Selasa, 20 September 2022

PRU15: PAS terus pelawa UMNO untuk bekerjasama

 

KUALA LUMPUR: PAS terus mempelawa kerjasama antara parti itu dan UMNO diteruskan untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) bagi memastikan sebuah kerajaan stabil dapat dibentuk jika berjaya memenangi pilihan raya.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata parti itu terus berusaha dengan pelbagai pendekatan antaranya menyeru seboleh mungkin parti yang membentuk kerajaan ketika ini untuk terus bekerjasama menghadapi PRU-15 seterusnya membentuk sebuah kerajaan baharu yang lebih mantap dan berotoriti.

"PAS kekal dengan pendirian menjalinkan hubungan dengan UMNO sebagai rakan Ta'awun, sekali gus tidak bersetuju sama sekali dengan sebarang ketetapan atau pendirian yang menggambarkan Barisan Nasional (BN) sebagai musuh dalam PRU-15 nanti.

"Sebaliknya, PAS tetap menegaskan musuh sebenar penyatuan ummah adalah Pakatan Harapan (PH) dan sekutu-sekutunya termasuk 'khemah besar'. PAS amat optimis hanya dengan perpaduan dan kerjasama politik di antara parti utama Melayu Islam sahaja akan dapat mengelakkan pertandingan lebih daripada dua penjuru dalam PRU-15," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, PAS yakin agenda penyatuan ummah dan perpaduan nasional antara orang Melayu Islam, kaum Bumiputra dan rakyat pelbagai kaum di negara ini hanya dapat dicapai sekiranya kestabilan politik dapat diwujudkan selepas PRU-15.

"Gabungan atas konsep penyatuan ummah dan perpaduan nasional sahaja mampu menjadi formula terbaik dan berkesan serta diterima majoriti pengundi ke arah mewujudkan sebuah kerajaan prihatin rakyat dengan langkah penambahbaikan sistem penyampaian perkhidmatan kepada seluruh rakyat, di samping memberikan perhatian khusus kepada aspek semak dan imbang.

"Ini bukan sahaja dapat menjamin terbentuknya sebuah pemerintahan adil dan saksama kepada semua rakyat merentasi kaum, agama, bangsa dan budaya, tetapi juga mengelakkan berulangnya sejarah hitam yang berlaku semasa PRU-14," katanya.

Ini adalah kenyataan kedua dikeluarkan Takiyuddin dalam tempoh dua minggu berkaitan pelawaan parti itu untuk meneruskan kerjasama dengan UMNO selepas ia diputuskan pada Mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat yang bersidang baru-baru ini.

Sehingga kini, UMNO masih belum memberi jawapan muktamad terhadap pelawaan kerjasama oleh PAS dalam PRU, dengan hal berkenaan dijangka dibincang dan diputuskan pada Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang dijadual pada 30 September ini.

-BH Online

0 ulasan:

Catat Ulasan