"Cashzine - Aplikasi Buat Duit Percuma Terbaik Yang PERLU anda miliki"

Cara Buat Duit Dengan Aplikasi Cashzine: Peluang Jana Side Income lebih RM100 Dalam Sehari Melalui Aplikasi Cashzine. (Scroll ke bawah untuk bukti pembayaran terkini daripada Cashzine

Cordyceps:Herba luarbiasa dan apa kehebatannya?

Pernahkah anda mendengar Cordyceps? Atau anda pernah melihat? Mungkin tak pernah dengarkan... Dan tak pernah lihat pun. Sama jugalah macam saya. Saya cuba ceritakan serba sedikit tentang Cordyceps ni. Walaupun bagaimanapun saya cuba fahamkan anda semua mengenainya samada dari tempat asal ataupun khasiat Cordyceps ini.

Cara Mudah Jadi Youtuber Terhebat

Ketahui cara bagaimana untuk menjadi Youtuber. Video yang senang difahami dan penuh dengan semua info yang perlu sebagai Youtuber. Dari asas kepada SEO, teknik Viral, Fb ads serta Mengandungi Teknik dan Rahsia Youtuber yang memiliki JUTAAN Subscriber..

Wanita kelihatan anggun dengan Hasanah Lipmatte

90% pengguna GEMBIRA dan TERUJA dengan Hasanah Lipmatte. Dah jadi trending bagi wanita abad ini. Bukan setakat mencantikkan bibir si pemakai malah dapat menaikkan keyakinan anda sepanjang hari.

9/10 Rezeki Perniagaan: Dari SOLOpreneur ke ENTREpreneur menjadi GLOBALpreneur

Cara Mulakan dan Kembangkan Perniagaan Ke Tahap Yang Lebih Tinggi Dengan Modal Minima.


Selasa, 31 Disember 2024

AKU TERIMA NIKAHNYA.....

 AKU TERIMA NIKAHNYA

Di Klinik Psikiatri. Wanita ini sudah beberapa kali saya jumpa. Masih muda. Bertudung bawal, berkulit putih, dia memang sedap mata memandang. Kali ini, dia hadir dengan suaminya. Kurus tinggi, berkulit sawo matang, rambut ikal dan bergigi depan berlubang.

Beza itu bagai langit dan bumi tetapi cinta itu sifatnya menyatukan, hingga lautan api juga terasa nyaman diredahi.

Cerita dia bukan luar biasa. Tapi cerita biasa yang begitu menyesakkan jiwa.

Ini cerita Dhia dan Ali. (Sudah pasti Dhia dam Ali bukan nama sebenar).

Mereka sudah berkahwin kurang lebih 6 tahun.

Dikurniakan dengan 3 orang anak yang comel dan aktif. Hidup mereka bahagia dengan cara mereka. Tetapi, setahun ini, Dhia mulai murung, selalu bersedih, sukar tidur, rasa lesu dan letih. Dhia tidak lagi berminat untuk bercakap, lebih kepada suka menyendiri dan melayan perasaan. Ironinya, Dhia juga mudah menjadi marah, dan sering anak-anak kecilnya menjadi mangsa. Dhia rasakan hidup tidak bermakna, apatah lagi mempunyai guna. Dhia rasa Dhia bersendiri hadapi semua ini. Dan baru baru ini, Dhia mula mendengar suara suara yang banyak di telinga "kau memang tak guna" "kau patut mati" "kau memang menyusahkan orang". Adakalanya Dhia nampak kelibat yang menakutkan.

"En. Ali, dulu masa kenal Dhia, dia macammana orangnya?"

"Dhia ceria doktor, selalu tersenyum. Mulutnya becok"

"Tapi, sekarang?"

"Dhia bukan Dhia yang dulu"

"Apa jadi?"

"Entah, saya tak tahu, mana ada masalah"

Ketika itu, sang anak merengek..."Ibu, nak kencing!"

Dhia membawa anaknya ke tandas. Dan serentak, raungan si kecil berumur setahun lebih yg ikut bersama, anak bongsu mereka, "nak ibu, nak ibu!"..

Dhia kelam kabut, sang ayah.... Lihat... Tanpa seribu bicara... Dan teruskan duduk.

"Betul tak ada masalah?"

"mana ada apa doktor"

"biar saya beritahu, boleh"

"boleh"

"Anak awak yang menangis tu masalah pertama"

Ali terdiam.

"Ini masalah Dhia"

1. Semenjak kahwin, Dhia tidak dibenarkan kerja, tapi Dhia kena tinggal di rumah, menjaga ibu mertua.

2. Ibu mertua nyanyuk, jadi sering lupa. Paling teruk, ibu mertua sering mengapikan Dhia, pemalas, masak tak sedap, tak bagus sebab menantu lain kerja bagus-bagus tapi Dhia tak kerja, padahal Dhia yang basuh kencing berak mak mertua.

3. Adik beradik suami yang lain semua tak sanggup jaga mak "kami tak tahan dengan mak. Kau jagalah. Wife kami semua tak boleh dengan mak, jadi kami kena selamatkan wife kami" tanpa sedar Dhia makan hati.

4. Bila ahli keluarga balik rumah, adik beradik lain akan sambung kutukan pada Dhia, pemalas dan sebagainya. Husband, hanya mengiyakan tanpa pernah mempertahankan Dhia.

5. DI rumah mertua, ada adik lelaki. Budak universiti, cuti sebab accident tapi dah semakin baik. Makan pakai adik ipar iuga Dhia kena uruskan. Baiu berbakul 

bakul jika Dhia tak basuhkan. Tapi bila Dhia rungutkan, "ko buat apa kat rumah, takkan itu pon tak boleh buat"

6. Bila Dhia balik ke rumah ibunya, kata iparnya "nak mengelat la tu"

7. Adik ipar balik beli kfc, tapi beli hanya untuk anak sendiri, bila anak anak Dhia merengek, mereka kata beli sendiri. Dhia terpaksa minta mak sendiri belikan.

8. Bila Dhia penat, uruskan anak anak.... Yang semakin aktif dan nakal dan perlu rehat sebentar, Dhia juga yang pemalas.

9. Mak mertua sering merendah- rendahkan Dhia pada adik-beradik lain.

10. Suami, kerja dari pagi sampai malam. Balik kerja, tidur terbongkang sebab dia penat bekerja, katanya Dhia dah rehat sepanjang hari.

11. Bila Dhia memasak, dengan anak-anak yang merengek, ibu mertua dan adik ipar akan marahkan Dhia, tak pandai jaga anak sbb tu bising, tapi mereka tidak mahu tolong jaga, maka Dhia akan memasak sambil mengendong si kecik, dan letak di para sebelah kuali. Dhia di beri amaran, jaga anak jangan bagi bising "kacau tidur aku," kata adik ipar.

12. Dhia tak boleh balik rumah mak sendiri, sbb siapa nak jaga mak mertua, kata ipar yang lain.

Dan setiap hari Dhia yang kena menghadapi semua ini.

13. Perlu pakai tudung sepanjang hari kerana adir ipar lelaki. Rumah panas tanpa kipas dan air cond.

14. Bantulah isteri anda menjaga anak... Bermain dengan mereka... Tanggungjawab dikongsi bersama, anda akan menjadi sehandsome Adiputra

"Awak pernah ucapkan terima kasih pada Dhia?" "Tak pernah"

"Pernah tanya dia penat ke tak?" "Tak pernah" "Bila stress apa awak buat?"Pergi memancing"

"Dhia?" "Dia kena jaga mak"

"Itu mak awak atau mak Dhia?" Ali tunduk.

"Dhia, berapa lama awak masuk tandas kalau mandi atau buang air besar" "Kena cepat-cepat doktor, anak ikut masuk bilik air atau meraung depan pintu"

"En Ali?" "setengah jam ke sejam"

"Awak buat apa? Main dan update fb kan?"

"Ya doktor"

"Dulu masa awak ambil Dhia pada ibu bapa dia, comel lote kan.. Tapi bila awak jaga kenapa jadi macamni?"

"dulu dia lawa sbb mak bapak dia jaga, tapi dia tak comel selekeh sekarang ni, siapa yang jaga dia? "

"saya"

"En. Ali rasa Dhia penat tak?"

"penat sangat doktor"

"Semalam kan doktor, saya nak sgt makan ikan bakar, saya minta abang belikan, mak mertua saya kata kenapa saya menyusahkan anak dia," kata Dhia.

Ali tunduk.

"Pernah awak pertahankan isteri awak? Bila adik beradik lain kutuk dia awak backing dia?

"tak"

"Kalau awak di office, awak kerja keras, tapi orang puji orang lain, apa awak rasa?"

"marah"

"pernah awak puji Dhia?"

"tak pernah"

"saya memang teruk" Ali menitiskan air mata.

Wahai suami,

1. Isteri hanya mahu di puji. Mereka juga mahu dimanja.

2. Pujilah. Katakan mereka seindah bidadari syurga. Pujian anda akan membahagiakan mereka.

3. Sesekali bawalah mereka ke mana saja yang mereka suka.

4. Bincang dan tanya. Apa mereka mahu dan suka.

5. Sesudah berkahwin, bukan tugas dia menjaga mertua. Itu tugas anda sebagai anak. Bila dia menjaga, dialah bidadari sejati. Bincanglah dengan adik beradik lain. Mereka sayangkan isteri mereka jadi bawa mereka keluar rumah, tapi mereka semua hina Dhia.

Dhia boleh jaga ibu, tapi gilir gilirla. Bawa berbincang.

"Bila awak paling bahagia Dhia?"

"masa suami sewa rumah lain kejap, saya rasa bebas nak pakai apa pon di rumah saya"

6. Adik beradik lain yang tidak mahu menjaga masih okay, tapi mulut tidak perlu menjadi puaka. Dan bila itu terjadi, pujuklah isteri anda.

7. Hargai dan sayangi mereka.

8. Berilah dia "me time". Dia juga mahu makan, mandi dan berak dengan tenang.

9. Sekali sekala belilah hadiah buat penghargaan, makan cendol semangkuk tulis buat isteri tersayang pon dan kembang setaman perasaan isteri. Siap dia upload facebook "hari ini hari paling happy"

"Abang, kita ni muka tak hensem tak apa abang, yang penting hati kene handsome"

"perempuan kalau dah sayang, bulan bintang pon dia sanggup tinggal bang, sehidup semati, tapi sekali kau buat dia benci bang, sampai mati pon dia akan benci"

Biar cinta bertapak di janji, berpasak di hati,

Bukan cinta bertapak di kaki, berpasak di bodi.

Kemurungan dan suara halus Dhia tu, itu bukan sihir, itu memang BUATAN ORANG. Buatan Ali pada cinta Dhia.

"Dan bila AKU TERIMA NIKAHNYA, janji itu bukan dengan dia atau mak ayah dia, janji itu pada Allah, pada Tuhanmu yang menciptakan."

Source 

Ahad, 29 Disember 2024

"Macam Mana MPPJ FC Hilang Dari Arena Bola Sepak Negara?"

 "Macam Mana MPPJ FC Hilang Dari Arena Bola Sepak Negara?"

Oleh: Azizul Farhan

Apakah pasukan kelab pertama yang menang Piala Malaysia?

Rata-rata yang tak kenal bolasepak Malaysia ni akan jawab JDT.

Tapi jangan terkejut, pasukan kelab ni hanyalah pasukan "majlis perbandaran" tak segah pasukan negeri-negeri masa tu.

Inilah dia, MPPJ FC.

Memandangkan tadi saya dah cerita pasal asal usul Petaling Jaya, kita kena juga cerita terbesar pencapaian Petaling Jaya dalam arena sukan.

Sebelum Petaling Jaya diwakili oleh PJ City FC yang kini pun dah tarik diri daripada Liga Malaysia, kita pernah ada PJ Rangers FC dan MPPJ FC.

Fokus harini ialah MPPJ FC. Sebab inilah satu-satunya pasukan kelab "majlis perbandaran" yang pernah menang Piala Malaysia pada tahun 2003.

MPPJ ni mula dari liga bawahan. 1999, MPPJ FC menjuarai Liga Selangor. Diorang kemudiannya bermain dalam Piala FAM.

Diorang jadi juara Piala FAM pada 2001 selepas tewaskan SAJ Holding FC. Maka bermulalah kisah MPPJ FC di dalam saingan Divisyen 2 Liga Malaysia pada 2002.

Dalam liga, MPPJ FC duduk di tempat ketiga di bawah Kedah yang jadi juara dan Telekom Melaka.

Tapi keajaiban berlaku di dalam saingan Piala Malaysia. Pasukan yang dijangka bungkus awal ni ternyata tak boleh dipandang sebelah mata.

MPPJ diletakkan di dalam kumpulan yang dibarisi juara bertahan Selangor, Sabah dan Pulau Pinang.

Tanpa disangka-sangka, MPPJ berjaya menjadi naib juara kumpulan dibelakang Sabah. Anehnya juara bertahan Selangor pula berada di tempat tercorot.

Di peringkat suku akhir, MPPJ berentap dengan Pahang. MPPJ mula disokong para penyokong Selangor yang nampak MPPJ sebagai wakil Selangor yang masih bertahan dalam saingan Piala Malaysia.

MPPJ yang mula digelar sebagai Sang Lelabah Black Widow ni pun berjaya melangkah ke peringkat Separuh Akhir selepas menewaskan Pahang dengan jaringan minit akhir Juan Manuel Arostegui menjadikan keputusan memihak MPPJ 3-2.

Ya, yang tengok Liga Malaysia mesti ingat nama ni. Dia dan Bruno Martelotto yang main untuk MPPJ ni jugak pernah main bersama ATM FA ketika musim 2014.

Perlis yang dianggap gergasi besar bola sepak Malaysia masa tu menunggu di separuh akhir pula dibeduk MPPJ dengan aggregat 4-2. 

Kalau sesiapa ingat, masa ni lah penyerang MPPJ, Haris Safwan Kamal diterbangkan naik helikopter dari PJ ke Kangar sebab beliau kena jawab final exam di Universiti Malaya pada hari yang sama dengan perlawanan tersebut.

Di perlawanan akhir, MPPJ ditemukan dengan Sabah. Ya, naib juara Piala Malaysia 2002.

Skuad bimbingan Pablo Dollah Salleh ni berjaya merangkul juara Piala Malaysia 2003 setelah membeduk Sabah dengan jaringan hatrik Arostegui.

Satu musim yang sangat membanggakan bagi MPPJ FC. Kemudian diorang menang pula Piala Sumbangsih 2004. Tapi, indah ini hanya seketika.

MPPJ mula dibanjiri penaja-penaja, tak terkecuali daripada orang-orang politik. MPPJ mula merombak pasukan. Membariskan pemain-pemain bertaraf kebangsaan.

MPPJ FC yang ketika itu skuadnya tak lah segah mana, tetapi diorang terlalu rakus nak membeli nama-nama besar dengan sasaran menjadi juara Liga Super 2005.

Ramai pemain bintang yang ditandatangani MPPJ. Diorang dijanjikan tawaran klausa "bukan sukan" seperti tawaran rumah.

Mesti ada yang ingat kisah Yusri Che Lah bernilai RM1 pernah menjadi buah mulut peminat bola sepak tempatan.

MPPJ akhirnya gagal, pelabur hilang keyakinan dan tarik tajaan. Fanbase MPPJ juga tak sekuat Selangor yang dah bertahun-tahun menjadi darah daging anak jati Selangor. Kes yang sama seperti PJ City FC.

Lama kelamaan, krisis kewangan MPPJ menjadi semakin parah. Para pemain bintang meninggalkan pasukan. Pemain mengamuk kerana tak diberikan seperti mana yang dijanjikan. Sampaikan ada yang kena jalan kaki pergi training ground.

Keluarnya Dollah Salleh dan tunggakkan gaji akhirnya meranapkan impian pasukan daerah ini untuk jadi kuasa besar bola sepak Malaysia.

MPPJ akhirnya tarik diri daripada Liga Perdana 2007 dan pendaftarannya digantung oleh FAM kerana pelbagai kemelut yang melanda.

Dah banyak pasukan Liga Malaysia yang jadi macam ni.

Boleh je saya senaraikan. Antaranya MPPJ, Perlis, Melaka, Sarawak United dan TRW Kelantan yang pernah diterajui oleh Zamsaham.

Sayang betul. MPPJ hanya tinggal dalam catatan sejarah. Korang pun boleh tengok dalam Muzium Petaling Jaya. Ada cerita pasal MPPJ ni.

Dan kini, hampir semua pasukan dalam liga Malaysia menerima nasib yang sama. Penswastaan pun tak memberi impak positif untuk pasukan-pasukan ni. Ada yang tak boleh nak bayar gaji sampai pemain boikot untuk main.

Inilah sebab kenapa pentingnya kita belajar sejarah supaya kita tak mengulangi kesilapan pasukan terdahulu.

___

Source 

Sabtu, 28 Disember 2024

Kisah Benar:Apabila Umur Kita Panjang.....

 Apabila Umur Kita Panjang.

Saya menulis berdasarkan pemerhatian terhadap pak dalam melalui sisa-sisa hidup yang masih ada.

1. Kesunyian

 Perkara ini yang paling serius. Biasanya apabila umur kita terlalu panjang, kita mungkin sudah kehilangan pasangan. 

Untuk berkahwin lagi bukanlah perkara yang mudah terutamanya apabila usia sudah lanjut.

Anak-anak pula, walau sebaik mana sekalipun mereka tetap ada komitmen dan family sendiri yang perlu diuruskan.

Kawan-kawan pula biasanya berada dalam keadaan uzur sama seperti kita. 

Ketika gambar di bawah saya ambil, pak baru kehilangan sahabat terakhirnya yang sering datang berbual-bual dengan pak.

Apabila pak cik tersebut sudah meninggal dunia, pak tidak ada kawan lagi.

Dalam kebanyakan masa pak hanya sendiri menghitung waktu yang terasa amat lambat berlalu pergi.

2. Masalah penjaga.

Apabila kita sudah sangat tua bermaksud anak-anak juga sudah berusia 

Misalnya seorang abang saya berusia sekitar 68 tahun. Abang-abang dan kakak-kakak yang lain juga berusia pencen.

Bayangkan betapa besarnya pengorbanan mereka untuk menguruskan pak setiap hari.

Mereka perlu mengangkat pak berkali-kali dalam sehari sedangkan mereka juga kian tidak berdaya sebenarnya atas faktor usia dan kesihatan.

3. Keupayaan kita semakin kurang dan mungkin terpaksa bergantung kepada orang lain untuk urusan seharian.

Misalnya, dahulu pak boleh berjalan dengan bantuan tongkat, sekarang tidak mampu berjalan langsung.

Penglihatan pak semakin kabur dan pendengaran juga sudah terjejas. Begitu juga dari segi ingatan dan sebagainya.

4. Kita sudah berada pada zaman yang berbeza. 

Walaupun kita merindui zaman tersebut namun segalanya telah berlalu.

Misalnya pak teringin nak makan pasembor di sebuah kedai di Kodiang, Kedah dan abang-abang saya berusaha mencari pasembor tersebut. Namun sayangnya kedai yang dimaksudkan sudah tidak wujud di kawasan itu.

Apabila diberitahu kepada pak, pasti pak tidak percaya. 

Kata pak, abang-abang saya tidak pandai mencari kerana mustahil kedai itu akan berpindah kerana perniagaannya sangat maju.

Menurut abang saya, lokasi yang pak maksudkan sudah menjadi kawasan rumah kedai dan bangunan lain.

Namun, beritahulah 100 kali pun pak tetap yakin kedai itu ada, cuma abang saya yang cari tak jumpa!

Begitulah antara situasinya apabila Allah anugerahkan umur yang panjang kepada kita.

Di sebalik amal ibadah yang dapat kita lakukan apabila berumur panjang namun cabaran yang menanti juga bukan kaleng-kaleng.

Jadi bagaimana?

Apakah doa terbaik yang patut kita panjatkan ke hadrat Allah saban hari?

Minta untuk berumur panjang atau bagaimana? 🥲

Sumber: FB Busseroa Abdul Jalil ll

Khamis, 26 Disember 2024

Pembelian dan sewa helikopter kegunaan ATM..Berbaloikah dengan perbelanjaan besar?

 


Kerajaan BN masa Najib telah beli 12 unit EuroCopter EC725 dengan harga RM1.6 bilion atau RM133.3 juta sebuah sebagai pengganti Nuri.

Proses pembelian ini adalah melalui tender terbuka antarabangsa dan ianya dibeli terus dengan syarikat pengeluar iaitu Eurocopter (kini dimilik Airbus).

Baru-baru ini, Boustead Heavy Industries Corp Bhd memperoleh kontrak RM378 juta untuk memberikan sokongan penyelenggaraan selama lima tahun bagi 12 helikopter EC725 ini atau kos tahunan RM6.3 juta sebuah.

Ini bermakna kos pembelian EC725 termasuk 15 tahun penyelenggaraan ialah RM228 juta sebuah atau RM6.38 bilion bagi 28 buah.

Pada tahun 2024 ini, kerajaan Madani pula umum mereka akan sewa 28 buah helikopter jenis Leonardo AW149 juga sebagai pengganti helikopter Nuri dengan harga RM16.54 bilion untuk 15 tahun dengan opsyen untuk membeli terus pada harga RM15 juta sebuah selepas tamat tempoh 15 tahun.

Jadi, kos pembelian AW149 termasuk 15 tahun penyelenggaraan ialah RM606 juta sebuah atau RM16.96 bilion bagi 28 buah.

Kaedah perolehan secara pajakan melalui syarikat tempatan (dan bukan terus dari pengeluar) merupakan kali pertama umpamanya dibuat dan dianugerah selepas dirunding dengan Unit Kerjajasama Awam-Swasta (UKAS) iaitu unit di bawah Pejabat Perdana Menteri.

Ramai yang pertikai keputusan untuk membeli AW149 sebab tiada laporan bahawa 12 buah EuroCopter EC725 milik TUDM itu tidak befungsi dengan baik sejak berkhidmat sejak lebih 10 tahun dahulu.

Beberapa pihak mencadangkan agar ATM mempertimbangkan helikopter lain seperti H225M (varian baharu EuroCopter EC725AP) yang mempunyai keupayaan lebih hampir dengan Nuri. Helikopter ini dibina khusus sebagai pesawat tentera pelbagai peranan dengan keupayaan yang lebih tinggi berbanding AW149.

Selain itu, terdapat juga kebimbangan mengenai aspek penyelenggaraan dan kerjasama industri tempatan. Pembelian EC725AP sebelum ini telah mewujudkan beberapa kerjasama industri dengan pengeluar asal, menjadikan Malaysia sebagai pusat penyelenggaraan, pembaikan, dan baik pulih (MRO) bagi helikopter keluaran Airbus.

Jadi ramai yang tanya kenapa kerajaan Madani tidak tambah lagi 28 buah Eurocopter berbanding membeli jenis lain iaitu AW149?

Penambahan helikopter H225M dapat melonjakkan lagi kedudukan tersebut selain memberi nilai industri kepada syarikat-syarikat tempatan yang terlibat.

Persoalan bertambah kuat bila dibanding dengan pembelian 18 buah jet pejuang jenis KAI FA-50 dengan harga RM4.08 bilion pada Feb 2023 ketika kerajaan Madani baru memerintah atau harga RM226.7 juta sebuah.

Pembelian jet ini terus dari pengeluar melalui proses tender terbuka antarabangsa yang bermula pada tahun 2021 sebelum kerajaan Madani bermula.

Walaupun, kos penyelenggaraan tidak diumum tetapi pada bulan Okt 2024, syarikat pengeluar iaitu KAI telah dianugerah kontrak penyelenggaraan bernilai US$20.4 juta atau RM90.5 juta selama setahun oleh kerajaan Filipina bagi 12 buah pesawat KAI FA-50 yang juga termasuk alat ganti, pengangkutan, sokongan teknikal, pengurusan inventori, dan perolehan peralatan.

Atau kos penyelenggaraan tahunan sekitar RM7.5 juta sebuah FA-50.

Ini bermakna kos pembelian FA-50 termasuk 15 tahun penyelenggaraan dianggarkan sebagai RM341 juta sebuah atau RM9.55 bilion bagi 28 buah.

Jadi, kenapa pula kos kesuluran 15 tahun bagi helikopter EC-725 hanya RM6.38b dan bagi jet pejuang KA-50 ialah RM9.55 bilion berbanding kos hampir RM17 bilion bagi helikopter A149?

Kos RM17 bilion adalah sangat besar dan merupakan pembelian aset keselamatan paling tinggi dalam sejarah Malaysia pada ketika jumlah hutang dan liabiliti kerajaan sudah cecah RM1.61 trilion.

Sebagai perbandingan, kos pembinaan Lebuhraya Pan Borneo Sarawak ialah RM16.5 bilion.

Kos RM17b ini juga adalah lebih tinggi berbanding kos keseluruhan RM16.45 bilion untuk membina:

- Lebuhraya LPT1 (RM1.48b) yang dibuka pada tahun 2004,

- lebuhraya LPT2 (RM4.37b) yang dibuka pada tahun 2015

- Lebuhraya Lingkaran Tengah Utama atau CSR (RM6.6b) yang masih dalam pembinaan; dan 

- Lapangan terbang KLIA2 (RM4b) yang dibuka pada tahun 2014

Jadi, projek pembelian atau pajakan 28 buah helikopter AW149 bernilai hampir RM17 bilion ini wajar disiasat PAC sebagaimana pembelian 12 buah helikopter EC725 dengan harga RM1.6 bilion pernah disiasat masa BN dahulu.

Source 

Selasa, 24 Disember 2024

"Korang Tahu Tak, Firaun Kahwin Dengan Ahli Keluarga Sendiri?"

 "Korang Tahu Tak, Firaun Kahwin Dengan Ahli Keluarga Sendiri?"

Oleh: Mazlan Syafie

MasyaAllah, segala puji bagi Allah yang menciptakan sejarah sebagai pedoman untuk kita memahami kebijaksanaan-Nya dan mengambil iktibar daripada peradaban silam. Kehidupan para firaun Mesir Purba sering dikaitkan dengan keagungan kuasa, kemewahan yang melampau, dan pengaruh yang tiada tandingan. Namun, di sebalik keagungan itu, tersingkap kisah menarik tentang hubungan keluarga diraja, tradisi perkahwinan luar biasa, dan misteri yang masih memukau dunia hingga hari ini.

Bagi masyarakat Mesir Purba, firaun bukan sekadar pemimpin politik, tetapi juga dianggap sebagai jelmaan dewa di bumi. Kepercayaan ini menjadikan setiap aspek kehidupan baginda, termasuk perkahwinan, dipengaruhi oleh kepercayaan bahawa darah diraja perlu kekal suci. Perkahwinan sesama ahli keluarga adalah amalan biasa dalam dinasti diraja. Kajian genetik terhadap mumia Tutankhamun, misalnya, menunjukkan bahawa ibu bapanya adalah adik-beradik kandung. Amalan ini dilakukan untuk memastikan ketulenan darah diraja dan mengelakkan campur tangan pengaruh luar.

Namun, perkahwinan seperti ini membawa akibat buruk kepada keturunan mereka. Tutankhamun dilahirkan dengan pelbagai kecacatan fizikal, seperti kaki bengkok dan sistem imun yang lemah, dipercayai berpunca daripada kelemahan genetik. Baginda meninggal dunia pada usia muda, sekitar 18 tahun. Hal ini menunjukkan risiko besar yang wujud akibat perkahwinan sedarah. Tradisi ini juga diteruskan dalam dinasti Ptolemaic, di mana Cleopatra VII, tokoh terkenal Mesir Purba, berkahwin dengan adik lelakinya untuk memastikan kuasa kekal dalam keluarga diraja.

Selain menjaga darah diraja, tradisi ini juga berfungsi sebagai strategi politik. Golongan diraja percaya bahawa perkahwinan dengan orang luar akan mencemarkan legitimasi mereka sebagai pemerintah yang dianggap suci. Walau bagaimanapun, akibat genetik seperti penyakit dan kecacatan menjadi risiko besar yang melemahkan generasi seterusnya.

Hubungan keluarga diraja turut dikaitkan dengan kepercayaan bahawa firaun adalah anak atau pasangan dewa. Contohnya, Ratu Hatshepsut mendakwa dirinya lahir daripada hubungan antara ibunya dan Dewa Amun, satu tuntutan yang digunakan untuk memperkukuhkan kedudukan baginda sebagai pemimpin wanita. Naratif seperti ini memberi mereka kuasa moral dan spiritual di mata rakyat.

Seni dan budaya Mesir Purba mencerminkan hubungan unik ini. Lukisan pada dinding makam dan kuil sering menggambarkan firaun bersama pasangan mereka, yang biasanya adalah saudara terdekat. Hubungan ini dilihat sebagai lambang kuasa tuhan. Namun, di sebalik gambaran ini, konflik dalaman keluarga diraja sering berlaku. Perebutan kuasa antara anak-anak daripada isteri utama dan anak-anak daripada gundik menjadi punca ketegangan. Ramses II, salah seorang firaun paling agung, mempunyai lebih daripada 50 anak hasil daripada perkahwinan dengan pelbagai isteri dan gundik, menunjukkan betapa rumitnya hubungan keluarga diraja.

Selain itu, legenda "sumpahan firaun" menambahkan misteri kehidupan diraja Mesir. Selepas makam Tutankhamun ditemui pada tahun 1922 oleh Howard Carter, banyak kejadian aneh dilaporkan, termasuk kematian Lord Carnarvon, penaja ekspedisi tersebut. Sumpahan ini dianggap amaran kepada sesiapa yang mengganggu makam diraja. Walaupun teori saintifik mengaitkan kematian tersebut dengan bakteria purba dalam makam, kisah ini terus memukau dunia.

Kehebatan firaun juga terserlah melalui penemuan teknik perubatan mereka. Kajian terhadap mumia menunjukkan bukti prosedur pembedahan seperti trepanasi, iaitu teknik membuat lubang pada tengkorak. Penemuan ini membuktikan kepakaran masyarakat Mesir Purba dalam memahami anatomi manusia.

Jasad para firaun sering dikebumikan bersama kekayaan luar biasa. Proses mumifikasi mereka melibatkan emas tulen, seperti topeng pengebumian Tutankhamun yang diperbuat daripada 11 kilogram emas dan dihiasi dengan batu permata. Emas dianggap sebagai "daging para dewa," simbol keabadian yang melangkaui kehidupan duniawi.

Selain itu, kucing memainkan peranan penting dalam kehidupan diraja. Dalam budaya Mesir Purba, kucing dianggap suci dan membawa keberkatan. Dewi Bastet, yang digambarkan sebagai wanita berkepala kucing, dipercayai melindungi keluarga diraja daripada kuasa jahat. Kucing juga menjadi lambang kesuburan dan keamanan di istana.

Fenomena langit turut memainkan peranan dalam kehidupan firaun. Contohnya, kuil Abu Simbel yang dibina semasa pemerintahan Ramses II direka supaya sinar matahari hanya menerangi ruang suci kuil dua kali setahun, iaitu pada hari lahir baginda dan hari kenaikan takhta. Fakta ini menunjukkan kebolehan astronomi yang sangat maju dalam kalangan masyarakat Mesir Purba.

MasyaAllah, segala puji bagi Allah yang memberi manusia akal untuk memahami hikmah di sebalik sejarah. Kehidupan para firaun Mesir Purba, dengan segala kemewahan, kepercayaan, dan tradisi mereka, memberikan kita pengajaran tentang akibat melanggar fitrah yang telah ditetapkan oleh-Nya. Sejarah ini menjadi peringatan untuk kita menghargai kebijaksanaan Ilahi, menjaga keharmonian, dan tidak mengulangi kesilapan peradaban silam. Semoga kisah ini menjadi pedoman buat kita semua.

___

Source 

Isnin, 23 Disember 2024

The Edge lapor Kerajaan Madani dalam proses menjual projek Bandar Malaysia dengan GDV RM140 bilion kepada Petronas dengan harga lebih RM12 bilion.

 The Edge lapor Kerajaan Madani dalam proses menjual projek Bandar Malaysia dengan GDV RM140 bilion kepada Petronas dengan harga lebih RM12 bilion.

Biarpun ini bermakna 1MDB tidak lagi lagi mendapat peluang menjana keuntungan Gross Development Profit antara 20% hingga 30% (RM28 bilion ke RM42 bilion) tetapi bayaran RM12 bilion ini (RM6 bilion tahun ini dan RM6 bilion tahun 2025 depan) bakal mengurangkan defisit tahunan bajet kerajaan.

Dengan ini, saya update jumlah keuntungan 1MDB kepada Malaysia berdasarkan Laporan Audit Negara berkenaan 1MDB yang dikeluarkan kerajaan pada 14 Okt 2024 yang memberi butiran mendalam berhubung kedudukan hutang, aset dan liabiliti 1MDB setakat akhir 2023.

Saya rumuskan:

Jumlah keseluruhan prinsipal hutang pada akhir tahun 2018 (selepas PRU14): RM32.208 bilion

Jumlah dibayar kerajaan bagi selesaikan hutang dan faedah 1MDB dari tahun 2019 ke 2023: RM39.737 bilion

Dari RM39.737 bilion, RM24.167 bilion diperolehi dari Akaun Amanah 1MDB (AAMKA) iaitu dana yang dikembalikan kepada 1MDB.

Manakala RM15.57 bilion ialah dari peruntukan pembangunan kerajaan (atau dikenali sebagai "wang Rakyat")

Pada akhir tahun 2023, jumlah keseluruhan baki hutang dan faedah terkumpul 1MDB sehingga tahun 2038: RM9.456 bilion.

Tetapi baki dalam Akaun Amanah 1MDB (AAMKA) setakat akhir 2023 masih ada RM1.345 bilion.

Penyelesaian dan dana yang dijangka terima pada tahun 2024 ini pula ialaj: 

- baki bayaran penyelesaiaan dari IPIC: RM4.65 bilion

- Pemulangan aset diumum DOJ pada permulaan Jun 2024: RM0.7214 bilion

- Pemulangan aset tambahan diumum DOJ pada akhir Jun  RM0.432 bilion

- aset diarah mahkamah Switzerland untuk dikembalikan ke 1MDB susulan selesai perbicaraan PetroSaudi RM1.04 bilion

- penjualan Bandar Malaysia kepada Petronas: RM12 bilion

Jadi, jumlah baki Akaun Amanah (AAMKA) 1MDB pada akhir 2024 sudah RM20.188 bilion.

Ini bermakna jumlah "wang Rakyat" maksimum yang bakal digunakan pada saat segala hutang 1MDB diselesaikan pada tahun 2038 ialah: RM382 juta.

(RM15.57b campur RM5b (baki hutang setakat ini) tolak RM20.188b (baki akaun AAMKA)

Itupun belum kira faedah bagi dana akaun AAMKA, tidak kira sebarang lagi pemulangan dan penyelesaian 1MDB dan tiada langsung hasil dari projek-projek dan aset-aset 1MDB.

Dan dengan jumlah maximum "wang Rakyat" sebanyak RM382 juta setakat ini, negara memperolehi:

- Projek TRX bernilai RM40 bilion

- Tanah Pulau Pinang berniai RM2 bilion

- Tanah Pulau Indah bernilai RM400 juta

- pembinaan dan naik taraf 8 pangkalan keselamatan Malaysia bernilai RM3 bilion

- Projek terowong 5km bawah tanah TRX bernilai RM3 bilion

- pelbagai projek-projek CSR termasuk membiayai Haji percuma dan biasiswa, pembinaan bangunan ICC Pudu

Bermakna 1MDB sudah memberi manfaat sangat besar kepada Malaysia - bukan kerugian.

Sumber 

Ahad, 22 Disember 2024

"Abdullah bin Umar – Pemuda yang Hidup dalam Bayangan Sunnah"

 "Abdullah bin Umar – Pemuda yang Hidup dalam Bayangan Sunnah" 

MasyaAllah… Abdullah bin Umar r.a. adalah sosok luar biasa dalam sejarah Islam, bukan hanya kerana nasabnya sebagai anak kepada Khalifah Umar al-Khattab r.a., tetapi juga kerana ketulusan hatinya dalam mencintai Rasulullah SAW. Beliau adalah bukti hidup bagaimana sunnah Rasulullah boleh menjadi panduan hidup, dari perkara besar hingga sekecil-kecil perkara.

Abdullah bin Umar memeluk Islam bersama keluarganya ketika beliau masih muda. Bayangkan, seorang remaja yang melihat ayahnya, Umar al-Khattab, berubah dari musuh Islam menjadi salah seorang pembela Rasulullah SAW yang paling teguh. Abdullah menyaksikan bagaimana Islam membawa perubahan besar kepada keluarganya, dan beliau sendiri menyerap ajaran agama dengan penuh kecintaan.

Ketika Perang Badar, Abdullah begitu bersemangat untuk turut serta berjihad. Namun, Rasulullah SAW dengan lembut menolaknya kerana usianya yang baru 13 tahun. Abdullah kembali ke rumah, kecewa tetapi tidak putus asa. Hari-harinya dipenuhi dengan latihan dan persiapan, agar suatu hari nanti beliau dapat menyumbangkan tenaganya untuk Islam. Peluang itu akhirnya datang dalam Perang Khandak, di mana Abdullah berjuang dengan penuh keberanian di bawah panji Rasulullah SAW.

Namun, apa yang benar-benar membuat Abdullah bin Umar istimewa adalah kecintaannya yang mendalam kepada Rasulullah SAW. Beliau bukan sahaja belajar dan menghafal hadis, tetapi juga berusaha meniru setiap perbuatan Baginda. Jika Rasulullah pernah berjalan di satu jalan, Abdullah akan melalui jalan itu setiap kali. Jika Rasulullah berhenti di bawah pokok tertentu untuk berehat, Abdullah akan berhenti di bawah pokok yang sama ketika melewatinya. Perbuatan ini bukan kerana ritual kosong, tetapi kerana beliau merasakan kehadiran Rasulullah dalam setiap langkahnya.

Suatu hari, Abdullah bin Umar mendengar bahawa Rasulullah SAW pernah solat di satu tempat tertentu berhampiran Kaabah. Tanpa berlengah, Abdullah pergi ke tempat itu dan solat di sana, meniru solat Rasulullah SAW dengan penuh kekhusyukan. Seseorang bertanya kepadanya, “Mengapa engkau begitu bersungguh-sungguh meniru Rasulullah, walaupun dalam perkara kecil seperti ini?” Abdullah menjawab dengan penuh rasa cinta, “Kerana aku ingin mengikuti Baginda bukan hanya dengan kata-kata, tetapi juga dengan perbuatanku.”

Abdullah bin Umar juga terkenal dengan kezuhudannya. Walaupun keluarganya adalah antara yang paling berpengaruh dalam sejarah Islam, Abdullah memilih untuk hidup sederhana. Dalam satu peristiwa, seorang lelaki datang kepadanya dan memuji kesederhanaannya. Abdullah membalas, “Aku tidak ingin terikat dengan dunia. Aku ingin dunia ini menjadi seperti tunggangan yang membawaku kepada akhirat.”

Ketika zaman fitnah besar melanda umat Islam selepas kewafatan Rasulullah SAW, Abdullah bin Umar menjadi suara yang menenangkan. Walaupun ramai mendesak beliau untuk mengambil alih kepimpinan umat Islam, Abdullah dengan tegas menolak. Beliau berkata, “Aku tidak inginkan dunia. Biarlah aku hidup sebagai seorang hamba yang mencari reda Allah.” Sebaliknya, beliau mengabdikan hidupnya untuk mengajarkan Al-Quran dan hadis kepada umat Islam, mengingatkan mereka untuk kembali kepada ajaran Rasulullah SAW.

Abdullah bin Umar meninggal dunia dalam usia 84 tahun. Ketika saat-saat terakhirnya, beliau meminta anak-anaknya untuk mengkafankan jenazahnya dengan kain yang paling sederhana. Beliau berkata, “Aku tidak ingin membawa apa-apa ke hadapan Allah selain keimanan dan amalanku.”

MasyaAllah… Kisah Abdullah bin Umar adalah kisah tentang cinta yang tidak berbelah bahagi kepada Allah dan Rasul-Nya. Beliau menunjukkan kepada kita bahawa mengikuti sunnah Rasulullah bukan hanya tentang ibadah, tetapi juga tentang cara kita menjalani kehidupan sehari-hari dengan penuh keikhlasan. Semoga kita semua mendapat inspirasi daripada Abdullah bin Umar untuk mencintai Rasulullah SAW bukan hanya dengan kata-kata, tetapi dengan setiap tindakan kita. Amin.

___

Source 

Rabu, 18 Disember 2024

ADAKAH PERLU IKUT ULAMA SEDANGKAN ULAMA BUKAN NABI? SUATU PENCERAHAN

ADAKAH PERLU IKUT ULAMA SEDANGKAN ULAMA BUKAN NABI? SUATU PENCERAHAN


Mutakhir ini menyaksikan segelintir kelompok yang mendakwa bahawa ajaran agama sudah cukup untuk diambil terus daripada al-Quran dan hadis tanpa berhajat kepada para ulama yang menjadi penghubung antara zaman Rasulullah ﷺ sehingga ilmu dan kefahaman yang benar sampai kepada kita pada saat ini.

Ya, benar ulama bukan Nabi, namun Rasulullah ﷺ telah memberi jaminan bahawa ulama adalah pewaris Nabi dan majoriti ulama tidak akan bersepakat dalam perkara kesesatan sesuai dengan sabda Baginda: “Tidak akan terhimpun umatku di atas kesesatan” (Riwayat al-Tirmidhi).

Hal tersebut jelas menunjukkan bahawa hujah dalam agama bukan hanya al-Quran dan hadis semata-mata, tetapi turut merangkumi ijmak dan qiyas.

Setiap fakta yang diungkapkan dalam keilmuan Islam tidak hanya bersandar kepada kewujudan hadis semata-mata kerana semua hadis sama ada yang sahih, hasan ataupun daif boleh membawa kepada kefahaman yang sesat jika tidak dibimbing oleh guru yang merupakan ulama dan ulama adalah pewaris para Nabi.

Kekeliruan yang terjadi pada saat ini berpunca daripada pihak yang cuba memahami agama secara terus melompat kepada hadis tanpa merujuk perbahasan ulama mengenainya. Pihak ini menyangka bahawa jika boleh terus ikut Nabi, kenapa perlu ikut ulama. Kepincangan ini terjadi lantaran kegagalan mereka memahami bahawa mengikut ulama muktabar sebenarnya bermaksud mengikut Nabi Muhammad ﷺ.

Untuk mendapat kefahaman yang betul dalam keilmuan Islam, ulama Ahli Sunnah wal Jamaah mementingkan pengajian ilmu bersanad yang berperanan sebagai “sistem keselamatan” yang dapat membentengi kemurnian kefahaman agama. Tindakan mengajak masyarakat awam untuk terus melompat kepada kitab al-Quran dan kitab hadis adalah suatu tindakan yang bercanggah dengan metod sebenar dalam memahami fakta-fakta agama Islam. Sesungguhnya, berpegang kepada al-Quran dan hadis tanpa ulama yang benar akan membawa kepada kesesatan. Demikian juga, sesiapa yang memberi pandangan tentang al-Quran dan hadis tanpa panduan ulama adalah sesat.

Sekadar memiliki kitab-kitab hadis dan menelaah hadis-hadis sahih belum melayakkan seseorang untuk mengeluarkan hukum daripadanya. Hal ini kerana interaksi terhadap hadis tidak hanya terhenti pada penilaian sahih, hasan dan daif, serta tidak hanya tertumpu kepada maqbul dan mardud di sisi para muhaddithin. Sesungguhnya, kesahihan hadis tidak menjamin kefahaman seseorang terhadap makna hadis tersebut atau menjadikannya sunnah secara serta-merta. Ini kerana tidak semua hadis yang sahih sanadnya boleh terus diamalkan tanpa menilai aspek-aspek lain. Hal tersebut telah dijelaskan oleh Imam Ibnu Kathir dalam Ikhtisar ‘Ulum al-Hadith bahawa kesahihan sanad tidak menjamin kesahihan matan.

Imam Ahmad bin Hanbal pernah berkata: “Walaupun seseorang memiliki kitab-kitab yang mengandungi hadis-hadis Nabi ﷺ serta pendapat para Sahabat dan Tabi’in, dia tidak boleh mengamalkan apa yang dia kehendaki atau memilih-milih (salah satu pendapat), lalu memutuskan dan beramal dengannya sebelum dia bertanya kepada ahli ilmu apa yang mesti diambil agar dia beramal dengan perkara yang benar” (Rujukan: I’lam al-Muwaqqi’in ‘an Rabb al-‘Alamin oleh Ibnu Qayyim).

Baginda ﷺ juga bersabda: “Sesungguhnya Allah tidak mengangkat ilmu secara langsung daripada hati para hamba-Nya. Tetapi, Allah mengangkat ilmu dengan kewafatan para ulama” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Dalam hadis ini, Baginda ﷺ tidak menyebut ilmu itu diangkat dengan hilangnya kitab-kitab atau mushaf, tetapi dengan hilangnya para ulama. Hal tersebut menunjukkan bahawa hakikat ilmu agama dan kefahamannya terletak pada para ulama, bukan pada kitab semata-mata. Kitab hanyalah pembantu atau penyokong kepada ilmu yang berada di sisi jumhur ulama Ahli Sunnah wal Jamaah yang membentuk al-Sawad al-A’zam.

Imam al-Shatibi dalam al-Muwafaqat (ms. 53) ketika menghuraikan hadis di atas berkata: “Sesungguhnya ilmu berada di dada-dada guru, kemudian dipindahkan ilmu tersebut ke dalam kitab. Maka, kunci bagi ilmu tersebut tetap berada di tangan guru.”

Guru adalah kunci bagi ilmu kerana padanya terhimpun tiga ciri utama, iaitu penggunaan rujukan-rujukan kitab yang benar, kefahaman ilmu yang benar secara bersanad, dan keahlian dengan penguasaan ilmu yang mantap. Guru yang memenuhi kriteria tersebut adalah ulama yang sebenar.

Dalam Islam, institusi ilmu tidak terletak pada bangunan atau binaan, mushaf atau kitab, tetapi pada para ulama yang merupakan institusi ilmu itu sendiri. Hal tersebut sesuai dengan firman Allah Taala: “Maka tanyalah kepada ahli ilmu jika kamu tidak mengetahui” (al-Nahl: 43). Dalam ayat ini, Allah Taala tidak memerintahkan untuk bertanya kepada kitab, tetapi kepada ahli ilmu.

Perkara tersebut juga dijelaskan oleh Imam al-Awza’i rahimahullah, katanya: “Tidaklah hilang ilmu melainkan dengan hilangnya sanad-sanad (pemikul ilmu agama tersebut)” (al-Tamhid, Imam Ibnu Abd al-Barr). Anak muridnya, Imam Malik rahimahullah, pula berkata: “Hendaklah seorang penuntut ilmu itu menghafal ilmu agamanya daripada para ulama, bukan sekadar daripada lembaran kitab semata-mata” (al-Kifayah fi Ma’rifah Usul ‘Ilm al-Riwayah, Imam Abu Bakr al-Khatib al-Baghdadi).

Imam Syafie rahimahullah pula berkata: “Sesiapa yang cuba memahami ilmu agama melalui isi kandungan kitab semata-mata, maka dia akan mensia-siakan hukum-hukum yang sebenar” (Tazkirah al-Sami’ wa al-Mutakallim, Imam Badr al-Din Ibnu Jama’ah).

Imam Badr al-Din Ibnu Jama’ah rahimahullah pula berkata: “Sebesar-besar musibah adalah bergurukan lembaran-lembaran kitab. Hendaklah seorang penuntut ilmu tidak berguru dengan orang yang mengambil ilmu hanya daripada lembaran kertas dan tidak berdamping dengan para ulama yang sempurna penguasaan ilmunya. Dalam setiap disiplin ilmu, penuntut ilmu hendaklah bergantung kepada seseorang yang mampu mengajar dengan baik, mengkaji dengan mendalam dan terzahir pada dirinya manfaat ilmu tersebut serta memiliki kepakaran untuk mengajar buku tersebut” (Tazkirah al-Sami’ wa al-Mutakallim, Imam Badr al-Din Ibnu Jama’ah al-Kinani).

Sesungguhnya ilmu itu diwarisi kefahamannya secara bersanad oleh para ulama sebagaimana sabda Rasulullah ﷺ: “Ulama itu adalah pewaris para Nabi” (Riwayat Ahmad, Abu Dawud, al-Tirmidhi dan Ibnu Majah).

Berdasarkan hadis di atas, Imam Ibnu al-Salah dalam Adab al-Mufti wa al-Mustafti menyebutkan bahawa ia adalah dalil yang menunjukkan bahawa keputusan yang dibuat oleh ulama yang berautoriti mewakili Allah dalam memberikan pengesahan hukum daripada Allah. (انها توقيع عن الله تبارك وتعالى).

Sebagai penutup, saya menyeru diri saya sendiri dan sekalian pembaca untuk mengambil ilmu daripada dada para ulama yang jelas sanad keilmuannya. Bersimpuhlah di hadapan mereka dengan penuh adab dan hormat. Sesungguhnya, perbuatan mengikut ulama adalah perkara yang diperintahkan oleh Allah dan Nabi Muhammad ﷺ. Dengan kata lain, mengikut para ulama yang muktabar adalah hakikatnya mengikuti Nabi Muhammad ﷺ. Barang siapa yang taat kepada Rasulullah ﷺ bermakna dia taat kepada Allah Taala.

Oleh: Ustaz Iqbal Zain al-Jauhari

Selasa, 17 Disember 2024

Koleksi Resepi:Nasi Dagang Terengganu

 Resepi Nasi Dagang Terengganu:

Bahan-bahan untuk Nasi: -

4 cawan beras Jati

1 cawan beras pulut

3 cawan santan cair + sedikit gula dan garam

1 – 1 1/2 cawan santan pekat + sedikit garam

1 sudu halba

2 ulas bawang merah

1/2 in halia

Cara cara :

1. Beras dicampur dengan beras pulut di rendam 8 jam atau semalaman (kalau tak sempat 2-4 jam pun ok)

2. Kukus beras dan pulut tadi selama 20 minit

3. Angkat dan kaut semua nasi ke dalam bekas yang agak besar dan digaulkan dengan separuh santan cair sehingga rata. biar seketika hingga semua santan meresap. Masukkan lagi santan sehingga meresa. Elok habiskan semua santan cair. Biar sekejap

4. Kukus semula selama 20 minit lagi.

5. Sementara itu hiris bawang dan halia halus2. Masukkan di atas nasi dlm kukusan dan juga buah halba.

6. Angkat nasi utk kali kedua dan arunkan dengan santan pekat hingga rata. Tak perlu habiskan jika nasi nampak sudah elok lembutnya.

7. Boleh dihidangkan

Resepi Gulai Ikan Aya :

Rebus Ikan Aya Hitam bersama beberapa asam keping dan juga garam..

Jangan buang air rebusan

* boleh tambah telur rebus juga.. Ada yang suka makan Nasi Dagang dengan gulai telur rebus

* lebih sedap guna Ikan Aya Hitam dari Ikan Aya Kurik

Bahan-bahan gulai :

1 sudu serbuk ketumbar

1/2 sudu serbuk jintan manis

1/2 sudu serbuk jintan putih

2 hiris lengkuas (dikisar)

1 hiris halia (dikisar)

1 biji bawang besar (dikisar)

3 ulas bawang putih (dikisar)

3 sudu cili mesin

1 paket rempah gulai cap bunga Ros 15 gram (nak sedap tambah lebih)

1 1/2 liter santan

1 batang kulit kayu manis

1 sudu kerisik

4 keping asam keping

1/2 buku kecil gula melaka.

Sedikit Belacan

10 biji cili padi

sedikit garam

Cara-cara :

1. Masak Santan sehingga naik minyak.

2. Masukkan semua bahan-bahan yang dikisar, serbuk, rempah gulai cap bunga ros, cili mesin, kulit kayu manis, kerisik, asam keping, dan gula melaka

3. Masak lama, biarkan mendidih. Masukkan sedikit garam sesuai dengan rasa.

4. Masukkan air rebusan ikan tadi dan juga ikan yang di rebus.

Kredit 

Ahad, 15 Disember 2024

Artifak Orang Melayu:Meriam Tembaga Singora di Chelsea - 1623

 

Artifak & Sejarah Meriam orang Melayu

Meriam Tembaga Singora di Chelsea - 1623..

Alhamdulillah, berkesempatan singgah dan melihat sendiri peninggalan hasil kerja tangan Orang Melayu menghasilkan 'Meriam Singora' yang kini di pameran di hadapan pintu masuk Royal Hospital Chelsea (Hospital Pencen Tentera) di Chelsea. Salah satu satu bukti kehebatan Orang-orang Melayu dahulu membina meriam sebahagian dari kelengkapan perang.

Ada kesempatan ke Kota London bolehlah singgah dan melihat sendiri.

Kini Singora lebih di kenali sebagai Songkhla merupakan sebahagian dari wilayah di selatan negara Thailand.

Transliterasi Cap Tulisan Jawi di Meriam :

عَلَامَةُ صَاحِبِهِ

السُّلْطَان سُلَيْمَان شاه

مَلِكُ الْمُظَفَّر اِسْمُ لَقَبِهِ في هِجْرَة

ثَلَاثَ وَسِتُّون وَأَلْف في سَنَة

الأَليف وَأَرْبَع يَوْم مِنْ شَهْرِ 

ذوالقعدة في يومِ

الإثنينتندا ڤميليكڽ

يأيت السلطان سليمان شاه

*مَلِكُ الْمُظَفَّر* نام ݢلرنڽ دالم هجرة

تيݢ دان انم ڤولوه دان سريبو دالم تاهون

*الأليف* دان امڤت هاري درڤد بولن

ذوالقعدة دالم هاري

إثنين

Senjata & Sejarah : Meriam Tembaga Singora di London - 1623

Sebahagian dari koleksi foto-foto Meriam Tembaga dari Singora yang berjaya di rampas oleh Kolonial Inggeris dari Burma. Sebelum itu meriam ini merupakan harta rampasan perang Burma dari Singaro yang merupakan sebahagian dari jajahan Siam ketika berlakunya Perang Burma - Siam yang ketiga 1763-1767.

Meriam Tembaga ini di percayai di bina kepada Sultan Sulaiman Shah Singora pada tahun 1623. October 1887, Kerajaan Inggeris di India menghadiahkan meriam ini kepada Royal Hospital di Chelsea London sebagai “ Burmese Trophy Gun”.

Nota dari London :

“The inscriptions record that the gun was made in Malaya in or about 1653, and engraved by Tun Juma' at Abu Mendus, who was a native of Singgora, a state on the east coast of the Malayan peninsula. It is possible that he was also the maker. The gun appears to have passed into the hands of the Siamese and then to have been captured by Burmese forces in the course of their successful invasion of Siam in 1763-7. The Sultan for whom the piece was made is at present unidentified.”

Kredit: Izmal Karim

Rujukan :

1.Malayan Weapon – Collections Royalarmouries Website.

2.The Siamese Brass Cannon in the figure Court of the Royal Hospital Chelsea, London – Journal of the Siam Society.

Source 

Jumaat, 13 Disember 2024

Isu Batu Puteh:Lebih baik Mahathir berhujah di mahkamah, bukan menerusi media sosial.

 


Oleh: Zakariya Mohamad

Lebih baik Mahathir berhujah di mahkamah, bukan menerusi media sosial.

Alasan apa pun, yang jelas Mahathir telah menggadaikan maruah negara, sepatutnya beliau perlu mempertahankan Batu Puteh.

Mahathir pemimpin yang tidak bertanggungjawab dan adakah beliau mempunyai elemen rasuah?

Tidak ada sesiapa yang berani melawan arus, apatah lagi Mahathir mempunyai kuasa prerogatif. Ini pokok persoalan utama.

Sebagai Perdana Menteri, Mahathir bertindak sebagai pengerusi dan mempunyai kuasa membuat keputusan.

Sekalipun dibantah, tetapi tidak boleh menjejaskan keputusan kerana beliau mempunyai kuasa untuk mempengaruhi ahli mesyuarat.

Mahathir sendiri pernah dianggap mempunyai ciri-ciri diktator sebelum ini.

Pendapat beliau tidak berani dicanggah. Jika dicanggah, sila lihat, apa sudah jadi dengan Najib dan Zahid.

Mahathir mengeluarkan kenyataan menerusi peguam beliau hari ini dan berkata, "amat menghairankan" apabila Dr Wan Azizah Wan Ismail, Mohamad Sabu dan Anthony Loke berdiam diri sejak 2018 mengenai isu tuntutan berkenaan.

Selepas ini, mari kita lihat bagaimana reaksi Wan Azizah, Mat Sabu dan Antony Loke pula.

Sejauh mana benar dakwaan Mahathir?

Kenyataan beliau dirujuk sebagai berkata, semua anggota kabinet akur dengan keputusan yang dibuat olehnya.

"Amat menghairankan apabila selama ini  semenjak 2018, mereka semua tidak berkata apa-apa. Tetapi sebaik saja saya maklumkan perkara sebenar, kesemua mereka mengelak dan mengalih diri daripada mengambil tanggungjawab," katanya.

Berdasar kenyataan di atas, adakah Mahathir menyedari, begitulah nasib Najib kerana semua saksi tidak mengaku?

Berbeza dengan Mahathir, beliau terkenal dengan kuasa veto dan tidak boleh dicanggah, tetapi Najib membuat keputusan secara kolektif.

Hari ini Wan Azizah mengeluarkan kenyataan bersama Mat Sabu dan Loke untuk mengesahkan Mahathir membuat keputusan sendiri berhubung status pulau Batu Puteh.

Selain mendakwa Mahathir membuat keputusan sendiri, ketiga-tiga pemimpin utama PH itu berkata, Mahathir sekadar memaklumkan perkembangan berkenaan di bawah agenda hal-hal Lain sewaktu mesyuarat pertama kabinet yang diadakan dua hari selepas jemaah menteri dibentuk.

Mengikut laporan Malaysiakini, pada 5 Disember lalu laporan RCI yang menyiasat isu kedaulatan pulau Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan berpendapat Malaysia berpeluang untuk membatalkan ICJ jika ia tidak dibatalkan oleh Mahathir pada saat-saat akhir.

Kedaulatan ketiga-tiga pulau itu kemudian diserahkan kepada Singapura.

Mahathir tidak perlu hairan dengan alasan yang diberikan oleh Wan Azizah, Mohamad Sabu dan Loke dalam kenyataan hari ini, tetapi perlu "tepuk dada, tanya selera." - Zakariya Mohamad.

Rabu, 11 Disember 2024

Koleksi Resepi:Laksam

 LAKSAM (sukatan utk 4 org mkn)

3 cawan tepung beras

1/2 cawan tepung gandum

6 cawan air (3 air panas + 3 air biasa)

2 sudu besar minyak

1. Satukan semua bahan di atas kacau sampai tak berketul.

2. Kukus dengan pinggan ikea, saya letak 2 senduk adunan.

3. Kukus sampai gelembung (3 minit). Bila angkat dah suam2 baru gulung.

**guna pinggan plastik dan sapu sikit minyak supaya cantik serta tidak melekat.

Bahan kuah :

1 biji kelapa - ambil santan

*7 ekor ikan sardin rebus

*2 ulas bawang merah

1 inci lengkuas (ketuk)

Gula

Garam

1 keping asam keping

1 sudu teh lada hitam

1. Blend bahan yg bertanda *. Masukkan dlm periuk bersama santan.

2. Masukkan bahan2 lain yg di atas, kacau sampai mendidih..jgn tinggal nanti berketul.

3. Kemudian perasakan dgn gula dan garam.

Bahan hiasan (hiris) :

Kacang panjang

Timun

Kobis

Taugeh

Bunga kantan

Sambal cili

Kredit resepi & foto : Nor aida

Source 

Selasa, 10 Disember 2024

Parlimen PMQT: PMX Masih Gagal Jawab Kewujudan Titah Addendum

 PMX Masih Gagal Jawab Kewujudan Titah Addendum

Harini dalam sesi waktu pertanyaan Perdana Menteri (Prime Minister Question Time), YB Dato Seri Takiyuddin Hassan ada tanya pasal titah addendum. 

Soalan dia mudah je, kenapa masa mula-mula isu ni timbul, pihak Kerajaan menafikan kewujudan addendum ni. Susah sangat nak menyatakan dengan jelas, ada atau takde titah addendum ni. 

YB Pasir Mas pulak timbulkan apa yang berlaku dalam proses pengampunan PMX pun tak lalu proses yang sepatutnya. 

Tapi rakyat akur kepada titah YDPA ketika itu dan terima. Tetapi kenapa titah YDPA untuk tahanan rumah kepada DS Najib tidak dilaksanakan oleh pihak kerajaan?

PMX macam biasa, dia emosional dan terjerit-jerit. Dia jawab saya tidak boleh ulas sebab subjudis dan saya tak tahu. Apa punya Perdana Menteri kau boleh kata tak tahu. Ni kerajaan kau. 

Dia langsung tidak sentuh kenapa pihak kerajaan dan Menteri pada awalnya menafikan wujudnya titah addendum ini. Juga dia langsung tidak sebut, ADA atau TIADA. Sedangkan itu soalan paling penting rakyat nak tahu. 

Siap boleh sindir YB Pasir Mas suruh jumpa Sultan Kelantan kalau tak puas hati proses pengampunan dia. Apa punya hujah Perdana Menteri macam ni. Tak boleh nak jawab menyorok belakang bekas YDPA dan Sultan. 

Ahli Parlimen UMNO? macam biasalah. Senyap tak bersuara kecuali Ahli Parlimen Pekan. Sekali tengok, DS Najib macam bekas Presiden PAS pulak. 

Salam Hormat, 

Ir Ts Nurul Islam Mohamed Yusoff

Ahad, 8 Disember 2024

Kejatuhan Basyar al-Assad: Permulaan Baharu atau Perangkap Lama?

 Kejatuhan Basyar al-Assad: Permulaan Baharu atau Perangkap Lama?

Perkembangan di Syria semakin menarik perhatian dunia apabila Damascus akhirnya jatuh ke tangan kumpulan pembangkang. Ini bukan sekadar perubahan biasa, tetapi satu titik perubahan besar dalam konflik berpanjangan yang telah meragut lebih 500,000 nyawa dan menyebabkan lebih 6.8 juta rakyat Syria menjadi pelarian ke pelbagai negara seperti Turkiye, Jordan, dan Eropah.

Namun, kita perlu berhati-hati. Kejatuhan regim tidak semestinya menjanjikan keamanan. Sejarah telah mengajar kita bahawa kejatuhan pemimpin autoritarian seperti Muammar Gaddafi di Libya dan Saddam Hussein di Iraq tidak membawa kepada keamanan, malah mencetuskan konflik dalaman yang lebih buruk. Libya masih bergelut dengan perang saudara, manakala Iraq terus menghadapi ketidakstabilan politik dengan campur tangan kuasa asing.

Kekejaman Rejim Basyar al-Assad

Rejim Basyar al-Assad terkenal dengan pelbagai kekejaman terhadap rakyatnya sendiri. Sejak tercetusnya konflik pada tahun 2011, kerajaan Basyar telah menggunakan pelbagai cara zalim untuk menindas rakyat Syria, termasuk:

Serangan Senjata Kimia: Menurut laporan Pertubuhan bagi Pencegahan Senjata Kimia (OPCW), rejim Basyar disahkan telah menggunakan senjata kimia sebanyak 32 kali dalam konflik ini. Serangan yang paling terkenal berlaku di Ghouta pada 2013 yang mengorbankan ratusan nyawa, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, selepas pendedahan kepada gas sarin yang mematikan.

Penjara dan Penyeksaan: Amnesty International mendedahkan bahawa penjara-penjara Syria seperti Penjara Saydnaya digambarkan sebagai "rumah penyembelihan manusia". Dilaporkan lebih daripada 17,000 tahanan mati akibat penyeksaan di penjara-penjara rejim antara 2011 hingga 2021. Tahanan dilaporkan dipukul, diseksa dengan kejutan elektrik, digantung, dan dibiarkan kebuluran sehingga mati.

Pengeboman Hospital dan Sekolah: Pesawat perang Syria dan Rusia telah berkali-kali menyerang hospital dan sekolah di wilayah yang dikuasai pembangkang, melanggar Konvensyen Geneva. Sekurang-kurangnya 600 serangan terhadap hospital direkodkan oleh Syrian American Medical Society (SAMS) sejak permulaan konflik.

Kejadian Ghouta Timur: Serangan ke atas Ghouta Timur pada 2018 menyaksikan pengeboman besar-besaran ke atas bandar tersebut, yang telah menyebabkan ratusan kematian. Gambar-gambar kanak-kanak yang lemas dalam runtuhan bangunan tersebar luas di media sosial dan mengejutkan masyarakat antarabangsa.

Penggunaan Kelaparan sebagai Senjata Perang: Rejim Basyar juga dikenali menggunakan taktik pengepungan, memutuskan bekalan makanan dan ubat-ubatan kepada kawasan yang dikepung. Antara kawasan yang terjejas teruk ialah bandar Madaya dan Ghouta Timur, di mana ribuan orang kebuluran selama beberapa bulan tanpa bantuan kemanusiaan.

Jangan Lupa Sejarah!  

Namun perlu diingatkan, sekali-kali jangan kita melupakan sejarah. Dulu, rakyat Mesir bersorak gembira apabila Mohamed Morsi digulingkan, tetapi akhirnya mereka terpaksa menerima regim lebih keras di bawah pemerintahan Abdel Fattah el-Sisi. Maka, kegembiraan rakyat bukan ukuran kepada jaminan keadilan. Kita perlu bersikap realistik dan berdoa agar perubahan di Syria membawa kebaikan kepada umat Islam, bukan sekadar pertukaran nama pemimpin.

Peranan Turkiye, Iran, dan Rusia: Konspirasi atau Strategi?  

Ada satu fakta menarik — tiada pertumpahan darah besar dalam kejatuhan Damascus. Malah, laporan menunjukkan tentera Basyar, Rusia, dan Iran seolah-olah "membuka laluan" kepada kumpulan pembangkang untuk memasuki Damascus. Ini mencerminkan wujudnya persefahaman rahsia antara Turkiye, Rusia, dan Iran.

Kenapa Turkiye Beruntung?  

Turkiye pastinya mendapat manfaat besar kerana 3.6 juta pelarian Syria kini berpeluang pulang ke tanah air mereka. Ini akan mengurangkan tekanan politik dan beban ekonomi kepada Presiden Recep Tayyip Erdoğan, yang sebelum ini dihimpit kritikan rakyat Turkiye berkenaan jumlah pelarian Syria di negara itu. 

Iran dan Rusia: Apa Peranan Mereka?  

Sebelum ini, Iran dan Rusia menyokong regim Basyar, tetapi kini mereka dilihat tidak bersungguh-sungguh mempertahankan Damascus. Sebaliknya, mereka membiarkan kumpulan pembangkang memasuki ibu kota itu tanpa tentangan besar. Mungkinkah mereka mahu mengelakkan pertumpahan darah dan memelihara kepentingan strategik mereka di Syria?  

Masa Depan Syria: Siapa Akan Memimpin?  

Kini, persoalan besar ialah siapa yang akan memimpin Syria? Jika benar majoriti kepimpinan baru ini mempunyai latar belakang Islam dan disokong oleh Turkiye, maka kita patut bertanya:   Adakah Amerika Syarikat dan Zionis Israel akan berdiam diri?  

Kita tahu bahawa AS dan Israel pasti tidak selesa jika kerajaan Islam berkuasa di Syria. Sejarah membuktikan bahawa mereka tidak akan membiarkan mana-mana kerajaan Islam mengancam pengaruh mereka di rantau ini. Sebagai contoh, Iraq di bawah Saddam dan Afghanistan di bawah Taliban — kedua-duanya menghadapi campur tangan ketenteraan AS.  

Apa Nasib Pangkalan Tentera AS di Syria?  

Adakah pemimpin baru Syria akan mengusir tentera AS dari negara tersebut? Jika ini berlaku, kita mungkin akan menyaksikan konfrontasi ketenteraan baharu di Syria. Setakat ini, AS masih mengendalikan beberapa pangkalan tentera di timur Syria dengan alasan untuk "melawan pengganas Daesh (ISIS)". Tetapi kita tahu, kehadiran mereka lebih kepada memastikan kawalan ke atas sumber minyak Syria.  

Iktibar dari Libya, Iraq dan Mesir  

Syria kini berada di persimpangan jalan. Adakah perubahan kuasa ini akan membawa keamanan atau lebih banyak konflik? Lihat sahaja contoh Libya dan Iraq. Kejatuhan Gaddafi dan Saddam disambut dengan gembira, tetapi selepas bertahun-tahun, rakyat mereka masih hidup dalam ketidakstabilan.  

Kita juga tidak boleh mengabaikan kes Mesir. Apabila Morsi digulingkan, rakyat Mesir dilaporkan keluar ke jalanan bersorak gembira. Tetapi selepas itu, mereka terpaksa menerima pemerintahan diktator di bawah Abdel Fattah el-Sisi. Kegembiraan awal rakyat tidak boleh dijadikan kayu ukur kepada kejayaan perubahan. Kita hanya mampu berharap, perubahan di Syria kali ini membawa kebaikan kepada umat Islam dan tidak mengulangi tragedi di Libya, Iraq, dan Mesir.  

Harapan Kita untuk Syria dan Umat Islam  

Perubahan di Syria harus dilihat dari lensa yang lebih luas. Syria adalah sebahagian dari bumi Syam, bumi yang diberkati. Nabi Muhammad SAW pernah menyebut tentang keberkatan bumi Syam. Daripada Abdullah bin Hawalah RA, Rasulullah SAW bersabda:  

"Kamu akan dikerahkan menjadi beberapa pasukan tentera, satu pasukan di Syam, satu pasukan di Yaman, dan satu pasukan di Iraq."  

Lalu Abdullah bin Hawalah berkata, "Wahai Rasulullah, jika aku sempat mengalami masa itu, pilihkan untukku." Rasulullah menjawab:   "Hendaklah kamu memilih Syam, kerana ia adalah bumi pilihan Allah, ke arah-Nya akan dihimpunkan makhluk-Nya. Dan aku telah melihat dengan jelas tiang-tiang tiada lagi yang utuh dari Syam. Barang siapa yang tidak mampu ke sana, hendaklah dia menuju ke Yaman dan memberi minum ternaknya dari telaga-telaga. Kerana Allah telah menjamin bagiku keselamatan Syam dan penghuninya."  

— (Riwayat Abu Dawud, No. 2483)  

Imam Nasiruddin Al-Albani mengklasifikasikan hadis ini sebagai sahih, menunjukkan keutamaan bumi Syam sebagai tanah yang diberkati dan dilindungi Allah. Dengan kejatuhan rejim Basyar, kita berdoa agar bumi Syam dapat menyaksikan perubahan yang memberi manfaat kepada umat Islam.  

Kesimpulan  

Kejatuhan Basyar al-Assad bukanlah penamat kepada konflik Syria, tetapi permulaan kepada cabaran yang lebih besar. Kita berharap kepimpinan baru akan membawa keadilan dan keamanan, bukan sekadar menggantikan seorang pemimpin kejam dengan pemimpin baru yang lebih buruk. 

Seperti mana kita belajar daripada kejatuhan Gaddafi, Saddam dan Morsi, perubahan bukan jaminan kepada keamanan. Namun, kita tetap optimis. Bumi Syam adalah bumi pilihan Allah, dan kita berdoa agar perubahan kali ini membawa sinar baru kepada Syria dan umat Islam seluruhnya. 

Ya Allah, peliharalah bumi Syam, jadikanlah bumi ini sebagai tapak kepada kebangkitan umat Islam dan mudahkanlah pembebasan Baitul Maqdis. Ameen.

Rujukan Fakta:  

1. UNHCR Data Pelarian Syria - https://www.unhcr.org/syria-emergency.html  

2. Data Pangkalan Tentera AS di Syria - https://www.middleeasteye.net/  

3. Hadis Keberkatan Syam (Riwayat Abu Dawud, No. 2483) dengan komentar Al-Albani - Kitab Silsilah Ahadith As-Sahihah  

4. Data Pelarian Syria di Turkiye (3.6 juta pelarian) - https://data.unhcr.org/en/situations/syria?  

5. Laporan Konflik Syria dan Kejatuhan Basyar - https://www.aljazeera.com/

Credit 

Sabtu, 7 Disember 2024

Saintis hasilkan kayu bercahaya menggunakan kulat,mampu terangi Jalan dan taman secara semulajadi

 


Saintis di Switzerland berjaya mencipta kayu bercahaya menggunakan kulat. Mereka menggabungkan kayu balsa dengan kulat madu (Desarmillaria tabescens) untuk menghasilkan cahaya hijau terang. Kulat ini menghasilkan luciferin, iaitu bahan yang menghasilkan cahaya semula jadi dikenali sebagai "foxfire."

Kayu balsa dipilih kerana ringan dan mampu menyerap sehingga lapan kali beratnya. Dalam masa 10 hari, tindak balas kimia berlaku, menjadikan kayu itu bercahaya sehingga 10 jam.

Kayu bercahaya ini adalah penyelesaian mesra alam tanpa elektrik, memberikan alternatif pencahayaan yang jimat tenaga.

-TheReporter

Jumaat, 6 Disember 2024

Kisah viral Sunhaji:Berkat kesabaran dihina pendakwah,rezeki beliau dilimpahi oleh Allah

 


Lelaki ini namanya Sunhaji. Beliau ni yatim piatu sejak kecil lagi. Dari kecil, hidupnya susah.

Sekarang beliau menumpang di rumah mertua yang kecil dan sempit. Meski pun begitu, dia seorang yang ringan tulang, rajin dan peramah.

Beliau juga sering menjadi bilal di masjid dan kerap mengikuti ceramah agama sambil menjual teh ais.

Masa kejadian dia dimalukan, sebenarnya Subhaji tengah mencari duit untuk isi minyak pulang ke rumah.

Malam tersebut dia berjaya menjual 7 gelas teh ais berharga 35,000 rupiah = RM8.30 sahaja. 15000 rph digunakan untuk isi minyak, 20,000 rph (RM5.50) lagi dibawa pulang untuk belanja dua anaknya. 

Selepas video beliau dimalukan viral, orang ramai memenuhi perkarangan rumah mertuanya untuk memberi bantuan dan sokongan. 

Berikut antara sumbangan yang beliau dapat :

1. Seorang influencer, Willie Salim memberi 100 juta rupiah (RM28k) cash! Ustaz Adi Hidayat pula memberi 50 juta rupiah. Dr Richard Lee dan Ustaz Salim Fillah berjanji akan membiayai pengajian anak-anak beliau sampai tamat. 

2. Selain itu, ada individu dengan nama Bang Senja mengirim gift Tiktok bernilai 300 juta rupiah melalui Tiktok Rian Ariffin.

3. Ustaz Muhammad Fakhrurazzi pula akan membawa Subanji dan isteri menunaikan umrah Ramadan nanti.

4. Masjid Nurul Ashri akan membina sebuah rumah untuk beliau dan keluarga. Kos dijangka menelan belanja sekitar 300 juta rupiah.

5. Partai Gerinda menyediakan bantuan modal untuk beliau berniaga.

6. Bantuan dari pelbagai pihak sekitar 200 juta rupiah lagi.

Beliau pernah dihina oleh orang agama yang ada pengaruh besar. Dan beliau cuma tersenyum dan diam sahaja.

Begitu tinggi kesabaran yang ditunjukkan. Dan akhirnya, kesabaran itu dibalas berkali-kali ganda.

Satu perkara yang tak pernah beliau terfikir, bahkan mustahil untuk dapat rumah percuma, ditaja umrah dan mendapat durian runtuh beratus-ratus juta rupiah dalam masa 2 hari sahaja.

Mustahil bagi akal kita. Namun semuanya mudah bagi Allah taala.

Rezeki orang sabar sesungguhnya maha hebat. Itu baru di dunia, belum lagi di akhirat.

Begitulah.

kredit : Mohd Fadli Salleh

Sumber 

Khamis, 5 Disember 2024

Kisah kehidupan:Bermula berdua dan akan kembali berdua seterusnya hanya sendirian

 


Ada satu perkara yang sangat sedih bila kita kenangkan nanti. Tahu tak apa? Bila kita terlalu fokus pada orang lain, terlalu sibuk gembirakan orang lain, terlalu jaga hati orang lain, penghujungnya kita tersedar sesuatu.

Apa dia?

Yang bersama dengan kita sampai penghujungnya bukan orang yang kita fokuskan tu pun. Yang setia, yang selalu ada waktu susah senang, yang selalu pedulikan kita tiadalah lain.

Pasangan tercinta kita.

Dia yang setia bersama kita menguruskan keluarga. Yang selalu risaukan kita. Yang tidak pernah pandang rendah pada kita dan selalu ada dengan kita. Sedih kan? Tempat pasangan ni takda pengganti.

Semua orang akan tinggalkan kita mengejar impian masing-masing. Termasuk lah anak-anak yang kita terlalu sayangkan tu. Termasuk adik beradik yang mula ada keluarga sendiri yang sangat kita kasih.

Penghujungnya pasangan kita lah yang tinggal dengan kita. Dia pandang kita, kita pandang dia. Lepas tu senyum teringat yang umur tinggal saki baki lagi je. Rindu semua segala kenangan yang pernah tercipta dalam hubungan.

"Abang, tua dah kita kan? Abang sayangkan sayang lagi ke? Dah tua, dah tak cantik. Dah berkedut. Rambut dah beruban banyak."

Soalan yang bertahun-tahun takkan pernah gagal untuk diungkapkan oleh pasangan kita.

Senyum je masa tu. 

"Dah sampai tua pun dok sebelah lagi, mana yang tak sayangnya?"

Kejap tu masing-masing akan termemung panjang. Terbayang saat paling sakit yang bakal salah seorang dari pasangan lalu.

"Siapa agaknya yang akan pulang ke negeri abadi dulu kan bang? Harap-harapnya sayang lah. Tak sanggup rasanya nak hidup tanpa abang."

"Abang kot pergi dulu. Abang ni luaran je nampak gagah lagi. Dalaman dah kena makan anai-anai. Haha. Entah lah sayang. Berdamai je lah kita dengan takdir. Malas nak fikir, nanti sedih.."

Kisah kehidupan. 

Dari awal percintaan, hati berombak-ombak melayan rindu, melayan rasa cinta yang melimpah-limpah. Hari-hari rindu, penuh dengan senyum. Tapi penghujungnya, kita kena redha. Yang kita tetap akan berpisah. Sayang lah macam mana pun. Kasih lah macam mana pun. Setia lah macam mana pun.

Salah seorang akan di jemput pulang ke negeri abadi dulu, lepas berpuluh tahun setia genggam janji waktu bercinta dahulu. Seorang lagi akan tunggu giliran di dunia. Lihat jenazah pasangannya ditanam. Di kafankan. Di solatkan. Termenung panjang. Semua kenangan akan terbuai dalam ingatan. Sedih memang sedih. Berdepan hari-hari tanpa pasangan setianya lagi.

Ya, kehilangan orang yang berpuluh tahun di sisi. Bergelak, bersedih, bergaduh, merajuk, semua kenangan bersama ni terasa di rentap sekali pergi. Bangun pagi, tengok sebelah. Dah tak ada lagi jasad orang paling istimewa.

Rindu bukan kepalang. Meleleh lagi air mata. Siapa nak temankan kita lagi?

Tinggallah pasangan paling setia kita. Satu-satunya insan yang paling rapat dan tahu segala kisah turun naik kita sepanjang kita hidup bersama. Yang tetap dengan kita di saat semuanya sudah mula bawa haluan sendiri.

Terlerai sudah janji dahulu.

"Sayang, janji ya setia dengan abang? Jangan tinggalkan abang?"

"Ya janji bang. Rindu abang. Sayang abang selamanya.."

P/s : Tuhan pinjamkan kita pasangan yang baik ni entah sampai bila. Selagi ada masa ni, kita raikan lah. Esok-esok belum tentu masih ada masa.

Sumber 

Rabu, 4 Disember 2024

Abu Bakar As-Siddiq: Sahabat Sejati Rasulullah yang Dijanjikan Syurga

 Abu Bakar As-Siddiq: Sahabat Sejati Rasulullah yang Dijanjikan Syurga

MasyaAllah… jika kita berbicara tentang kesetiaan, keimanan, dan pengorbanan luar biasa, maka nama Saidina Abu Bakar As-Siddiq r.a. pasti menjadi contoh yang paling agung. Beliau bukan sekadar sahabat biasa bagi Rasulullah SAW tetapi seorang insan yang memberikan segalanya demi menyokong perjuangan Islam sejak dari hari pertama. Kisah Abu Bakar penuh dengan keikhlasan, pengorbanan, dan keberanian yang membuatkan beliau dikenang sebagai salah seorang tokoh Islam paling mulia sepanjang zaman.

Saidina Abu Bakar dilahirkan dalam keluarga Quraisy yang mulia dan memiliki reputasi yang tinggi. Sebelum memeluk Islam, Abu Bakar dikenali sebagai seorang saudagar yang berjaya, seorang lelaki yang bijaksana, penyayang, dan dihormati oleh masyarakat Mekah. Kejujurannya membuatkan beliau disenangi oleh semua lapisan masyarakat. Hubungannya dengan Rasulullah SAW bermula jauh sebelum kenabian Baginda. Mereka sudah bersahabat rapat, dan Abu Bakar mengenali Rasulullah SAW sebagai seorang insan yang sangat mulia, jujur, dan tidak pernah berdusta.

Ketika Rasulullah SAW menerima wahyu pertama dan memulakan dakwahnya secara rahsia, Baginda segera menceritakan wahyu tersebut kepada Abu Bakar. Bagaimana reaksi Abu Bakar? Tidak ada soalan yang meragukan, tidak ada permintaan untuk bukti. Abu Bakar tanpa ragu mengucapkan keimanan kepada Rasulullah SAW. Mengapa begitu cepat? Abu Bakar mengenali keperibadian Rasulullah SAW lebih daripada sesiapa. Baginda adalah "Al-Amin" (yang dipercayai), seorang insan yang tidak pernah berdusta. Bagi Abu Bakar, jika Baginda berkata bahawa Allah telah mengutuskan Baginda sebagai nabi, maka itu adalah kebenaran.

Keimanan Abu Bakar segera diterjemahkan kepada tindakan. Beliau tidak hanya memeluk Islam tetapi juga membawa beberapa orang penting ke dalam Islam. Antara mereka ialah Uthman bin Affan, Zubair bin Awwam, Talhah bin Ubaidillah, Saad bin Abi Waqqas, dan Abdurrahman bin Auf. Ini menunjukkan betapa besar pengaruh Abu Bakar dalam dakwah Islam yang baru bermula.

Keimanan Abu Bakar sering diuji, dan beliau sentiasa mendahului dalam pengorbanan. Salah satu peristiwa yang sangat menguji kesetiaannya ialah peristiwa hijrah ke Madinah. Ketika Rasulullah SAW menerima perintah Allah untuk berhijrah, Quraisy telah merancang untuk membunuh Baginda. Abu Bakar dipilih sebagai teman perjalanan Rasulullah SAW. Bayangkan saat itu: Mekah dipenuhi musuh yang mengintai setiap langkah mereka, dan hijrah bukan sekadar perjalanan biasa tetapi perjalanan hidup dan mati.

Dalam perjalanan tersebut, mereka bersembunyi di Gua Thur selama tiga hari untuk mengelak daripada dikesan oleh musuh. Ketika itu, Abu Bakar menunjukkan kasih dan keberaniannya yang luar biasa. Beliau memasuki gua terlebih dahulu untuk memastikan tiada binatang berbisa atau bahaya lain. Dalam sebuah riwayat, dikatakan bahawa Abu Bakar menutup lubang gua dengan kakinya sendiri, dan seekor ular berbisa menggigitnya. Walaupun kesakitan, Abu Bakar tidak bergerak agar tidak mengejutkan Rasulullah SAW yang sedang berehat. Ketika Rasulullah SAW menyedari apa yang berlaku, Baginda berdoa kepada Allah dan kesakitan Abu Bakar sembuh. Kasihnya kepada Rasulullah SAW melampaui dirinya sendiri, dan inilah lambang cinta sejati seorang sahabat kepada sahabat.

Kisah ini dirakam dalam al-Quran:

"Jika kamu tidak menolongnya (Nabi Muhammad), maka sesungguhnya Allah telah menolongnya, (iaitu) ketika orang-orang kafir (musyrik Mekah) mengeluarkannya (dari Mekah) sedang dia salah seorang daripada dua orang (bersama Abu Bakar) ketika mereka berada dalam gua, di waktu dia berkata kepada temannya: Janganlah kamu bersedih, sesungguhnya Allah bersama kita." (Surah At-Taubah, 9:40)

Perjalanan ke Madinah adalah permulaan kepada kebangkitan Islam. Abu Bakar sentiasa berada di sisi Rasulullah SAW, menyokong setiap langkah Baginda. Setelah kewafatan Rasulullah SAW, beliau dipilih sebagai khalifah pertama umat Islam. Tanggungjawab ini datang dengan cabaran besar, termasuk gerakan nabi palsu dan golongan murtad yang menolak membayar zakat. Dengan kebijaksanaan dan ketegasan, Abu Bakar berjaya menyatukan umat Islam semula.

Salah satu perkara penting dalam pemerintahan Abu Bakar ialah pengumpulan al-Quran. Perang Yamamah telah menyebabkan ramai para huffaz (penghafal al-Quran) syahid, dan Saidina Umar r.a. mencadangkan agar al-Quran dikumpulkan dalam bentuk tulisan. Abu Bakar memimpin usaha ini dengan bantuan Zaid bin Thabit r.a., memastikan al-Quran terpelihara. Namun, Mushaf al-Quran yang dibukukan dalam satu naskhah secara rasmi dilaksanakan pada zaman Saidina Uthman r.a. Sumbangan Abu Bakar dalam memulakan usaha ini sangat penting dan menjadi asas kepada penjagaan wahyu Allah.

Abu Bakar juga terkenal dengan keikhlasannya dalam bersedekah. Dalam satu peristiwa, Rasulullah SAW meminta para sahabat untuk menyumbangkan harta demi perjuangan. Abu Bakar membawa seluruh hartanya kepada Baginda. Ketika Rasulullah SAW bertanya, "Apa yang kamu tinggalkan untuk keluargamu?" Abu Bakar menjawab dengan yakin, "Aku tinggalkan Allah dan Rasul-Nya untuk mereka." Jawapan ini menggambarkan betapa besar keimanan dan keyakinannya kepada Allah.

MasyaAllah… Saidina Abu Bakar adalah simbol kesetiaan, pengorbanan, dan keimanan yang tiada bandingannya. Kisah beliau mengajar kita bahawa persahabatan sejati adalah tentang keikhlasan, kepercayaan, dan pengorbanan. Beliau tidak pernah meletakkan dirinya di atas orang lain, walaupun beliau memiliki segala ciri seorang pemimpin besar. Semoga kita semua dapat mencontohi keikhlasan dan keberanian Abu Bakar As-Siddiq r.a., dan semoga Allah SWT merahmati beliau atas segala jasanya kepada Islam. Amin.

___

Kredit 

Ahad, 1 Disember 2024

PAS “Repack” Bantuan JKM?

 PAS “Repack” Bantuan JKM? 

Nampaknya mereka tak habis-habis main politik dengan bencana banjir. 

Yang tulisan si Miqdad tu aku malas nak komen. Korang baca sendiri dan nilaikan akhlak mereka. Bagi yang tak tahu Miqdad ni adalah pimpinan Pakatan Harapan. 

Cuma satu je pesan aku kepada Miqdad, Pahang dan Selangor juga banjir. Yang tu bayaran ansuran ke apa?

Berkenaan video yang disebarkan mengatakan Parti PAS mengambil bekalan makanan disediakan oleh JKM dan dibungkus semula guna plastik berlogo PAS.

Saya nak tanya kepada penyebar fitnah, sejak bila bantuan JKM beri megi cup? Kalau nak tahu bantuan JKM datang dalam bentuk Kit seperti gambar saya letak dalam hantaran ni

Banyak tempat bekalan kit makanan telah terputus dan ditampung dengan sumbangan makanan sedia dimakan seperti maggie dan roti oleh orang ramai termasuk ahli dan penyokong PAS.

Jadi kepada pembuat fitnah, hentikanlah berpolitik musim banjir ni. Fokuslah kepada membantu mangsa banjir. Kalau tak nak bantu, elok duduk diam je. 

Salam Hormat,

Ir Ts Nurul Islam Mohamed Yusoff