"Cashzine - Aplikasi Buat Duit Percuma Terbaik Yang PERLU anda miliki"

Cara Buat Duit Dengan Aplikasi Cashzine: Peluang Jana Side Income lebih RM100 Dalam Sehari Melalui Aplikasi Cashzine. (Scroll ke bawah untuk bukti pembayaran terkini daripada Cashzine

Cordyceps:Herba luarbiasa dan apa kehebatannya?

Pernahkah anda mendengar Cordyceps? Atau anda pernah melihat? Mungkin tak pernah dengarkan... Dan tak pernah lihat pun. Sama jugalah macam saya. Saya cuba ceritakan serba sedikit tentang Cordyceps ni. Walaupun bagaimanapun saya cuba fahamkan anda semua mengenainya samada dari tempat asal ataupun khasiat Cordyceps ini.

Cara Mudah Jadi Youtuber Terhebat

Ketahui cara bagaimana untuk menjadi Youtuber. Video yang senang difahami dan penuh dengan semua info yang perlu sebagai Youtuber. Dari asas kepada SEO, teknik Viral, Fb ads serta Mengandungi Teknik dan Rahsia Youtuber yang memiliki JUTAAN Subscriber..

Wanita kelihatan anggun dengan Hasanah Lipmatte

90% pengguna GEMBIRA dan TERUJA dengan Hasanah Lipmatte. Dah jadi trending bagi wanita abad ini. Bukan setakat mencantikkan bibir si pemakai malah dapat menaikkan keyakinan anda sepanjang hari.

9/10 Rezeki Perniagaan: Dari SOLOpreneur ke ENTREpreneur menjadi GLOBALpreneur

Cara Mulakan dan Kembangkan Perniagaan Ke Tahap Yang Lebih Tinggi Dengan Modal Minima.


Khamis, 22 Disember 2022

Pertuduhan jenayah terhadap saya adalah konspirasi politik dirancang - Anwar

 Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sidang akhbar selepas mesyuarat kabinet di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya. - Foto ASWADI ALIAS

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sidang akhbar selepas mesyuarat kabinet di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya. - Foto ASWADI ALIAS

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata semua pertuduhan jenayah yang dihadapinya sebelum ini adalah sebahagian daripada konspirasi politik yang dirancang.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu dalam pernyataan tuntutan terpinda yang difailkan pada Isnin lalu, terhadap Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mendakwa ia adalah dendam keji yang dilakukan untuk menyingkirkan beliau daripada memegang jawatan awam dan merosakkan karier politiknya.

Menurut Anwar, beliau adalah bekas Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Malaysia sebelum 2 September 1998 dan mempunyai rekod prestasi sempurna sebagai orang yang memegang jawatan awam kedua tertinggi selain disenaraikan sebagai satu daripada empat menteri kewangan teratas oleh Euromoney dan dinamakan sebagai Menteri Kewangan terbaik pada 1996 oleh Asiamoney.

 Namun, saya telah disingkirkan dari kedua-dua jawatan awam oleh pihak yang berkuasa pada 1998. Bagi merosakkan reputasi serta imej, saya telah didakwa dengan beberapa kesalahan jenayah rekaan, telah dibicarakan dan didapati bersalah atas semua kesalahan yang didakwa serta dijatuhkan hukuman penjara sebanyak dua kali.

Sebelum dipecat, saya dengan bersunguh-sungguh dan tanpa henti mengekalkan pendirian tidak bersalah dan menegaskan bahawa semua pertuduhan jenayah terhadap saya adalah sebahagian daripada konspirasi politik yang dirancang," katanya.

Anwar, 75, selaku plaintif berkata demikian menerusi pernyataan tuntutan terpinda yang difailkan dalam samannya terhadap Muhammad Sanusi berhubung ucapan berbaur fitnah mengaitkannya dengan perlakuan tidak bermoral dalam satu kempen ceramah "Jelajah PN Best Tambun".

Menurut Anwar, atas sebab itulah, Yang di-Pertuan Agong menganggap dan melihat adalah wajar untuk mengampuni beliau pada 16 Mei 2018 bagi memulihkan imej dan reputasinya.

Katanya, tujuan utama dan kesan titah Seri Paduka untuk memerintahkan Pengampunan Diraja adalah untuk memadamkan sepenuhnya dan secara muktamad semua atau mana-mana keburukan terhadapnya berkenaan kesalahan jenayah yang disabitkan.

Walaupun defendan (Muhammad Sanusi) mempunyai pengetahuan penuh berkenaan perkara ini, beliau telah secara melulu tanpa mengambil kira kesan dan akibat Pengampunan Diraja oleh Seri Paduka, telah memfitnah saya," kata Anwar.

Pada 13 Disember lalu, Anwar memfailkan saman itu menerusi Tetuan S N Nair & Partners di Mahkamah Tinggi Alor Setar dengan menamakan Muhammad Sanusi, 48, sebagai defendan tunggal.

Sementara itu, peguam Datuk S N Nair, yang mewakili Anwar, ketika dihubungi Bernama hari ini berkata saman terpinda itu sudah diserahkan kepada peguam defendan dari Tetuan Yusfarizal Aziz & Zaid, petang tadi. – BERNAMA

Banjir:Keadaan al-Quran tak terjejas, sedangkan mesin basuh dan tong gas semua terbalik

 Keadaan al-Quran tak terjejas, sedangkan mesin basuh dan tong gas semua terbalik. “Keadaan al-Quran itu sedikit pun tak kena lumpur dan tak terbalik sedangkan air sangat deras hingga mesin basuh dan tong gas terbalik,” kata Zumigawati Mat Adam, 49.

Zumigawati yang tinggal di Kampung Tengkawang Kuala Berang, Terengganu berkata, rumahnya mulai dinaiki air kelmarin sebelum dia terkejut melihat al-Quran yang sering dibaca dan diletakkan atas tilam dalam bilik itu tidak terjejas.

“Setiap kali selepas solat, saya akan membaca al-Quran dan letak atas ‘toto’. Selalu tengok orang kongsi al-Quran selamat tak kena banjir, tapi kali ini terjadi kepada saya.

“Ketika melihat kejadian ini depan mata, tiada lain yang diungkapkan selain memuji kebesaran Allah SWT,” katanya kepada Harian Metro.

Keadaan al-Quran tak terjejas, sedangkan mesin basuh dan tong gas semua terbalik

Menurutnya, apa yang membuatkan dia terkejut juga apabila terdapat labah-labah pada rehal itu.
“Keadaan rumah saya penuh lumpur dan berselut. Kalau tengok bahagian dalam al-Quran hanya basah sikit tapi macam terkena air bersih.
“Bahagian atas al-Quran pula bersih dan sedikit lumpur pun tak ada, kemudian, ada labah-labah kecil betul-betul atas atas rehal. Saya teringat kisah labah-labah yang menyelamatkan Nabi Muhammad SAW ketika dalam Gua Hira,” katanya.

Menerusi perkongsian di Facebook, Zumigawati yang pernah terbabit dalam industri seni sebagai pekerja belakang tabir turut memohon sukarelawan bagi membantu membersihkan rumahnya yang habis ditenggelami banjir.

“Elektrik dah ada cuma air paip masih perlahan. Saya nak minta tolong sukarelawan datang di kampung saya bagi membantu pendudukan yang terjejas teruk akibat banjir ini.

“Pertama kali ruang tamu dan semua bilik dinaiki ini. Banjir tahun sebelum ini pun tidak seteruk sekarang.

Semuanya habis rosak kena lumpur banjir. Kalau ada yang nak menyumbang walau RM10 pun saya bersyukur dan boleh buat beli tikar baru,” katanya.

-selayangpandang.net

Selasa, 20 Disember 2022

Boleh percaya ke Anwar tak campur tangan kes mahkamah? Soal Tun Faisal

 

Bekas Timbalan Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz mempersoalkan ikrar Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk tidak campur tangan dalam kes mahkamah.

Seorang bekas pemimpin UMNO meluahkan rasa kurang percaya terhadap jaminan dan ikrar Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memerangi rasuah, tidak campur tangan dalam kes mahkamah dan memastikan kebebasan badan kehakiman.

Bekas Timbalan Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz turut mempersoalkan berhubung janji Anwar untuk menurunkan harga minyak selepas 24 jam mengangkat sumpah Perdana Menteri.

Menurutnya beliau mempertikaikan kebolehpercayaan ikrar Anwar untuk tidak campur tangan dalam kes mahkamah berdasarkan beberapa janji yang dibuat sebelum ini telah tidak ditepati.

Ini termasuk Anwar pernah menafikan audio perbualan dengan Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, sedang perkara itu sememangnya berlaku, katanya.

Tun Faisal juga berkata Anwar pernah berjanji tidak melantik bekas Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, tetapi tidak menepatinya.

Katanya Perdana Menteri juga sebelum ini berjanji tidak melantik Zahid, sebaliknya Ahli Parlimen Bagan Datuk yang kini dibicarakan terhadap tuduhan rasuah diangkat menjadi Timbalan Perdana Menteri.

Terdahulu, Anwar memberi jaminan bahawa kerajaannya tidak akan campur tangan dalam mana-mana kes mahkamah yang sedang berlangsung.

Beliau turut memberi jaminan bahawa beliau akan memastikan kebebasan badan kehakiman.

“Selaku perdana menteri, saya tidak akan campur urusan badan kehakiman, dan mereka (hakim) jalankan (tugas) dengan bebas dan telus.

“Mereka bertanggungjawab sepenuhnya kepada Perlembagaan (Persekutuan) dan rakyat, dan akhirnya kepada Allah SWT,” katanya pada sidang Dewan Rakyat pagi tadi (20 Disember 2022).

Sementara itu, Tun Faisal berkata UMNO dan Barisan Nasional (BN) tidak akan menerima nasib buruk pada Pilihan Raya Umum Ke-15 lalu jika mendengar cakapnya berhubung pelan jajaran baharu dirancang Zahid dan Anwar.

“Jika pemimpin dan ahli UMNO percaya apa yang saya sakap mengenai Zahid, sokongan terhadap Anwar dan jajaran baharu, UMNO dan BN tidak akan kalah begitu teruk macam sekarang.

“Saya telah lawan Zahid tapi ahli UMNO pilih untuk percaya Zahid, pembodek-pembodek beliau dan ejen Anwar dalam UMNO. Masih tak percaya lagi Zahid memang dah lama rancang untuk bersama Anwar dan Pakatan Harapan,” katanya.

-Wak Labu Farm 

Tunai janji junjung Perlembagaan, pertahan kedaulatan negara

 

KUALA LUMPUR: Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengharapkan semua ahli parlimen menunaikan janji bagi menjunjung Perlembagaan dan mempertahankan kedaulatan negara.

Ini, katanya setelah selesai upacara mengangkat sumpah sebagai ahli parlimen hari ini.

Menurut Ahli Parlimen Marang itu, mandat rakyat yang diberikan harus dihormati bukan dikhianati sehingga hilang prinsip dan maruah diri.

“Sesungguhnya tanggungjawab ini adalah amanah yang akan dipersoalkan oleh Allah di Hari Akhirat nanti.

“Selamat bersidang. Selamat menjalankan tugas,” ujarnya menerusi hantaran di Facebook beliau, malam ini.

Bagi Ahli Parlimen Jerantut, Ir Ts Khairil Nizam Khirudin, sumpah yang dilafazkan di Dewan Rakyat pada sesi angkat sumpah adalah amanah besar yang dipikul setiap ahli parlimen yang dipilih oleh rakyat.

Menurutnya, menjadi ahli parlimen bukanlah satu tugas yang mudah, bukan juga untuk bermegah atau mencari publisiti murah.

“Kita semua di sini bertanggungjawab untuk membawa Malaysia ke tahap yang lebih tinggi.

“Jagalah adab pekerti sebagai wakil pada rakyat yang memerhati. Janganlah bersikap macam manusia tiada pedoman, tanpa iman, tanpa akhlak.

“Kita tunggu hari kedua…kami semua masih baru. Insya-Allah akan menyerlah dengan hujah penuh hemah,” ujarnya menerusi di Facebook, malam ini.

Ahli Parlimen Kuala Krau, Ustaz Kamal Ashaari pula akan melaksanakan amanah itu dengan sebaiknya untuk rakyat.

“Insya-Allah, saya akan melaksanakan amanah ini dengan sebaiknya untuk rakyat P.087 Kuala Krau yang disayangi dalam memberi perkhidmatan yang terbaik sebagai semak imbang di Dewan Rakyat,” ujarnya menerusi Facebook.

Katanya, tiada lain yang dipinta melainkan doa daripada semua agar dipermudahkan urusan,diberi kekuatan dan dipandu Allah dalam melaksanakan tugas tersebut.

“Bersama kita mendoakan untuk saudara kita yang diuji dengan banjir di samping kita mengambil langkah berjaga-jaga dan mengambil berat tentang keselamatan ketika banjir,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 19/12/2022

Laksana segera projek tebatan banjir fasa dua – Siti Zailah

 

KUALA LUMPUR: Projek tebatan banjir fasa dua perlu dilaksanakan segera memandangkan ia keperluan yang mendesak dan tidak boleh ditangguhkan.

Perkara itu ditegaskan oleh Ahli Parlimen Rantau Panjang, Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff ketika bertemu Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi selepas selesai persidangan Dewan Rakyat, hari ini. Turut serta Ahli Parlimen Besut, Dato’ Che Mohamad Zulkifly Jusoh. (Foto atas)

Beliau turut berharap Kerajaan Campuran PH-BN perlu menyelesaikan isu-isu berkaitan dengan banjir kerana ia menjadi faktor besar yang membawa masalah sewaktu musibah itu.

Saya berharap ada penyelesaian segera oleh pihak Kerajaan Campuran PH-BN kerana kesan banjir ini banyak rumah-rumah mangsa yang rosak.

“Saya minta perhatian serius daripada Kerajaan Campuran PH-BN kepada rakyat di Rantau Panjang dan Besut,” katanya.

Harapan itu dinyatakan terus kepada Zahid berikutan usul berkaitan banjir yang dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Muar telah ditolak atas alasan ia dalam tindakan Kerajaan Campuran PH-BN.

Menurut Siti Zailah, dalam pertemuan yang tidak dirancang itu Zahid berjanji akan turun ke Besut dan Rantau Panjang untuk memantau sendiri keadaan banjir.

Beliau dimaklumkan peruntukan sebanyak RM400 juta akan disediakan untuk membantu mangsa banjir.

Ketika Kerajaan PERIKATAN NASIONAL (PN) di bawah Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, kerajaan telah bersetuju mempercepat projek tebatan banjir fasa dua membabitkan kos RM1.5 bilion.

Pada 2 Mac lalu, Perdana Menteri, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob berkata projek berkenaan dijangka akan menyelesaikan masalah banjir yang melanda Pasir Mas dan Rantau Panjang yang merupakan sebahagian daripada daerah itu serta Tumpat.

Beliau menyatakan demikian pada sidang media selepas mendengar taklimat keadaan banjir di Jajahan Pasir Mas dan menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir di PPS Sekolah Kebangsaan Gelang Mas, Pasir Mas.

Katanya, projek tebatan banjir fasa dua merupakan kesinambungan kepada projek fasa satu yang sedang berjalan di Rantau Panjang membabitkan kos RM600 juta.

“Projek tebatan fasa dua berjumlah RM1.3 bilion sedang diteliti untuk mendapatkan bajet. Kalau bajet lulus isu berkaitan banjir di tiga kawasan tersebut dapat diselesaikan,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 20/12/2022

Isnin, 19 Disember 2022

DAP nyanyuk lepas ‘kahwin’ dengan UMNO: Shahidan sindir ucapan Ngeh

 

Ahli Parlimen (Perikatan Nasional) Arau Datuk Seri Shahidan Kassim.

“DAP baru kahwin dengan UMNO… dia nyanyuk”.

Demikian sindir Ahli Parlimen (MP) Arau (Perikatan Nasional), Datuk Seri Shahidan Kassim ketika mencelah kenyataan Ahli Parlimen (kerajaan – DAP) Beruas Ngeh Koo Ham,yang salah tajuk perbahasan di Dewan Rakyat hari ini (19 Disember 2022).

Kejadian berlaku ketika Ngeh bangun mencelah ucapan Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainudin yang ketika itu sedang membahas usul undi percaya terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri kesepuluh.

“Kita sedang berbahas tentang Rang Undang-Undang Kumpulan Wang Disatukan. Perbelanjaan masuk akaun…,” kata Ngeh sebelum ditegur beberapa MP lain di pihak kerajaan dan pembangkang.

Ucapannya menggamatkan sidang Dewan Rakyat dengan beberapa MP pembangkang menasihatkan Ngeh supaya tidak tidur ketika perbahasan dibuat.

“Lain kali datang Parlimen jangan tidur… dia celaru tu… dia sedang merapu tu… dia merapu,” kata MP pembangkang, sementara Speaker Datuk Johari Abdul cuba mengawal keadaan dan meminta Ngeh supaya duduk.

Shahidan kemudian mencelah “DAP baru kahwin dengan UMNO dia nyanyuk”.

Dalam sesi perbahasan lain, Shahidan juga mengingatkan Timbalan Presiden PKR yang juga Menteri Ekonomi Rafizi Ramli supaya tidak menghina bekas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Shahidan berkata Rafizi tidak sepatutnya mengungkit kerajaan Ismail Sabri kerana kini UMNO telah menjadi kawan kepada Pakatan Harapan dalam kerajaan.

“Dia (Ismail Sabri) jadi Perdana Menteri ketika itu… jangan hina dia… sekarang dia telah jadi kawan… jangan hina dia… tak baik buat macam tu… sekarang dah jadi kawan… DAP dengan UMNO sudah bercium,” kata Shahidan.

-AgendaDaily 

Jumaat, 9 Disember 2022

PM umum senarai 27 timbalan menteri, tiada wakil MCA, MIC

 

Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan barisan 27 timbalan menteri bagi kerajaan pimpinannya sebentar tadi.

Mereka akan menangkat sumpah jawatan di Istana Negara pada jam tiga petang esok.

Daripada senarai itu, tiada ahli parlimen dari MIC dan MCA yang dilantik sebagai timbalan menteri.

Berikut senarai penuh timbalan menteri yang diumumkan:

Timbalan Menteri Kewangan - Ahmad Maslan

Timbalan Menteri Kewangan - Steven Sim Chee Keong

Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah - Rubiah Wang

Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi - Siti Aminah Aching

Timbalan Menteri Pengangkutan - Hasbi Habibollah

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan - Chan Foong Hin

Timbalan Menteri Ekonomi - Hanifah Hajar Taib

Timbalan Menteri Pembangunan dan Kerajaan Tempatan - Akmal Nasir

Timbalan Menteri Pertahanan - Adly Zahari

Timbalan Menteri Kerja Raya - Abdul Rahman Mohamad

Timbalan Menteri Dalam Negeri - Shamsul Anuar Nasarah

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri - Liew Chin Tong

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi - Yusof Apdal

Yusof Apdal Sains, Inovasi dan Teknologi - Arthur Joseph Kurup

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat - Aiman Athirah Sabu

Timbalan Menteri Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup - Fuziah Salleh

Timbalan Menteri Undang-undang dan Reformasi Institusi - Ramkarpal Singh

Timbalan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim - Hwang Tiong Si

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi - Saraswathy Kandasamy

Timbalan Menteri Luar Negeri - Mohamad Alamin

Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya - Khairul Firdaus Akbar Khan

Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital - Teo Nie Ching

Timbalan Menteri Pendidikan - Lim Hui Ying

Timbalan Menteri Belia dan Sukan - Adam Adli Abdul Halim

Timbalan Menteri Sumber Manusia - Mustafa @ Mohd Yunus Sakmud

Timbalan Menteri Kesihatan - Lukanisman Awang Sauni

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri - Wilson Ugak Kumbong

-mKini 

Khamis, 8 Disember 2022

Tuduhan dibiayai syarikat judi,PN buat laporan polis terhadap PM

 

Wan Ahmad Fayhsal menunjukkan salinan laporan polis terhadap Perdana Menteri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi hari ini. - Foto NSTP/Fathil Asri

1. PN buat laporan polis terhadap PM

KUALA LUMPUR: Timbalan Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN) Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menyifatkan tuduhan mengaitkan parti itu dengan pembiayaan daripada syarikat judi bertujuan untuk memusnahkan kredibiliti setiap Ahli Parlimen PN.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Machang berkata, PN tidak akan melindungi tindakan yang salah dan mengalu-alukan setiap siasatan yang ingin dilakukan pihak berkuasa.

"Saya sebagai seorang Ahli Parlimen menafikan sekeras-kerasnya tuduhan bahawa kita menerima dana daripada syarikat judi.

"Ini adalah permainan politik untuk membina persepsi seolah-olah kami menerima dana syarikat judi. Namun saya yakin rakyat tidak akan termakan dengan fitnah ini kerana kepimpinan tertinggi PN termasuk Datuk Seri Hamzah Zainudin, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri sudah memberi kenyataan dan tiada apa yang boleh diselindungkan.

"Bukan sahaja mengenai judi tetapi isu dana RM600 bilion juga satu fitnah serta tohmahan yang serius," katanya selepas membuat laporan bersama Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) di Balai Polis Dang Wangi, di sini, berhubung dakwaan terbabit.

Sebelum ini Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika sidang media di pejabatnya di Putrajaya membayangkan sebahagian dana pilihan raya PN datang daripada syarikat perjudian yang terbabit dengan syarikat judi.

Bagaimanapun Muhyiddin kelmarin menyifatkan tuduhan Anwar bahawa PN menerima pembiayaan daripada syarikat judi untuk kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) sebagai serius.

Menepis dakwaan itu, Muhyiddin yang juga Pengerusi PN berkata, tuduhan Anwar tidak disokong bukti kukuh selain sekadar andaian yang dibuat berdasarkan kempen meluas PN ketika PRU15.

Ditanya mengenai senarai dana, Wan Ahmad Fayhsal berkata, setakat ini PN tidak akan mendedahkan dana itu memandangkan tiada satu pun parti yang bertanding dalam PRU15 berbuat demikian.

"Bagaimanapun kita terbuka mengenai akta pendanaan politik jika ia dibentangkan di Parlimen dan jika ia menjadi perkara utama, saya sendiri akan sahut.

"Ia sepatutnya sudah diselesaikan sewaktu kepimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tetapi tidak sempat," katanya.

-ibnuhasyim.com

Rabu, 7 Disember 2022

TIDAK RASMI: PN mendahului 14,536 undi di Padang Serai

 Sebahagian pengundi menunaikan tanggungjawab pada Pilihan Raya Umum Ke-15 Parlimen Padang Serai di Sekolah Bukit Selarong, Padang Serai. NSTP/Luqman Hakim Zubir

Sebahagian pengundi menunaikan tanggungjawab pada Pilihan Raya Umum Ke-15 Parlimen Padang Serai di Sekolah Bukit Selarong, Padang Serai. NSTP/Luqman Hakim Zubir

KULIM: Keputusan tidak rasmi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) Parlimen Padang Serai menyaksikan Perikatan Nasional (PN) mendahului dengan 14,536 undi.

Setakat jam 9.15 malam, calon PN, Datuk Azman Nasrudin memperoleh majoriti 5,186 undi selepas mendahului calon Pakatan Harapan (PH), Dr Mohamad Sofee Razak yang mendapat 9,350 undi.

Calon Barisan Nasional (BN), Datuk C Sivaraj yang memberi laluan kepada PH pula menerima 1,042 undi, diikuti calon Bebas, Sreanandha Rao (215), dan calon Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Hamzah Abd Rahman (127).

Calon Parti WARISAN, Mohd Bakhri Hashim yang turut memberi laluan kepada PH pula menerima 55 undi.

-BH Online 

KECOH!! Ramai terperanjat Tok Mat buat perjumpaan dengan pemimpin PN

BAHARU saja Kabinet Kerajaan Perpaduan dibentuk, suhu politik negara kembali hangat dengan gambar yang mencetuskan spekulasi tersebar membabitkan pemimpin kanan Umno dengan pemimpin kanan Perikatan Nasional (PN).

Viral di media sosial foto yang memaparkan Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Mohamad Hasan bertemu pemimpin PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Menurut sumber, Malaysiapost dimaklumkan pertemuan tiga individu itu diadakan di kediaman Hamzah, namun lokasinya tidak didedahkan.

Bagaimanapun tidak dapat dipastikan sejauh mana pertemuan itu membincangkan perihal politik tanah air.

“Pertemuan diadakan di rumah Datuk Seri Hamzah. Namun tidak pasti sebab, pastinya ada perbincangan berkisar hal politik negara,”kata sumber kepada Malaysiapost.

Umpama ‘rumah siap pahat masih berbunyi”, pertemuan berkenaan pastinya mencetuskan tandatanya apakah mungkin “langkah” seterusnya akan berlaku.

Bagaimanapun sumber tidak menolak kemungkinan perbincangan berkenaan membabitkan pertemuan persidang Palimen yang akan berlangsung pada 19 Dis.

Sama ada ia membabitkan soal undi percaya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ataupun soal pelantikan Speaker Dewan Rakyat.

Malaysiapost sedang berusaha mendapatkan respon pemimpin berkenaan berhubung pertemuan itu.

Untuk rekod Mohamad merupakan Menteri Pertahanan dalam Kabinet Kerajaan Perpaduan.

Pasca PRU-15 menyaksikan kerajaan Malaysia ditadbir Kerajaan Perpaduan yang diterajui Anwar.

Kerajaan Perpaduan dianggotai Pakatan Harapan (PH), BN, GPS, GRS, Warisan dan Bebas.

Manakala PN yang hanya menang 73 kerusi Parlimen menjadi pembangkang setelah menolak titah Yang di Pertuan Agong untuk menyokong Kerajaan Perpaduan. –

-asamboi.net

SPRM panggil Muhyiddin, Khairy, Zafrul bantu siasatan dana RM600b

 SPRM akan memanggil Muhyiddin, Khairy dan Tengku Zafrul untuk memberi keterangan berhubung dakwaan salah guna dana RM600 bilion ketika pandemik COVID-19.

SPRM akan memanggil Muhyiddin, Khairy dan Tengku Zafrul untuk memberi keterangan berhubung dakwaan salah guna dana RM600 bilion ketika pandemik COVID-19.

KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin serta Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dijangka dipanggil memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan berlaku salah guna dana RM600 bilion ketika pandemik COVID-19.

Laporan portal berita The Vibes yang memetik sumber berkata siasatan SPRM itu susulan laporan yang diterima daripada beberapa pihak yang mendakwa berlaku penyelewengan dalam pengurusan dana negara ketika pandemik itu melanda negara mulai 2020.

Ketika pentadbiran Muhyiddin sebagai Perdana Menteri, Tengku Zafrul dilantik sebagai Menteri Kewangan.

Khairy yang juga Menteri Sains dan Teknologi pada permulaan pentadbiran Muhyiddin, kemudiannya bertukar portfolio itu dengan Datuk Dr Adham Baba sebagai Menteri Kesihatan.

Menurut Vibes, laporan mengenai siasatan membabitkan tiga individu berkenaan mula didedahkan oleh blog Datuk Ahirudin Attan atau dikenali sebagai RockyBru.

Menurut blog itu, Tengku Zafrul dipanggil SPRM berikutan beliau adalah Menteri Kewangan sewaktu pentadbiran Kerajaan Perikatan Nasional bagi menangani pandemik COVID-19 yang melanda negara sejak 2020.

"Ada pihak memberitahu saya bahawa bekas Perdana Menteri, Muhyiddin Yasin yang menjadikan Tengku Zafrul seorang Senator dan Menteri Kewangan pada 2020, juga akan dipanggil oleh badan antirasuah itu.

"Bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin juga akan diminta membantu siasatan. Beliau memegang jawatan itu sejak Ogos 2021 dan di bawah Muhyiddin, beliau memegang portfolio Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi," kata Rocky Bru.

Sementara itu, BH menghubungi Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki untuk mengesahkan perkara itu, namun tiada maklum balas setakat ini.

Media semalam melaporkan, Azam mengesahkan pihaknya sudah membuka kertas siasatan berhubung dakwaan perbelanjaan hampir RM600 bilion yang dilakukan kerajaan terdahulu.

Beliau bagaimanapun tidak mahu mengulas lanjut mengenai perkara itu.

Kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pegawai Kementerian Kewangan mengesahkan bahawa ada pelanggaran serius prosedur berhubung dakwaan perbelanjaan hampir RM600 bilion ketika pentadbiran kerajaan diterajui Muhyiddin.

Terdahulu, Muhyiddin dilapor menegaskan tidak takut disiasat berhubung laporan polis dibuat beberapa pihak mendakwa beliau menyeleweng dana RM600 bilion.

Pengerusi PN itu menerusi hantaran di Facebook menjelaskan, tidak mungkin beliau menyeleweng dana itu memandangkan ia adalah wang individu dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) serta bank yang bukan di bawah kawalannya.

Beliau yang juga Presiden BERSATU juga menyatakan tidak pasti bagaimana angka RM600 bilion itu dipetik, jika pun ia merujuk kepada lapan Pakej Rangsangan Ekonomi diumumkan ketika menerajui kerajaan yang semuanya berjumlah RM530 bilion.

Bekas Ketua Setiausaha Sulit kepada Muhyiddin, Datuk Dr Marzuki Mohamad, pula dilapor berkata dakwaan penyelewengan dana bernilai RM600 bilion sebenarnya tidak wujud dan sekadar perang saraf lapuk untuk memburukkan pentadbiran Muhyiddin.

Sebelum ini, Ketua Penerangan UMNO, Isham Jalil menyokong penubuhan segera Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat ke mana wang digunakan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan proklamasi darurat sepanjang Muhyiddin yang juga Pengerusi PN menjadi Perdana Menteri Kelapan.

Beliau juga berpendapat laporan polis yang dibuat sebelum ini yang mahu pihak berkuasa menyiasat isu perbelanjaan RM600 bilion itu perlu diteruskan berikutan ia membabitkan satu jumlah yang besar.

Naib Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH), Ammar Atan pula menyifatkan RCI itu teramat penting supaya jawapan jelas dan tuntas dapat diberikan kepada rakyat, terutama apabila seluruh sistem demokrasi negara, Parlimen ditutup dan kebanyakan perbelanjaan dibuat secara runding terus tanpa semak imbang sewajarnya.

Pengarah Biro Mobilisasi AMANAH yang juga Ahli Parlimen Hulu Langat, Sany Hamzan lebih awal mendesak penubuhan RCI bagi menyiasat perkara sama, malah satu laporan polis berkaitan isu berkenaan turut dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pada 30 November lalu.

Kontroversi penggunaan dana kecemasan lebih RM600 bilion ketika negara berdepan pandemik COVID-19 pernah dibangkitkan Ahli Parlimen Alor Gajah yang juga Pengerusi AMANAH Melaka dan bekas Ketua Menteri, Adly Zahari pada 15 November lalu.

Adly dilaporkan berkata, Pakatan Harapan (PH) akan menyiasat Muhyiddin jika gabungan parti itu berjaya membentuk kerajaan selepas PRU15.

Muhyiddin bagaimanapun menegaskan, semua wang itu dibelanjakan untuk membantu rakyat dan beliau juga tidak bimbang atau takut jika ada pihak mahu menyiasat kerana semua perbelanjaan dibuat mengikut dasar perolehan yang ditetapkan.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menerusi ciapan di Twitter sebelum ini turut menjelaskan, perbelanjaan langsung kerajaan ketika itu hanya sebanyak RM110 bilion dan peruntukan berkenaan diluluskan di Parlimen secara sebulat suara.

Naib Presiden UMNO itu juga menolak dakwaan pakej rangsangan tidak direkodkan dalam akaun kerajaan dari 2020 hingga 2022, sebaliknya menegaskan nilai keseluruhan lapan pakej rangsangan adalah RM530 bilion, sebahagian besar tidak babit perbelanjaan kerajaan seperti moratorium pinjaman oleh bank.

-BH Online 

Isnin, 5 Disember 2022

Cabutan khas judi: Mainan spekulasi dan muslihat Anwar

 

PERDANA Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang akhirnya mendapat jawatan diidamkannya sejak 40 tahun dahulu, sehingga ke hari ini masih tergilakan pembawaan populis.

Dengan jawatan tertinggi disandangnya itu, beliau yang sedang memacu negara masih bermain politik mengangkat konotasi spekulatif dan meraih pencapaian secara muslihat.

Sidang media beliau dari mesyuarat Kabinet pertama hari ini cuba meletuskan perhatian tertinggi yang dilihat mensasarkan tarikan daripada umat Melayu-Islam.

Ini apabila beliau mengumumkan bahawa cabutan khas judi sebanyak 22 setahun telah diturunkan kepada lapan kali setahun bermula tahun 2023. Tetapi muslihat politiknya tidak berselindung, apabila dengan pengumuman itu juga mendobrak PERIKATAN NASIONAL (PN).

Beliau secara sinikal melambungkan spekulasi kononnya sumber kewangan bagi mendanai pilihan raya parti Melayu dan parti Islam di dalam gabungan itu adalah dari syarikat dan hasil judi yang berkaitan.

Atau sedar dia boleh mengundang tuduhan fitnah? Sedangkan umum mengetahui, semua ‘pendedahan’ pernah beliau lakukan selama ini sering dipampang bersama lampiran ‘kertas bukti’.

Bahkan, selalunya bersama sandaran dan penegasan ‘kukuh dan meyakinkan’. Kini hanya bermain bayangan, sebelum mengesahkan semakan dalam kedudukan beliau mengetuai dan memiliki sebuah kerajaan? Tidakkah itu terlihat dangkal?

Sebagai PM, Anwar sepatutnya menghentikan retorik sedemikian. Namun pengumuman itu tentunya sebagai modal menjelang pengundian PRN N.42 Tioman dan P.017 Padang Serai pada Rabu ini. 

Juga mencari satu tenaga politik menjelang Sidang Dewan Rakyat 19 Disember depan, selain ia juga boleh menjadi isyarat kepada corak persaingan atau perseteruan akan beliau hadapkan kepada PN.

Anwar cuba mencari satu kemuliaan dengan pengumuman itu, namun di sebaliknya masih ada helah muslihat yang diselindungkan. Jika beliau benar serius menghapuskan judi, kenapa tidak sepenuhnya tetapi disisakan lapan cabutan khas itu?

Pengurangan cabutan itu sekadar mengurangkan kutipan hasil cukai kepada pihak kerajaan, tetapi ia tidak langsung menjejaskan operator atau pengendali judi yang ada di negara ini.

Cabutan judi biasa yang diadakan tiga kali seminggu di mana ia menjanakan keuntungan besar kepada tauke-tauke atau operator perjudian, serta membiakkan kegiatan tersebut, masih kekal seperti sedia kala.

Rekod Parlimen menunjukkan setahun penuh Malaysia berada di bawah pemerintahan Pakatan Harapan (PH) tahun 2019 dahulu, kutipan cukai judi adalah tertinggi iaitu sebanyak RM3.43 bilion.

Berbanding sebelumnya di bawah Kerajaan Barisan Nasional (BN) secara purata RM2.5 bilion. Ini menunjukkan walaupun ketika itu dikurangkan jumlah cabutan khas judi, tetapi nilai wang perjudian berada 130 kali ganda.

Tan Sri Muhyiddin Yassin pula sebelum ‘dijatuhkan’ telah berjaya membuat pengurangan sehingga kepada RM560 juta. Itupun, PAS tetap memberi bantahan keras untuk kerajaan menamatkan terus sebarang kegiatan dan hasil judi.

Sekiranya hasil kepada Kementerian Kewangan yang diketuai sendiri Anwar akan portfolio itu benar-benar komited menangani judi, sesuatu lebih utama patut dilakukan adalah kepada kegiatan tersebut di Genting Highlands.

Kasino dan kegiatan judi di situ adalah simbolik kepada usaha untuk menyatakan penolakan kepada judi, sebelum langkah seterusnya boleh digerakkan kepada kasino dan premis judi di seluruh negara.

Ini termasuk kegiatan atas talian atau perjudian tanpa lesen yang semakin bercambah semula. Jika beliau galak untuk menuding jari kepada PN, beliau patut bertanya bekas Menteri Kewangan yang kini bersama Kabinetnya.

Mungkin Anwar gembira dengan peluru sedang ditembaknya ini, tetapi bermuka-muka dan berpura-pura dengan isu ini kelak hanya memakan diri. Jika benar jantan, cuba berani bertindak seperti Kelantan, Terengganu dan Kedah.

Ketiga-tiga negeri itu sebaik ditadbir PAS, tanpa ragu-ragu bertindak dengan menamatkan pengeluaran lesen judi serta mengawal arak yang merupakan industri dosa noda serta punca kejahatan dan masalah di seluruh dunia.

Hatta, Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) merekodkan saham berkaitan arak dan judi menjunam sengsara mendapat berita perolehan kerusi tertinggi PAS pada PRU15 baru-baru ini. Namun, melonjak semula apabila Anwar mengangkat sumpah PM.

IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my – HARAKAHDAILY 5/12/2022

Ahad, 4 Disember 2022

Pemimpin Umno yakin masa depan lebih baik bersama PH-Lokman Adam

 Pemimpin Umno yakin masa depan lebih baik bersama PH

Pemimpin Umno yakin masa depan lebih baik bersama PH

Masa hadapan Umno dikira lebih cerah bersama Pakatan Harapan (PH) berbanding bergabung dengan Perikatan Nasional (PN).

Aktivis Umno, Datuk Lokman Noor Adam berkata demikian dalam talk show Kerusi Hangat terbitan Jom Channel, semalam.

Beliau berkata, Umno telah dikhianati dan dibuli amat teruk ketika bersama Bersatu dalam kerajaan diterajui Perdana Menteri Tan Sri Mahiaddin Yassin, maka adalah lebih baik kali ini parti itu mencuba berkerjasama dengan PH yang diterajui Datuk Seri Anwar Ibrahim pula.

“Pengalaman bergabung parti politik terutama Bersatu suatu mimpi ngeri. Sudah la dia khianat, dimaafkan, kita angkat dia menjadi PM. Kemudian dia tikam belakang kita, dia main kita, duit kita diblok.

“Bila malam itu (19 November) keputusan sedemikian rupa, kita fikir dengan siapa kita nak berada? PN hulur tangan. Tapi saya kalau cincang kerat 18 pun saya tak akan bersama Bersatu.

“Bila buntu itu, yang saya nampak BN perlu bersama dengan PH.

“Pertama saya nampak adakah nak beri peluang oran yang terang terang nak bunuh kita atau nak beri peluang Anwar, orang yang belum pernah buat apa apa kepada kita?

“Dia belum ada rekod menzalimi kita. Lebih baik kita pilih orang yang belum tahu apa jadi, sebagai orang yang pernah dianiayai,” katanya.

Bagi ahli Umno yang masih belum faham dinamik kerjasama dengan PH, Lokman memberi contoh mudah mengenai nasib kerusi Umno pada pilihan raya umum akan datang sekiranya mahu bersama PN.

Katanya, banyak kerusi Umno telah dirampas oleh PN dalam PRU 15 dan tidak mungkin lagi Umno akan bertanding di kawasan tersebut. Akhirnya Umno akan menjadi parti kecil biar pun ada 4 juta keahlian.

“Dalam keadaan sekarang 26 kerusi Umno kekal, dan 70 kerusi yang Bersatu dan Pas menang itu Umno tidak boleh masuk lagi. Umno Bahagian, lain daripada 26 ini sudah boleh tutup kedai. Kalau nak dapat pun 18 kerusi (marginal) disebabkan prestasi Bersatu dan Pas lebih baik, kita mungkin dapat tambahan 3.

“Apa nak jadi Umno 29 kerusi dengan keahlian terbesar? Kita kalah kali ini dengan fitnah mereka dan politik wang.

“Jadi saya yakin masa depan dengan PH lebih cerah, Umno boleh bertanding semua kerusi Melayu kecuali 18 kerusi KEADILAN dan Amanah menang.

“DAP tak kacau kawasan Melayu, KEADILAN pula banyak kerusi bukan Melayu. Dari segi kepentingan parti Umno, lebih baik bersama PH berbanding PN,” katanya.

Dalam pada itu, Lokman kesal dengan cara berkempen dan taktik kotor yang digunakan PN untuk menang PRU 15.

Lebih parah lagi, katanya, merujuk video yang tular dilihat lebai lebai kampung daripada PN telah pun pandai memberi rasuah wang secara terang terangan kepada pengundi muda dan itu melanggar akta kesalahan pilihan raya.

“Kali ini kita lihat politik wang dahsyat betul. Kita lihat apa berlaku di Larut, berlaku di Pagoh.

“Di kebanyakan tempat yang ada PN begitu jadinya. Apa yang menyedihkan kita tengok tok tok lebai ini dah pandai, bagi duit, wallahi, saya undi Pas. Ini tak pernah berlaku dalam sejarah

“Saya melihat benda ini berskala besar. Sudah tentuah mereka menyalahgunakan duit rakyat. Kalau tidak mana ada duit banyak macam tu

“Itu kita minta siasat mana pergi RM600 bilion dalam tempoh darurat? Yang kita nampak bagaimana dahsyatnya pengundi muda, undi pertama kali, mereka pergi ambil duit. Ada dijanji RM300 dapat RM100 pun ada.

“Ada (influencer) pakai baju (PN) 4 kali dapat RM100,000. Ada dapat RM5,000 sekali posting. Ada anak muda konvoi bermotor di bayar, pengundi luar balik kawasan dibayar, ia begitu dahsyat sekali,” katanya.

Ditanya mengenai DAP pula, Lokman berkata Umno dan penyokongnya tidak perlu takut dengan parti berkenaan kerana pengalaman mereka dalam kerajaan 22 bulan yang akhirnya tumbang selepas terlalu banyak desakan dari anggota dan pemimpin parti berkenaan telah memberi mereka pengalaman untuk lebih bersederhana kali ini.

Prospek kuasa eksekutif Anwar mengerikan, kata Kadir Jasin

 

Tokoh wartawan veteran A Kadir Jasin berpandangan Anwar Ibrahim yang kini merupakan perdana menteri dan menteri kewangan mempunyai kuasa eksekutif yang besar dan merupakan satu propek yang ngeri.

Mengulas mengenai pembentukan kerajaan, Kadir menyorot bahawa Anwar sendiri menjustifikasikan pelantikan ahli parlimen yang mempunyai kes mahkamah menggunakan alasan "innocent until proven guilty" (tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya).

"Kebimbangan kita adalah hujah itu akan menjadi ‘self-fulfilling prophesy’. Ertinya, orang yang menggunakan hujah itu mungkin mahu pendapatnya itu menjadi kenyataan.

"Dan sebagai perdana menteri, Anwar mempunyai kuasa eksekutif yang cukup besar untuk menjadikan apa yang dia mahu jadi, terjadi. Satu prospek yang ngeri," katanya dalam satu tulisan di Facebook, hari ini.

Tulisan itu dilihat sebagai mengulas pelantikan jemaah menteri kerajaan pimpinan Anwar yang antara lain melantik Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi sebagai timbalan perdana menteri dan pelantikan Tengku Zafrul Abdul Aziz sebagai menteri perdagangan antarabangsa dan industeri meskipun tewas pada PRU ke-15.

Pakatan Harapan (PH) yang diterajui Anwar juga sebelum ini berulang kali mengkritik Najib Razak kerana memegang portfolio kewangan di kementerian ketika menjadi perdana menteri.

Sementara itu Kadir berkata, kerajaan apa pun yang diterajui Anwar, ciri-ciri yang baik hendaklah diutamakan.

Tegasnya kerajaan perpaduan tidak bermaksud angkat muat, tidak kira permata atau kaca, yang berakhlak atau tidak.

"Yang kalah dilantik menteri. Yang menang diketepikan. Ketidakadilan boleh meleraikan muhibah dan perpaduan.

"Kerajaan perpaduan, kerajaan campuran atau apa-apa pun nama yang diberikan, bukan saja harus memuaskan hati perdana menteri, menteri-menteri dan para penyokong mereka tetapi wajib ada integriti," jelasnya.

Lebih daripada itu kata Kadir, kerajaan harus memuaskan hati atau, sekurang-kurangnya menenangkan perasaan 14.82 juta rakyat jelata yang keluar mengundi.

"Malangnya, atas alasan kerajaan perpaduan, pelantikan kontroversial yang dulu dielakkan oleh kerajaan Pengerusi Perikatan Nasional) Muhyiddin Yasin dan Ismail Sabri Yaakob dilakukan," katanya.

-Ibnu Hasyim