"Cashzine - Aplikasi Buat Duit Percuma Terbaik Yang PERLU anda miliki"

Cara Buat Duit Dengan Aplikasi Cashzine: Peluang Jana Side Income lebih RM100 Dalam Sehari Melalui Aplikasi Cashzine. (Scroll ke bawah untuk bukti pembayaran terkini daripada Cashzine

Cordyceps:Herba luarbiasa dan apa kehebatannya?

Pernahkah anda mendengar Cordyceps? Atau anda pernah melihat? Mungkin tak pernah dengarkan... Dan tak pernah lihat pun. Sama jugalah macam saya. Saya cuba ceritakan serba sedikit tentang Cordyceps ni. Walaupun bagaimanapun saya cuba fahamkan anda semua mengenainya samada dari tempat asal ataupun khasiat Cordyceps ini.

Cara Mudah Jadi Youtuber Terhebat

Ketahui cara bagaimana untuk menjadi Youtuber. Video yang senang difahami dan penuh dengan semua info yang perlu sebagai Youtuber. Dari asas kepada SEO, teknik Viral, Fb ads serta Mengandungi Teknik dan Rahsia Youtuber yang memiliki JUTAAN Subscriber..

Wanita kelihatan anggun dengan Hasanah Lipmatte

90% pengguna GEMBIRA dan TERUJA dengan Hasanah Lipmatte. Dah jadi trending bagi wanita abad ini. Bukan setakat mencantikkan bibir si pemakai malah dapat menaikkan keyakinan anda sepanjang hari.

9/10 Rezeki Perniagaan: Dari SOLOpreneur ke ENTREpreneur menjadi GLOBALpreneur

Cara Mulakan dan Kembangkan Perniagaan Ke Tahap Yang Lebih Tinggi Dengan Modal Minima.


Sabtu, 28 Oktober 2023

HAMAS dari sudut si zionis kafir. Agamawan baruanya?

 


Melihat HAMAS dari ungkapan Rasulullah S.A.W

SEMALAM di UK, Parlimen mereka terbuka menggelarkan HAMAS sebagai pengganas dan membela Zionis sebagai hak membela diri.

Semalam juga di Malaysia, speaker Parlimen larang sebut Zionis, kafir. What a coincidence!

Mengikut sistem Westminster, Parlimen adalah pentas menyatakan apa sahaja tanpa boleh dikenakan tindakan. Menyekat perkara ini adalah bercanggah dengan semangat demokrasi.

Sedih. Bila negara kafir terbuka mengutuk HAMAS, umat Islam malah agamawan negara Islam pun ada mengutuk sama HAMAS.

Sabarlah teman seperjuanganku di Palestin. Kami tahu kamu Harakah Muqawamah Islamiah (HAMAS) di pihak yang benar. Ujar Nabi Muhammad S.A.W:

لا تزال طائفة من أمتي على الدين ظاهرين

“Akan sentiasa ada di kalangan umatku yang bangkit menegakkan agama,” 

Kalian tegas menentang Zionis, membenarkan sabda Nabi Muhammad S.A.W:

لعدوهم قاهرين

“Terhadap musuh, mereka tegas menentang,”

Kalian tak patah semangat walau saudara seakidah di sekeliling tak bersama kalian. Persis ungkapan Rasulullah S.A.W:

لا يضرهم من خالفهم

“Tak terkesan dengan pihak yang meninggalkan mereka sendirian,”

Kalianlah wahai pemimpin Gaza, pejuang sejati Baitulmaqdis. Apabila para Sahabat bertanya siapakah mereka, Baginda S.A.W menjawab:

ببيت المقدس وأكناف بيت المقدس

“Mereka berada di Baitulmaqdis dan serambi Baitulmaqdis.”

(Hadis Riwayat Ahmad)

Salam al-Aqsa,

ALANG IBN SHUKRIMUN
11 Rabiul Akhir 1445
26 Oktober 2023 – HARAKAHDAILY 26/10/2023 

Komen Weblog Ibnu Hasyim: HAMAS dari sudut si zionis kafir. Agamawan baruanya? 

Lihat komen ini..

(i) Sudah hampir dua minggu sejak bermulanya misi Taufan Al Aqsa yang dilancarkan oleh tentera pembebas Palestin Hamas, dengan melakukan serangan secara terbuka dan berstrategik ke atas negara haram Israel. 

Serangan kali ini tampak lebih gagah perkasa berbanding siri perang sebelumnya di samping mendapat bantuan daripada negara-negara Islam luar seperti Iran dan Lubnan dalam misi membebaskan rakyat Palestin dari kezaliman dan cengkaman Israel.

Sebagai umat yang beriman dengan Islam, pembebasan Al Quds merupakan janji Allah sebelum tibanya hari kehancuran dunia atau lebih dikenali sebagai Hari Kiamat. Dengan siri-siri serangan yang berjaya mengoncangkan tentera zionis menjadi tidak keruan dan kelam kabut, maka tidak mustahil taufan ini menjadi perintis terhadap janji Allah yang telah dikhabarkan oleh baginda Rasul SAW berkurun lamanya dahulu.

(ii) K'jaan DAP madani macam cicak?


Di KL, tindakan menafikan hak pemberian kewangan kepada kerajaan negeri boleh dianggap sebagai tindakan mensabotaj amalan dan semangat faderalisme. 

Wan Hassan Mohd Ramli (PN-Dungun) berkata, lebih teruk lagi jika tindakan tersebut berdasarkan dendam kebencian politik yang keterlaluan.

Singkat suntingan, akhirnya beliau bimbang kerajaan yang dipimpin Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini seperti cicak, iaitu meninggalkan ekor di belakang, hanya membawa kepala dan tubuh.

Entah-entah kepalanya sudah penyet terkepit pintu DAPmadani. Yang bunyi bising itu ialah ekornya yang terkodek-kodek, terlolong-lolong tertinggal dari badan.

Akhirnya, di M'sia, hanya tinggal pemimpin-pemimpin ekstrem mentadbir negara seperti DAP-madani yang masih bodoh sombong, degil tak mahu mengikut perkembangan keadilan dan kemanusiaan sejagat.

Sekian.

Kesimpulan:

Terima kasih tuan-tuan pengundi. Tuan telah menggunakan tugas tuan sebaik-sebaiknya, bila menyokong perjuangan parti Islam/PN dan rakan-rakan. Umat Islam wajib mempertahankan agamaNya dengan menentang kezaliman pemerintah puak anti Islam.

Namun, hak orang bukan Islam di negara ini pun wajib dilindungi oleh kerajaan Islam yang memerintah. Sila lihat peraturan dan hukum 'Hak orang bukan Islam dalam negara Islam' yang sebenar. Lihat negeri Kelantan sebagai contoh awalnya. 

Terima kasih juga kepada kawan-kawan kita yang bukan dan belum Islam.

Sekian. Wassalam. 
Maaf zahir batin, dari rakan Islammu Ibnu Hasyim.

Sumber: Weblog Ibnu Hasyim

Isnin, 16 Oktober 2023

Sahkah Perkahwinan dengan Menyebut “Aku Terima” Sahaja?

  POSTED ON  



Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Adakah sah sebuah perkahwinan ketika akad nikah, pengantin lelaki hanya menjawab “Aku terima” sahaja tanpa menyebutkan perkataan nikah? Hal ini kerana telah viral isu dua artis veteran terkenal telah berkahwin dan melafazkan seperti di atas ketika qabul.  Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَأَنَّهُ خَلَقَ الزَّوْجَيْنِ الذَّكَرَ وَالْأُنثَىٰ

Maksudnya: “Dan bahawa sesungguhnya, Dia lah yang menciptakan pasangan – lelaki dan perempuan.”

(Surah al-Najm: 45)

Yakni Allah SWT menciptakan setiap daripada makhluk itu termasuklah haiwan, berpasang-pasangan yang terdiri daripada lelaki dan perempuan, atau jantan dan betina. (Lihat Ruh al-Ma‘ani, 14/68)

Kita sendiri dapat melihat bagaimana sebaik-baik manusia, yakni para rasul dan anbiya’ juga turut mengahwini wanita-wanita dan tidak mengamalkan hidup membujang. Hal ini secara jelas mengangkat martabat perkahwinan itu sendiri sebagai sunnah para rasul dan nabi terdahulu. Ini dirakamkan oleh Allah SWT di dalam firman-Nya:

وَلَقَدْ أَرْسَلْنَا رُسُلًا مِّن قَبْلِكَ وَجَعَلْنَا لَهُمْ أَزْوَاجًا وَذُرِّيَّةً ۚ

Maksudnya: “Dan demi sesungguhnya! Kami telah mengutus Rasul-rasul sebelum kamu, dan Kami jadikan untuk mereka isteri-isteri dan zuriat keturunan.”

(Surah al-Ra‘d: 38)

Firman Allah SWT dalam ayat yang lain:

وَأَخَذْنَ مِنكُم مِّيثَاقًا غَلِيظًا

Maksudnya: “Dan mereka pula (isteri-isteri kamu itu) telahpun mengambil perjanjian yang kuat daripada kamu?

(Surah al-Nisa’: 21)

Oleh yang demikian, seseorang yang melangkahkan kaki dalam alam berumahtangga perlu tahu bahawa Allah SWT tidak mengangkat martabat sesuatu itu melainkan padanya kebaikan serta kelebihan, dan keduanya bergerak seiring dengan tanggungjawab yang wajib digalas oleh setiap pasangan.

Dalam menjawab soalan di atas, para fuqaha menyatakan bahawa suatu pernikahan itu termeterai melalui lafaz ijab dan qabul dengan sighah madhi (kata masa lalu/sudah lepas). Hal ini seperti perkataan seorang wali kepada bakal suami (pengantin lelaki): “زَوَّجْتُكَ ابْنَتِي” (Aku kahwinkan engkau dengan anak perempuanku) atau “أَنَكَحْتُكَ” (Aku nikahkan engkau). Kemudian pengantin lelaki itu menjawab: “ قَبِلْتُ نِكَاحَهَا” (Aku terima nikahnya) atau “رَضِيْتُ” (Aku redha) kerana sighah madhi (kata masa lalu/sudah lepas) itu lebih menunjukkan kepada penyabitan dan  penegasan, berbeza halnya dengan sighah mustaqbal (kata masa akan datang).

Melainkan di sisi ulama al-Syafi‘iyyah, mereka berpendapat bahawa tidak cukup pengantin lelaki itu hanya mengucapkan: “قَبِلْتُ” (Aku terima) sahaja atau “رَضِيتُ” (Aku redha) sahaja. Bahkan pengantin lelaki mesti mengucapkan: “قَبِلْتُ نِكَاحَهَا” (Aku terima nikahnya) atau “رَضِيتُ نِكَاحَهَا” (Aku redha nikahnya). Sekiranya dia tidak menyebutkan sedemikian, maka tidak sah nikahnya menurut mazhab (pendapat muktamad al-Syafi‘i).

Manakala di sisi jumhur fuqaha’ — al-Hanafiyyah, al-Malikiyyah, al-Hanabilah dan satu pendapat al-Syafi‘iyyah — bahawa memadai/cukup pengantin lelaki mengucapkan: “قَبِلْتُ” (Aku terima) atau “رَضِيتُ” (Aku redha) sahaja dan sah pernikahan tersebut dengan sedemikian. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 41/238).

Selain daripada itu, al-Khatib al-Syirbini juga ada menjelaskan, ucapan pengantin lelaki sekadar, “Aku terima,” adalah tidak sah menurut mazhab Syafi‘i (pendapat muktamad) kerana tidak terdapat padanya secara jelas perkataan perkahwinan atau pernikahan, dan niatnya sendiri tidak mencukupi. Manakala menurut satu pendapat lagi yang menyatakan perkahwinan dengan sedemikian itu adalah sah kerana ia kembali kepada apa yang diwajibkan (diucapkan) oleh wali seperti yang dijanjikan secara lafaz (sarih) sebagaimana pendapat yang paling sahih dalam bandingannya iaitu akad jual beli. Akan tetapi menurutnya lagi, terdapat perbezaan antara kedua-duanya, di mana ia dianggap sebagai kinayah dan akad pernikahan tidak sah dengan kinayah berbeza halnya dengan akad jual beli. Namun, ada pendapat menyatakan bahawa perkahwinan tidak boleh terjadi melalui cara ini sama sekali, dan ada juga yang berpendapat bahawa ia adalah sah secara mutlak. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 4/230).

Sesungguhnya, wacana ilmiah di kalangan para ulama dan cendikiawan Islam adalah amat baik serta membina makrifah serta kefahaman yang lebih mendalam dan meluas. Kami bersetuju bahawa pandangan yang dikemukakan jelas menunjukkan kepada kita keluasan fiqh itu sendiri. Inilah yang disebutkan oleh Umar bin ‘Abd al-‘Aziz:

مَا أَحِبُّ أَنَّ أَصْحَابَ مُحَمَّدٍ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا يَخْتَلِفُونَ، لِأَنَّهُ لَوْ كَانَ قَوْلًا وَاحِدًا لَكَانَ النَّاسُ فِي ضِيقٍ، وَإِنَّهُمْ أَئِمَّةٌ يُقْتَدَى بِهِمْ، فَلَوْ أَخَذَ رَجُلٌ بِقَوْلِ أَحَدِهِمْ كَانَ سِعَةً

Maksudnya“Aku tidak suka bila sahabat Rasulullah SAW tidak berbeza pandangan, sebab kalaulah ia cuma satu pandangan, maka orang ramai akan berada dalam kesempitan. Sesungguhnya mereka (para sahabat) adalah pemimpin yang menjadi ikutan. Kalaulah seseorang mengambil pandangan salah seorang dari mereka (kerana ada khilaf berlaku), dia akan berada dalam keluasan.” (Lihat al-I‘tisam oleh al-Syatibi, 2/577).

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berbalik kepada soalan yang diajukan, kami berpendapat bahawa ucapan balas/jawab pengantin lelaki, “Aku terima” atau “Aku redha,” sahaja sudah memadai dan mencukupi serta perkahwinan itu sudah dikira sah. Ini adalah sebagaimana pendapat jumhur ulama serta satu pendapat dalam mazhab Syafi‘i. Hal ini kerana ia dapat difahami atau kembali semula kepada ucapan wali sebelumnya, maka jelas ucapan pengantin lelaki itu kembali/merujuk kepada pernikahan dan perkahwinan. Sekalipun begitu, kami tidak menafikan bahawa jika pengantin lelaki mengucapkan, “Aku terima nikahnya” atau “Aku redha nikahnya” atau seumpamanya adalah lebih baik dan  keluar daripada khilaf, ini lebih ihtiyat dan sempurna.

Walau bagaimanapun, dalam konteks negara kita, Malaysia, hal ehwal yang melibatkan perkahwinan penganut-penganut beragama Islam berada di bawah pentadbiran Jabatan Agama Islam dan Majlis Agama Islam negeri masing-masing. Oleh itu, ia hendaklah dikembalikan atau merujuk kepada jabatan agama Islam masing-masing. Ini bertepatan dengan kaedah menyebutkan:

حُكْمُ الحَاكِمِ يَرْفَعُ الخِلَافَ

Maksudnya: “Keputusan hakim mengangkat perselisihan.”

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ رَبَّ جِبْرِيلَ، وَمِيكَائِيلَ، وَإِسْرَافِيلَ، فَاطِرَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ، عَالِمَ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ، أَنْتَ تَحْكُمُ بَيْنَ عِبَادِكَ فِيمَا كَانُوا فِيهِ يَخْتَلِفُونَ، اهْدِنَا لِمَا اخْتُلِفَ فِيهِ مِنَ الْحَقِّ بِإِذْنِكَ، إِنَّكَ تَهْدِي مَنْ تَشَاءُ إِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ.

Maksudnya: “Ya Allah, Tuhan Jibril, Mikail, dan Israfil. Yang Menciptakan langit dan bumi, Yang Maha Mengetahui yang ghaib mahupun yang kelihatan. Engkaulah yang Menghakimi hamba-hamba-Mu di dalam apa yang mereka perselisihkan. Tunjukkanlah kami dengan izin-Mu kepada kebenaran di dalam apa yang diperselisihkan. Sesungguhnya Engkau memberi petunjuk ke arah Sirat al-Mustaqim kepada sesiapa yang Engkau Kehendaki.” 

Bertarikh: 16 Oktober 2023 bersamaan 1 Rabiulakhir 1445

Ahad, 8 Oktober 2023

Wajarkah Hamas Menyerang Israel?


Oleh:

Prof Mohd Nazari Ismail, 

Pengarah

Pusat Pengajian Palestin Hashim Sani, Universiti Malaya.

8 Oktober 2023

Pada 7 Oktober 2023, Hamas, iaitu gerakan pembebasan Palestin, telah melakukan serangan berani terhadap Israel dan berjaya membunuh ratusan askar Israel serta menculik pulohan yang lain. Mereka juga telah berjaya menghancurkan aset-aset Israel termasuk pengkalan tentera dan balai polis. 

Rejim Zionis Israel telah bertindak balas dengan mengebom Gaza. Pengeboman tersebut setakat ini meragut lebih dari 300 nyawa warga Palestin yang tidak berdosa termasuk kanak-kanak dan wanita. Banyak bangunan, rumah dan pejabat juga hancur musnah akibat pengeboman oleh jet pejuang tentera udara Israel yang dibekalkan oleh Amerika Syarikat.

Mungkin ada dari kalangan rakyat Malaysia berpendapat bahawa kesengsaraan warga Palestin adalah hasil dari tindakan kurang cerdik tentera Hamas di Gaza yang telah melancarkan serangan sebelum itu. Mereka mungkin merasakan semua ini boleh dielakkan jika Hamas `tidak cari pasal menyerang’ Israel.

Sebenarnya, sesiapa yang mempunyai pandangan seperti di atas perlu disedarkan bahawa kefahaman mereka tentang apa yang berlaku di Palestin adalah sangat cetek serta buta sejarah.

Hakikat yang paling penting yang perlu disedari oleh meraka ialah Israel sebenarnya adalah sebuah negara haram. Seperti yang diterangkan oleh seorang pakar sejarah berbangsa Yahudi dari Israel sendiri yang bernama Prof Ilan Pappe dalam bukunya yang masyhur `The Ethnic Cleansing of Palestine’, kewujudan Israel pada tahun 1948 adalah hasil dari tindakan kumpulan Yahudi Zionis yang telah datang dari Eropah ke bumi Palestin pada awal kurun ke 20 dan seterusnya telah melakukan tindakan penghapusan etnik (ethnic cleansing) yang melibatkan jenayah pembunuhan beramai-ramai (massacre)  serta penghalauan penduduk Palestin dari kampong halaman mereka (expulsion).  

Akibat dari tindakan tersebut lebih dari 750 ribu penduduk Palestin telah menjadi pelarian dan tidak dibenarkan pulang ke tanah air mereka sehingga sekarang, walaupun ini adalah hak mereka di bawah Resolusi 194 Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang diluluskan pada tahun 1948 lagi. 

Tidak cukup dengan itu, kumpulan penjenayah Zionis ini terus mengganas dan pada tahun 1967 telah merampas Tebing Barat dan Timur Baitul Maqdis, termasuk termasuk Masjid Al Aqsa. 

Walaupun masyarakat antarabangsa tidak mengiktiraf wilayah Tebing Barat sebagai sebahagian dari Israel, namun kerajaan Israel terus membuka penempatan atau bandar-bandar untuk orang Yahudi sahaja di atas tanah-tanah yang dirampas dari warga Palestin. Bahkan banyak kebun-kebun zaiton warga Palestin juga telah dirampas oleh pendatang Yahudi Zionis dengan bantuan tentera Israel. 

Sebahagian besar Tebing Barat sekarang (dipanggil Area C) adalah di bawah kuasa penuh tentera Israel. Ini membenarkan mereka mengawal pergerakan rakyat Palestin dengan mewujudkan ratusan sekatan jalanraya. Warga Palestin dihalang dan disekat dari bergerak bebas di dalam negara mereka sendiri sama ada untuk berkerja, mengusahakan kebun zaiton mereka, untuk ke sekolah atau hospital atau untuk melawat ahli keluarga. 

Semenjak terlantiknya Benjamin Netanyahu sekali lagi sebagai perdana menteri pada bulan Disember 2022 dengan sokongan puak-puak pelampau Zionis, kerajaan Israel semakin tidak segan untuk mendedahkan agenda sebenar mereka semenjak penubuhan negara haram Israel. Agenda tersebut ialah memastikan kesemua wilayah Palestin, termasuk Tebing Barat serta Baitul Maqdis Timur adalah seratus peratus di bawah kawalan mereka. Penduduk Palestin di Tebing Barat akan dihalau keluar dan tanah mereka akan diambil alih oleh peneroka-peneroka haram Yahudi. 

Sebelum ini, mereka juga telah merampas rumah puluhan warga Palestin di sebuah daerah bernama Sheikh Jarrah di Baitul Maqdis Timur bersebelahan dengan Masjid Al Aqsa. Mereka juga telah berusaha untuk menghalau warga Palestin dari melakukan iktikaf di Masjid Al Aqsa pada bulan Ramadan dan sebaliknya membenarkan kumpulan ekstrimis Zionis mengadakan sambutan `Jerusalem Day’ iaitu upacara tahunan memperingati kejayaan mereka merampas Baitul Maqdis dari milik rakyat Palestin. Beberapa orang pemimpin Israel juga telah mendedahkan rancangan mereka untuk merobohkan masjid AlAqsa dan digantikan dengan sebuah kuil Yahudi yang dipanggil Haikal Sulaiman. 

Semenanjung Gaza pula dikepung oleh mereka seperti sebuah penjara. Tujuan dilakukan demikian ialah supaya penduduk berjumlah lebih dari 2 juta di dalam kawasan itu akur dengan kehendak mereka iaitu tidak menentang mereka langsung. Akibatnya hak asasi warga Palestin dicabul dengan sewenang-wenangnya di bumi mereka sendiri. 

Dalam erti kata yang lain, kumpulan penjenayah Zionis ini tidak akan berhenti dari melakukan pencabulan hak asasi manusia terhadap warga Palestin sehingga kesemua bumi Palestin adalah di dalam milik mereka dan warga Palestin kesemuanya dihalau keluar dan identiti Palestin dihapuskan sama sekali.

Dalam suasana tersebut, sebenarnya warga Palestin tidak mempunyai banyak pilihan. Sama ada mereka berpindah ke negara lain, atau hidup sebagai manusia yang dihinakan dibumi mereka sendiri dan akhirnya identiti mereka dilenyapkan terus.

Namun, alhamdulillah masih wujud dari kalangan masyarakat Palestin yang mempunyai semangat jati diri yang tinggi. Mereka tidak akan tunduk kepada usaha penjajah asing untuk terus merampas kesemua tanah mereka serta mencabul hak asasi mereka dan menghina Masjid Al Aqsa yang suci itu. 

Yang paling menonjol dari kalangan warga Palestin yang menentang Israel ini ialah kumpulan Hamas. Berbeza dengan kumpulan yang dipimpin oleh Mahmud Abbas yang telah bersetuju untuk menjadi budak suruhan kerajaan Zionis Israel, Hamas dari awal kewujudannya lagi pada tahun 1980an menolak tekanan dari semua pihak untuk mengiktiraf Israel sebagai sebuah negara yang sah. 

Sebaliknya Hamas berpendirian bahawa adalah menjadi tanggungjawab mereka sebagai orang Islam untuk menentang penjajahan negara mereka oleh orang asing dengan apa cara sekali pun, termasuk dengan cara ketenteraan. Perjuangan Hamas untuk membebaskan negara Palestin dari penjajahan oleh pihak Zionis ini adalah dianggap oleh kebanyakan ulamak muktabar sebagai perjuangan jihad yang sah dan terpuji dan jika mereka mati dalam perjuangan tersebut, kematian mereka dianggap `syahid’.  

Atas dasar itulah Hamas yang sekarang berpengkalan di Gaza telah memberi amaran kepada Israel supaya menghentikan jenayah zalim tehadap warga Palestin yang semakin hari semakin serius seperti merampas rumah kediaman warga Palestin di daerah Sheikh Jarrah, merampas tanah Palestin di Tebing Barat, membunuh warga Palestin, memenjarakan ribuan warga Palestin, serta mencabul kesucian Masjid Al Aqsa. Namun oleh kerana Israel masih terus melakukan jenayah-jenayah tersebut, Hamas telah tidak mempunyai pilihan selain dari menyerang rejim Zionis Israel dengan menggunakan roket yang mereka bina sendiri dengan tangan-tangan mereka serta melakukan serangan berani mati di wilayah Palestin yang dijajah bersebelahan dengan Gaza dengan cara merobohkan pagar pemisah di antara Israel dan Gaza, serta melalui laut dan udara.

Sudah tentu mereka menyedari risiko bahawa Israel akan menyerang balas dengan ganas dan ramai dari kalangan ahli mereka mungkin akan terkorban. Namun bagi Hamas, ia adalah satu perkara yang tidak dapat dielakkan kerana tanggung jawab menentang musuh yang ingin merampas tanah air mereka dan ingin menghapuskan masyarakat Islam Palestin adalah tanggungjawab mulia yang tidak boleh dikorbankan.  

Sebagai rumusan, kesengsaraan yang dialami oleh rakyat Palestin adalah kensengsaraan yang bukan pilihan mereka sendiri. Ia adalah kesengsaraan yang telah dipaksa ke atas mereka oleh penjenayah Zionis yang datang dari Eropah serta anak-cucu mereka yang sehingga hari ini berusaha untuk menghalau warga Palestin dan menghapuskan saki baki identiti masyarakat Palestin di negara milik mereka. Penjajah yang juga penjenayah dari Eropah ini jelas akan terus melakukan kezaliman terhadap warga Palestin di masa masa akan datang. Yang paling dasyat ialah kezaliman Zionis Israel ini dilakukan dengan bantuan kuasa-kuasa barat, terutama sekali Amerika Syarikat sementara masyarakat dunia hanya terus menonton dan tidak berbuat apa-apa.

Persoalannya ialah apakah reaksi kita semua terhadap jenayah zalim yang sedang berlaku di hadapan mata kita sekarang? Adakah kita hanya mahu menjadi penonton yang pasif yang sekadar mengucapkan rasa sedih dengan kejadian yang berlaku atau kita ingin menjadi pembela kepada kumpulan lemah yang dizalimi?

Tepuklah dada dan tanyalah iman kerana hadis Rasulullah SAW berbunyi:

“Orang Islam itu bersaudara, tidak boleh menzalimi dan mengkhianatinya. Sesiapa yang menolong saudaranya, nescaya Allah akan menolongnya. Sesiapa yang menghilangkan kesusahan orang Islam nescaya Allah akan menghilangkan daripadanya kesusahan pada hari kiamat. Sesiapa yang menutup keaiban orang Islam nescaya Allah akan menutup keaibannya pada hari kiamat.”

(Riwayat  Ahmad)