Ketua Penerangan Mohammad Sollehin Mohamad Tajie berkata pihaknya hanya bawa suara rakyat dan tiada kaitan sebagai ejen Perikatan Nasional.
Pemuda Umno membidas DAP yang baru-baru ini meminta ketuanya Dr Akmal Saleh menghentikan polemik garis panduan umat Islam menghadiri majlis perayaan bukan Islam.
Mengingatkan perkara itu kepada Pemuda DAP, Ketua Penerangan Mohammad Sollehin Mohamad Tajie, berkata sayap Umno itu hanya membawa suara rakyat dan tiada kaitan mereka sebagai ejen Perikatan Nasional (PN).
“Pemuda Umno bukan budak suruhan sesiapa. Kami ada prinsip, maruah dan tanggungjawab kepada agama, bangsa dan negara.
“Jangan ingat kerana kita bersama dalam kerajaan, maka kami wajib angguk dan diam pada segala keputusan.
“Perpaduan yang ingin dibentuk itu mesti berteraskan nilai keadilan, bukan hanya berpihak kepada satu kelompok sahaja,” katanya dalam kenyataan.
Baru-baru ini, Pemuda DAP meminta Akmal berhenti daripada meneruskan polemik berhubung garis panduan umat Islam menghadiri majlis perayaan bukan Islam dan akur dengan keputusan dibuat Jemaah Menteri.
Sayap DAP itu berkata jika Akmal masih ingin bertindak seolah-olah sebagai ejen PN, lebih baik letak jawatan dan sertai PAS daripada terus menjadi musuh dalam selimut dalam kalangan kerajaan perpaduan.
Jemaah Menteri pada Jumaat lalu memutuskan tiada keperluan untuk mewujudkan garis panduan mengenai penglibatan orang Islam dalam sambutan perayaan agama lain.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu dimuktamadkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri dan akan dipersembahkan kepada Sultan Perak Sultan Nazrin Shah selaku Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI).
Namun keputusan itu dikritik dikritik Akmal yang menegaskan perlunya penyediaan garis panduan berkenaan sebagai sumber rujukan dan peringatan kepada umat Islam.
Sollehin turut mempersoal DAP adakah salah jika seorang pemimpin seperti Akmal bersuara untuk mempertahankan kepentingan umat Islam.
“Kononnya Akmal mahu jadi ‘hero agama konservatif’, kononnya beliau tidak menghormati keputusan kerajaan. Hakikatnya, beliau hanya menyuarakan kebimbangan yang ramai rakyat rasa.
“Pemuda DAP jangan jadi seperti ‘ketam mengajar anak berjalan lurus’ cakap soal perpaduan, tetapi bila ada suara yang tak selari dengan mereka, terus dihentam. Ini bukan cara sebuah kerajaan yang kononnya meraikan kepelbagaian.”
“Kalau Pemuda DAP tak boleh terima perbezaan pandangan dalam kerajaan siapa sebenarnya yang menjadi ‘musuh dalam selimut’?,” soal Sollehin.-FMT
0 ulasan:
Catat Ulasan