"Cashzine - Aplikasi Buat Duit Percuma Terbaik Yang PERLU anda miliki"

Cara Buat Duit Dengan Aplikasi Cashzine: Peluang Jana Side Income lebih RM100 Dalam Sehari Melalui Aplikasi Cashzine. (Scroll ke bawah untuk bukti pembayaran terkini daripada Cashzine

Cordyceps:Herba luarbiasa dan apa kehebatannya?

Pernahkah anda mendengar Cordyceps? Atau anda pernah melihat? Mungkin tak pernah dengarkan... Dan tak pernah lihat pun. Sama jugalah macam saya. Saya cuba ceritakan serba sedikit tentang Cordyceps ni. Walaupun bagaimanapun saya cuba fahamkan anda semua mengenainya samada dari tempat asal ataupun khasiat Cordyceps ini.

Cara Mudah Jadi Youtuber Terhebat

Ketahui cara bagaimana untuk menjadi Youtuber. Video yang senang difahami dan penuh dengan semua info yang perlu sebagai Youtuber. Dari asas kepada SEO, teknik Viral, Fb ads serta Mengandungi Teknik dan Rahsia Youtuber yang memiliki JUTAAN Subscriber..

Wanita kelihatan anggun dengan Hasanah Lipmatte

90% pengguna GEMBIRA dan TERUJA dengan Hasanah Lipmatte. Dah jadi trending bagi wanita abad ini. Bukan setakat mencantikkan bibir si pemakai malah dapat menaikkan keyakinan anda sepanjang hari.

9/10 Rezeki Perniagaan: Dari SOLOpreneur ke ENTREpreneur menjadi GLOBALpreneur

Cara Mulakan dan Kembangkan Perniagaan Ke Tahap Yang Lebih Tinggi Dengan Modal Minima.


Rabu, 24 April 2024

Masalah air seperti tiada kesudahan

 

Nur Liana (kanan) menunjukkan tangki tambahan yang terpaksa dipasang bagi memastikan bekalan air di rumahnya mencukupi untuk kegunaan harian dan perniagaannya.
Nur Liana (kanan) menunjukkan tangki tambahan yang terpaksa dipasang bagi memastikan bekalan air di rumahnya mencukupi untuk kegunaan harian dan perniagaannya.

PENDERITAAN penduduk di Mukim 5, Seberang Perai Selatan (SPS) yang terpaksa berdepan masalah bekalan air sejak enam tahun lalu belum dapat diatasi hingga kini oleh Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP).

Kegagalan menangani isu itu yang menjejaskan kualiti kehidupan ribuan penduduk terlibat juga didakwa tidak mencerminkan kecekapan pentadbiran kerajaan negeri yang kini memfokuskan kemajuan dan transformasi melalui Visi Penang2030.

Penduduk mendakwa, kegagalan memastikan mereka menerima bekalan air yang sempurna jelas terbukti meskipun lapan pelan kontingensi telah dibuat termasuk pembinaan Loji Rawatan Air Kedua Sungai Kerian di SPS.

Namun usaha tersebut dikatakan langsung tidak memberikan kesan dan perubahan positif terhadap isu yang tiada kesudahan sejak 2018 itu.

Kebanyakan penduduk yang ditemui Sinar Harian, meluahkan kekesalan mereka terhadap syarikat pengendali perkhidmatan air di Pulau Pinang yang dilihat enggan mengaku kelemahan dan ketidakcekapan dalam menguruskan krisis.

Mereka mendakwa, syarikat tersebut juga gagal memberikan alasan dan jawapan munasabah terhadap masalah bekalan air melibatkan 12 kawasan perumahan termasuk beberapa kampung di Mukim 5.

Penduduk di Taman Seruling Emas, Nor Hidayah Ruze, 54, berkata, walaupun ratusan aduan dan beberapa siri rundingan serta bantahan dibuat oleh penduduk, namun hak mereka untuk mendapatkan bekalan air sempurna dinafikan pihak terbabit.

Suri rumah itu yang kini berdepan masalah kesihatan dan perlu bergerak menggunakan kerusi roda berkata, catuan air selama kira-kira tujuh jam setiap hari bermula jam 5 petang hingga lewat malam, menjejaskan kerja rumah dan rutin harian penduduk.

 Jelasnya, keadaan bertambah parah setiap kali musim perayaan kerana penduduk tidak menerima bekalan air selama 12 hingga 18 jam sehari.

“Bayangkan disebabkan masalah air ruang dapur kami akan dipenuhi pinggan mangkuk tak bercuci dan pakaian bertimbun.

“Dalam keadaan berkerusi roda, macam mana saya nak angkat baldi dan tong berisi air dari luar rumah untuk kegunaan harian.

“Saya terpaksa beli bekalan air mineral untuk digunakan bagi membuang air kecil dan besar,” katanya.

Christine Teoh, 56, pula berkata, sejak krisis air melanda di kawasan perumahannya, kualiti kehidupan dirinya dan penduduk lain terjejas, selain perbelanjaan bulanan meningkat dan berdepan pelbagai tekanan perasaan selagi isu tersebut tidak diselesaikan.

“Bayangkan penduduk yang penat selepas seharian bekerja bila pulang ke rumah untuk mandi tapi air tiada. Macam mana mereka nak masak untuk hidangan makan malam dan adakah semua kain baju kami perlu dicuci di kedai dobi setiap hari?

“Paling mengecewakan apabila berlaku gangguan bekalan air untuk tempoh lama, kami lambat diberi notis untuk buat persiapan,” luahnya.

Menurutnya, penduduk terpaksa menebalkan muka menumpang mandi di rumah saudara mara.

Sementara itu, peniaga roti jala yang tinggal di Taman Widuri, Susilawayi Sapie, 38, berkata, masalah bekalan air pada minggu akhir Ramadan tiga tahun lalu menyebabkan dia terpaksa menanggung kerugian kerana gagal menyiapkan tempahan pelanggan.

Bukan itu sahaja katanya, krisis bekalan air di Mukim 5 juga meragut keceriaan dan kegembiraan penduduk untuk meraikan hari raya apatah lagi untuk menganjurkan rumah terbuka, sejak enam tahun lalu.

“Bayangkan mereka yang ada ramai anak terutama masih kecil, pastinya guna air yang banyak tapi bila tiba musim perayaan makin menjadi-jadi pula gangguan air,” katanya.

Peniaga di Taman Widuri, Nur Liana Abd Rashid, 32, berkata, dia terpaksa mengeluarkan modal hampir RM3,000 untuk memasang tangki khas di tepi rumah bagi menyimpan bekalan air.

Katanya, sebelum ini semua sisa dan bekas digunakan untuk menyediakan makanan yang akan dijual terpaksa dibiarkan penuh di kawasan dapur sementara menunggu bekalan air pulih untuk dicuci.

Tambahnya, disebabkan tidak mahu operasi perniagaannya terus terkesan dia terpaksa mengeluarkan modal lain untuk membeli tangki air khas miliknya itu.

Kerajaan negeri diminta telus dedah punca sebenar

Dalam pada itu, Kerajaan Pulau Pinang diminta telus dan mengakui kelemahan selain mendedahkan kepada rakyat apakah punca utama masalah bekalan air di Mukim 5 tidak dapat diselesaikan sehingga bertahun-tahun lamanya.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Masalah Air Mukim 5, SPS, Khairul Ahmad Fitri Suhaimi berkata, meskipun pelbagai projek dan lapan pelan kontingensi dibuat namun masalah yang dihadapi penduduk tidak selesai.

Katanya, penduduk semakin hilang sabar kerana turut terpaksa menanggung bil air yang meningkat berkali ganda sedangkan masalah bekalan air masih tidak berkesudahan.

“Kerajaan negeri perlu akur dan jujur untuk mendedahkan apa punca sebenar masalah bekalan air ini berlarutan bukan dalam tempoh enam minggu atau enam bulan, tetapi sudah enam tahun.

Kalau dahulu pentadbiran di peringkat negeri dan pusat tidak sehaluan hingga ada kekangan dalam selesaikan masalah ini tapi kini kedua-duanya dalam pentadbiran sama,” katanya.

Penduduk di Mukim 5, SPS terpaksa berdepan masalah bekalan air sejak enam tahun lalu.
Penduduk di Mukim 5, SPS terpaksa berdepan masalah bekalan air sejak enam tahun lalu.

Beliau mendakwa, masalah itu disebabkan salah tadbir urus oleh kerajaan negeri termasuk pembangunan yang tidak terancang di kawasan Seberang Perai.

Apa bezanya kami dengan penduduk Pulau Pinang di kawasan lain?

“Kenapa biarkan kami terus terseksa sedangkan kami berhak menerima bekalan air yang sama seperti orang lain,” katanya.

-- INFO

Kawasan di mukim 5 yang terlibat:

- Taman Seruling Emas

- Flat Taman Seruling Emas

- Taman Sri Seruling

- Jalan Sg Duri, Tmn Seruling Emas

- Jalan Permatang Ara, Tmn Seruling Emas

- Wellesley

- Perkampungan Sg Baong (sebahagian)

- Perkampungan Sungai Duri

- Taman Sg Duri Perda

- Taman Widuri

- Kampung Permatang Ara

- Perkampungan Sg Bakap (sebahagian)

-SH Online 

SPRM tahan reman anak menteri besar

 Suspek dibawa keluar dari mahkamah selepas direman bagi membantu siasatan terhadap dakwaan mengemuka tuntutan palsu. - Foto BH/Aizat Sharif

Suspek dibawa keluar dari mahkamah selepas direman bagi membantu siasatan terhadap dakwaan mengemuka tuntutan palsu. - Foto BH/Aizat Sharif

KANGAR: Anak kepada Menteri Besar Perlis antara enam individu yang direman oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan pemalsuan dokumen tuntutan palsu berjumlah RM600,000.

Sumber berkata, turut direman ialah pegawai kanan pejabat Menteri Besar Perlis.

Perintah reman dikeluarkan oleh Majistret Ana Rozana Mohd Nor selepas suspek dibawa ke mahkamah jam 8.45 pagi tadi.

"Suspek yang ditahan berusia antara 27 hingga 37 tahun dan dikehendaki membantu siasatan berkaitan pelaksanaan projek pembangunan prasarana seperti membaik-pulih, menyelenggara, perbekalan dan perkhidmatan di seluruh Perlis sejak 2022.

Siasatan dipercayai juga menjurus kepada tuntutan palsu terhadap kerja yang tidak dilaksanakan.

"Suspek yang ditahan itu dipercayai berperanan sebagai pemilik syarikat, kontraktor dan penjawat awam di Pejabat Pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri dan Pejabat Menteri Besar Perlis," katanya.

Beliau berkata, suspek ditahan antara jam 7 hingga 8 pagi semalam Perlis dan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM Putrajaya, Datuk Azmi Kamaruzaman ketika dihubungi mengesahkan penahanan berkenaan.

-BH Online 

Selasa, 23 April 2024

Raya Mana versi bahasa isyarat, netizen ‘tabik’ Nabila Razali

 

NABILA belajar menggunakan bahasa isyarat melalui YouTube.

PETALING JAYA – Penyanyi Nabila Razali sekali lagi mencuri tumpuan apabila tampil menjadi penterjemah lagu raya miliknya iaitu Raya Mana ke dalam bahasa isyarat

Menerusi video yang dimuat naik dalam Instagram, Nabila atau nama sebenarnya Nur Nabila Mohd. Razali, 32, mengakui menjadikan YouTube sebagai platform untuk mempelajari bahasa isyarat.

“Saya belajar melalui YouTube sahaja.
“Kalau salah, kalian betulkan okay,” katanya dalam ruangan kapsyen.

 Menerusi ruangan komen, rata-rata netizen memuji usahanya menterjemah lagu tersebut menerusi bahasa isyarat.

Inisiatif Nabila turut mencuri perhatian golongan Orang Kelainan Upaya (OKU).

“Sudahlah cantik, pandai bahasa isyarat pula.

“Terima kasih Nabila sebab terjemahkan lagu ini untuk golongan OKU,” puji netizen.

Sehingga hari ini, muzik video rasmi Raya Mana berjaya mencecah enam juta tontonan dalam YouTube. – KOSMO! Online

Kenangan:'Lambaian terakhir buat pesawat HOM-AW139'

 Lima kru Udara Skuadron 503 melambai tangan kepada  rakan setugas yang menaiki dua helikopter pasukan itu ketika berlepas dari Kota Kinabalu ke Pangkalan TLDM Lumut pada 19 April lalu.

Lima kru Udara Skuadron 503 melambai tangan kepada rakan setugas yang menaiki dua helikopter pasukan itu ketika berlepas dari Kota Kinabalu ke Pangkalan TLDM Lumut pada 19 April lalu.

KUALA LUMPUR: Lambaian lima Kru Udara Skuadron 503 kepada rakan setugas mereka yang menaiki dua Helikopter Operasi Maritim (HOM) AW139 ketika berlepas dari pangkalan di Kota Kinabalu ke Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut Perak pada 19 April lalu, menjadi kenangan terakhir apabila sebuah daripada pesawat itu terhempas hari ini.

Berdasarkan perkongsian Facebook 503 Squadron pada 19 April lalu, pasukan itu menghantar dua pesawat HOM-AW139 membabitkan sembilan kru udara dan 11 juruteknik ke Lumut, Perak untuk menyertai latihan dan raptai sempena perbarisan Hari Ulang Tahun TLDM ke-90 yang dijadualkan awal bulan depan.

Pasukan itu diketuai Pegawai Memerintah Skuadron 503, Komander Muhammad Firdaus Ramli, yang turut bertindak sebagai juruterbang sebuah daripada helikopter pasukan itu.

Paling menyedihkan apabila satu gambar memaparkan lambaian lima sahabat mereka dengan kapsyen 'Lambaian penuh makna daripada sebahagian kru yang tinggal, selepas ini mereka mungkin boleh balik awal selalu? Entah, min (admin) masih mampu bersangka baik' seakan-akan menggambarkan kejadian itu.

Dalam nahas pagi ini, seramai 10 mangsa terdiri daripada tujuh kru dan tiga penumpang maut, dalam nahas membabitkan pertembungan dua helikopter yang terbabit dalam latihan lintas hormat sempena sambutan Hari Ulang Tahun TLDM ke-90 pagi ini.

Dua helikopter yang terdiri model HOM dan Fennec itu berlepas dari Padang Sitiawan pada jam 9.03 pagi.

Pesawat HOM dinaiki tujuh kru, manakala tiga lagi berada dalam Fennec.

Berdasarkan video yang tersebar, kedua-duanya dipercayai bertembung ketika hendak membentuk formasi penerbangan raptai lintas hormat yang dirancang berlangsung di ruang udara Pangkalan TLDM Lumut.

Susulan pertembungan berlaku, kedua-dua pesawat terbabit hilang kawalan sebelum terhempas.

Pesawat HOM terhempas di tangga Stadium TLDM Lumut, manakala pesawat Fennec terhempas di kolam renang Kompleks Sukan TLDM Lumut.

Tiada yang terselamat dalam nahas itu, pihak TLDM telah mengeluarkan senarai nama mangsa yang terkorban secara rasmi.

-BH Online 

TERKINI: TLDM umum senarai penuh korban tragedi dua helikopter

 10 kru TLDM terkorban dalam nahas ketika raptai hari ulang tahun.

10 kru TLDM terkorban dalam nahas ketika raptai hari ulang tahun.

KUALA LUMPUR: Dua Pegawai Pemerintah Skuadron Helikopter TLDM dikenal pasti antara 10 yang terkorban dalam nahas membabitkan dua helikopter pasukan itu hari ini.

TLDM mengesahkan 10 orang itu terdiri daripada masing-masing tujuh kru Helikopter Operasi Maritim (HOM) dan tiga kru Fennec.

Mereka yang terkorban adalah seperti berikut:

Pesawat HOM(M503 3) 4 orang kru dan 3 penumpang:

1. Komander Muhammad Firdaus Ramli - Pegawai Memerintah Skuadron 503.

2. Leftenan Komander Wan Rezaudeen Kamal Wan Zainal Abidin

3. Leftenan Komander Mohammad Amirulfaris Mohamad Marzukhi

4. Pegawai Waran II TLR Muhammad Faisol Tamadun.

5. Pegawai Waran II TNL Noorfarahimi Mohd Saedy

6. Bintara Muda TNL Noor Rahiza Anuar

7. Laskar Kelas I JJM Joanna Felicia anak Rohna

Pesawat Fennec (M502 6) 3 orang kru:

1. Komander Muhamad Amir Mohamad - Pegawai Memerintah Skuadron 502.

2. Leftenan Sivasutan a/l Thanjappan

3. Pegawai Waran II TMK Mohd Shahrizan Mohd Termizi.

TLDM berkata, pengurusan jenazah semua mangsa yang terkorban akan dilaksanakan dalam masa terdekat mengikut tradisi pasukan itu.

Terdahulu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dalam sidang medianya memberitahu semua mangsa yang terbabit dalam nahas itu berusia 40 tahun ke bawah.

10 korban dua helikopter bertembung di Lumut.
10 korban dua helikopter bertembung di Lumut.


INFO:

Spesifikasi Helikopter Fennec (AS 555 SN)

Helikopter Fennec
Helikopter Fennec

Nama pasukan: Skuadron 502

Negara Pengeluar: Perancis

Syarikat pengeluar: Eurocopter

Panjang: 10.93 meter

Lebar: 2.28 meter

Kelajuan: 150 knots

Sesaran: 5.3 meter

Jumlah kru: 3 orang


Spesifikasi Helikopter AW139 (HOM)

503-HOM
503-HOM

Nama pasukan: Skuadron 503

Jenis: AW139

Negara pengeluar: Itali

Syarikat pengeluar: Leonardo Helicopter

Jumlah kru: Empat orang

Kelajuan maksimum: 167 knots

Kelajuan standard: 130 knots

Durasi penerbangan: Empat jam

Jarak: 550 batu nautika

-BH Online 

Dua helikopter bertembung di udara dalam Pangkalan TLDM Lumut

 Dua helikopter dilaporkan berlanggar di ruang udara dan terjatuh di Pangkalan TLDM Lumut, di Lumut, pagi ini.

Dua helikopter dilaporkan berlanggar di ruang udara dan terjatuh di Pangkalan TLDM Lumut, di Lumut, pagi ini.

LUMUT: Dua helikopter dilaporkan berlanggar di ruang udara dan terjatuh di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut, di sini, pagi ini.

Difahamkan, kedua-dua helikopter berkenaan sedang menjalani latihan raptai sempena Hari Terbuka Armada yang dijadualkan berlangsung 3 hingga 5 Mei ini.


Jumlah mangsa yang terlibat dalam nahas itu masih belum diketahui.

Sumber daripada Unit Komunikasi Strategi TLDM berkata satu siaran media akan dikeluarkan oleh pihaknya dalam masa terdekat.

Tangkap layar rakaman video helikopter bertembung di udara dalam Pangkalan TLDM Lumut
Tangkap layar rakaman video helikopter bertembung di udara dalam Pangkalan TLDM Lumut

Terdahulu, tular video berdurasi 21 saat di media sosial yang memaparkan sebuah helikopter terlanggar bahagian belakang sebuah lagi helikopter sebelum kedua-duanya kelihatan terjunam ke darat.

Dalam video sama, kelihatan terdapat serpihan helikopter jatuh ke dataran berhampiran lokasi ratusan anggota TLDM lain sedang melakukan latihan perbarisan.

-BH Online 

Artikel Berkaitan: Helikopter terhempas: 10 dilaporkan terkorban

Isnin, 22 April 2024

Nga Kor Ming mahu UMNO bantu habis-habisan calon DAP di Kuala Kubu Bharu

 agendaily.com

22/04/24
Nga Kor Ming.

UMNO digesa membantu calon yang akan diletak DAP pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu nanti, kata Nga Kor Ming.

Naib Pengerusi DAP itu berkata jentera UMNO perlu membantu kempen DAP bagi memastikan calon yang diletak menang sebagai membalas bantuan yang diberikan mereka semasa PRK DUN Pelangai di Pahang Oktober lalu.

“Saya mohon budi, sekiranya semangat ini kita sudah ditonjolkan di Pelangai maka ia dapat ditunjukkan juga di Kuala Kubu Baharu. Sebagaimana DAP berkempen habis-habisan untuk UMNO sehingga menang, UMNO juga akan buat yang sama, iaitu buat baik untuk balas budi.

“Kawasan yang kami (DAP) jaga berjaya meraih 98 peratus undi khususnya pengundi kaum Tiong Hua yang memilih, menyokong wakil UMNO yang mana ia tidak pernah berlaku dalam sejarah apabila UMNO (sebelumnya) tak pernah dapat 98 peratus undi Cina.

“Tetapi dengan semangat perpaduan ini, kejayaan ini adalah satu rekod yang boleh dibanggakan dan kita harap ianya juga berlaku di PRK Kuala Kubu Baharu nanti,” katanya dipetik laporan BH.

Kor Ming terdahulu menyempurnakan Majlis Perasmian Pintu Gerbang Kampung Baru Batu Dua, Gerik.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu juga berterima kasih susulan komitmen tidak berbelah bagi yang diberikan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang menyeru agar parti komponen Barisan Nasional (BN) perlu membantu calon dalam kerajaan campuran yang bertanding pada PRK Kuala Kubu Baharu 11 Mei nanti.

Katanya, begitu juga dengan MIC yang pada semalam dilapor turut menyatakan komitmen serupa untuk berkempen bagi mewakili Kerajaan Perpaduan pada PRK 11 Mei nanti.

“MIC sudah berikan komitmen untuk berkempen yang mana ini sudah disahkan oleh Perdana Menteri semalam apabila Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran menelefon beliau dan memberikan akujanji MIC untuk turun berkempen mewakili kerajaan perpaduan,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon pada Sabtu minggu depan sebelum hari pengundian pada 11 Mei ini.

PRK DUN Kuala Kubu Baharu diadakan susulan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong dari DAP yang mewakili Pakatan Harapan (PH) pada 21 Mac lalu.

-Wak Labu Farm 

KUBAH MAKAM IMAM AS SYAFI'E R.A

 KUBAH MAKAM IMAM AS SYAFI'E R.A

Di antara Kubah unik yang ada  di Mesir adalah Kubah al-'Allamah Muhammad bin Idris as-Syafi'i. 

Kubah yang pada umumnya terdapat bulan bintang, atau bulan sabit, kubah Imam Syafii berbeda. Boleh kita lihat, kubah yang dibangun pada abad ke 6 hijrah ini terdapat perahu kecil  yang terbuat dari alumunium di atasnya. 

Orang Mesir menyebut perahu itu dengan "Usyara" yaitu perahu sungai Nile yang biasa ditumpangi para raja, atau pembesar negara dulunya. 

Banyak yang bertanya mengapa ada perahu kecil di atas kubah itu. Ada maksud tertentu atau diletakkan secara tidak sengaja. 

Beberapa buku sejarah mengatakan, perahu itu adalah tempat untuk orang-orang meletakkan gandum atau biji-bijian dan air untuk memberi makan burung-burung. Jawaban ini juga saya dapat dari masyarakat setempat. 

Namun rasanya tidak masuk akal, karena tempat itu terlalu tinggi untuk setiap kali mengisi biji-bijian, juga tidak sopan meletakkan makanan di atas makam seorang Imam. 

Akhirnya saya mendapat jawabannya saat mengaji fikih Syafii :"Tahrir tanqihul lubab"  karya Imam Zakaria al-Anshari, kepada Syekh Hisyam Kamil di Masjid Al Azhar. 

Syekh membagi-bagikan kitab secara percuma,  dan di muka kitab terdapat gambar kubah ini. Kemudian Syekh menjelaskan, bahwa bahtera adalah angkutan laut. Bahtera di atas kubah ini, menandakan bahawa yang berada di bawahnya adalah lautan ilmu. 

Penjelasan ini akhirnya juga saya temukan di dalam buku sejarah. Yang membangun kubah ini adalah Sultan Kamil al-Ayyubi pada 1211 M. atau 608 H. filosofi perahu itu persis seperti apa yang dijelaskan Syekh tadi. 

"Bahwa perahu tidak diletakkan kecuali di atas samudera. Dan Imam Syafii adalah samudera ilmu." 

Hal itu karena Imam Syafii adalah representasi dari sabda Baginda Nabi Muhammad Saw yang mengabarkan,  bahwa suatu saat nanti akan lahir dari keturunan Bani Quraish seorang yang sangat Alim dan ilmunya memenuhi muka bumi. 

Para ulama sepakat bahawa orang yang dimaksud adalah Imam Syafii karena beliau Bani Muttalib dan tidak ada di antara Mazhab 4 yang berasal dari bangsa Quraisy kecuali Imam Syafii. Hadis ini kemudian dipahat dan menjadi hiasan di langit-langit kubah Makam Imam as-Syafi'i. 

Dalam sebuah Syair, Imam al-Bushiri (W. 695 H.) berkata :

بقبة قبر الشافعي سفينة # رست في بناء محكم فوق حلمود 

ومذ غاض طوفان العلم بقبره إس# توي الفلك من ذاك الضريح على الجودي 

Semoga, Allah merahamati Imam Syafii, karena berkat beliau Syariat Islam terjaga. Semoga Allah swt memberikan kita ilmu dan taqwa sebagaimana Imam Syafii. Amin.. 

-Alif Alifi-

Sumber 

Sabtu, 20 April 2024

Bekas Ahli Parlimen Kuala Krau mohon maaf, mengaku buang beras ditàpak pelupusan sampah

 freemalaysiatoday.com

FMT Reporters
-19 Apr 2024, 12:14 PM

Ismail Mohamed Said berkata beras, sardin dan tepung yang rosak itu dibeli untuk diberikan kepada orang ramai ketika menjadi Ahli Parlimen Kuala Krau.
Gambar tular beras yang dibuang di kawasan pembuangan sampah. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Bekas timbalan menteri dalam negeri Ismail Mohamed Said meminta maaf dan mengakui kesilapan melupuskan puluhan kampit beras, tin sardin dan tepung di kawasan pembuangan sampah berhampiran laluan pintasan Rumpun Makmur-Kampung Gunung Senyum, Kuala Krau, Temerloh.

Mengulas penularan isu itu di media sosial, Ismail mengakui bertanggungjawab atas perkara berkenaan dan menjelaskan semuanya adalah stok simpanan untuk diberikan kepada orang ramai ketika beliau menjadi Ahli Parlimen Kuala Krau.

Ketua Umno Kuala Krau yang kalah pada PRU15 turut menjelaskan barangan dapur terbabit yang kini sudah rosak dibeli sebelum pilihan raya menggunakan peruntukan peribadi dan tiada sebarang pemberian kepada orang awam ketika kempen.

Katanya, tiada dana kerajaan pusat dan negeri digunakan selain ia tidak termasuk dalam peruntukan menyediakan keperluan ketika Covid-19 atau persiapan pangkalan hadapan menghadapi banjir.

Ismail menjelaskan, pada 5 April lalu beliau menerima aduan daripada jiran menyatakan ada bau busuk di tempat stor simpanan barangan dapur tersebut dan pemeriksaan mendapati ada beberapa bangkai tikus manakala beras dicemari bubuk/kutu.

“Barangan lain juga tidak lagi sesuai untuk diagihkan kepada orang ramai kerana tercemar,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, sebahagian beras itu diserahkan kepada penternak ayam dan itik di sekitar manakala bakinya dilupuskan.

“Saya mengambil tanggungjawab, menyesali perkara ini dan memohon maaf kepada semua pihak atas kekhilafan dalam memantau cara pelupusan barangan dapur berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu, dalam hantaran di X memaklumkan kenyataan media rasmi akan dikeluarkan berhubung penularan kes berkenaan.

“Saya telah arah siasatan segera oleh Kawalselia Padi dan Beras Temerloh berkaitan insiden timbunan beras dibuang di kawasan pembuangan sampah di Kuala Krau,” katanya.

-Wak Labu Farm

Jumaat, 19 April 2024

TERKINI: Tapak pembuangan timbunan beras sudah bersih, ditimbus tanah

 

TEMERLOH: Tempat pembuangan sampah dekat Jalan Gunung Senyum ke Rumpun Makmur yang digemparkan dengan penemuan timbunan beras dan makanan kering sejak petang semalam, sudah ditimbun tanah oleh pihak tertentu menggunakan jentera berat awal pagi tadi.

Sejak petang semalam, kawasan terbabit dikatakan menjadi tumpuan penduduk berdekatan untuk mengambil barang-barang yang dibuang tetapi masih berada dalam keadaan elok untuk dibawa pulang.

Sisa barang-barang yang ditinggalkan di situ kemudiannya ditimbus dengan tanah oleh pihak tertentu dengan menggunakan jentera berat bagi mengorek tanah dari tebing berdekatan sebelum menimbus dan meratakan tapak pembuangan sampah berkenaan.

Tinjauan di lokasi mendapati kawasan terbabit kini sudah bersih apabila hampir seluruh tapak itu sudah ditimbun dengan tanah baharu yang diangkut dengan jentera ke situ.

Penduduk, Roslan Awang Mohamad, berkata dia mengetahui pembuangan bahan makanan termasuk beras dan pelbagai makanan lain itu petang semalam sebelum bergegas meninjau kawasan itu kira-kira jam 3 petang.

"Saya terkejut melihat banyak kampit beras, tepung, gula, sardin, kotak dan bungkusan teh uncang, susu, biskut dan lain-lain dibuang di tempat buang sampah ini.

"Ketika itu sudah ramai penduduk yang datang untuk mengambil bahan makanan yang masih boleh digunakan, " katanya ketika ditemui pagi di tempat kejadian pagi ini.

Roslan yang juga Imam di Masjid Rumpun Makmur, berkata dia tidak mengetahui pihak yang melakukan pembaziran pembuangan barangan tersebut yang boleh diberi kepada golongan yang memerlukan.

"Saya dimaklumkan ada pihak telah menutup kawasan ini dengan tanah menggunakan jentera berat dan dipercayai dilakukan awal pagi tadi.

"Di sini ada kira-kira 3,000 penduduk di Kampung Rumpun Makmur, Kampung Gunung Senyum, Kampung Pulau raya, Kampung Teluk Jejak dan taman perumahan yang berhampiran," katanya.

Katanya, kalau diagihkan kepada golongan asnaf yang terdapat di sekitar kawasan terbabit pastikan ia membawa kegembiraan buat mereka.

Tinjauan di lokasi pagi ini, mendapati tempat itu sudah dibersihkan dan terdapat kesan tanah di lereng bukit berdekatan dikorek sebelum diangkut bagi menimbus tapak pembuangan bahan makanan itu.

Kawasan itu turut dilawati pegawai dan anggota SWCorp Cawangan Temerloh untuk membuat siasatan.

Sementara itu, Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Jengka, Datuk Seri Ismail Mohamed Said, dalam kenyataan media yang dikeluarkan, berkata beliau mengambil tanggungjawab sepenuhnya terhadap isu pembuangan barangan bahan makanan yang berlaku di situ.

"Beras dan barangan dapur itu merupakan stok simpanan yang sentiasa disediakan bagi memenuhi permintaan orang ramai ketika saya menjadi Ahli Parlimen sebelum ini.

"Barangan ini disediakan menggunakan peruntukan peribadi saya sebelum tempoh Pilihan Raya Umum (PRU ) ke-15 diadakan pada 2022 dan ketika itu semua dimaklumkan tiada sebarang pemberian barangan kepada orang awam dibenarkan," katanya melalui kenyataan media yang dikeluarkan Pejabat UMNO Bahagian Kuala Krau.

Katanya, pada 5 April 2024, beliau menerima aduan daripada jiran terdapat bau busuk di stor simpanan barangan tersebut.

"Setelah diselidik di stor berkenaan terdapat bangkai tikus dan beras serta barangan dapur telah dicemari bubuk beras.

"Sebahagian daripada beras ini telah diserahkan kepada penternak ayam dan itik di kawasan sekitar dan sebahagian dilupuskan," katanya.

-BH Online 

Isnin, 15 April 2024

Sudah habis bayar loan kereta dan motosikal??

 Sudah habis bayar loan kereta dan motosikal??

Cuba lihat pada bahagian bawah geran kenderaan anda. Nampak tak ada satu ayat yang tertera bahawa hak milik kenderaan tersebut dituntut oleh Bank pinjaman anda??

Soalan: 

Apa yang perlu anda lakukan sekarang?? 

Jawapan: 

Anda perlu batalkan nama Bank  pinjaman itu dengan E-Batal.

Maksud E-Batal adalah kenderaan tersebut masih menjadi hak milik bank atau pemberi pinjaman kewangan. Jadi, kenderaan tersebut bukanlah hak milik anda sepenuhnya lagi.

Bagi mendapatkan hak anda sebagai pemilik kenderaan terbabit, langkah penting adalah dengan menghapuskan status hak milik dari pemiutang kepada hak milik anda secara mutlak.

Urusan menyelesaikan hak milik dari pemberi pinjaman dipanggil E-Batal. Syarat utama untuk E-Batal adalah BAYARAN PINJAMAN HENDAKLAH SUDAH HABIS DIBAYAR SEPENUHNYA.

Cara-caranya:

1) Selesai sahaja pembayaran terakhir, anda akan diberikan geran asal oleh syarikat kereta yang anda berurusan. 

2) Pastikan dan dapatkan surat pelepasan dari Bank peminjam untuk meneruskan prosedur pembatalan ini. Namun, lebih baik lagi jika surat pelepasan tersebut terus mereka hantarkan kepada JPJ.

Kerap bertanya kepada Bank peminjam sama ada surat pelepasan sudah dikeluarkan dan telah dihantar ke JPJ ataupun tidak. Jika sudah dihantar, terus ke cawangan JPJ berhampiran tempat tinggal anda.

3) Kemudian, anda perlu hadir ke cawangan JPJ berhampiran untuk mematikan dan/atau membatalkan hak milik Bank peminjam itu. Tujuan ini adalah untuk mengeluarkan nama Bank peminjam daripada geran asal kenderaan  tersebut. 

4) Di cawangan JPJ tersebut juga, jangan lupa untuk pastikan terdapatnya cop E-Batal pada geran kenderaan anda mengikut prosedur mereka. Jangan risau, proses mengecop E-Batal bukanlah perkara yang rumit. Selepas geran tersebut telah di cop, kereta tersebut telah menjadi milik anda sepenuhnya. Senang kan?? 

Kesimpulannya,

Prosedur selesaikan E-Batal di JPJ amat mudah sebenarnya. Ramai yang masih belum mengetahui perkara yang perlu dilakukan selepas habis bayar pinjaman kereta. 

Ada juga sehingga bertahun-tahun masih tidak membatalkan lagi hak milik itu jadi, bagi anda yang masih belum batalkan hak milik kereta, sila berbuat sedemikian untuk memudahkan urusan anda di kemudian hari.

Kredit : Puan Nadia Izzati

Ahad, 14 April 2024

KOLEKSI RESEPI: CARA MEMBUAT REMPAH NASI ARAB

 CARA MEMBUAT REMPAH NASI ARAB SENDIRI

cuba lihat nasi arab yang saya buat tu!! saya suka menggunakan rempah nadi MANDY berbanding KABSAH sebab nasi mandy rempahnya lebih terasa.

saper yg susah nak dapat rempah nasi arab MANDY dan KABSA..boleh buat sendiri.. dibawah ni saya bagi resepinya...

Bahan utk rempah MANDY*

ini rempah2 yg perlu dikisar untuk dijadikan rempah nasi mandy. dibawah ini adalah sukatan untuk masak 3-4 cawan beras basmati. alau rajin buat banyak2 simpan dalam botol atau bekas kedap udara.

beras yg sedap buat nasi mandy dan kabsa ialah beras basmati" extra panjang " FAIZA

bahan bahan untuk dikisar

15 biji buah pelaga,*

10 kuntum bunga cengkih

20 biji lada hitam

3 helai daun salam* (Kering)

1 sudu besar biji jintan putih,*

1 sudu besar biji ketumbar*

Cara:

1. Goreng semua bahan bertanda * tanpa myk sehingga naik bau.Bila dah naik bau kisar sehingga hancur dan

Kacau rata.Simpan didalam bekas yang kedap udara.

Serbuk rempah ini boleh juga digunakan pada semua masakan ala arab termasuklah ayam dan daging.

dibawah ini cara cara buat rempah nasi arab 'kabsa

saper yg susah nak dapat rempah nasi arab KABSA...boleh buat sendiri.. dibawah ni saya bagi resepinya...

Bahan utk rempah kabsa*

1 sdu makan bunga cengkih

1 sdu makan lada hitam

1 sdu makan jintan manis*

1 sdu makan jintan putih*

2 sdu makan ketumbar biji*

1 sdu makan buah pelaga*

1/3 sudu kecil serbuk kunyit

Cara:

1. Goreng semua bahan bertanda * tanpa myk sehingga naik bau.Bila dah naik bau kisar sehingga

hancur. Satukan dgn serbuk kunyit .Kacau rata.Simpan didalam bekas yang kedap udara.

Jika tiada buah pelaga hitam, boleh gantikan dgn buah pelaga biasa. Serbuk rempah ini boleh juga digunakan pada semua masakan ala arab termasuklah ayam dan daging.


Kredit -  kpd Pemilik Resepi ini Semoga Allah mempermudahkan segala urusan

Kenali Negara Madagascar 🇲🇬: Bukan seperti dalam Filem!!!

 Kenali Negara Madagascar 🇲🇬: Bukan seperti dalam Filem!!!

Nama Madagascar bukanlah sesuatu yang asing bagi ramai dek kerana filem box office kartun "Madagascar". Namun persamaannya hanyalah seekor lemur. Tiada Rhino, Lion, Zebra dan Giraffe di sini.

Jom Kenali Madagascar dengan lebih dekat:

1. Merupakan kepulauan terbesar di dunia selepas Greenland, New Guinea & Borneo.

2. Populasi dalam lingkungan 30 juta.

3. Jangan keliru, negara ini terletak di benua Afrika bukannya Amerika Selatan atau Asia.

4. Dulunya pernah menjadi tumpuan "pirate" kerana lokasinya yang terlindung dan kurang pengunjung.

5. Rumah kepada 6 daripada 8 jenis spesis pokok Baobab.

6. Penduduk asal adalah daripada kepulauan borneo. Jadi jangan terkejut jika rupa mereka seperti orang Malaysia atau Indonesia.

7. Makanan ruji penduduk di sini adalah nasi putih. 

8. Ibu negara Madagascar ialah Antananarivo atau juga dikenali sebagai "Tana". Hampir 4 juta penduduk tinggal di sini.

9. Pokok Ravanela merupakan simbol pokok kebangsaan bagi negara ini.

10. Bahasa utama di sini adalah Malagasy diikuti oleh bahasa Peranchis.


Ikuti kembara Mauritius-Madagascar bulan Jun 2025

Dm Detektif Kembara

Tak adil, rugi 'tendang keluar' Kedah dari Liga Super

 Pemain Kedah kembali menjalani latihan semalam selepas cuti Aidilfitri. - Foto KDA FC

Pemain Kedah kembali menjalani latihan semalam selepas cuti Aidilfitri. - Foto KDA FC

KUALA LUMPUR: Jika Kedah Darul Aman (KDA) FC 'ditendang keluar' dari saingan Liga Super ketika sepak mula musim 2024/25 berbaki kurang sebulan lagi, ia dianggap sebagai satu keputusan kurang cekap pengurusan Liga Bolasepak Malaysia (MFL).

-ADVERTISEMENT-
Ads by

Justeru, pemerhati bola sepak tempatan, Datuk Dr Pekan Ramli menjangkakan skuad 'Kenari' akan terus 'bernyawa' dalam saingan utama bola sepak negara meskipun nasib mereka ketika ini 'bagai telur di hujung tanduk' susulan isu tunggakan yang perlu diselesaikan pada 20 April ini.

Tegas Pekan, penyingkiran KDA FC ketika ini adalah satu tindakan yang tidak adil apatah lagi satu kerugian jika KDA FC sebagai 'pasukan legasi' tidak lagi bersaing dalam Liga Super bagi musim ini.

"Tidak adil nak buang KDA FC sekarang kerana Liga Super akan bermula bulan depan. Jadi, keputusan (singkirkan pasukan) perlu tegas dan konsisten kerana kalau betul ada masalah, singkirkan awal-awal lagi seperti yang dikenakan kepada Kelantan FC sebelum ini.

"KDA FC pun sudah siapkan pasukan, pemain import pun sudah sampai. Jadi saya tak nampak KDA FC akan digugurkan walaupun kita tahu situasi yang dihadapi mereka ketika ini. Kalau buang sekarang, pemain juga teraniaya dan sudah tentu ada pertikaian nanti.

"Lagipun, kita perlu akui kita perlukan kehadiran pasukan legasi seperti KDA FC yang ada sejarahnya, ada reputasinya dan kelompok penyokong yang besar bagi merancakkan lagi saingan domestik," kata Pekan.

Bagaimanapun, Pekan mengharapkan KDA FC menggunakan peluang diberikan untuk menyelesaikan isu dihadapi selepas MFL sudahpun memberi 'muka' kepada mereka sehingga 20 April untuk memastikan penyelesaian penuh tunggakan itu dapat dicapai.

Malah, isyarat ini perlu dilihat sebagai amaran terakhir buat KDA FC di mana jika masalah sama tetap berulang bagi musim 2024/25, tindakan penyingkiran wajar dilakukan serta-merta pada musim seterusnya.

"Saya berpendapat dengan tarikh akhir yang beberapa kali dianjakkan (untuk selesaikan masalah), MFL cuba memberi peluang kerana mereka pun tidak mahu pasukan ini disingkirkan daripada Liga Super.

"Cuma dengan kelonggaran diberikan, sudah pasti MFL mengharapkan KDA FC ada inisiatif serius untuk selesaikan masalah dengan dengan apa cara sekalipun. Jadi saya harap ia dapat berlaku supaya KDA FC dapat terus bersaing di Liga Super.

"Tetapi MFL perlu jadikan ini sebagai amaran terakhir buat KDA FC. Kalau isu sama berulang lagi, singkirkan terus sebelum musim depan bermula," katanya.

-BH Online