"Cashzine - Aplikasi Buat Duit Percuma Terbaik Yang PERLU anda miliki"

Cara Buat Duit Dengan Aplikasi Cashzine: Peluang Jana Side Income lebih RM100 Dalam Sehari Melalui Aplikasi Cashzine. (Scroll ke bawah untuk bukti pembayaran terkini daripada Cashzine

Cordyceps:Herba luarbiasa dan apa kehebatannya?

Pernahkah anda mendengar Cordyceps? Atau anda pernah melihat? Mungkin tak pernah dengarkan... Dan tak pernah lihat pun. Sama jugalah macam saya. Saya cuba ceritakan serba sedikit tentang Cordyceps ni. Walaupun bagaimanapun saya cuba fahamkan anda semua mengenainya samada dari tempat asal ataupun khasiat Cordyceps ini.

Cara Mudah Jadi Youtuber Terhebat

Ketahui cara bagaimana untuk menjadi Youtuber. Video yang senang difahami dan penuh dengan semua info yang perlu sebagai Youtuber. Dari asas kepada SEO, teknik Viral, Fb ads serta Mengandungi Teknik dan Rahsia Youtuber yang memiliki JUTAAN Subscriber..

Wanita kelihatan anggun dengan Hasanah Lipmatte

90% pengguna GEMBIRA dan TERUJA dengan Hasanah Lipmatte. Dah jadi trending bagi wanita abad ini. Bukan setakat mencantikkan bibir si pemakai malah dapat menaikkan keyakinan anda sepanjang hari.

9/10 Rezeki Perniagaan: Dari SOLOpreneur ke ENTREpreneur menjadi GLOBALpreneur

Cara Mulakan dan Kembangkan Perniagaan Ke Tahap Yang Lebih Tinggi Dengan Modal Minima.


 


Sabtu, 7 Mac 2026

Konflik Iran-AS/Israel:Blok Negara Arab Cuba Buat Pakatan Putuskan Kontrak Dengan AS

 


Dunia kewangan global bergegar pagi ni (6 Mac 2026). Empat gergasi ekonomi Teluk—Arab Saudi, UAE, Kuwait, dan Qatar—dikabarkan sedang dalam perbincangan serius untuk menarik diri daripada kontrak-kontrak besar dan komitmen pelaburan masa depan dengan Amerika Syarikat.

Ini bukan setakat gertak sambal, tapi ini adalah langkah "cuci tangan" daripada terus menjadi mangsa keadaan perang Iran-Israel-US.

Kenapa langkah ni sangat kritikal?

1. Poket Teluk Dah Mula Bocor

Perang Iran yang melibatkan AS dan Israel ni dah bagi kesan buruk kat ekonomi dorang.

• Pendapatan Tenaga Jatuh: Eksport minyak terganggu.

• Pelancongan Lumpuh: Siapa nak pergi melancong kalau misil berterbangan kat ruang udara Teluk?

• Bajet Pertahanan Mencanak: Dorang terpaksa habiskan duit beli senjata sebab takut jadi "collateral damage".

2. Klausa 'Force Majeure' – Senjata Sulit Teluk

Laporan Financial Times mendedahkan negara-negara ni tengah semak balik kontrak sedia ada menggunakan klausa Force Majeure. 

Maksudnya, dorang nak batalkan kontrak secara sah sebab "keadaan perang" yang tak dapat dielakkan. Ini tamparan hebat buat syarikat-syarikat gergasi AS yang bergantung pada duit Arab.

3. Tak Nak Jadi Pak Sanggup

Qatar, UAE, dan Kuwait sedar pangkalan tentera AS kat bumi dorang sekarang jadi magnet serangan balas Iran. Letupan kuat dah mula gegar kawasan sekeliling. Dengan menarik diri daripada kontrak ekonomi, dorang seolah-olah hantar mesej: "Korang punya perang, korang tanggunglah sendiri. Jangan heret duit kami sekali."

4. US Bakal Kehilangan Pelabur Terbesar

Kalau tiga atau empat ekonomi terbesar Teluk ni betul-betul tarik balik pelaburan masa depan dorang, AS bakal berdepan dengan krisis pusingan modal yang dahsyat. Ini bukan lagi pasal senjata, ini pasal "Perang Dompet".

Ini adalah "Divorce of the Century" (Perceraian Abad Ini). Selama berpuluh tahun AS jadi abang long yang jaga keselamatan Teluk demi minyak dan kontrak pelaburan. 

Tapi bila AS mula heret rantau tu ke kancah perang yang tak berkesudahan dengan Iran, negara-negara Arab ni sedar yang "abang long" dorang dah jadi liabiliti, bukan lagi aset.

Bila duit Arab mula ditarik keluar, Washington bukan setakat hilang kawan, tapi hilang punca pendapatan. 

Malam ni, bukan setakat Biden atau Trump yang tak tidur malam, tapi semua bos-bos besar Wall Street tengah menggigil!

————-

Source 

Jumaat, 27 Februari 2026

Bimbang bergelar ‘janda’, seorang isteri sanggup bertahan dalam perkahwinan walaupun dipukul kerap kali.

 Bimbang bergelar ‘janda’, seorang isteri sanggup bertahan dalam perkahwinan walaupun dipukul kerap kali.

Dahulu ada seorang wanita yang pernah saya jumpa di Mahkamah. Dia datang bersama dengan seorang rakan yang menemaninya untuk tanyakan prosedur cerai.

Jadi, kebetulan masa itu saya baru sahaja selesai urusan sebutan kes di Mahkamah tersebut, saya pun ditegur olehnya. Dari raut wajah, saya nampak mereka berharap benar untuk dapatkan nasihat.

Saya pun mengajak mereka untuk bersembang di bilik khas untuk peguam di Mahkamah. Seorang wanita yang dalam lingkungan umur 40 tahun dan seorang lagi 30an.

Wanita yang 30an tersebut membuka mulut dan menceritakan hal yang berlaku kepada dia. Rupanya yang meneman dia itu adalah kakaknya. Jadi, dia tidak ada masalah untuk memberikan peluang adiknya bercakap.

Kata wanita itu, dia telah lalui fasa perkahwinan yang sangat dasyat. 7 tahun perkahwinan dia dengan suami dikurniakan 2 orang anak. Suaminya adalah seorang kakitangan kerajaan yang berpangkat pegawai.

Masa awal kahwin, sikap suaminya sangat lembut tutur kata. Boleh dianggap seperti Suami Idaman Malaya lah katanya.

Tapi, selepas anak kedua dilahirkan, sikap suaminya mula berubah. Suaminya kerap naik suara apabila marah hanya kerana pinggan terjatuh kerana anaknya.

Kemudian, kemuncak pada perubahan sikap itu terjadi apabila suaminya sudah mula tampar wanita tersebut hanya disebabkan isteri ini mengadu tentang nafkah sahaja.

“Hang jangan kurang ajar. Aku dah sedia semua, apa lagi tak cukup?”

Inilah ayat yang dia dapat hanya kerana menyoal tentang nafkah yang tak cukup katanya.

Selepas itu, suami dia sering naik tangan memukul belakang kepala, dan pernah ditendang gara-gara anak bising menangis.

Pelik kan? Anak bising itu kan biasa? Tapi isteri pulak jadi ‘punching bag’

Tapi, dia tak pernah pun buat laporan polis apatah lagi mengadu kepada sesiapa. Kalau mereka balik kampung rumah keluarga, semuanya buat seperti biasa.

Wanita ini orangnya lemah lembut. Dia tak pernah pun melawan bila suaminya pukul. Katanya, dahulu dia belajar, “Syurga di bawah tapak kaki suami”. Itu yang ibunya pesan.

Jadi, dia takut untuk membuat aduan.

Saya pun geleng kepala. Terdiam. Dan hanya membiarkan wanita tersebut terus bercerita.

Boleh dikatakan, lebih daripada 10 kali dia ditendang di kaki dan belakang badan. Pernah sekali dia tak mahu keluar daripada rumah hingga seminggu lebih katanya sebab tak mahu orang nampak dia berjalan terjengket-jengket.

Anak-anak masih kecil. Mereka hanya mampu menangis bila peristiwa ini berlaku.

Saya tanya, takkanlah tak ada ribut ke taufan ke, tiba-tiba suami pukul? Katanya,”saya pun tak tahu lah tuan, kadang-kadang saya tengah baring sekejap, disepak belakang badan saya kerana disuruh saya masak nasi goreng. Sedangkan saya sudah siapkan nasi lauk yang lain”

Ya Allah. Macam tu pun ada.

Jadi, kenapa puan tak pernah mintak cerai sebelum ini?

“Saya bimbang, kalau saya diceraikan nanti, saya bergelar janda. Ramai orang akan pandang serong pada saya. Ibu bapa saya mesti tak percaya apa yang saya ceritakan.”

Kakak kepada wanita ini pun mula menyampuk, dia ternampak kesan lebam di muka adiknya sewaktu dia datang ke rumah untuk beri bekal makanan yang dikirim ibunya.

Dia desak adiknya untuk ceritakan hal sebenar. Akhirnya, dia mengaku. Suaminya kerap memukul dia walau tanpa sebab.

Kakaknya terus membawa dia keluar dan terus ke balai polis serta hospital untuk rawatan segera. Selepas pulang ke rumah keluarga, semuanya telah diceritakan dan ibu bapanya tidak menyangka suaminya yang nampak seperti seorang yang budiman, rupanya manusia bertopengkan syaitan.

Memang ada golongan isteri yang bimbang bergelar janda atau mungkin takut untuk bertindak kerana takut dikatakan nusyuz apabila lari keluar dari rumah.

✅ Adakah boleh isteri keluar rumah kerana dipukul suami?

Antara hak seorang isteri selain daripada nafkah adalah hak dilayan dengan cara yang ma’ruf. Iaitu suami berkata perkataan lembut dan tidak memukul dirinya.

Apabila hak itu gagal ditunaikan, maka hilanglah hak suami itu untuk ‘ditaati’. Ada dalam kalangan ulama’ menyenaraikan salah satu sebab isteri boleh keluar rumah jika takut bahaya menimpanya dalam rumah berkenaan.

Ibn Hajar Al-Haitami dalam Kitab Tuhfah Al-Muhtaj bi Sharh Al-Minhaj pernah menyebut, kalau suami ancam dengan pukulan tak wajar, isteri boleh keluar kerana takut akan ancaman tersebut.

✅ Adakah nusyuz kalau lari keluar tersebut?

Tindakan isteri keluar rumah tak dikira nusyuz. Bahkan, untuk sabit nusyuz, bukan datang daripada mulut suami. Tapi mesti datang daripada perintah Mahkamah.

Kalau keluar dari rumah dengan alasan ada ancaman merbahaya daripada suami seperti dipukul, ditampar, diacu pisau, suami ada penyakit kelamin merbahaya seperti HIV, atau mungkin kerana Covid19, maka isteri tak boleh dianggap nusyuz.

❤️ Kesimpulan,

Kisah yang saya kongsikan ini berlaku pada kebanyakan wanita diluar sana. Mungkin anda yang membaca ini sedang lalui atau pernah lalui sedemikian.

Ada yang bimbang dikatakan isteri derhaka. Tak cium syurga kalau buat laporan polis. Ada yang takut bila diugut jadi janda dan dirampas anak-anak.

Ingatlah, anda hidup di dunia ini bukan kerana tanggapan orang lain. Jangan kita malu hanya kerana bergelar janda, lalu kita rela menjadi hamba kepada suami durjana.

Islam tidak pernah meredhai dan merelakan wanita dipukul dan dizalimi. Islam juga tidak pernah melarang isteri yang teraniaya berpisah. Syurga bukan milik suami, tapi syurga itu milik Allah yang kuncinya hanya pada suami yang taat pada perintah Ilahi.

P/s : Lebih baik jadi janda, daripada kena seksa macam binatang.


Fahmi Ramli

Peguam Syarie

Anda ada pertanyaan? Boleh tanya disini

wasap.my/60126923897/NakTanyaSikit

Jumaat, 20 Februari 2026

“…kami benci dengan Muslim sebab suka hancurkan agama lain terutama Hindu..”

 “…kami benci dengan Muslim sebab suka hancurkan agama lain terutama Hindu..”

Prankaj ji

Oleh:Haikal Zulkefli

Antara ayat yang diungkapkan ketika mana saya berpeluang pergi ke India baru-baru ini untuk urusan  GSF 2.0. Ini pertama kali saya ke India sebenarnya, jadi perasaan ingin tahu memang lebih sikit.

Lagi pula kita tahu hubungan Muslim dan Hindu di India memang agak tegang. Banyak sudah kisah yang kita dengar tentang pertelagahan antara agama di negara tersebut.

Ketika mana saya ingin ke tempat mesyuarat untuk GSF 2.0 yang diadakan di sekitar tengah bandar Mumbai, saya buat pesanan untuk Uber bagi ke tempat pertemuan.

Bila dah naik Uber, kita pun tiba-tiba datang sifat ramah. Maka, berbuallah saya dengan pemandu Uber yang ambil saya. Nama pakcik tersebut ialah Prankaj. Saya gelar Prankaj ji.

Saya pun nak buat rasa lagi dekat, perkenalkan diri dalam Hindi,

“Namaste Prankaj ji”

“Mera naam Haikal, from Malaysia”

Bila saya sebut Malaysia, terus soalan dia tertumpu kepada kes kuil haram yang pada ketika itu memang tengah hangat. Saya tak jawab lagi, tapi bagi dia perkenalkan diri.

Prankaj ji adalah salah seorang anggota RSS, atau nama penuh pertubuhan ini ialah Rashtriya Swayamsevak Sangh, sebuah organisasi sayap kanan Hindutva yang promosikan agenda nasionalis Hindu di India.

Prankaj ji pada mulanya ingat saya ini adalah orang India yang menetap di Malaysia sebab dia kata tak nampak muka Melayu, macam ada darah campuran.

Bila saya kata saya Melayu dan Muslim, lagi banyak soalan yang diutarakan. Saya risau sebenarnya, rsau kita salah jawab.

Tapi sepanjang dalam kereta dengan Prankaj ji, saya terangkan bahawa kes kuil haram ini bukan sebab kami benci Hindu, tapi soal hak. Sama juga kalau Masjid, gereja atau tokong yang dibina atas tanah orang lain tanpa kebenaran, tetap kami lawan.

Dia juga tanya kenapa Muslim benci Hindu sebab dia kata Muslim di India rasis. Saya kata, tunjuk bukti di mana Muslim di India rasis melainkan kaum Hindu yang menceroboh dan memulau komuniti Muslim. 

Saya kata juga kepada dia, kalau nak kenal Islam itu bagaimana, lihat kepada kitab iaitu Al-Quran sebab kami tidak diajar untuk jadi ekstremis. Jangan lihat kepada sebahagian Muslim yang ekstrem kemudian kamu pukul rata bahawa Islam ajar sebegini.

Saya tambah lagi bahawa jangan termakan dakyah orang politik. Saya terangkan bahawa ketika mana BJP pimpinan Narendra Modi naik pada 2014, hampir 500 peratus ucapan kebencian (hate speech) daripada tahun 2014-2018.

Agak panjang juga perbualan kami, walaupun dah nak sampai tapi masih belum habis. Saya pun kata kepada Prankaj ji, Islam ajar kami untuk hormat semua agama tetapi tidak sehingga kami sanggup gadaikan iman atau prinsip kami jika ditekan banyak kali.

Saya suruh Prankaj ji pergi ke kawasan komuniti Muslim pada bulan Ramadan, supaya dia tahu bahawa Islam tidaklah seperti yang disangkakan.

Sebelum keluar kereta, dia ucapkan terima kasih dan berpelukan dengan saya. Dia kata ini kali pertama dapat dengan pandangan seorang Muslim tanpa sebarang kebencian. 

Moga-moga, adalah manfaatnya perbualan saya dengan dia. 

Terus sumud untuk sebarkan kedamaian dan perjuangkan pembebasan Plstn.

Source 

Rabu, 18 Februari 2026

Kronologi Sebenar disebalik isu pencerobohan Tanah Rawang Perdana yang ramai tak tahu

 


Baru-baru ini, saluran ZRA Strim telah mengupas satu isu yang sangat panas dan tular berkaitan konflik pencerobohan tanah. 

Dalam sesi temubual eksklusif tersebut, Tuan Haji Zainal duduk bersama wakil Yayasan Al-Kubra, iaitu Ustaz Ismail Mina dan Saudara Arif bagi membongkar fakta sebenar di sebalik isu tersebut.

Ramai yang keliru. Ramai yang menghukum tanpa tabayyun. Ada yang melabel tuan tanah sebagai pembuli dan penjenayah. Hari ini kita bongkar kronologi sebenar di sebalik isu tanah di Rawang Perdana yang melibatkan Yayasan Al-Kubra.

Ini bukan soal perkauman. Ini soal hak dan kedaulatan undang udang.

Berikut adalah 5 fakta penting hasil penjelasan Ustaz Ismail Mina dan saudara Arif (wakil Yayasan):

1. Status Tanah: Hak Milik Mutlak Sejak 1998 

Tanah ini bukan tanah kerajaan atau tanah rizab. Ia adalah milik sah Yayasan Al-Kubra sejak 28 tahun lalu. 

Kuil yang ada di situ bermula dari struktur kecil pondok kontraktor yang ditinggalkan kemudian menceroboh secara perlahan-lahan.

2. Beban Amanah Syariat 

Sebagai pemilik Muslim, Yayasan Al-Kubra memikul tanggungjawab berat di sisi agama.

▶️ Tanah adalah amanah untuk diurus mengikut syariat.

▶️ Pemilik wajib memastikan tanah tidak digunakan untuk aktiviti syirik, maksiat, atau khurafat (seperti nombor ekor/port matpet).

▶️ Niat asal adalah murni: Membangunkan Kompleks Asnaf untuk membantu golongan fakir miskin.

3. Politik dan Manipulasi Media 

Inilah punca utama isu ini meledak.

▶️ Sebenarnya rundingan antara Tuan Tanah dan Pihak Kuil sudah hampir selesai secara baik. Pihak kuil sendiri ada yang mengaku mereka silap duduk di tanah orang.

▶️ Malangnya, ada ahli politik yang datang menunggang isu ini demi undi dan populariti.

▶️ Ada pula pihak media dan media sosial melabel tuan tanah sebagai "MOB" (perusuh) dan kontraktor (Tamim) dituduh menceroboh. Logik apa tuan tanah menceroboh tanah sendiri?

4. Keputusan Rasmi PBT dan Polis 

Pihak Yayasan tidak bertindak melulu. Mereka ada hitam putih:

▶️ Mac 2022: Majlis Perbandaran Selayang (MPS) mengesahkan tanah itu milik yayasan dan memberi lampu hijau untuk pengosongan.

▶️ OSC (Jawatankuasa Pusat): Keputusan ini turut dihadiri dan diketahui oleh pihak polis.

▶️ Mediator IPD Gombak: Dalam pertemuan terbaru di balai polis, pihak kuil secara terbuka bersetuju untuk keluar dalam tempoh 14 hari.

5. Hikmah dan Timbang Rasa 

Walaupun undang-undang memihak kepada mereka, Yayasan Al-Kubra memilih jalan paling harmoni:

▶️ Mereka setuju memberi tempoh 2 minggu untuk pihak kuil pindah barang.

▶️ Malah, wakil Yayasan sendiri mengarahkan semua penyokong supaya tidak ke tanah tersebut buat sementara waktu bagi mengelakkan provokasi. Ini adalah sifat orang Mukmin yang memegang janji.

Berhentilah melabel langkah menjaga hak sebagai penindasan minoriti. Keadilan tidak melihat pada warna kulit tetapi pada kebenaran fakta. 

Jangan biarkan penunggang undi merosakkan muhibah yang kita bina dengan konspirasi politik terancang. 

Dunia mungkin melihat kita garis keras tapi syariat menuntut kita menjadi garis benar. 

Penulisan ini adalah ringkasan padat berdasarkan kupasan isu yang dibincangkan dalam sesi podcast ZRA Stream baru-baru ini.

Kredit : ZRA Stream

Source 

Selasa, 17 Februari 2026

MISI PERANGI RASUAH: LEBIH RAMAI DALAM ‘RADAR’ YANG DI-PERTUAN AGONG

 MISI PERANGI RASUAH: LEBIH RAMAI DALAM ‘RADAR’ YANG DI-PERTUAN AGONG 

KDYMM SPB Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, menzahirkan amaran bahawa lebih ramai lagi di dalam ‘radar’ Seri Paduka Baginda dalam misi memerangi rasuah tanpa kompromi di semua jabatan serta agensi kerajaan.

Seri Paduka Baginda, bertitah rasuah adalah pengkhianatan terhadap amanah rakyat dan tidak akan sama sekali ditoleransi dalam pentadbiran negara. 

“Jangan ingat memerangi rasuah ini hanya bertumpu pada segelintir jabatan, atau mereka yang memberi dan menerima.., malah berhati-hati juga mereka di Polis Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen, Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan pelbagai lagi. 

“Tidak terlepas juga Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia. 

“Tidak kira apa jua pangkat anda…, begitu juga ejen-ejen yang menjadi “orang tengah” selain menjadi pembekal pelbagai peralatan, pakaian serta perubatan…, anda juga dalam ‘radar’. 

“Bah kata pepatah ‘siapa makan cili, dia terasa pedas’…, jangan anda semua ingat saya tidak tahu apa-apa, saya juga mempunyai risikan saya sendiri,” titah Seri Paduka Baginda pada Royal Press Office (RPO) pada hari ini (16 Februari). 

Seri Paduka Baginda, bertitah usaha membanteras rasuah tidak boleh bersifat kosmetik atau sekadar retorik, kerana tiada siapa boleh terlepas dari undang-undang. 

Sultan Ibrahim, bertitah sekiranya terdapat pegawai yang gagal melaksanakan tanggungjawab dengan amanah dan berintegriti, maka pertukaran perlu dilaksanakan tanpa berlengah. 

“Saya ada alternatif lain. Jika ada pegawai yang tidak mampu melaksanakan amanah dengan jujur, berikan peluang kepada mereka yang lebih layak dan bersih untuk menjalankan tanggungjawab itu,” titah Seri Paduka Baginda.

#YDPAgong

#AllahPeliharakanSultan

#IstanaNegara

Source 

Ahad, 8 Februari 2026

Singa Utara Penyatu Ummah: Dato’ Seri Shahidan Kassim dan Politik Prinsip

 Singa Utara Penyatu Ummah: Dato’ Seri Shahidan Kassim dan Politik Prinsip

Gelaran Singa Utara bukan sekadar simbol keberanian dan kelantangan, tetapi mencerminkan peranan Dato’ Seri Shahidan Kassim dalam mengemudi politik Malaysia dengan prinsip, pengalaman dan fokus kepada perpaduan ummah. Dalam lanskap politik yang semakin kompleks, Shahidan muncul sebagai tokoh berpengalaman yang lantang bersuara, tegas berprinsip dan konsisten membawa agenda penyatuan Melayu-Islam sebagai asas perjuangan politiknya.

Beliau kini berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Arau sejak Mei 2013, selepas pernah memegang kerusi sama dari Ogos 1986 hingga April 1995. Perjalanan politik Shahidan merangkumi peringkat negeri dan Persekutuan, membentuk figura yang masak dengan realiti kuasa, strategi dan perubahan arus politik negara.

Nama Shahidan mula mengukir pengaruh ketika bersama UMNO, khususnya apabila beliau dilantik sebagai Menteri Besar Perlis ke-7 dari 1995 hingga 2008, menjadikannya Menteri Besar paling lama berkhidmat dalam sejarah negeri. Dipilih rakyat selaku ADUN Tambun Tulang sehingga habis penggal tahun 2013. 

Pentadbiran beliau dikenali tegas, berprinsip dan berani membuat keputusan, termasuk memperkukuh hubungan Perlis dengan wilayah selatan Thailand dalam aspek keselamatan, perdagangan dan budaya demi kestabilan sempadan.

Di peringkat Persekutuan, beliau pernah menjadi Menteri di Jabatan Perdana Menteri dalam pentadbiran Barisan Nasional di bawah Datuk Seri Najib Razak (2013–2018), terus aktif dalam politik ketika era Tan Sri Ismail Sabri Yaakob, sebelum dilantik sebagai Menteri Wilayah Persekutuan (2021–2022). Beliau juga pernah memegang kedudukan penting dalam Majlis Tertinggi UMNO, menandakan kedudukannya yang signifikan dalam struktur parti ketika itu. Namun perubahan landskap politik, pergeseran prinsip serta keyakinan terhadap agenda Melayu-Islam akhirnya mendorong beliau meninggalkan UMNO dan menyertai PAS.

Langkah Shahidan bersama PAS dalam gabungan Perikatan Nasional (PN) menjadi titik perubahan penting di Perlis. Pada awalnya, penghijrahan beliau disambut skeptikal, namun beliau membuktikan pengaruhnya di lapangan apabila mengetuai PN sehingga hampir menyapu bersih semua kerusi DUN, meninggalkan UMNO tanpa wakil dan Pakatan Harapan hanya satu kerusi. Kejayaan ini mengukuhkan kedudukannya sebagai tokoh penting PN dan PAS, selari dengan agenda penyatuan Melayu-Islam dan perpaduan ummah yang sentiasa menjadi teras pemikirannya.

Dalam struktur semasa, beliau memegang pelbagai peranan strategik termasuk sebagai Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat (2025–2027), Timbalan Pesuruhjaya III PAS Perlis, Pengerusi PN Perlis, Menteri Kabinet Bayangan PN (Pembangunan Luar Bandar & Wilayah serta Timbalan Pengerusi Khidmat Malaysia Pusat. Di Parlimen pula, Shahidan pernah dilantik sebagai Pengerusi Majlis Ahli Parlimen Kerajaan Perikatan Nasional (PNBBC) 2020–2021 sebelum melepaskan jawatan itu apabila dilantik sebagai Menteri Wilayah Persekutuan.

Shahidan juga seorang tokoh berpendidikan tinggi. Beliau menimba ilmu di Sekolah Kebangsaan Tambun Tulang dan Sekolah Menengah Dato’ Sheikh Ahmad, sebelum melanjutkan pelajaran di Sekolah Menengah Sultan Abdul Halim (SMSAH), Jitra. Beliau memperoleh Ijazah Sarjana Muda Ekonomi & Sejarah dari Universiti Malaya, Sarjana Pengajian Pembangunan dari International Institute of Social Studies, Belanda, dan PhD dalam Sains Politik dari Universiti Utara Malaysia (2007) . Latar akademik ini membentuk gaya pemikiran analitis, kritikal, serta keberanian bersuara yang menjadi ciri utama pentadbiran dan politik beliau.

Kerjaya awal Shahidan bermula di Jabatan Kastam Kuala Perlis (1974), diikuti perkhidmatan di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Perlis, sebelum menceburi politik secara rasmi pada 1986. Pengalaman pentadbiran ini menjadi asas kukuh dalam mengemudi negeri dan negara.

Di luar politik, Shahidan aktif dalam sukan, korporat dan kebajikan. Beliau pernah menerajui Felda Global Ventures Holdings (FGV), menjadi Pengerusi PR1MA Malaysia, dan Presiden Kuala Lumpur City FC. Beliau juga terlibat dalam kepimpinan Persatuan Bola Sepak Perlis, Kesatuan Olahraga Malaysia dan Malaysian Aquatics, selain menggerakkan Yayasan Pok & Kassim untuk membantu golongan miskin, mangsa banjir, serta menyokong pendidikan dan pembangunan belia. Pada Disember 2022, beliau menubuhkan Pertubuhan Perpaduan Ummah (PPU)—sebuah NGO yang fokus kepada perpaduan masyarakat, kerja kebajikan dan fungsi semak imbang terhadap kerajaan tanpa mengira parti.

Sepanjang kariernya, Shahidan tidak terlepas kontroversi, termasuk dakwaan pemilikan saham besar dalam Padiberas Nasional Berhad (BERNAS). Tuduhan ini pernah dilemparkan pihak tertentu, namun beliau menafikannya secara konsisten dan sehingga kini tiada bukti sah atau pengesahan rasmi. Isu ini kekal sebagai polemik politik tanpa keputusan muktamad.

Di Dewan Rakyat, Shahidan terkenal dengan gaya berhujah santai tetapi tajam, penuh fakta dan sindiran sinis. Ungkapan “amat-amat hebat, amat-amat dahsyat” menjadi identiti politiknya yang membakar semangat penyokong. Setiap kali beliau bangun berbahas, suasana Parlimen pasti lebih hangat—terutama apabila hujah-hujahnya membuatkan beberapa wakil pembangkang kelihatan tidak senang duduk.

Keseluruhannya, Dato’ Seri Shahidan Kassim bukan sekadar ahli politik biasa. Beliau adalah gabungan pendidikan, pengalaman pentadbiran, keberanian politik dan prinsip penyatuan Melayu-Islam, seorang tokoh yang berpengaruh, sukar dipinggirkan, dan kekal relevan dalam landskap politik Malaysia. Gelaran Singa Utara Penyatu Ummah bukan sekadar simbol, tetapi mencerminkan dedikasi beliau dalam menyatukan rakyat, memperkukuh perpaduan Melayu-Islam dan membawa suara prinsip ke pentas nasional.

Source 

Khamis, 5 Februari 2026

Dari seorang banduan kes bunuh kini bergelar Doktor Falsafah yang berjaya

 


Bayangkan pada umur 14 tahun datang KL dari Sabah dengan niat nak cari kerja tapi berakhir dengan tuduhan membunuh.

Ini bukanlah plot filem aksi, tetapi realiti pahit yang terpaksa ditelan oleh Murad atau kini lebih dikenali sebagai Dr. Murad. 

Seringkali kita rasa ujian kita sudah cukup berat namun bila kita dalami kisah beliau, barulah kita sedar erti syukur yang sebenar.

1. Harapan Yang Dikhianati

Kisah sadis ini bermula jauh di pedalaman Sabah. Didorong keinginan membara untuk mengubah nasib keluarga, Murad nekad mengikut seorang lelaki yang baru dikenali sebagai ejen pekerjaan. 

Beliau dijanjikan gaji RM800 sebulan satu jumlah yang besar buatnya ketika itu. Walaupun ditentang hebat oleh ibu bapa kerana faktor usia dan tiada kenalan di Semenanjung Murad tetap melangkah pergi.

2. Terperangkap Dalam Neraka Dunia

Tiba di Kuala Lumpur pada tahun 2001, impian menjadi pembuat kek berkecai. Murad dan lapan rakannya ditipu hidup-hidup. 

Mereka dijadikan buruh paksa tanpa gaji, dokumen dirampas, dan sering dipukul jika tidak menurut perintah. 

Dalam usia yang sangat mentah Murad terpaksa bekerja sehingga tengah malam dalam ketakutan dan penyesalan yang tidak berhujung.

3. Detik Hitam Di Pintu Grill

Selepas lima bulan menderita takdir membawa Murad ke satu malam yang tragis. Terlihat pintu grill terbuka Murad cuba melarikan diri dari 'neraka' tersebut. 

Namun, tindakannya dihidu majikan yang kemudian bertindak memukulnya tanpa belas kasihan. 

Dalam keadaan terdesak demi mempertahankan nyawa beliau mencapai pisau (kerana tugasnya sebagai tukang masak) dan tertikam majikannya dalam pergelutan tersebut.

4. Pelarian Dan Penangkapan

Murad melarikan diri ke lapangan terbang untuk pulang ke Sabah dengan sisa wang yang ada. Namun tepat jam 6 pagi sebelum menaiki pesawat dunia Murad gelap apabila beliau ditahan polis. 

Majikannya disahkan meninggal dunia. Oleh kerana faktor umur di bawah 18 tahun, beliau terlepas daripada hukuman gantung tetapi dijatuhi hukuman Tahanan Limpahan Sultan bermaksud beliau dipenjara tanpa tarikh bebas yang pasti, bergantung sepenuhnya kepada pengampunan Tuanku

5. Hidayah Dan Cahaya Ilmu

Di sebalik tembok batu, Murad menemui sinar baru. Beliau memeluk Islam dan mula menyedari bahawa hanya ilmu mampu merubah darjatnya. 

Walaupun asalnya hanya tamat darjah enam dan tidak tahu membaca, penjara dijadikan universiti kehidupan. 

Beliau membuktikan keajaiban dengan menggenggam SPM, STPM, Ijazah, Sarjana dan akhirnya PhD.

6. Keajaiban Penajaan

Belajar di penjara memerlukan kos sendiri, namun aturan Tuhan itu sangat indah:

▶️ SPM & STPM: Dibiayai melalui bantuan zakat Mualaf.

▶️ Ijazah (Degree): Mendapat Dermasiswa sepenuhnya daripada Open University Malaysia (OUM).

▶️ Sarjana (Master): Mendapat sokongan biasiswa daripada hamba Allah yang percaya kepada potensi beliau tanpa mengharapkan sebarang balasan.

▶️ PhD: Ditaja sepenuhnya oleh pihak OUM sebagai graduan PhD pertama dari tirai besi.

Dalam podcast tersebut Dr. Murad secara khusus menzahirkan penghargaan kepada Datuk Dr. Hartini sebagai individu yang sangat berjasa memberikan biasiswa dan sokongan moral kepada beliau sepanjang proses transformasi tersebut.

7. Peluang Kedua Buat Dr. Murad

Selepas 24 tahun meringkuk di sebalik tirai besi, Dr. Murad akhirnya mendapat pengampunan daripada Sultan Selangor. 

Beliau kini pulang ke pangkuan keluarga di Sabah bukan lagi sebagai banduan, tetapi sebagai seorang ilmuwan dan usahawan tani yang mahu membantu bekas banduan lain melalui syarikatnya, Hikmas Enterprise.

Kadang-kadang kita rasa hidup kita paling susah tapi kisah Dr. Murad ini mengajar kita bahawa masa lalu bukan penjara sebenar minda yang menyerah itulah penjara yang paling kejap.

Tahniah Dr. Murad! 

Ini bukti nyata bahawa peluang kedua itu sentiasa ada asalkan kita sendiri yang nekad untuk menciptanya.

Credit sumber berita : Studio 9 UMS / Penang Netizen

Source 

Khamis, 29 Januari 2026

Harumaneh Peghelih: Saat aroma semerbak dan rasa enak tidak seiring lagi

 

DI PEGHELIH suatu ketika dahulu, berdirilah sepohon mangga harumaneh yang menjadi kebanggaan ramai. Pohonnya bukanlah biasa-biasa. Batangnya tegap, sistem saliran xilem dan floemnya berfungsi dengan baik menyebarkan nutrien, akar tunjangnya mencengkam bumi dengan kukuh, membolehkan air dan zat mineral diserap dengan sempurna.

Kanopinya rimbun menghijau, proses fotosintesis berlangsung tanpa gangguan, manakala bunganya berkembang lebat setiap musim. Dari kejauhan, sesiapa sahaja yang memandang pasti yakin bahawa inilah pohon yang bakal menghasilkan buah paling harum dan paling enak.

Namun apabila musim berbuah tiba, jangkaan itu meleset. Buah yang terhasil tidak menepati namanya. Aroma semerbak yang dinantikan hampir tidak berbau, rasa kelazatannya tawar hambar, malah sebahagiannya gugur ketika masih muda lalu mereput di tanah.

Fenomena ini menimbulkan persoalan dalam kalangan mereka yang setia menunggu, apakah yang telah berlaku kepada pohon yang zahirnya begitu subur dan meyakinkan ini?

Al-Quran sering mengajak manusia berfikir melalui tamsilan yang dekat dengan fitrah kehidupan. Allah SWT berfirman:

“Tidakkah engkau melihat bagaimana Allah membuat perumpamaan: kalimah yang baik seperti pohon yang baik, akarnya kuat dan cabangnya menjulang ke langit. Ia menghasilkan buahnya pada setiap waktu dengan izin Tuhannya.” (Surah Ibrahim: 24–25)

Ayat ini mengajar bahawa kebaikan yang sebenar tidak berhenti pada rupa dan struktur, tetapi pada keberhasilan yang berterusan dan penuh keberkatan. Pohon yang baik bukan sekadar hidup, tetapi menghasilkan buah yang menepati tujuan penciptaan-Nya.

Pohon harumaneh di Peghelih bukan tidak hidup. Ia tidak mati, tidak tumbang, malah terus berbunga. Masalahnya bukan pada batang yang reput atau tanah yang tandus.

Masalah sebenar berlaku dalam sistem dalaman pohon itu sendiri seperti gangguan aliran nutrien, ketidakseimbangan hormon tumbesaran seperti auksin dan giberelin, serta kewujudan unsur toksik halus yang perlahan-lahan mengganggu metabolisme buah.

Daun kekal hijau, bunga terus berkembang, tetapi hasil akhirnya rosak dari dalam.

Begitulah juga keadaan sesebuah organisasi apabila struktur zahirnya kelihatan kukuh, tetapi roh tarbiyah, adab berjamaah dan disiplin perjuangan semakin terhakis. Keahlian yang ramai, sejarah yang panjang dan simbol yang megah tidak menjamin keberkatan jika nilai asas tidak terus disuburkan. Allah SWT mengingatkan:

“Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri.” (Surah ar-Ra‘d: 11)

Daun yang hijau tidak mampu menggantikan buah yang enak, sebagaimana pakaian mewah, serban jubah dan slogan indah tidak mampu menggantikan akhlak, kesetiaan dan ketaatan dalam perjuangan.

Apabila amanah pemerintahan diberikan, ia ibarat pohon yang telah memasuki fasa berbuah. Inilah fasa paling sensitif dalam kitar hayat sesebuah pohon. Buah memerlukan kestabilan fisiologi dan persekitaran yang seimbang.

Sedikit tekanan, sedikit goncangan mekanikal, atau perubahan dalaman mampu menyebabkan buah muda mengalami ‘abscission’ lalu gugur sebelum masak. Maka apabila pergeseran dalaman mula berlaku, nasihat pimpinan dipandang ringan dan keputusan jamaah dipersoalkan tanpa adab, buah yang sepatutnya dibesarkan bersama menjadi mangsa pertama.

Dalam ribut yang melanda, mungkin hanya dua atau tiga biji buah yang gugur. Jumlahnya kecil, lalu diabaikan. Buah-buah ini terus mereput di tanah lalu tidak lagi memberi manfaat, tidak juga menyumbang kepada masa depan pohon.

Namun dahan tempat ia berpaut terkejut menanggung beban yang banyak, lalu menjadi rapuh dan mudah bergoyang. Apabila angin ribut kepentingan dan emosi menyapa, dahan itu gagal menahan goncangan, menyebabkan beberapa lagi buah muda terlepas dan jatuh.

Rasulullah SAW mengingatkan umatnya tentang pentingnya kebersamaan dengan jamaah:

“Hendaklah kamu bersama-sama dengan jamaah, dan jauhilah perpecahan.” (Riwayat at-Tirmizi)

Dan dalam hadis lain, Baginda bersabda:

“Sesiapa yang memisahkan dirinya daripada jamaah walaupun sejengkal, maka dia telah menanggalkan ikatan Islam dari lehernya.”
(Riwayat Abu Dawud)

Hadis ini tidak boleh difahami secara sempit dan lateral sebagai meninggalkan jamaah secara fizikal semata-mata.

Para ulama menjelaskan bahawa meninggalkan roh jamaah, iaitu adab, disiplin, wala’ kepada keputusan bersama serta kesediaan meletakkan maslahat umum mengatasi emosi peribadi juga termasuk dalam peringatan keras ini.

Seseorang boleh terus berada dalam saf, tetapi jiwanya sudah terpisah; tindakannya menjadi toksik kepada kestabilan keseluruhan sistem.

Dalam sains tumbuhan, unsur toksik tidak semestinya mematikan pokok secara mendadak. Ia merosakkan secara perlahan dan senyap.

Fotosintesis masih berjalan, bunga masih mekar, tetapi kualiti buah terus merosot. Demikian juga toksik perpecahan, ego dan hilang adab dalam organisasi yang pada zahirnya tampak biasa, namun hasil akhirnya amat mengecewakan.

Sayyidina Umar al-Khattab RA pernah berpesan:

“Tiada Islam tanpa jamaah, tiada jamaah tanpa kepimpinan, dan tiada kepimpinan tanpa ketaatan.”

Ketaatan yang dimaksudkan bukan ketaatan membuta tuli, tetapi ketaatan yang beradab, berdisiplin dan berlandaskan tarbiyah.

Lebih mendukacitakan, apabila dahan yang sepatutnya mengukuhkan pohon pula menjadi punca kelemahan. Amanah yang seharusnya dipertahankan diganggu oleh tindakan yang lahir bukan daripada hikmah, tetapi daripada gelojoh dan ketidakpuasan hati.

Allah SWT memberi peringatan yang jelas:

“Dan janganlah kamu berbantah-bantahan, yang menyebabkan kamu menjadi lemah dan hilang kekuatan kamu.” (Surah al-Anfal: 46)

Terdapat juga senario dimana buah yang telah gugur dan rosak, namun masih mendakwa dirinya buah harumaneh yang asli. Hakikatnya, buah yang baik tidak perlu mengaku. Ia dikenali melalui rasa, diterima melalui manfaat dan dirindukan kerana kualitinya. Benarlah kata ulama:

“Kebenaran tidak diukur dengan siapa yang berkata, tetapi diuku dengan kesan dan amalnya.”

Perjuangan Islam tidak dibina dengan pengakuan diri, tetapi dengan keikhlasan, kesetiaan, pengorbanan kepada jamaah dan adab terhadap kepimpinan.

Namun tanah Peghelih masih subur. Rakyat tidak menolak harumaneh, dan mereka tidak membenci pohonnya. Yang mereka rindukan ialah buah yang benar-benar menepati janji dimana harum baunya, enak rasanya dan memberi manfaat.

Pohon ini masih hidup dan berpeluang untuk dipulihkan jika penjagaannya kembali kepada asas tarbiyah dan muhasabah yang jujur.

Jika akar tarbiyah kembali disuburkan, aliran dalaman dibersihkan daripada unsur toksik, dan amanah dipikul dengan rasa takut kepada Allah, pohon harumaneh ini Insya-Allah mampu kembali menghasilkan buah yang harum dan enak.

Kerana pada akhirnya, pohon yang baik tidak dinilai pada lebat bunganya atau gagah batangnya, tetapi pada buahnya. Dan apabila harumaneh tidak lagi semerbak dan enak, itu bukan alasan untuk meninggalkan pohon atau menumbangkannya, tetapi isyarat agar kita memperbetulkan cara memelihara dan menjaganya.

Insya-Allah, dengan disiplin dan kesabaran, harumaneh Peghelih akan kembali dicari dan digilai untuk dinikmati kelazatannya.

Harumaneh bertangkai panjang,
Isinya kuning bercampur merah;
Sudah muncul suasana tenang,
Tingkatkan ukhuwah dengan berusrah.

TS DR MOHD SUFFIAN YUSOFF
Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Kedah
ADUN Bandar Baharu
Fellow Yayasan Strategik Lestari
Fellow Yayasan Kedah Sejahtera – HARAKAHDAILY 29/1/2026

Rabu, 21 Januari 2026

Kolaborasi Agung : UMNO Menang Melebihi 40 kerusi PRU16 Bersama Perikatan Nasional

 Kolaborasi Agung : UMNO Menang Melebihi 40 kerusi PRU16 Bersama Perikatan Nasional 

1. Dalam PRU15 yang lepas, UMNO hanya menang 26 kerusi. Jika Kolaborasi Agung dan Rumah Bangsa yang digagaskan oleh Presiden UMNO ialah bersama Perikatan Nasional, dengan mudah sahaja UMNO sudah boleh menambah 10 kerusi di dalam pilihanraya umum yang akan datang.

2. Walaupun kira-kira pilihanraya tidak seperti kira-kira asas matematik, tetapi sudah difahami dengan jelas bahawa pengundi Perikatan Nasional boleh mengundi Barisan Nasional seperti yang berlaku di siri-siri PRK selepas PRU2018. Ia dengan ketara berlaku di PRK Cameron Highland dan PRK Tanjung Piai.

3. Jika disorot kerusi-kerusi yang dimenang oleh Pakatan Harapan di mana kedudukan UMNO di tempat kedua dan akan menjadi pemenang jika djumlahkan dengan undi Perikatan Nasional, UMNO dengan mudah sekali akan memenangi 10 kerusi tambahan iaitu ; P121 Lembah Pantai, P96 Kuala Selangor, P107 Sungai Buloh, P101 Hulu Langat, P141 Sekijang, P144 Ledang, P149 Sri Gading, P135 Alor Gajah, P137 Hang Tuah Jaya dan P160 Johor Bahru.

4. Ambil contoh P160 Johor Bahru yang dimenangi oleh calon PH (Akmal Nasir) pada PRU15 dengan 43,252 undi, manakala calon UMNO (Johan Ropi) memperoleh 27,211 undi dan calon PN (Mohtaj) memperoleh 22,075 undi; namun dalam senario akan datang, sekiranya undi UMNO dicampur dengan PN, jumlahnya menjadi 49,286 undi, sekali gus mengatasi undi PH dan membolehkan kerusi ini dimenangi oleh gabungan tersebut. 

5. Di dalam perundingan kerusi sudah tentu kerusi ini akan ditandingi oleh UMNO yang mendapat tempat kedua, itu tiada syak wasangka lagi. 

6. Dalam konteks BN, kerusi Bentong dan Labis yang ditandingi oleh MCA dan kerusi Sungai Siput yang ditandingi oleh MIC sangat berpeluang untuk dimenangi kerana parti-parti komponen BN itu berada di tempat kedua selepas Pakatan Harapan.

7. Ini belum mengambil kira kerusi-kerusi yang dimenangi oleh Pakatan Harapan dan Perikatan Nasional di tempat kedua namun hanya meninggalkan Barisan Nasional dengan perbezaan yang sedikit yang tentu sekali terbuka kepada perbincangan untuk ditandingi. 

8. Ini hanyalah kira-kira mudah sahaja yang tentu sekali masih terdedah dengan pelbagai kemungkinan dan senario isu dan perkembangan lain yang boleh mempengaruhi pengundi, tetapi ia sudah cukup kuat untuk menjadi asas perbincangan dalam gabungan politik.

9. UMNO dengan mudah mengekalkan 26 kerusi yang sedia ada dan menambah lagi 10 kerusi, ruang untuk memenangi lebih 40 kerusi masih terbuka luas dengan beberapa kerusi lain yang dimenangi oleh PH di mana UMNO berada di tempat kedua tetapi tidak cukup untuk menang jika dicampur dengan undi PN. 

9. Mungkin ada yang akan mengatakan, jika dicampurkan undi Pakatan Harapan dan Barisan Nasional, tentu sekali gabungan PH-BN boleh menang lebih besar. Untuk kenyataan ini, sila pertimbangkan persoalan berikut :

9.1. Adakah pengundi Barisan Nasional keseluruhannya boleh menerima gabungan dengan Pakatan Harapan di dalam PRU16 nanti?

9.2. Bukankah penolakan itu telah terbukti di dalam PRN 6 buah negeri tahun 2023 di mana pengundi-pengundi BN di dalam PRU15 ternyata sebahagiannya menolak idea gabungan PHBN?

9.3 Secara realitinya, pengundi BN sebenarnya lebih mudah untuk mengundi gabungan BN-PN berbanding gabungan PH-BN dengan sentimen dan semangat yang sama.

10. Justeru, Kolaborasi Agung dan Rumah Bangsa perlu digagaskan ke arah kerjasama politik yang boleh membuka ruang luas untuk memenangi PRU16, bukannya menjadikan UMNO dan Barisan Nasional semata-mata alat kepada Pakatan Harapan.

Sumber: Fb Fadhli Shaari 

Isnin, 19 Januari 2026

Agaknya Lepas Ni Kena Lantik Sarjan Je Jadi Panglima (PAT)." – Sindiran 'Bisa' Agong.

 "Agaknya Lepas Ni Kena Lantik Sarjan Je Jadi Panglima (PAT)." – Sindiran 'Bisa' Agong.

Tuan-tuan, kalau tadi Dewan Rakyat sunyi, kali ini suasananya bertukar jadi "panas membahang".

Mana tidaknya, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, baru sahaja melepaskan satu lagi peluru berpandu dalam Titah Diraja hari ini.

Sasaran kali ini bukan orang politik, tapi barisan tertinggi benteng pertahanan negara: Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Dengan nada yang sangat kecewa, Baginda bertitah mengenai budaya rasuah yang kini merebak sampai ke peringkat tertinggi kepimpinan tentera.

Dan kemudian, keluar satu ayat sindiran yang sangat tajam, yang mungkin akan dikenang dalam sejarah ketenteraan kita:

"Saya amat kecewa apabila berlaku kes rasuah dalam Angkatan Tentera Malaysia sampai peringkat tertinggi..."

"...Agaknya lepas ini hanya SARJAN saja dilantik jadi PAT (Panglima Angkatan Tentera)."

Allahuakbar.

Tuan-tuan faham tak betapa "pedihnya" ayat ni?

PAT tu pangkat Jeneral 4 Bintang. Orang nombor satu.

Sarjan tu pangkat NCO (Non-Commissioned Officer).

Jarak antara Sarjan dengan PAT tu macam bumi dengan langit.

Tapi kenapa baginda cakap macam tu?

Baginda sedang bagitahu satu dunia: "Pangkat tinggi melangit pun tak guna kalau integriti ke laut."

Baginda murka sebab tugas tentera adalah jaga kedaulatan negara.

Tapi kalau Jeneral-Jeneral yang sepatutnya buat keputusan beli aset, beli kapal, beli radar... sibuk sakau duit rasuah, apa jadi pada askar bawahan?

Askar bawahan yang merana.

Dapat baju kalis peluru nipis.

Dapat kereta kebal rosak.

Dapat kapal yang tak siap-siap.

Bila perang meletus, yang mati dulu adalah Sarjan, Koperal dan Prebet di barisan hadapan. Jeneral yang makan rasuah? Goyang kaki di rumah agam.

Sebab tu Agong kata, baik lantik Sarjan jadi bos.

Sebab mungkin Sarjan tu tak pandai politik, tak pandai main golf dengan kontraktor, tapi dia jujur nak pertahankan tanah air.

Sindiran Sultan Ibrahim ni adalah amaran "Red Alert".

Rasuah dalam pasukan keselamatan adalah pengkhianatan tertinggi. Ia bukan sekadar curi duit, ia menggadaikan nyawa rakyat.

Bayangkan kalau musuh tahu radar kita tak berfungsi sebab duit maintenance kena sakau? Habis kita tuan-tuan.

Kepada abang-abang askar yang jujur, tabik hormat untuk anda. Kami tahu ramai lagi yang ikhlas.

Tapi kepada "jerung-jerung" berbintang di bahu yang makan duit haram...

Bertaubatlah.

Sebab hari ini, Agong dah londehkan perangai kalian depan satu Malaysia.

Kalau Sarjan lebih dipercayai daripada Jeneral, maknanya institusi kita sedang sakit tenat.

Jangan sampai satu hari nanti, musuh tak perlu serang kita guna peluru. Cukup sekadar tabur duit, satu negara tergadai.

Daulat Tuanku!

MasyaAllah, takutnya kita mendengar teguran ini. Benarlah kata ulama, kerosakan sesuatu bangsa itu bermula apabila pemimpinnya rosak.

Rasuah ini bukan sekadar dosa makan duit haram, tapi ia adalah dosa meruntuhkan tembok pertahanan negara yang dibina dengan darah syuhada.

Moga Allah bersihkan bumi Malaysia ini daripada pengkhianat yang bertopengkan uniform dan pangkat.

Source 

___

Sejarah membuktikan, tiada empayar yang jatuh sebab musuh luar semata-mata. Rom, Parsi, dan Uthmaniyyah semuanya hancur bila rasuah dan gila kuasa merosakkan tentera dari dalam. Nak faham "corak" kejatuhan sesebuah negara supaya kita tak ulang? Baca buku ni.

KITAB TAMADUN UTHMANIYAH 

Banyak lagi fakta 'mindblown' dan sisi gelap sejarah Uthmaniyah yang jarang didedahkan, daripada hubungan rahsia dengan Alam Melayu sampailah ke punca sebenar kejatuhan empayar ini. Buku ini merungkai segala mitos yang selama ini kita percaya bulat-bulat dengan kajian yang sangat teliti dan membuka mata. Korang wajib dapatkan naskhah penuh ilmu ini untuk faham realiti sebenar sejarah dunia Islam di: https://s.shopee.com.my/13AlUSl4r

Dan

KHALIFAH DUNIA ISLAM

Rupa-rupanya ada 125 orang khalifah yang pegang amanah besar ni sepanjang sejarah Islam, bukan cuma empat orang Khulafa ar-Rashidin je. 

Buku ni bongkar profil lengkap mereka dari zaman Madinah sampai kejatuhan Uthmaniyah, sesuai untuk korang yang nak faham sejarah tapi malas baca buku tebal-tebal. Grab naskhah korang sebelum harga naik kat sini: https://s.shopee.com.my/4AsbPLQphp

Jumaat, 2 Januari 2026

PAS tak larang mufti kritik krisis politik Perlis- Hadi

 PAS tak larang mufti kritik krisis politik Perlis- Hadi

PAS tidak melarang mana-mana pihak termasuk agamawan sama ada mahu menyokong ataupun tidak berhubung krisis di Perlis, kata Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Presiden PAS itu berkata, kebebasan bersuara tidak dihalang dalam sebuah negara demokrasi asalkan jangan terbabas atau bercakap tanpa pengetahuan.

"Kepada sesiapa yang berkenaan, sama ada daripada kalangan agamawan ataupun bukan agamawan, ditegaskan bahawa PAS tidak melarang sesiapa pun daripada membuat kenyataan, sama ada menyokong atau tidak menyokong tindakan yang berlaku di Perlis.

"Kebebasan bersuara tidak dihalang dalam sebuah negara demokrasi asalkan jangan terbabas atau bercakap tanpa pengetahuan yang betul atau jahil murakkab yang tidak sedar dirinya jahil dan berlagak tahu semua perkara. Akhirnya, akan memalukan diri sendiri.

"Prinsip tidak memisahkan Islam daripada politik menjadi aqidah perjuangan PAS, bahkan dimaktubkan dalam perlembagaannya. Segala langkah dan tindakannya dibuat berpandukan fiqh politik yang menepati al-Quran, al-Sunnah dan ijtihad para ulama’ yang bertafaqquh.

"Semua tindakan dilakukan mengikut disiplin jemaah sepertimana yang ditetapkan dalam undang-undang tubuhnya. PAS tidak bercakap dengan cara yang terpilih dalam melaksanakan kewajipan amar ma‘ruf nahi munkar," katanya dalam tulisan terbaru Minda Presiden yang disiarkan di Facebooknya.

Tulisan terbaru Hadi dipercayai merujuk kepada kritikan Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berhubung krisis politik di Perlis.

Asri sebelum ini mengkritik PAS berhubung krisis di Perlis yang membawa kepada pertukaran Menteri Besar.

Malah, Asri turut mencabar Hadi mendedahkan faktor projek yang menjadi punca pertelingkahan politik di negeri itu.

"Bahkan, semua ahli PAS ditarbiah menghadapi sesiapa sahaja dan tidak takut kepada apa-apa tindakan, daripada pihak berkuasa yang paling tinggi dalam negara hinggalah tindakan rakyat yang menghukum melalui pilihan raya.

"PAS berpegang kepada al-Quran dan al-Sunnah dalam semua urusan, bukan terpilih mengikut kemahuan atau disebabkan takut-takutan," kata Hadi lagi.

- MalaysiaPost