AHLUL SUFFAH
Al-Suffah ialah tempat di bahagian belakang masjid Nabawi yang berbumbung. Ia disediakan untuk persinggahan mereka yang datang dari luar Madinah dan tidak mempunyai rumah serta ahli keluarga di Madinah.
Ahlul suffah (أهل الصفة) pula merupakan para sahabat yang berhijrah bersama Rasulullah SAW ke Madinah dengan meninggalkan harta kekayaan mereka di Makkah.
Walaupun ahlul suffah ini hidup secara zuhud dan tidak mempunyai apa-apa, mereka berhati baik serta mulia dan tidak mementingkan keduniaan. Mereka lebih banyak menghabiskan waktu di masjid, seperti berukhuwah, beribadah dan belajar di masjid bersama Rasulullah SAW.
Ketika Rasulullah SAW tiba di kota Madinah dan membina masjid Nabawi, Baginda turut membina pelantar yang disebut sebagai suffah. Ruangan bangunan yang digunakan oleh ahlul suffah ini bersambung dengan masjid Nabawi.
Peringkat awal penghuni al-Suffah ialah di kalangan orang-orang Muhajirin. Namun selain mereka, al-Suffah juga disertai oleh orang-orang asing yang datang menemui Rasulullah SAW untuk masuk Islam. Jumlah ahlul suffah tidak tetap. Dalam waktu-waktu biasa jumlah mereka seramai 70 orang. Kadangkala mencecah sehingga 80 orang dalam satu satu masa.
Oleh yang demikian, al-Suffah ini bukanlah hanya dijadikan sebagai penempatan ahlul suffah semata-mata. Malah, ia berperanan sebagai pusat pendidikan atau madrasah untuk belajar membaca, mempelajari, mengkaji dan memahami al-Quran dan Islam. Selain itu, kebanyakan ahlul suffah adalah di kalangan sahabat yang terlibat membantu Rasulullah dalam peperangan.
Abu Hurairah r.a. adalah salah seorang sahabat Rasulullah SAW yang menjadi ahlul suffah dan diberi tanggungjawab oleh Rasulullah SAW untuk menjaga kebajikan orang-orang yang tinggal di Suffah.
Selain Abu Hurairah, sahabat-sahabat lain yang menjadi ahlul suffah ialah Haritsah bin Nu’man al-Anshari, Abdullah Dzu al-Bajadain (syahid dalam perang Tabuk), Tsaqif bin Amr (syahid dalam perang Khaibar), Asam bin Haritsah bin Sa’id al-Aslami, Hanzhalah bin Abu Amir al-Anshari (syahid dalam peperangan Uhud), Hazim bin Harmalah, Hudzaifah bin Usaid, Jariyah bin Jamil bin Syabat bin Qarath, Ju’ail bin Saraqah al-Dhamri, Sa’ad bin Malik, Irbadh bin Sariyyah, Gharfat bin al-Azdi, Abdurrahman bin Qarth, Ubbad bin Khalid Al-Ghifari, Safinah (mantan budak suruhan Rasulullah), Abu Suraihah al-Ghifari (syahid dalam peperangan Hudaibiyah) dan ramai lagi.
Pada zaman pemerintahan Umar bin al-Khattab, ahlul suffah ini dibubarkan. Mereka telah dihantar untuk membantu menyebarkan agama Islam ke serata dunia dan dalam masa yang sama untuk membina kehidupan yang lebih baik.
Wallahu’alam.
(Kualiti gambar tidak begitu baik kerana penulis memadam gambar jemaah agar dapat gambaran sebenar bagaimana bentuk platform al-Suffah yang ada pada hari ini).