"Cashzine - Aplikasi Buat Duit Percuma Terbaik Yang PERLU anda miliki"

Cara Buat Duit Dengan Aplikasi Cashzine: Peluang Jana Side Income lebih RM100 Dalam Sehari Melalui Aplikasi Cashzine. (Scroll ke bawah untuk bukti pembayaran terkini daripada Cashzine

Cordyceps:Herba luarbiasa dan apa kehebatannya?

Pernahkah anda mendengar Cordyceps? Atau anda pernah melihat? Mungkin tak pernah dengarkan... Dan tak pernah lihat pun. Sama jugalah macam saya. Saya cuba ceritakan serba sedikit tentang Cordyceps ni. Walaupun bagaimanapun saya cuba fahamkan anda semua mengenainya samada dari tempat asal ataupun khasiat Cordyceps ini.

Cara Mudah Jadi Youtuber Terhebat

Ketahui cara bagaimana untuk menjadi Youtuber. Video yang senang difahami dan penuh dengan semua info yang perlu sebagai Youtuber. Dari asas kepada SEO, teknik Viral, Fb ads serta Mengandungi Teknik dan Rahsia Youtuber yang memiliki JUTAAN Subscriber..

Wanita kelihatan anggun dengan Hasanah Lipmatte

90% pengguna GEMBIRA dan TERUJA dengan Hasanah Lipmatte. Dah jadi trending bagi wanita abad ini. Bukan setakat mencantikkan bibir si pemakai malah dapat menaikkan keyakinan anda sepanjang hari.

9/10 Rezeki Perniagaan: Dari SOLOpreneur ke ENTREpreneur menjadi GLOBALpreneur

Cara Mulakan dan Kembangkan Perniagaan Ke Tahap Yang Lebih Tinggi Dengan Modal Minima.


 


Ahad, 23 November 2025

Tokoh Ulama':Tuan Guru Dato' Haji Abdullah, Pondok Bukit Lada (1936 – Kini)

 Tahniah Tuan Guru Dato' Haji Abdullah bin Lebai Samah dari Pondok Bukit Lada atas penganugerahan istimewa ini. 

Tuan Guru Dato' Haji Abdullah, Pondok Bukit Lada (1936 – Kini)

Oleh: Tengku Yusuff

Nama penuh tokoh ulama Kedah ini ialah Tuan Guru Dato' Haji Abdullah bin Lebai Samah. Beliau dilahirkan pada 3 Mei 1936 di Kampung Sena, Kepala Bukit, Tobiar, Pendang, Kedah. Ayahnya, Lebai Samah bin Haji Din, ialah seorang pelajar pondok di Patani dan meninggal dunia di Jeddah. Ibunya bernama Saadah binti Abdullah. Sejak kecil beliau dipelihara oleh ibu serta datuknya.

Beliau mempunyai lima orang adik-beradik:

1. Zainab

2. Yaakob 

3. Aishah

4. Kalsom

5. Abdullah 

Pendidikan awalnya bermula di Kampung Bukit Lada, Pokok Sena, berguru selama dua tahun dengan tiga orang guru agama tempatan iaitu Ustaz Man ‘Bongkok’, Ustaz Abdullah dan Ustaz Ahmad. Setelah itu beliau kembali menetap di kampungnya.

Tidak lama kemudian, seorang ulama bernama Syeikh Hussin bin Mad Isa al-Masri dari Kubur Panjang, Pendang datang ke kampungnya dan mengajak beliau menuntut ilmu di pondok. Beliau pun mengikut ulama tersebut dan belajar di Pondok Kubur Panjang (kini Sekolah Rendah Islam Tarbiah al-Awladiah) sehingga tamat darjah rendah. Pada awalnya beliau berulang-alik, namun akhirnya menetap di pondok selama empat tahun.

Seterusnya beliau meneruskan pengajian selama lima tahun di Madrasah Makarimul Akhlak, Langgar, di bawah didikan Tuan Guru Haji Abdullah bin Yusof, yang lebih dikenali sebagai Tok Guru Haji Lah Kecik. Kehidupan beliau pada waktu itu agak sukar; sambil belajar beliau bekerja memukul padi untuk mencari sekupang dua bagi membantu keluarga.

Pada suatu ketika, datang seorang ulama tempatan bernama Tuan Guru Haji Saad bin Awang, atau Haji Saad Mogoi, yang menyuruh beliau pergi menuntut ilmu di Mekah. Beliau menyatakan bahawa beliau tidak mempunyai wang, namun Tuan Guru Haji Saad meyakinkannya bahawa rezeki akan datang.

Dengan tekad yang kuat, beliau mengumpulkan wang dengan bekerja memukul padi, di samping menemui kaum keluarga untuk memaklumkan niatnya. Rezeki daripada Allah Taala, keluarganya berjaya mengumpul sebanyak RM1,200 hasil sumbangan orang kampung dan para sahabat. Dengan itu beliau dapat berangkat ke Mekah. Pada tahun 1960, beliau bersama tiga sahabatnya—Haji Rejab, Osman dan Hamdan—berlayar menuju Mekah al-Mukarramah.

Di sana, beliau mendaftar sebagai pelajar di Madrasah Solatiyah sambil mengikuti halaqah di Masjidil Haram berguru dengan para ulama Arab dan Jawi selama sepuluh tahun.

Pada satu ketika sekitar tahun 1960-an, beliau berhasrat untuk pulang ke Malaysia kerana kesempitan hidup; beliau tidak memiliki wang dan tiada tempat tinggal tetap. Beliau lalu menemui gurunya, Syeikh Wan Ismail bin Wan Abdul Qadir al-Fathani (Pak Da Eil), yang ketika itu telah berusia lebih 80 tahun. Setelah beliau menceritakan keadaannya, Pak Da Eil menjawab dengan kata-kata hikmah:

“Aku tak pernah tengok lagi anjing mampuh dekat sini sebab tak makan.”

Kata-kata itu memberi kekuatan kepada beliau untuk terus bertahan. Tidak lama kemudian, ada pihak yang membantunya dalam bentuk kewangan dan menyediakan tempat tinggal sehingga beliau dapat meneruskan pengajian dengan baik.

Antara guru-gurunya ialah:

1. Syeikh Husin al-Masri, Kubur Panjang

2. Tuan Guru Haji Abdullah Bin Yusof @ Haji Lah Kecik, Langgar

3. Tuan Guru Haji Awang Embun, Kampung Sadik (belajar di Mekah)

4. Tuan Guru Haji Abdul Rahman, Kubang Siam

5. Tuan Guru Baba Haji Salleh Seka, Mekah

6. Tuan Guru Haji Saad Bin Awang @ Tok Saad Mogoi, Bukit Kecil

7. Syeikh Daud Sulaiman al-Kalantani

8. Pak Da Eil Mekah (belajar di rumah)

9. Syeikh Abdul Qadir al-Mandili

10. Syeikh Ismail al-Yamani

11. Syeikh Hassan Masyath

12. Syeikh Abdullah Lahji

13. Tuan Guru Baba Husin Surat, Mekah 

14. Syeikh Abdul Karim al-Banjari 

15. Syeikh Husien Pakistan - Madrasah Solatiyah

16. Syiekh Iwad Hadrami

17. Syeikh Adnan Banjari

18. Syeikh Muhammad Amin Kutbi 

19. Syeikh Mut'i - Mudir Madrasah Soulatiyah 

20. Tuan Guru Baba Li Chaiya

Sekembalinya beliau ke tanah air sekitar tahun 1970, gurunya, Tuan Guru Haji Saad Mogoi, menyuruh beliau mendirikan sebuah pondok pengajian di Bukit Lada, Pokok Sena. Dengan pertolongan dan usaha gurunya serta sokongan orang kampung, sebuah pondok pengajian pun didirikan dan dinamakan Madrasah Takwiyatul Islamiah. Tempat itu asalnya merupakan lokasi suluk Tuan Guru Haji Saad Mogoi.

Antara murid beliau yang menjadi tokoh agama ialah Syeikh Muhammad Nazrul bin Nasir, Mudir Zawiyah Nasiriyyah, Pedu.

Atas jasa dan sumbangannya, beliau dikurniakan Darjah Dato’ Setia Diraja Kedah yang membawa gelaran Dato’ pada 30 Jun 2024 sempena Hari Keputeraan Sultan Kedah ke-82.

Selain itu, pada 10 Oktober 2022, beliau turut menerima anugerah Tokoh Maulidur Rasul peringkat Negeri Kedah 1444H daripada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah dalam Majlis Sambutan Maulidur Rasul s.a.w di Raia Hotel and Convention Centre, Alor Setar.

Moga Allah Taala mengurniakan kesihatan yang baik untuk Tuan Guru. Amin.

Sumber: Temu bual penulis bersama Tuan Guru Haji Abdullah pada 27 Julai 2025

#KenaliUlamak

Source 

Rabu, 19 November 2025

(Allahyarham)Tun Daim Zainudin buat perjumpaan dengan Ustaz Firdaus Wong.Apa ceritanya?

 


Saya berjalan menuju ke lobi Menara Ilham dan disambut oleh seorang kakitangan,

“Ini Tuan Firdaus Wong ke?”

“Ya”, saya menjawab ringkas.

“Tun Daim sedang menunggu di atas”, sambung kakitangan tersebut yang kemudian menemani saya menaiki lif khas ke pejabat peribadi Tun Daim.

Keluar sahaja dari lif khas, saya diminta menunggu sebentar di ruang menunggu yang luas sambil saya menikmati pemandangan KLCC dari situ. 

Canggih pejabatnya tetapi pada masa yang sama, beberapa lukisan menghiasi dinding-dindingnya. 

Sejujurnya, saya tidak tahu ‘what to expect’ kerana PA Tun yang menghubungi saya memberitahu saya bahwa Tun Daim ingin berjumpa dengan saya. In juga kali pertama saya akan bertentang mata dengan Tun Daim. 

Tatkala saya sedang menikmati pemandangan dari pejabat Tun, satu suara yang agak ‘familiar’ memberikan salam,

“Assalamualaikum.”

“Walaikumusalam”, saya menjawab sambil menoleh ke belakang dan melihat Tun Daim lalu beliau menjemput saya ke dalam pejabatnya. Hanya kami berdua sahaja di dalam bilik itu.

Tun bertanya khabar dan rupa-rupanya, banyak juga info saya yang dia dah tahu. Hebat pasukan ‘perisikan’ Tun. Saya tidak perlu menerangkan sangat kerja-kerja dakwah saya dan MRM. Suaranya lembut seperti seorang ayah tetapi boleh merasai aura kritis dan tegasnya. Tiba-tiba Tun bertanya,

“Firdaus, apa yang saya boleh bantu dakwah kamu?”

Saya terkejut dengan soalannya yang spontan itu lalu saya menerangkan kepada Tun aktiviti dakwah yang kami lakukan sebelum ini dan yang telah kami rancang untuk laksanakan dalam beberapa tahun akan datang. Tun Daim mencelah dan berkata,

“Begini Firdaus, saya nak bagi kamu bangunan 3 tingkat di KL dan saya mahu kamu buat program bagi makanan kepada gelandangan di sekitar Kuala Lumpur.”

Saya terkejut dengan tawaran dari Tun. Saya tak menyangka Tun akan menawarkan sebuah bangunan di KL untuk kami. Saya membalas,

“Tun, terima kasih banyak-banyak atas tawaran Tun untuk memberikan kami bangunan untuk kami laksanakan program makanan untuk gelandangan. Saya sangat menghargai kepercayaan Tun ini. Cuma Tun…”

Belum saya menghabiskan ayat saya, Tun mencelah, 

“Segala kos perbelanjaan untuk program ini saya akan biaya. Firdaus dan team tak perlu risau pasal duit untuk projek ini.”

Saya menghabiskan ayat...

“Terima kasih Tun cuma kami adalah sebuah NGO yang sangat fokus kepada usaha dakwah kami kepada Muslim untuk merasa bangga dan mulia dengan Islam, berdakwah kepada yang Belum Muslim serta menangkis naratif anti Islam. Apa yang kami buat ini adalah sangat niche. Kami juga ada buat sedikit kebajikan tetapi itu bukan fokus utama kami kerana dah banyak sangat NGO terlibat dengan kebajikan. Tidak ramai yang buat dan fokus apa yang kami buat sekarang ini. Andai ada pun teramat sedikit jumlahnya. 

Kami ingin terus fokus dengan kepakaran dan kemahiran kami ini, Tun. Saya sangat menghargai tawaran dari Tun. Saya percaya bangunan yang Tun ingin berikan kepada kami untuk tujuan program gelandangan itu boleh dimanfaatkan lebih baik oleh NGO kebajikan yang lain. Kemahiran dan kepakaran kami boleh dimanfaatkan untuk bidang fokus kami yang tak ramai buat.”

Sejujurnya, saya sedikit berdebar kerana risau Tun akan marah apabila saya menolak tawarannya itu tetapi Tun tidak marah malahan menjawab,

“Ok takpe. Bagus Firdaus nak fokus kepada kepakaran Firdaus dan NGO. Saya hormat keputusan Firdaus. Biasanya bila saya tawarkan macam ini kepada orang lain, depa akan terima walaupun itu bukan bidang fokus depa tapi Firdaus tolak sebab nak fokus. Bagus.”

Saya ada berkongsi kisah saya menolak tawaran Tun ini tetapi ada yang membalas, 

“Alahai Bro, kenapa tak terima je tawaran dari Tun tu. Lagipun projek gelandangan itu dia juga akan biayai segala kosnya. Bila dah jadi milik MRM, terpulanglah kepada MRM untuk teruskan dengan projek gelandangan atau jadikan office atau jual.”

Maaf, saya tak pernah dan tidak akan buat begitu. Di Padang Mahsyar, Tun Daim dah terlepas dari tanggungjawabnya terhadap bangunan tu kalau kami terima tetapi apa saya nak jawab di depan Allah bila Allah tanya kenapa saya khianati amanah Tun dengan menjual bangunan tu. 

Walaupun secara undang-undangnya dah menjadi hakmilik NGO dan kami boleh menjualnya tetapi yang saya utamakan sebagai Muslim adalah amanah dan akad sesama kita! Saya keluar dari pejabat Tun tanpa saya merayu beliau untuk berikan bangunan lain atau merayu beliau untuk sumbangkan duit untuk dakwah kami.

Saya merayu kepada Allah dan Allah yang akan gerakkan hati hamba-hambaNya. Kerja dakwah, kerja para anbiya yang mulia. Kami akan membuka ruang untuk masyarakat untuk turut sama menyokong tetapi untuk merayu-rayu, mungkin itu bukan apa yang saya fahami. 

Beberapa minggu selepas itu, PA Tun menghubungi saya dan memaklumkan bahawa Tun ingin menjemput saya memberikan kuliah bulanan di surau banglo rumahnya di Taman Melawati. Dia sendiri akan menghadiri setiap kuliah saya tanpa gagal dan selepas selesai kuliah dan solat Isyak, kami akan duduk semeja untuk makan bersama dan Tun seorang yang banyak bertanya soalan-soalan yang kritis.

Soalannya kritis tetapi andai jawapan saya itu ‘make sense’ dia akan terima. Sepanjang setahun dua saya berceramah di banglonya, hampir setiap kali saya ceramah pasti akan ada individu yang hadir membawa proposal untuk mendapatkan dana dari Tun. Saya?

Saya tak pernah bawa sebarang proposal kepada beliau kerana saya menghormati hubungan kami dan tidak mahu mengambil kesempatan. Selama ini saya yakin Allah yang akan mengerakkan hamba-hambaNya untuk menyokong usaha dakwah kami, keyakinan itu tidak pernah pudar.

Saya tidak lagi berkuliah di banglonya setelah beliau dilantik sebagai ‘Council of Elders’ oleh Tun Mahathir setelah PRU pada 2018.

Semoga Allah mengampunkan dosa-dosa Tun, memberatkan timbangan amal solehnya berdasarkan sumbangannya kepada dakwah & kebajikan selama ini selain sumbangannya sebagai negarawan. 

Allahuma Ameen

Kredit - Firdaus Wong Wai Hung

Sejarah Kedah, Rakyat Kedah Harus Ambil Tahu!

 Sejarah Kedah, Rakyat Kedah Harus Ambil Tahu!

Pada tahun 1821 (12 November 1821), Kota Kuala Kedah yang meriah dengan majlis kenduri menikah putera Dato Laksamana Kedah dengan Dato Bendahara Paduka Sri Maharaja, dikejutkan dengan kehadiran gerombolan orang Siam yang diketuai anak Raja Ligor bernama Phya Buri Sakhmuton.

Mulanya rombongan dari Ligor itu memberitahu Dato Bendahara, kehadiran mereka sekadar untuk mendapat bekalan beras setelah mereka kekurangan makanan disebabkan perang yang berlarutan dengan Burma. Lalu Dato Bendahara mengerahkan sekalian rakyat Kedah segera mengumpul beras untuk diberikan kepada Siam. Dalam mereka berbincang, Phya Buri Sakhmuton memberi isyarat kepada orang orangnya untuk menyerang sekalian orang Kedah yang berada di dalam dan luar kota.

Tercetuslah serangan yang dahsyat dalam keadaan orang Kedah tidak bersedia. Hampir kesemua dibunuh. Kuala Kedah bermandi darah. Mayat bergelimpangan di serata ceruk dan hanya sedikit yang sempat bersembunyi menyelamatkan diri. Rupa rupanya angkatan Phya Buri sudah cukup bersedia. Mereka hampir 7,000 orang kesemuanya menyerang dari laut dan darat di sepanjang laluan ke Kuala Kedah. Selain sekitar kota, serangan paling hebat mereka lancarkan adalah di kawasan tebingan Sungai Anak Bukit, di Alor Madi dan Suka Menanti hari ini.

Kekejaman mereka tidak terlawan oleh orang Kedah yang sama sekali tidak menyangka akan diserang oleh angkatan Ligor yang pengecut itu. Betapa kejamnya tentera Siam, orang kampung dibakar hidup hidup di dalam perdu pokok mati, kemudian diratah isi mereka oleh tentera Siam. Wanita hamil dibelah perutnya, direntap keluar anak di dalam untuk dijadikan bahan judi, lelaki atau perempuan.

Begitulah betapa tidak berperikemanusiaan tentera Ligor terhadap rakyat Kedah.

Sejak itu, saki baki orang Kedah yang lari menyelamatkan diri ke Perai, cuba bangkit untuk mendapatkan kembali negeri pusaka nenek moyang ini. Pada 1831, angkatan Tunku Kudin dengan kekuatan 5,000 pahlawan Kedah berjaya menduduki semula Kota Kuala Kedah. Namun setelah terkepung selama lima bulan, kehabisan makanan dan ramai yang syahid, mereka tertewas juga.

Pada 1838, muncul pula Tunku Muhammad Saad untuk menuntut bela. Dengan ribuan tentera dari Rembau, Acheh, Kelantan, Terengganu, Hulu Pahang dan Sulu, mereka berjaya. Kota Kuala Kedah ditawan semula setelah mereka melalui banyak siri pertempuran hebat di darat dan di laut. Tunku Muhammad Saad dengan panglima barisan hadapan beliau diketuai Tok Moh Ris dari Kubur Panjang, Tunku Muhammad Akib, Panglima Muhammad Taib, Dato Wan Muhammad Ali, Syeikh Abdul Samad Al Falimbani berjaya mara hingga ke Singgora.

Mereka bukan sahaja terpaksa berhadapan dengan tentera Siam, malahan juga British yang telah belot, mengepung mereka di laut, menyekat bekalan makanan, senjata dan ubat ubatan. Tidak cukup dengan itu, orang Melayu Kedah sendiri yang bacul, ramai memihak kepada Siam. Antara pembelot Melayu yang tersohor ialah Panglima Yu dan Panglima Barim, yang tewas dalam pertempuran dengan pahlawan Kedah di Pulau Songsong. Dalam serangan untuk mendapatkan kembali Kota Kuala Kedah, orang Siam yang berkawal di situ tidak lebih 70 orang. Hampir 300 orang lagi adalah orang Melayu yang belot.

Semasa di Singgora, Tunku Muhammad Saad melaung kepada perwira perwira Kedah: "Hari ni, kita akan mengamuk sampai ke Bangkok!" Namun takdir Allah, mereka terhalang oleh ribut monsun. Dan ketika itulah, British yang belot atas kepentingan perang dengan Burma yang bermula pada 1824, menghantar bantuan kepada Siam. Siam yang baru mendapat kekuatan semula, telah menyerang balas angkatan Kedah hingga menyebabkan mereka terpaksa berundur. Jika orang Palestin mengenang peristiwa Naqbah, orang Kedah patut mengenang tarikh ini sebagai Hari Perjuangan, mengambil ibrah atas semangat kepahlawanan datuk nenek kita dahulu, yang begitu berani dan tabah menentang penjajahan.

Seorang pegawai tentera laut British, Kapten Sherard Osborn dalam bukunya The Blockade of Kedah 1838 menulis perbandingan pengalaman beliau berperang di India dan Kedah. Katanya: "Di sepanjang Pantai Coromandel, penduduk pribumi menjilat tangan yang menzalimi mereka seperti anjing. Di Kedah, orang Melayu melawan habis-habisan pihak yang menindas mereka. British sepatutnya menjadi bangsa yang pertama menghormati dan mengiktiraf semangat perjuangan orang Melayu Kedah."

Nah! Ramai tertanya tanya, mengapa sejak kemaren kami sebilangan anak anak Kedah menggunakan gambar profil Harimau Melompat. Ini adalah bendera Negeri Kedah pada era Sultan Ahmad Tajuddin, ketika Kedah diserang oleh Siam pada 1821.

Marilah kita menghayati kisah perjuangan datuk nenek kita untuk diadaptasi dalam kehidupan kita hari ini.

Jangan biarkan jiwa kita mati tanpa pengetahuan dan semangat ... kerana ia adalah seumpama mati sebelum mati.

Marilah kita mengenang betapa sukarnya mereka mempertahankan tanah air ini, dan isilah nikmat kebebasan ini dengan semangat untuk kita wariskan tanah pusaka ini kepada anak cucu dalam keadaan selamat dan sejahtera.

Hapuskan orang seperti Panglima Yu dan Panglima Barim yang ada di sekeliling kita. Mereka ada pembelot agama, bangsa dan negara.

ALLAHUAKBAR

Kredit : kedah kini

Source 

Isnin, 10 November 2025

30 isi utama bagi Bajet Kedah 2026 yang diumumkan oleh YAB Menteri Besar Kedah.

 30 isi utama bagi Bajet Kedah 2026 yang diumumkan oleh YAB Menteri Besar Kedah.

1. Tema Bajet 2026: “E.R.A.T SEJAHTERA” dengan komitmen memperkukuh ekonomi, mensejahterakan rakyat, melestarikan alam dan menambah baik tadbir urus.

2. Anggaran keseluruhan bajet RM1.33 bilion, dengan hasil negeri RM838 juta (naik RM48 juta).

3. Prestasi kewangan cemerlang 2024: Kutipan hasil RM769.53 juta (102.88% daripada sasaran) dengan lebihan RM11.16 juta.

4. Ekonomi Kedah berkembang 4.2% pada 2024 dengan KDNK RM54 bilion.

5. Pelaburan 2025 mencecah RM7.94 bilion, menjadikan Kedah negeri ke-4 tertinggi di Malaysia.

6. Projek KXP diteruskan, 6 daripada 8 syarat MPFN telah dilaksana; hanya menunggu kelulusan Kerajaan Persekutuan bagi NASP & AOL.

7. The Greater Kedah 2050: 16 KPI capai 80% sasaran, pemacu utama pembangunan negeri.

8. Pembangunan REE Kedah: rizab 1.196 juta tan, hasil 250,000 tan dalam 10 tahun. Royalti ditetapkan 15%.

9. Kedah kekal Jelapang Padi Malaysia, menyumbang 43% bekalan beras negara; RM1.6 juta diperuntukkan bagi program Sawah Gemilang.

10. Projek Bekalan Air RM242 juta termasuk naik taraf LRA Pelubang dan paip dasar laut ke Langkawi.

11. RM305 juta untuk penyelenggaraan jalan (MARRIS) dan pembinaan jambatan baru seperti Jambatan Sg. Pendang & Sg. Getah.

12. Program Desa Sejahtera diperluas ke semua daerah; RM2 juta disediakan untuk rumah dan hak milik rakyat.

13. Bantuan rakyat RM25 juta sebulan, dengan tambahan RM16.6 juta kepada semua ADUN termasuk pembangkang.

14. Inisiatif i-Kafalah: RM4 juta diperuntukkan dengab bantuan RM500 kepada keluarga B40 bagi urusan kematian.

15. Program Bantuan Pesakit Terlantar & Kesihatan: RM2.65 juta disediakan, termasuk Bantuan Katil & Kerusi Roda.

16. Pendidikan Islam diperkasa: RM42 juta kepada Maktab Mahmud, RM26.8 juta kepada SMA, Tadika Islam & KAFA.

17. UniSHAMS bakal bina Kolej Kediaman bernilai RM65 juta dan Smart Islamic Complex bernilai RM15 juta.

18. Tabung Tunku Mahmud bantu 4,884 pelajar dengan agihan RM7.17 juta.

19. Sumbangan RM300 ribu kepada SJK Cina & Tamil – simbol semangat Kedah untuk semua.

20. RM200 ribu diluluskan bagi program Kad Siswa Kedah yang akan memberi perlindungan insurans (PA) dan diskaun di premis perniagaan terpilih.

21. RM9.1 juta untuk Pembaikan Rumah Keluarga Miskin, meningkat RM2.1 juta berbanding tahun lalu.

22. Experience Kedah 2026: RM3.2 juta disediakan untuk promosi pelancongan antarabangsa & RM5.89 juta untuk menaik taraf kemudahan.

23. Atlet Kedah terus cemerlang dengan Pearly Tan, Sivasangari & Nurul Izzah disenarai Road to Gold Olimpik 2028.

24. RM10 juta disediakan untuk SUKMA 2026 dan Pelan Pembangunan Bola Sepak Kedah 2035 (KF35).

25. Bantuan Khas Penjawat Awam RM2,000 akan dibayar Januari & Mac 2026 – melibatkan RM10 juta.

26. RM14.17 juta untuk pemuliharaan biodiversiti (EFT) dan program tanam 2.2 juta pokok di bawah naungan Tuanku Sultan Kedah.

27. RM3.6 juta kesiapsiagaan banjir & RM1 juta pasca banjir termasuk sistem pemantauan dan tebatan.

28. RM13.84 juta untuk MKK & Penghulu termasuk tambahan kepada MKK Kampung Baru dan Tok Batin.

29. RM8.26 juta untuk digitalisasi kerajaan negeri, termasuk dron dan sistem maklumat terkini.

30. Kedah terus tegas pertahan hak negeri termasuk isu REE, Sungai Muda & Pajakan Pulau Pinang di bawah semangat federalisme adil.

Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua

Source 

Ahad, 2 November 2025

Fleximart:Apa Sebenarnya Idea Di Sebalik Kedai Serbaneka YB Rafizi Ramli Ni ?

 Apa Sebenarnya Idea Di Sebalik Kedai Serbaneka YB Rafizi Ramli Ni ?

Takde angin, takde ribut tiba-tiba YB Rafizi Ramli bekas Menteri Ekonomi umumkan pembukaan kedai serbaneka Fleximart.

Ramai tanya ni nak tiru Kedai 1Malaysia ke ?

Kebetulan hari ni saya ada sedikit masa saya sendiri turun ke Fleximart sempena pembukaan rasmi kedai ini.

Saya sendiri turun tengok apa sebenarnya konsep yang cuba dibawa oleh YB Rafizi ni.

Kat bawa ni saya senaraikan beberapa dapatan saya. 

1. Konsep Kedai

Secara keseluruhan Fleximart ni gabungan antara 99 Speedmart dan Family Mart.

Bahagian depannya ada island counter tempat pelanggan boleh pesan minuman panas, makanan ringan dan aiskrim.

Kalau Kedai 1Malaysia dulu lebih fokus kepada barangan asas Fleximart pula cuba bawa gaya modern convenience store tapi masih kekal dalam kategori mesra rakyat.

2. Variasi Barangan Runcit

Buat masa ni saya tengok pilihan barang asas masih terhad. Yang ada kebanyakannya produk biasa seperti beras, mi segera, sardin, dan barang keperluan diri asas.

Nampak macam kedai ni masih fasa percubaan mungkin nak tengok dulu barangan apa yang paling laku sebelum diperluas.

3. Keunikan

Yang saya rasa menarik Fleximart bawa vending machine makanan panas ke dalam kedai. Konsep ni jarang kita nampak di Malaysia beli terus makanan keluar panas harga bawah RM5.

Kalau idea ni berjaya dikembangkan ke kawasan universiti atau flat kos rendah boleh jadi satu solusi baru untuk makan bajet tapi pantas.

Menu Vending Machine Flexi Mart

A- Nasi & Roti

Nasi Lemak – RM5.00

Roti Sosej – RM3.00

B – Spaghetti & Sandwich

Spaghetti Carbonara – RM5.00

Spaghetti Bolognese – RM5.00

Chicken Sandwich – RM3.00

C – Ayam Goreng

Ayam Goreng Crispy – RM4.00

Ayam Goreng Korea – RM5.00

D – Chicken Wrap

Chicken Wrap – RM4.00

E – Nasi & Tuna

Tuna Sandwich – RM3.00

Nasi Goreng Biasa – RM5.00

Nasi Goreng Seafood – RM5.00

4. Harga Barangan Runcit

Bila saya semak dan banding sendiri dengan 99 Speedmart ini hasilnya:

Harga di 99 Speedmart

▶️ Jalen kecil – RM4.15

▶️ Habhal 345ml – RM6.20

▶️ Milo Stick – RM13.99

▶️ Ayam Brand Sardin – RM6.85

▶️ Maggi Cup – RM2.40

▶️ Maggi Pedas Gila – RM9.20

Harga di Flexi Mart

▶️ Jalen kecil – RM5.93

▶️ Habhal 345ml – RM7.63

▶️ Milo Stick – RM16.68

▶️ Ayam Brand 230g – RM8.41

▶️ Maggi Cup – RM2.64

▶️ Maggi Pedas Gila – RM10.90

Perbezaan harga antara Fleximart dan 99 Speedmart lebih kurang 20–30% lebih tinggi mungkin sebab Fleximart masih baru dan belum dapat harga borong besar-besaran macam 99 speed mart.

5. Menu Minuman dan Makanan Panas

Selain barangan runcit Fleximart ada menu kafe mini yang agak menarik. Harga pun nampak masih dalam kategori mampu milik .

Coffee Menu

▶️ Americano Hot 8oz – RM2.50

▶️ Americano Cold 12oz – RM2.90

▶️ Café Latte Hot 8oz – RM4.50

▶️ Café Latte Cold 12oz – RM4.90

▶️ Vanilla Latte Hot 8oz – RM5.00

▶️ Vanilla Latte Cold 12oz – RM5.50

▶️ Caramel Latte Hot 8oz – RM5.50

▶️ Caramel Latte Cold 12oz – RM5.80

Non-Coffee

▶️ Chocolate Hot 8oz – RM2.50

▶️ Chocolate Hot 12oz – RM4.50

▶️ Chocolate Cold 12oz – RM4.90

▶️ Apple Tea Cold Drink – RM1.79

▶️ Lemon Lime – RM1.79

Dessert

▶️ Ice Cream Soft Serve (Chocolate/Vanilla) – RM1.79

Warm Food

▶️ Mee Kari – RM5.90

▶️ Chicken Katsu – RM5.90

▶️ Chicken Karage – RM4.90

▶️ Chicken Popcorn – RM4.90

▶️ Meatball – RM4.90

▶️ Jumbo Cheese – RM3.00

▶️ Inari (3 pcs) – RM3.50

Hand Roll (Cut)

▶️ Deep Fried Chicken / Salmon / Butter Cheese / Rankfurter / Prawn / Crab Stick / Mayo / Teriyaki / Sweet / Tuna – RM3.00 setiap satu

Harga minuman dia saya rasa agak kompetitif kalau nak banding dengan Family Mart memang jauh lebih murah.

Kalau Family Mart ada Oden sebagai menu signature mereka, Fleximart pula tampil dengan Mee Kari sebagai pilihan utama makanan panas. 

Saya yakin lepas ni Fleximart akan mula pelbagaikan lagi jenis makanan supaya setanding dengan Family Mart.

Cuma kalau nak dibandingkan dengan 99 Speedmart, kategori dia memang lain sebab Fleximart lebih kepada konsep “grab-and-go café” berbanding kedai runcit tradisional.

Secara keseluruhan saya nampak usaha YB Rafizi Ramli ni ke arah eksperimen sosial ekonomi baru gabungkan model kedai runcit rakyat dengan pengalaman beli-belah moden.

Walaupun dari segi harga barangan asas masih belum mampu lawan 99 Speedmart tapi dari sudut konsep dan pengalaman pelanggan Fleximart ada potensi jangka panjang.

Kalau mereka berjaya kukuhkan sistem supply chain dan tambah variasi produk tempatan saya rasa Fleximart boleh jadi “kedai rakyat 2.0” versi lebih moden dan praktikal.

Source 

Sabtu, 1 November 2025

Krisis Sudan:Apa yang berlaku sebenarnya?

 Ramai minta ulas apa yang berlaku di Sudan.

Oleh:Ayman Rashdan Wong

Masalah di Sudan ni bukan baru sehari dua. Ia dah berlarutan sejak tahun 2023.

Tapi kalau nak jejak betul-betul, puncanya bermula dari kejatuhan Omar al-Bashir pada tahun 2019.

Al-Bashir ni memerintah Sudan dari tahun 1989 sampai 2019. Dia ni pemimpin Islamis. Naik pun atas sokongan Hassan al-Turabi, ulama dan tokoh politik Islam Sudan masa tu.

Tapi biasalah, bila dua orang kuat duduk dalam satu kerajaan, tak lama lepas tu diorang berpecah. Turabi berundur dari politik.

Sepanjang pemerintahan al-Bashir, Sudan memang banyak berdepan masalah.

Pertama, sebab dia rapat dengan Iran dan bagi perlindungan pada Osama. 

Sudan pun terus dilabel Amerika dan Eropah sebagai "negara penaja pengganas". Maka bermulalah sekatan ekonomi, diplomatik, dan politik yang panjang.

Kedua, pendekatan Islam al-Bashir yang agak keras buatkan wilayah selatan yang majoriti Kristian mula memberontak. 

Akhirnya, selepas perang saudara berdekad-dekad, Sudan Selatan merdeka pada 2011.

Sudan Selatan ni banyak minyak. Ekonomi Sudan sakit teruk tanpa Sudan Selatan.

Dan isu yang paling mencemar nama Sudan di mata dunia ialah konflik Darfur.

Orang Darfur pun beragama Islam. Cuma diorang tu bukan orang Arab macam majoriti Sudan yang kuasai politik.

Sekitar tahun 2003, kerajaan Sudan lancarkan operasi di Darfur untuk lawan pemberontak tempatan. 

Tapi al-Bashir tak guna tentera rasmi, sebaliknya guna militia yang dipanggil Janjaweed, diketuai oleh Mohamed Hamdan Dagalo, atau lebih dikenali sebagai Hemedti.

Pasukan Janjaweed ni terkenal dengan kekejaman. Serangan terhadap kampung dan pembunohan beramai-ramai tu biasa bagi diorang, sebagai taktik untuk menakutkan penduduk.

Barat pun kecam keras, tuduh kerajaan Sudan buat genosid. Amerika di bawah Bush dan Obama cuba campur tangan, tapi tak banyak yang berubah.

Tahun 2019, Omar al-Bashir akhirnya digulingkan oleh tenteranya sendiri. Ketua tentera, Abdel Fattah al-Burhan, naik jadi pemimpin sementara.

Al-Burhan ambil Hemedti, ketua Janjaweed jadi timbalan dia. Janjaweed direbrand jadi Rapid Support Forces (RSF).

Pada awalnya, al-Burhan dan Hemedti bekerjasama rapat. Tapi lama-lama, masing-masing mula berebut kuasa.

Akhirnya, meletuslah Perang Saudara Sudan pada tahun 2023 antara tentera kerajaan (SAF) pimpinan al-Burhan, dan pasukan RSF di bawah Hemedti.

SAF bertahan di bahagian timur dan utara negara, manakala RSF kuasai kawasan barat termasuk Darfur, kubu kuat Hemedti.

Bila dah jadi perang saudara jadi panjang, tak dapat dielak campur tangan kuasa luar.

Negara-negara Arab mula pilih pihak, sebab siapa menang nanti akan menentukan siapa paling berpengaruh di Sudan.

Maka jadilah Sudan gelanggang baru perang proksi dunia Arab: Mesir dan Saudi sokong al-Burhan (kerajaan). UAE pula sokong Hemedti (RSF).

Walaupun tiga-tiga negara ni nampak sekutu dalam isu besar macam lawan Ikhwanul Muslimin, diorang pun ada kepentingan sendiri.

Dalam banyak hal termasuk masa Perang Yaman dulu, Saudi dan UAE pun dah mula tak sehaluan. Di Sudan, jurang tu makin jelas bila diorang sokong pihak bertentangan.

Akhirnya, perang saudara Sudan dah jadi perang proksi antara blok-blok Arab. Dan seperti biasa, yang paling menderita ialah rakyat biasa.

RSF pula kekal dengan gaya kejam diorang, termasuk laporan pembunohan beramai-ramai di bandar al-Fashir sehari dua lepas.

Imej UAE yang dikaitkan dengan sokongan terhadap RSF pun makin tercalar. Dah lah sebelum ni dia yang paling galak dengan Perjanjian Abraham, normalisasi dengan Isrel.

Dan di situ juga muncul satu lapisan lain: pengaruh Isrel.

Isrel sekarang cuba berdiri sendiri tanpa terlalu bergantung pada Amerika, sebab Amerika makin banyak songeh bila bagi bantuan dan kerjasama.

Jadi Isrel tengah cuba kukuhkan pengaruhnya tanpa perlu restu Washington. Melalui hubungan UAE–RSF ni, Isrel nampak peluang untuk bina pengaruh dia di Afrika Timur dan Laut Merah.

Sebab tu lepas kejatuhan al-Bashir, Isrel cepat-cepat masuk line dan jadikan Sudan negara Arab ke-4 yang tandatangan Perjanjian Abraham.

Jadi, Sudan bukan sekadar perang dua jeneral, tapi cerminan bagaimana dunia Arab-Islam hari ini berpecah kepada blok kuasa yang bersaing.

Selagi perebutan kuasa ni belum selesai, rakyat Sudan akan terus jadi mangsa antara cita-cita, dendam, dan percaturan geopolitik yang lebih besar.

Source