Selasa, 20 Disember 2022

Tunai janji junjung Perlembagaan, pertahan kedaulatan negara

 

KUALA LUMPUR: Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengharapkan semua ahli parlimen menunaikan janji bagi menjunjung Perlembagaan dan mempertahankan kedaulatan negara.

Ini, katanya setelah selesai upacara mengangkat sumpah sebagai ahli parlimen hari ini.

Menurut Ahli Parlimen Marang itu, mandat rakyat yang diberikan harus dihormati bukan dikhianati sehingga hilang prinsip dan maruah diri.

“Sesungguhnya tanggungjawab ini adalah amanah yang akan dipersoalkan oleh Allah di Hari Akhirat nanti.

“Selamat bersidang. Selamat menjalankan tugas,” ujarnya menerusi hantaran di Facebook beliau, malam ini.

Bagi Ahli Parlimen Jerantut, Ir Ts Khairil Nizam Khirudin, sumpah yang dilafazkan di Dewan Rakyat pada sesi angkat sumpah adalah amanah besar yang dipikul setiap ahli parlimen yang dipilih oleh rakyat.

Menurutnya, menjadi ahli parlimen bukanlah satu tugas yang mudah, bukan juga untuk bermegah atau mencari publisiti murah.

“Kita semua di sini bertanggungjawab untuk membawa Malaysia ke tahap yang lebih tinggi.

“Jagalah adab pekerti sebagai wakil pada rakyat yang memerhati. Janganlah bersikap macam manusia tiada pedoman, tanpa iman, tanpa akhlak.

“Kita tunggu hari kedua…kami semua masih baru. Insya-Allah akan menyerlah dengan hujah penuh hemah,” ujarnya menerusi di Facebook, malam ini.

Ahli Parlimen Kuala Krau, Ustaz Kamal Ashaari pula akan melaksanakan amanah itu dengan sebaiknya untuk rakyat.

“Insya-Allah, saya akan melaksanakan amanah ini dengan sebaiknya untuk rakyat P.087 Kuala Krau yang disayangi dalam memberi perkhidmatan yang terbaik sebagai semak imbang di Dewan Rakyat,” ujarnya menerusi Facebook.

Katanya, tiada lain yang dipinta melainkan doa daripada semua agar dipermudahkan urusan,diberi kekuatan dan dipandu Allah dalam melaksanakan tugas tersebut.

“Bersama kita mendoakan untuk saudara kita yang diuji dengan banjir di samping kita mengambil langkah berjaga-jaga dan mengambil berat tentang keselamatan ketika banjir,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 19/12/2022

0 ulasan:

Catat Ulasan