Selasa, 20 Jun 2023

Majlis paluan berundur batal, Acryl Sani terus terajui PDRM

 

ACRYL SANI ABDULLAH SANI

PETALING JAYA : Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani akan meneruskan kontraknya meneraju Polis Diraja Malaysia (PDRM) meskipun terdapat desas-desus beliau akan meninggalkan jawatan itu lebih awal pada bulan ini.

Utusan Malaysia difahamkan, persediaan yang dilakukan bagi majlis paluan berundur Ketua Polis Negara itu pada  Khamis ini ditangguhkan. Bagaimanapun, belum dapat disahkan sama ada Acryl Sani akan meneruskan tugas sehingga Julai ini atau sehingga tamat tempoh kontrak beliau.

Terdahulu akhbar ini melaporkan, Acryl Sani dijangka meninggalkan jawatan nombor satu PDRM lebih awal meskipun kontraknya masih berbaki lima bulan lagi.

Acryl Sani yang sepatutnya menamatkan kontraknya pada Oktober ini dipercayai melepaskan ‘kerusi panas’ itu pada 22 Jun ini.

Penamatan kontrak Acryl Sani lebih awal juga adalah bagi mengisi kekosongan wakil kedutaan Malaysia di sebuah negara di Eropah.

Berdasarkan pengalaman yang ada, sudah pasti Acryl Sani antara pegawai tertinggi kerajaan yang layak mengisi kekosongan itu.

Dalam pada itu, yang menjadi teka-teki iaitu calon yang bakal memegang ‘kerusi panas’ jawatan nombor satu PDRM selepas ini.

Mengikut tradisi, sudah pasti tugas menerajui pasukan itu akan diserahkan kepada timbalannya, iaitu Tan Sri Razarudin Hussain yang kontraknya telah disambung bagi tempoh dua tahun berkuat 16 Mac lalu sehingga 15 Mac 2025.

Bagaimanapun, cubaan Utusan Malaysia untuk mendapat maklumat daripada Acryl Sani  belum berjaya.– UTUSAN

0 ulasan:

Catat Ulasan