Sabtu, 22 Februari 2025

Pintu Bani Syaibah di Masjidil Haram

 Pintu Bani Syaibah 

Suatu ketika berlaku banjir besar sehingga merobohkan sebahagian binaan Kaabah. Maka berpakatlah orang Mekah mahu membina Kaabah kembali. Seorang rakyat Mekah menyebut: “wahai Kaum Quraisy, wajib menghindarkan diri daripada membina Kaabah dengan harta riba dan kotor serta harta yang syubhah. Jangan dibina dengan harta dsri sumber kezaliman dan binalah dengan harta halal.”

Walaupun runtuh, rakyat Mekah takut nak robohkan sisa Kaabah kerana merobohkan Kaabah akan mengakibatkan bala. Akhirnya datang Walid bin al Mughirah berkata: “wahai kabilah-kabilah Quraisy, jika kami betul-betul berniat membaiki Kaabah, sesungguhnya Allah tidak akan memusnahkan orang yang nak membaiki Kaabah.” 

Kemudian beliau mengambil kapak lalu membersihkan sisa runtuhan Kaabah. Setelah orang ramai melihat Walid tidak terkena apa-apa. Maka mereka bergotong royong membina Kaabah. Pemabahagian tugas adalah seperti berikut:

1. Bahagian pintu Kaabah dibina oleh Bani Abdu Manaf dan Bani Zuhrah

2. Bahagian daripada sudut Hajarul Aswad sehingga sudut Yamani dibina oleh Bani Makhzum dan Bani Tamim.

3. Bahagian mizab dibina oleh Bani Abdid Dar bin Qusai, Bani Asad ibn Abdil Uzza, dan Bani Adi bin Kaab.

4. Bahagian di antara sudut Yamani dan Syami dibina oleh Bani Jumh dan Bani Sahm bin Amru.

Batu binaan diambil daripada Jabal Kaabah di perkampungan Syubaikah. Sampailah giliran meletakkan Hajarul Aswad, mereka bertelagah nak meletakkan batu paling mulia ini. Mereka menganggap kaum yang paling mulialah yang paling berhak dan masing-masing menyatakan kemuliaan kaum masing-masing.

Pertengkaran berlaku selama 5 hari sehinggalah Abu Umayyah bin al Mughirah (salah seorang pembesar Mekah) memutuskan orang pertama masuk melalui Pintu Bani Syaibah pada waktu yang ditetapkan akan meletakkan Hajarul Aswad.

Pada waktu ditetapkan, Nabi kitalah yang masuk melalui pintu tersebut dan pembesar Mekah menyebut: kami telah buat keputusan orang yang masuk melalui pintu ini pada hari ini akan meletakkan Hajarul Aswad.

Nabi sudah mengetahui perbalahan mereka. Dengan hikmah Nabi, Baginda memanggil 3 pemimpin kabilah terbesar iaitu:

1. Utbah bin Rabiah

2. Zamaah bin al Mughirah

3. Qais bin Adi

Ketiga-ketiganya mengangkat kain yang ada di atasnya Hajarul Aswad sebelum Nabi sendiri meletakkan Hajarul Aswad pada tempat asalnya.

Pintu ini dinamakan dengan nama Pintu Bani Syaibah kerana pintu ini setentang dengan rumah pemegang kunci Kaabah yang bernama Syaibah bin Uthman.

Gambar berikut adalah lokasi asal pintu tersebut


Sumber 

0 ulasan:

Catat Ulasan