Isnin, 1 Ogos 2022

KOLONI ELLENA: WILAYAH JAJAHAN AMERIKA SYARIKAT YANG GAGAL DI SABAH

 SEMOGA BERMANFAAT.


Melalui dokumen 1865 ini yang masih tersimpan rapi di Pihak Kerajaan Brunei , lokasi yang pernah didakwa milik kesultanan Sulu adalah sebenarnya milik kesultanan Brunei.


Admin : Iena 


KOLONI ELLENA: WILAYAH JAJAHAN AMERIKA SYARIKAT YANG GAGAL DI SABAH

KAJIAN OLEH: HAFIZ RUSLAN

Negeri Sabah atau dahulunya dikenali sebagai Borneo Utara pada suatu masa dahulu pernah menyaksikan kerakusan kuasa-kuasa “Sang Penjajah’, untuk merebut wilayah tanah jajahan masing-masing dan Sabah tidak terkecuali daripada menjadi mangsa kerakusan ini. Menariknya, sekiranya kita mengkaji zaman imperialisme di Sabah ianya berlaku agak lewat apabila banyak wilayah-wilayah lain di dunia pada ketika itu rata-ratanya sudah di bahagi-bahagikan oleh “Sang Penjajah”, namun Sabah hanya menjadi pilihan pada abad ke-17 dan abad ke-18 oleh kuasa asing seperti British, Belanda, Sepanyol, Jerman, Amerika Syarikat, Perancis dan kemudiannya kuasa Jepun. Perempumaan seperti ibarat “sebuah kek yang besar kemudiannya dipotong-potong oleh sang penjajah dan dibahagi-bahagikan oleh kuasa-kuasa Penjajah itu sendiri”, seperti itulah nasib wilayah-wilayah yang diambil dengan rakusnya oleh kuasa-kuasa penjajah pada ketika itu malah kuasa Amerika Syarikat tidak turut ketinggalan untuk menyertai rompakan “halal”, ini melalui penubuhan “Koloni Elena”, di Borneo Utara. Oleh itu, artikel ini hanya sebuah nukilan untuk melihat pertapakan kuasa Amerika Syarikat di Borneo Utara dan kegagalannya untuk mempertahankan kekuasaan mereka di bawah nama “Koloni Ellena”.

PERTAPAKAN DAN KEWUJUDAN KOLONI ELENA

Kewujudan Koloni Elena bermula selepas Claude Lee Moses Konsulat Jeneral Amerika Syarikat di Brunei mengambil keputusan untuk menjual beberapa hak konsesi yang berjaya diperolehinya kepada Joseph William Torrey (Presiden American Trading Company) yang berpengkalan di Hong Kong pada ketika itu. American Trading Company (ATC) yang mula ditubuhkan pada 25 Oktober 1865 adalah berasaskan Syarikat Perdagangan yang fungsinya hampir sama dengan Syarikat Hindia Timur Inggeris (SHTI) yang berproksikan British manakala (ATC) berkiblatkan Amerika Syarikat. Hasrat Claude Lee Moses untuk menjual hak pajakannya di Borneo Utara melalui Perjanjian pada 11 Ogos 1865 yang berjaya beliau perolehi daripada Sultan Abdul Mukmin (Sultan Brunei) dan Temenggong Anak Hashim (Pengiran Brunei) kepada (ATC) mencapai kemuncaknya apabila beliau bersama J.W.Torrey sampai ke Brunei dari Hong Kong sekitar bulan November 1865 bersama kapal yang diberi nama “Ellen”.

Melalui Perjanjian 11 Ogos 1865 itu hak konsesi yang berjaya dipindahkan dan diperolehi oleh Joseph William Torrey ialah kawasan Sulaman, Paitan, Sugut, Bongaya, Labuk, Sandakan, Kinabatangan, Cagayan, Memaing, Benoni, Pulau Balabac, Pulau Palawan dan Kimanis dengan bayaran sebanyak 4,000 dollar setahun. Namun kawasan yang beliau berikan tumpuan adalah dengan memilih kawasan Kimanis. Hanya pada Disember 1865 barulah J.W. Torrey sampai ke kawasan yang dipajak dengan bersama beliau ialah seramai 8 orang tukang kayu daripada Amerika Syarikat dan Kanada dan 1 orang daripada Sweden dan 60 orang buruh Cina yang dibayar upah oleh (ATC) untuk mengusahakan koloni di sana. 

Koloni tersebut diberi nama “Koloni Ellena”, yang diambil bersempena nama kapal yang dinaiki oleh beliau semasa ekspedisi pertama beliau ke Borneo Utara dari Hong Kong untuk mendapatkan hak konsesi dan seterusnya Kimanis dijadikan sebagai pusat pentadbiran “Koloni Ellena”. Pada awalnya J.W. Torrey menganggap pilihan kawasan Kimanis adalah tepat kerana lokasi Kimanis yang mampu dijadikan hub perdagangan yang strategik seterusnya mudah mendapat perlindungan oleh Konsulat kerajaan Amerika Syarikat di Brunei amat mudah untuk dibangunkan. Ringkasnya, pertapakan (ATC) di Kimanis ini maka bermulalah era “Inderect Rule”, kuasa Amerika Syarikat di Borneo Utara (Sabah) dibawah pentadbiran American Trading Company (ATC).

KOLONI ELLENA: LANGKAH KIRI AMERICAN TRADING COMPANY (ATC)

Pada permulaan pertapakan (ATC) di Kimanis, rata-rata penduduk begitu gembira dengan pembukaan “Koloni Ellena”, kerana dipercayai mampu menghapuskan kezaliman sistem cukai yang dikenakan oleh Sultan Brunei dan ketidak adilan pemerintahan Temenggong di sana. Boleh dikatakan pada era awal pertapakan “Koloni Ellena”, berjaya membangun dari aspek ekonomi dan sosial masyarakatnya yang dikawal terus oleh peruntukan undang-undang Amerika Syarikat dibawah pentadbiran (ATC). Malah sikap prihatin terhadap masalah rakyat menjadikan penduduk tempatan telah mula menunjukkan taat setia kepada pentadbiran “Koloni Ellena”. Tanaman seperti tebu, kopi, padi, hasil-hasil hutan dan sumber galian seperti arang batu mula diteroka kerana (ATC) melihat ada kemungkinan besar sumber tersebut boleh dijumpai di Kimanis dan “Koloni Ellena”, mampu menjadi hub pelabuhan persinggahan perdagangan utama Amerika Syarikat di Borneo Utara setanding pelabuhan bekalan Victoria di Labuan.

Namun, impian tersebut tidak mampu bertahan lama kerana faktor kekangan modal kewangan untuk membangunkan koloni  ditambah lagi dengan kegagalan menampung kos pentadbiran sedia ada menjadikan ‘Koloni Ellena”, tidak mampu bertahan lama. Kegagalan J.W. Torrey mendapatkan pemodal di Hong Kong, bantuan kewangan dari kerajaan Amerika Syarikat dan kematian rakan kongsi yang berpotensi seperti Bradley Harris telah menyebabkan kantung kewangan koloni semakin berkurang. Senario ini menyebabkan banyak pekerja di pelbagai peringkat terutamanya buruh cina tidak dibayar upah mereka malah kebanyakkan daripada mereka mula berhijrah ke kawasan lain untuk mencari pekerjaan kerana terpaksa mengikat perut bekerja di “Koloni Ellena”.

Kemuncaknya, hal ini memaksa J.W. Torrey melarikan diri ke Hong Kong meninggalkan pentadbiran “Koloni Ellena”, walaupun dikenakan tindakan dan ugutan supaya membuat bayaran pajakan seperti dalam perjanjian pajakan. Ketiadaan pentadbiran dan penguatkuasaan menyebabkan hasil ekonomi yang sepatutnya diraih oleh “Koloni Ellena”, terpaksa diperdagangkan di kawasan lain sehingga ada sesetengah sejarawan melabelkan “Koloni Ellena”, pada ketika itu sebagai kawasan yang sakit dan tenat.

Ringkasnya, diakhir tempoh pajakan selama 10 tahun iaitu pada tahun 1875 J.W.Torrey mengambil keputusan untuk menjual hak pajakannya kepada Konsul Austria di Hong Kong iaitu Baron Von Overback sebanyak 15,000 dollar. Dengan termeterainya perjanjian penyerahan ini maka berakhirlah riwayat “Koloni Ellena”, yang berproksikan kuasa Amerika Syarikat di Borneo Utara. Jangka hayat “Koloni Ellena”, yang berjaya dibangunkan oleh (ATC) hanya mampu dibanggakan  oleh J.W.Torrey selama tempoh 1 tahun sahaja iaitu pada tahun 1865 sehingga 1866 manakala tempoh masa yang lain banyak dihabiskan dengan konflik kewangan teruk yang beliau terpaksa hadapi.

PENUTUP

Kesimpulannya, “demam imperialisme”,  yang agak lewat melanda kerajaan Amerika Syarikat disamping kesan Perang Saudara yang berlaku dan dasar perlahan Amerika Syarikat dalam menyokong membuka pelaburan luar negara menyebabkan nasib wilayah-wilayah yang berjaya diperolehi oleh Syarikat Perdagangan Persendirian milik proksi Amerika Syarikat seperti “Koloni Ellena”, melalui (ATC) di Borneo Utara menemui jalan kegagalan. Walhal Kimanis boleh dikatakan sebagai kawasan berpotensi untuk dimajukan walaupun ada sejarawan yang mengatakan faktor geografi memainkan peranan penting mengapa “Koloni Ellena”, gagal dibangunkan. Namun bagi pandangan penulis bukan soal geografi yang menjadi persoalan utama namun kita juga harus melihat daripada masalah ketersediaan (ATC) itu sendiri dalam menyesuaikan pentadbiran untuk membangunkan koloni adalah lebih jelas kerana muka bumi di Sabah ini kalau setakat mahu usahakan sumber pertanian dan pelabuhan bukanlah suatu cabaran yang sukar. Oleh itu, diharap artikel ini dapat membuka minda pembaca  bahawa selain daripada pertapakan kuasa British melalui Syarikat Berpiagam Borneo Utara British (SBBUB) dan kuasa Jepun berlaku juga perluasan pengaruh kuasa Amerika Syarikat di Sabah.

Sekian, Wallahu’Alam Bissawab.

RUJUKAN

Aszlan Selamat. 2014. Amerika Syarikat (AS) di Kimanis, 1850-1875. International Borneo Reserach Council Conference. Universiti Malaysia Sabah. 5-7 Ogos 2014.

Grant by Pengeran Temenggong Of Brunei The Provinces Of Kimanis and Benoni.

Grant by Sultan Brunei Of Brunei Territory the Sulaman River to the River Paitan.

Grant by Sultan Brunei of Brunei Territory the Paitan River to the Sibuco River.

Keith. H.G. 1980. The United States Consul and the Yankee Raja. Brunei: The Brunei Museum.

Treggoning. K.G. 1954. American Activity in North Borneo 1865-1881. Pacific Historical Review. Vol. 23. No.4. Hlm 357-372.

Credit 

0 ulasan:

Catat Ulasan