, saya masih mengambil kira laporan tersebut kerana berkait terus dengan siasatan saya khususnya terhadap laporan Namiraa Gerelmaa mengenai kehilangan rakannya (Altantuya)," katanya.
Menurut Tonny, kandungan laporan polis Namiraa menyatakan bahawa pada 19 Okt 2006, pada 7 malam, semasa beliau dan Altantuya berada di sebuah hotel, Altantuya telah menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki yang memberitahu Altantuya bahawa suaminya meminta lelaki itu menjemput Altantuya pergi ke sebuah rumah di Damansara Heights.
"Kira-kira 8 malam, Altantuya kemudiannya menghubungi Namiraa dan menyatakan beliau sudah sampai di rumah suaminya bernama Abdul Razak Abdullah Baginda.
"Namiraa menyatakan bahawa beliau telah cuba menghubungi rakannya itu, namun gagal. Beliau membuat laporan polis kerana takut terjadi apa-apa hal keselamatan terhadap rakannya itu," katanya.
Tonny berkata berdasarkan siasatan serta kandungan laporan polis tersebut, DSP Gan telah mengarahkan ASP Lim Meng Seah untuk menangkap Abdul Razak dan lelaki itu kemudian ditangkap pada 7 Nov 2006.
Sementara itu, Tonny berkata Abdul Razak juga telah membuat laporan polis pada 23 Okt 2006 berkenaan ugutan oleh Altantuya, yang juga dikenali sebagai Amina pada 17 Okt dan laporan berhubung gangguan daripada seorang lelaki serta dua perempuan warga asing, yang dibuat pada 20 Okt tahun sama.
Ditanya Sangeet adakah saksi itu tahu mengapa laporan polis tersebut dibuat tujuh hari selepas Altantuya pergi ke rumah Abdul Razak pada 17 Okt, Tony menjawab, beliau tidak tahu kenapa laporan oleh Abdul Razak dibuat lewat dan beliau tidak diberi penerangan berhubung perkara itu.
Pada 4 Jun 2007, ibu bapa Altantuya, Dr Shaariibuu dan isterinya, Altantsetseg Sanjaa serta dua cucu lelaki mereka, Mungunshagai Bayarjargal dan Altanshagai Munkhtulga, memfailkan saman RM100 juta terhadap dua bekas anggota polis Azilah Hadri dan Sirul Azhar Umar, Abdul Razak serta kerajaan Malaysia.
Bagaimanapun, nama Altanshagai Munkhtulga kemudian dikeluarkan daripada senarai plaintif apabila dia meninggal dunia pada 2017.
Dalam pernyataan tuntutan, keluarga itu mendakwa kematian Altantuya mengakibatkan mereka mengalami kejutan mental dan trauma psikologi, melayakkan mereka dibayar pampasan serta mendapat ganti rugi teladan dan ganti rugi teruk.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Vazeer Alam Mydin Meera bersambung esok.
-- BERNAMA

Selasa, 17 Mei 2022

Ellie Suriaty Sah Bercerai Dengan Azri Iskandar

 Menurut Ellie, perceraian itu terjadi kerana mereka sudah tidak serasi bersama lagi selepas 19 tahun berkongsi hidup.

Ellie Suriaty Omar. Gambar Fail

Selepas 19 tahun mendirikan rumah tangga, akhirnya pengarah, jurulatih lakon dan pelakon berkaliber, Ellie Suriaty Omar sah bercerai dengan suaminya, aktor Azri Iskandar dalam prosiding Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur (Keramat), Kuala Lumpur sebentar tadi. 

Terdahulu, Ellie yang pernah memenangi anugerah Pengarah Harapan di Festival Filem Malaysia Ke-26 menerusi filem Penanggal telah memfailkan permohonan cerai ke atas suaminya, Azri sebelum Ramadan yang lalu. 

Menurut Ellie, perceraian itu terjadi kerana mereka sudah tidak serasi bersama lagi selepas 19 tahun berkongsi hidup dan melayari bahtera perkahwinan.

Mereka dikurniakan dua cahaya mata, Azrell Omar Azri Iskandar, 18 dan Nur Azreen, 13 serta dua lagi yang telah meninggal dunia sebelum sempat dilahirkan. 

“Ini adalah suatu keputusan yang sukar untuk saya buat. Tetapi, saya sudah memikirkannya masak-masak dan akhirnya, ia perlu dilakukan. 

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Azri untuk segala saat-saat indah, kenangan manis serta pengalaman hidup yang kami lalui bersama sebagai suami isteri. 

“Dia juga seorang bapa yang baik dan cukup menyayangi anak-anaknya. 

“Tapi, rasanya sudah tertulis sampai di sini sahaja jodoh kami. Saya berharap ramai yang akan mendoakan yang terbaik untuk kami,” katanya. 

Ellie masih lagi menjalani penggambaran filem Telaga Suriram arahan Osman Ali selepas terlibat sebagai konsultan untuk pementasan Putri Santubong: The Warrior Princess oleh Perkampungan Budaya Sarawak di Kuching, Sarawak pada tahun lalu. - Getaran, 17 Mei 2022

Isnin, 16 Mei 2022

KEMPEN BMF TIDAK SESUAI UTK PERNIAGAAN:Malakat Mall Masjid Tanah ditutup

 Simpati penutupan Malakat Mall di Masjid Tanah

KEMPEN BMF TIDAK SESUAI UTK PERNIAGAAN 

Saya baru membaca berita kisah pasaraya Malakat Mall di Masjid Tanah ditutup kerana kos sewaan yg terlalu mahal iaitu RM 70k sebulan. Saya bersimpati dgn berita ini kerana ada formula dari pemilik syarikat ini yg boleh dibanggakan.


Rasa segan ingin menasihati Coach Fadzil kerana saya bukan peniaga yg hebat sepertinya. Begitu juga bukan berjaya seperti Datuk Vida tetapi saya sekadar ingin memberi pandangan sebagai pengguna . Jika rasa baik harap boleh menerimanya dan jika sebaliknya abaikan sahaja.


Saya puji niat Coach Fadzil utk membantu peniaga2 kecil atau produk2 Melayu (Islam) termasuk dgn konsep pelaburan. Niat atau formula tersebut wajar dipuji dan disokong.


Malangnya faktor2 lain yg telah merencatkan perniagaan Malakat Mall dari pengamatan saya. 


Pertama saya berpandangan kesilapan terbesar ketika kempen awal kemunculan Mall ini apabila marketing mereka dikaitkan ke arah BMF ( Buy Muslim First). Bagi saya ia tidak sesuai dan hanya mengecilkan sasaran pelanggan Mall ini.


Bukan sahaja ia mengecilkan pelanggan daripada pelbagai bangsa seperti Cina, India dan kaum2 lain tetapi kelompok Melayu yg dingin dgn kempen BMF. Ini kerana ketika kempen BMF dilancarkan ada org2 politik mengambil kesempatan ke atas kempen tersebut utk tujuan politik hingga menjadi bahan sindiran kek pun di beli di Secret Recipe.


Akhirnya Malakat Mall menjadi mangsa keadaan. Tanya saya… BMF ini kempen yg hanya memakan diri sendiri. Ini kerana berdasarkan senario politik… 30% org Melayu tidak suka dgn sentimen berbau perkauman. 


Tanya saya buat sahaja konsep seperti Mydin… terbuka utk semua dgn jualan harga yg murah. Akhirnya bukan sahaja pelanggan tetapi peniaga2 bangsa lain tidak mahu menyewa di ruang Mall tersebut.


Kedua bila saya bertanya kpd rakan2 di KL… mereka beritahu Malakat Mall gagal bersaing dari segi harga. Harga adalah sgt penting bila kita membuka perniagaan Hypermarket. Marketing terbaik adalah free marketing dari mulut ke mulut bila org ramai bercerita HARGA MURAH.


Saya beri contoh kejayaan Speedmart. Kempen Malakat Mall ‘Buy Muslim First’ tapi kempen Speedmart ‘Murah dan Dekat’. Nampak cara marketing siapa yg jauh lebih bijak? Mereka tidak sasarkan kawasan2 Cina sahaja tetapi di mana2 kita akn jumpa mini market ini.


Ya harganya yg murah adalah tarikan utama tetapi bukan semuanya murah. Rempah Kari Babas di pasaraya lain dijual dgn harga RM 5 tetapi di Speedmart dijual hanya RM 4.30. Jauh bezanya yg  menjadi buah mulut org ramai Speedmart murah.


Dkt sini kita kena belajar bagaimana org Cina berniaga. Org Cina ada mendidik anak2 mereka buy Chinese first di rumah tetapi bukan secara terbuka dlm perniagaan. Mereka tak perlu kempen beli barangan Cina dulu tetapi ia telah diselami dari kecil.


Peniaga Cina tahu org Melayu adalah kuasa membeli terbesar bukan sahaja kerana kaum majoriti tetapi jika waktu perayaan org Melayu terkenal sikap boros berbelanja membeli pakaian sebagai contoh. 


Sebab itulah macam di Sabah byk peniaga kedai makan menggunakan pekerja muslim bertudung sebagai tarikan kpd pelanggan Islam. Begitulah juga tauke Cina sanggup menggunakan nama Rosyam Mart sebagai satu bentuk marketing. 


Sebenarnya byk lagi peniaga2 Cina yg menggunakan kaedah meletakkan individu Melayu yg seolah olah pemilik perniagaan tersebut. Hebatkan strategi perniagaan mereka mencari jalan menarik pelanggan.


David Teo pemilik syarikat filem Metrowealth sgt bijak menjaga hati org Melayu. Dlm majlis promosi filem dia pasti akn membuat majlis kesyukuran dgn menjemput Ustaz membaca doa selamat. 


Niat BMF itu baik tetapi bukan Malakat Mall yg memikul tanggungjawab itu. Kesedaran itu patut dipikul oleh NGO2 sahaja utk diamalkan oleh org2 Melayu di rumah dan bukan utk marketing perniagaan.


Jadi utk saya BMF dan daya saing harga barang perlu diambil perhatian. Malakat Mall juga wajar tukar konsep dgn menyewa 2 lot kedai kerana kos dan risikonya lebih kecil. 


Bila sewa dan penggunaan kakitangan yg sedikit Malakat Mall boleh bermain dgn harga bagi bersaing dgn pasaraya2 yg tumbuh bak cendawan. Biar kecil tapi ada di mana2. 


Sekadar beri pandangan…. Malakat Mall boleh juga belajar konsep sepertimana kedai2 runcit di Sabah yg dikuasai oleh peruncit Pakistan. Saya tidak tahu modus operandi mereka sebenar… tetapi saya agak2 sahaja mereka ini mempunyai persatuan yg membekal produk barangan2 runcit.


Harga mereka agak sedikit mahal tapi ada di mana2. Contohnya di Kg. Likas sahaja tak kurang 20 kedai runcit Pakistan ada di situ. Tiada yg tutup perniagaan sejak 12 tahun saya di Sabah… semua boleh survive. 


Mengapa tidak Malakat Mall bertindak menjadi pemborong bekalan barangan runcit utk peniaga2 kecil di kawasan2 kampung. Dapat membantu dan dpt berniaga dgn peniaga2 kecil Melayu dgn memberi modal barangan dahulu dan mereka menjalankan perniagaan.


Sekadar pandangan kpd mereka yg baru ingin menceburi bidang perniagaan dlm perniagaan jgn sesekali dikaitkan dgn perkauman. Kedua jika terlibat dlm politik jgn pamirkan perniagaan kita kerana ia akn memberi kesan ke atas perniagaan tersebut ( ini amalan saya sendiri ). 


Dlm perniagaan tidak boleh dikaitkan dgn perkauman dan politik kecuali jika berniaga agama… apa kata anda?

Sumber