Selasa, 31 Januari 2023

Politik: Penganalisis sambut dingin hasrat KJ buat ‘comeback’

 

Khairy Jamaluddin bertanding di Parlimen Sungai Buloh pada PRU15 dan bercadang membina asas politik baharu di negeri itu.

PETALING JAYA: Penganalisis politik memandang dingin hasrat Khairy Jamaluddin ingin membuat kemunculan semula pada PRN Selangor susulan pemecatannya daripada Umno baru-baru ini.

Oh Ei Sun daripada Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura memberitahu FMT, penglibatan dalam PRN Selangor terlalu tergesa-gesa buat Khairy memandangkan banyak kerja lapangan perlu dilakukan terlebih dahulu.

Katanya, bekas ketua Pemuda Umno itu akan mendapati dirinya sukar untuk “berjaya”.

“Ini bukan pemilihan presiden (parti). Seseorang itu perlu menyelesaikan atau sekurang-kurangnya menangani masalah di lapangan di mana-mana kawasan (yang ingin ditandingi),” katanya.

Oh Ei Sun.

Oh berkata, pilihan sama ada Khairy menubuhkan parti sendiri atau menyertai parti lain tidak berbaloi sekiranya beliau ingin menang pada PRN, memandangkan lawan akan berusaha menumpaskan ahli politik popular sepertinya.

Semalam, bekas Ahli Parlimen Rembau itu memberitahu Channel NewsAsia (CNA) yang beliau mempertimbangkan membuat kemunculan semula pada PRN Selangor.

Khairy berkata, Selangor ialah “pusat politik” Malaysia dan bercadang membina asas baharu politik di negeri itu.

Awang Azman Pawi daripada Universiti Malaya (UM) juga berpandangan sama, dengan menyatakan Khairy tidak boleh sekadar bergantung kepada kekuatan sendiri sekiranya ingin menempa kejayaan.

Awang Azman Pawi.

Katanya, idea menubuhkan parti baharu disifatkan tidak bagus.

“Sudah terlalu banyak parti politik,” katanya merujuk komen Khairy mengenai ketepuan pasaran politik.

Ditanya mengenai prospek Khairy bersama parti lain, Awang Azman berkata, beliau mungkin tidak diterima PKR memandangkan parti itu tidak mahu mengeruhkan hubungannya dengan Umno, rakan gabungan dalam kerajaan perpaduan.

“Juga sukar bagi akar umbi PKR untuk menerima (Khairy) kerana baharu sahaja bertanding menentangnya pada PRU15,” katanya.

Khairy bertanding di Parlimen Sungai Buloh, Selangor pada PRU15, namun tumpas kepada calon Pakatan Harapan, R Ramanan, dengan majoriti 2,693 undi.-FMT

0 ulasan:

Catat Ulasan