Sabtu, 24 Mei 2025

China Zorrilla: Kapal Elektrik Terbesar Dunia Bukan Dari China, Tapi Sudah Sedia Ubah Dunia

 "China Zorrilla: Kapal Elektrik Terbesar Dunia Bukan Dari China, Tapi Sudah Sedia Ubah Dunia"

Namanya China Zorrilla. Tapi ia bukan dari China. Ia dibina di Tasmania, Australia oleh syarikat pembinaan kapal bernama Incat, dan bakal beroperasi di laluan selat antara Buenos Aires, Argentina dan Montevideo, Uruguay.

Apa yang menjadikannya luar biasa? Ia kini secara rasmi kapal feri elektrik sepenuhnya terbesar di dunia dan satu pencapaian besar dalam sejarah pengangkutan maritim moden.

Kapal ini sepanjang 130 meter, mampu mengangkut 2,100 penumpang dan 225 kenderaan, dan langsung tidak menggunakan bahan api fosil.

Ia digerakkan oleh lebih 250 tan bateri lithium-ion, dengan kapasiti simpanan tenaga mencecah 40 megawatt-jam, iaitu empat kali ganda lebih besar daripada mana-mana sistem bateri maritim yang pernah dibina sebelum ini.

Kuasa ini menghidupkan 8 unit waterjet elektrik untuk memberi kelajuan tinggi tanpa sebarang pelepasan karbon. Dalam bahasa mudah: ini kapal penumpang besar yang tak keluarkan asap langsung.

Tapi kehebatan China Zorrilla bukan hanya pada enjin. Kapal ini juga dilengkapi 2,300 meter persegi ruang beli-belah bebas cukai, menjadikannya pusat komersial terapung terbesar di dunia.

Ia bukan feri biasa tapi ia kapal serba guna yang menjanjikan perjalanan bersih, selesa, dan bernilai tinggi secara ekonomi dan ekologi.

Sekarang mari kita bandingkan.

Di Malaysia, sistem feri kita masih dikuasai teknologi lama. Feri Pulau Pinang, misalnya, yang satu ketika dahulu ikonik, telah digantikan dengan feri penumpang moden tetapi masih berasaskan enjin diesel, masih mengeluarkan pelepasan karbon, dan belum ada pelan peralihan menyeluruh ke teknologi hijau.

Di tempat lain seperti Langkawi, sistem feri yang menghubungkan Kuala Perlis dan Kuala Kedah juga menggunakan bahan api fosil sepenuhnya.

Belum ada feri elektrik bersaiz besar dalam sistem pengangkutan awam negara kita, walaupun laluan laut domestik cukup sibuk untuk justifikasikan pelaburan awal.

Kenapa belum jadi? Jawapannya bukan tiada teknologi tapi tiada pelan strategik jangka panjang. Malaysia bercakap tentang “green economy” dan “sustainability”, tapi dalam sektor maritim kita masih ketinggalan.

Tiada roadmap yang jelas, tiada peruntukan khusus untuk penyelidikan dan pembangunan kapal hijau. Ironinya, kita negara maritim, tetapi kita tidak mendahului dalam maritim hijau.

China Zorrilla bukan sahaja satu kejayaan kejuruteraan, ia juga tamparan lembut kepada negara-negara yang masih lena.

Ia membuktikan bahawa perubahan itu mungkin dan perlu. Kapal sebesar ini mampu bergerak antara negara tanpa membakar satu liter diesel pun. Jadi apa alasan kita?

MasyaAllah. Inilah wajah masa depan yang sudah sampai dan kita belum pun keluar dari pelabuhan lama. Dalam dunia yang makin panas, lautan yang makin naik, dan bandar pesisir yang makin terancam, kapal seperti China Zorrilla bukan sekadar alat pengangkutan.

Ia simbol harapan dan pilihan: kita boleh bina sistem pengangkutan yang bersih, canggih dan lestari, jika kita berani mulakan.

Soalnya sekarang adakah kita nak terus ikut arus diesel, atau kita nak mula cipta gelombang baharu?

___

Source 

0 ulasan:

Catat Ulasan